Sunday, December 24, 2017

Pembahagian Harta Semasa Hidup

Pembahagian harta boleh dilakukan oleh seseorang semasa masih hidup, dan setelah  meninggal dunia. Pembahagian harta ketika masih hidup boleh dilakukan melalui pemberian hibah, pemindahan hakmilik, atau dengan cara mewasiatkan harta tersebut. 

Manakala pembahagian harta selepas meninggal dunia atau pembahagian harta pusaka dilakukan secara faraid, iaitu apabila tuan punya harta tidak membahagikan harta semasa hayatnya. Perlu dinyatakan bahawa faraid tidak akan terpakai sekiranya si mati sebelum kematiannya, telah memindahkan hartanya kepada orang lain.

Pembahagian atau pemindahan harta kepada anak-anak  atau seseorang yang lain boleh dilakukan dengan beberapa cara berikut :

1. Secara Hibah :

Hibah ialah pemberian hak atau harta secara sukarela, tanpa paksaan, daripada satu pihak kepada satu pihak lain dengan niat dan tujuan yang baik, tanpa ada sebarang syarat, imbalan atau balasan.  

Di dalam kitab I’annatul Taalbin, juzuk ketiga pada muka surat 168 telah memberi pengertian hibah seperti berikut:

“Hibah bererti memberi milik sesuatu barang yang mana mengikut kebiasaannya barang itu sah untuk dijual, atau diberi hutang kepada seseorang oleh ahli tabarru’ (orang yang suka membuat kebajikan) dengan tidak ada barang tukaran.”

Pemberian hibah dilakukan ketika seseorang masih hidup dan sihat. Pelaksanaan pemberian hibah juga biasanya dilakukan semasa pemberi hibah masih hidup. Hibah tidak akan berlaku sekiranya si pemberi hibah itu sekadar berhasrat dan berura-ura sahaja, tetapi kemudiannya si pemberi hibah meninggal dunia sebelum sempat pemberian disempurnakan. Maka hukum hibah itu mungkin akan berubah menjadi wasiat sahaja. 

Hibah boleh dilakukan secara bertulis atau secara lisan. Hibah secara lisan perlu diperkukuhkan dengan bukti bertulis atau dengan mengemukakan saksi-saksi. 

Realitinya pada hari ini pemberian secara hibah dilakukan dengan menandatangani suatu Dokumen Deklarasi Hibah kepada si penerima hibah, yang ditandatangani oleh pemilik harta semasa dia masih hidup. Apabila berlaku kematian, maka si penerima hibah akan membuat pengesahan hibah tersebut di Mahkamah Syariah 

Seseorang yang ingin melaksanakan pemberian harta secara hibah perlu memenuhi rukun-rukun hibah untuk menjadikan akad hibah itu sah. Rukun-rukun hibah adalah lafaz ijab daripada pemberi hibah dan lafaz qabul daripada penerima hibah. Perlu juga ada ketentuan mengenai harta yang mahu dihibahkan tersebut dan hibah perlu dilakukan semasa masih hidup. Disyaratkan juga bahawa harta tersebut hendaklah dimiliki secara sempurna oleh pemilik, bukan masih bercagar, digadai atau terikat dengan mana-mana pihak.

Rujuklah Peguam Syarie yang mempunyai kepakaran menyediakan dokumen tersebut, serta yang berpengalaman mengendalikan kes-kes pengesahan hibah di Mahkamah Syariah. 

2. Secara Wasiat : 

Wasiat adalah suatu peluang yang diberikan oleh Allah SWT kepada umat Islam untuk meluaskan pembahagian harta pusaka yang mereka tinggalkan kepada orang-orang yang selain daripada orang yang ditentukan oleh Al-Quran dan Sunnah sebagai ahli waris atau kepada pihak-pihak tertentu yang pada pendapat mereka baik diberikan sebahagian harta mereka.

Pemberian harta secara wasiat mestilah berlandaskan kepada empat rukun wasiat iaitu al musi (orang yang berwasiat), al-muso lahu (orang yang diwasiatkan), al-muso bihi (barang yang diwasiatkan) dan sighah iaitu ijab dan qabul.  

Di dalam isu pemberian wasiat, menurut pandangan ulama-ulama Sunni, terdapat 2 syarat yang perlu diikuti iaitu :

Syarat pertama ialah harta yang diwasiatkan tidak boleh melebihi 1/3 dari jumlah keseluruhan harta si mati. Ini adalah berdasarkan pendapat ulama Sunni yang mendasarkan kesimpulan mereka daripada hadith Rasulullah s.a.w (diriwayatkan oleh Sunan Abu Dawud) yang telah menghadkan wasiat kepada satu pertiga.

Syarat kedua ialah wasiat harta tidak boleh diwariskan kepada waris yang telah tersenarai dalam hukum faraid. Peraturan asas wasiat, ia hanya boleh diberikan kepada bukan waris. Anak adalah ahli waris, oleh itu merujuk nas, tidak boleh membuat wasiat kepada anak berkenaan. Riwayat Abu Daud, Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Sesungguhnya Allah mengurniakan hak kepada setiap yang berhak. Tidak harus wasiat untuk pewaris”.

Sekiranya seseorang ingin mewasiatkan semua harta kepada anak-anak atau seseorang yang lain, merujuk kepada nas dan pendapat utama mazhab Syafie, wasiat sebegini hukumnya harus, tetapi tidak boleh dilaksanakan kecuali selepas mendapat persetujuan waris lain. Hanya dengan persetujuan waris lain barulah wasiat itu boleh dilaksanakan. 

Perlu dinyatakan bahawa waris lain merujuk kepada ibu bapa, abang atau adik lelaki di mana mereka berhak melalui hukum faraid mendapat bahagian melalui pusaka si pembuat wasiat. Persetujuan tersebut boleh dibuat semasa pembuat wasiat semasa hidup, dan disahkan semula selepas pembuat wasiat meninggal dunia. Sekiranya ahli waris menolak persetujuan tersebut setelah pembuat wasiat meninggal dunia, maka hukum asal adalah terpakai, iaitu wasiat kepada ahli waris adalah tidak diharuskan. 

Rujuklah Peguam Syarie yang mempunyai kepakaran menyediakan dokumen wasiat, serta yang berpengalaman mengendalikan kes-kes pengesahan wasiat di Mahkamah Syariah. Dokumen wasiat ini akan ditandatangani oleh pemilik harta semasa dia masih hidup. Apabila berlaku kematian, maka si penerima hibah akan membuat pengesahan hibah tersebut di Mahkamah Syariah.

Sebagaimana kaedah hibah, disyaratkan juga bahawa harta yang hendak diwasiatkan  hendaklah dimiliki secara sempurna oleh pemilik, bukan masih bercagar, digadai atau terikat dengan mana-mana pihak.

3. Secara Pindahmilik

Pembahagian harta kepada anak-anak atau seseorang yang lain juga boleh dilakukan secara pindahmilik berdasarkan syarat dan prosedur yang telah ditetapkan oleh Kanun Tanah Negara.

Pindahmilik  kepada anak-anak semasa kita hidup boleh dilakukkan dengan menggunakan Borang 14A Kanun Tanah Negara, iaitu secara balasan kasih sayang. 

Namun sekiranya pindahmilik dilakukan mengggunakan kaedah ini, maka ibu atau bapa bukan lagi pemilik berdaftar harta berkenaan. Ia telah menjadi hakmilik anak-anak. Risikonya berkemungkinan anak-anak akan menghalau ibu bapa daripada menduduki harta tersebut atau menjual hartanah berkenaan kerana dihasut oleh pihak ketiga, dan sebagainya.

Sebagaimana kaedah-kaedah yang disebutkan diatas, proses pindahmilik ini juga hanya boleh dilakukan sekiranya harta tersebut telah menjadi milikan sempurna oleh pemilik, bukan masih bercagar, digadai atau terikat dengan mana-mana pihak.

4. Secara Surat Ikatan Pemegang Amanah (Trust Deed)

Asalnya, Trust Deed di pejabat tanah digunakan untuk ‘memindahkan’ nama daripada ibubapa kepada anak-anak, atau orang yang kita pilih, walaupun semasa kita masih hidup. 

Langkah bagaimana untuk memindahkan nama anak sebagai pemilik tanah atau rumah sewaktu kita masih hidup ialah -

i –  Dapatkan Surat Ikatan Pemegang Amanah di Pejabat Tanah
Surat Ikatan Pemegang Amanak boleh diperolehi  di Pejabat Tanah atau menggunakan khidmat peguam untuk menyediakannya. 

ii. Isi Borang & Hantar Borang ke Unit Pendaftaran
Katakan seseorang mempunyai tanah 1 ekar dan mempunyai 4 orang anak, dan dia mahu setiap seorang dapat ¼ bahagian untuk tanah 1 ekar tersebut. Maka dalam borang Trust Deed tersebut perlu dinamakan dan diletakkan bahagian yang diberikan kepada setiap anak tersebut, sebelum difailkan ke Pejabat Tanah (Unit Pendaftaran).

Nama pemilik asal akan dibatalkan, sebaliknya akan didaftarkan sebagai Pemegang Amanah kepada anak-anak anda.

iii. Selepas Kematian, Anak Akan Membuat Tuntutan Pusaka
Selepas kematian, anak-anak akan membuat tuntutan pusaka ke di Pejabat Pusaka Kecil (jika harta bawah RM2 juta) atau di Mahkamah Tinggi (jika harta lebih RM2 juta), sebagai bukti pemberian bahagian tanah telah dilaksanakan sebelum ini di Pejabat Tanah secara bertulis melalui Trust Deed.

Selepas Perintah atau Penghakiman dikeluarkan, maka anak-anak perlu bawa Perintah atau Penghakiman tersebut ke Pejabat Tanah untuk mendaftarkan nama anak-anak di dalam geran sebagai pemilik mengikut bahagian masing-masing.

Sebagaimana kaedah-kaedah yang disebutkan diatas, proses pendaftaran Trust Deed  ini juga hanya boleh dilakukan sekiranya hartanah tersebut bebas daripada sebarang halangan (free from all encumbrances). Misalnya hartanah tersebut tidak digadaikan kepada mana-mana bank atau bebas daripada sebarang kaveat oleh mana-mana pihak. Jika hartanah tersebut terdapat sebarang halangan yang tidak memungkinkan ianya dipindah milik, maka sila dapatkan nasihat dan khidmat peguam untuk menyelesaikannya terlebih dahulu.

Rujuklah Peguam Syarie yang bertauliah dalam memastikan anda mendapat nasihat yang betul tentang pembahagian harta semasa hidup ini. Sesetengah pihak menawarkan khidmat menyediakan dokumen-dokumen hibah, wasiat dan lain-lain, tetapi perlu diperhalusi kerana mana-mana isi kandungan dokumen hibah atau wasiat yang dibuat bertentangan dengan Hukum Syarak dan undang-undang, tidak boleh dilaksanakan. Ia bukan sahaja merugikan pihak-pihak, membuang masa, tidak memenuhi hasrat pemilik asal harta dan kadang-kadang boleh menimbulkan perbalahan di kalangan ahli keluarga. 

- Musa Awang, Presiden PGSM

No comments:

Post a Comment

Pembahagian Harta Semasa Hidup

Pembahagian harta boleh dilakukan oleh seseorang semasa masih hidup, dan setelah  meninggal dunia.  Pembahagian harta ketika masih hidup b...