Wednesday, February 23, 2022

Kerajaan Persekutuan perlu tubuh jawatankuasa khas isu Mahkamah Syariah

Oleh Muhamad Izzat Nasuruden -February 21, 2022



Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur GAMBAR: Abd Razak Aid

PERSATUAN Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan jawatankuasa khas berhubung isu berkaitan Mahkamah Syariah.

Presidennya, Musa Awang berkata, hal itu selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa untuk membuat semakan kehakiman terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri.

“Kerajaan Persekutuan perlu mengambil pendekatan jangka panjang untuk meminda Butiran 1, Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Ini untuk memberikan kuasa kepada Kerajaan Negeri mengadakan undang-undang bagi memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah Negeri.

“Ia adalah untuk menjalankan kuasa semakan kehakiman ke atas apa-apa keputusan yang dibuat oleh Majlis Agama Islam Negeri atau jawatankuasa-jawatankuasa yang menjalankan fungsi di bawah undang-undang syariah negeri-negeri, termasuk oleh jawatankuasa fatwa negeri-negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Musa berkata, PSGM berpendapat yang semua semakan kehakiman terhadap segala keputusan Majlis Agama Islam Negeri perlu dibuat oleh Mahkamah Syariah.

Justeru, katanya, PGSM menggesa Kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan satu Jawatankuasa Khas bagi mengkaji dan mencadangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan tersebut.

Terdahulu, Musa berkata, panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara memutuskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membuat enakmen yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah negeri menyemak semula fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.

Katanya, Mahkamah Persekutuan juga mengisytiharkan Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu terbatal.

Jelas beliau, Seksyen 66A sebelum ini menyatakan Mahkamah Tinggi Syariah boleh menggunakan bidang kuasanya untuk mendengar dan membenarkan permohonan bagi semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat oleh majlis atau jawatankuasa dalam menjalankan tugas di bawah enakmen tersebut.

https://utusantv.com/2022/02/21/kerajaan-persekutuan-perlu-tubuh-jawatankuasa-khas-isu-mahkamah-syariah/?fbclid=IwAR1capVNo64I38SDEgOCRsw8cTyTdBpY4sunITkdWY3fdaKU3CWmlseuZCQ

 

No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...