Thursday, June 7, 2018

Thomas diharap perkasa undang-undang Syariah

BERITA»Nasional
Selasa, 5 Jun 2018 | 4:36pm

Oleh Hidir Reduan; Farah Marshita Abdul Patah; Fahmy Azril Rosli
Dan Rahmat Khairulrijal

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), berharap Peguam Negara yang baru dilantik, Tommy Thomas, akan memperkasakan Undang-undang Syariah negara.
Sambil mengalu-alukan pelantikan peguam terkemuka itu, Presiden PGSM, Musa Awang, berkata banyak isu perundangan Syariah di peringkat nasional dan negeri yang perlu dilihat semula.

"Penambahbaikan perlu dilakukan dalam organisasi terutama badan penasihat Syariah di Pejabat Peguam Negara bagi melihat pelbagai isu perundangan Syariah di peringkat negara dan negeri.

"Antaranya melihat semula desakan untuk mewujudkan Akta Profesion Guaman Syarie (APGS) yang sudah lama tertangguh," katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.
Selain itu, beliau berkata, isu pelantikan Thomas yang membabitkan institusi istana seharusnya berlaku secara tertutup dan penuh adab.

"Kami merakamkan sembah junjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, kerana berjaya menyelesaikan isu pelantikan Thomas sebagai Peguam Negara menggantikan Tan Sri Mohamaed Apandi Ali.

"Kuasa Yang di-Pertuan Agong disebut dalam Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan, menetapkan bahawa Agong yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri perlu melantik seorang memenuhi kelayakan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, untuk menjadi Peguam Negara," katanya.

Hal Syariah bukan bidang kuasa peguam negara, kata Aziz Bari

Nabihah Hamid


PEGUAM Negara tidak mempunyai kuasa ke atas Mahkamah Syariah dan hal berkaitan Syariah, kata pakar Perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari.

Justeru, katanya, pengkritik Melayu-Islam tidak wajar membangkitkan malah mempolitikkan isu pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara.

"Saya rasa masyarakat tak faham benda ini. Sebab ia terbawa-bawa dengan isu (Islam).
"Sebenarnya kalau kita tengok dalam sistem yang disebut dalam Perlembagaan, peranan utama adalah penasihat undang-undang kepada kerajaan.

"Peguam negara tidak ada kuasa ke atas Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tentera. Tiada kena mengena dengan hal-hal Syariah,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Ditanya mengenai kebimbangan peguam negara bukan Islam tidak boleh menasihati Majlis Raja-Raja berhubung hal Syariah, Aziz berkata penasihat undang-undang kerajaan tidak mempunyai peranan dalam hal tersebut. 

"Jika ada sebelum ini Majlis Raja-Raja guna khidmat peguam negara, itu secara 'ad-hoc' sahaja. Itu hanyalah amalan yang timbul dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini," katanya. 

Aziz, yang merupakan Adun Tebing Tinggi, menambah ia bukan kali pertama Malaysia mempunyai peguam negara daripada kalangan bukan Islam dan bukan Melayu. 

Apa yang lebih penting, katanya, peguam negara sebaiknya dilantik daripada kalangan ahli Parlimen.  

"Saya rasa ramai di kalangan ahli Parlimen layak. Yang lebih 20 tahun pengalaman sebagai peguam seperti Hanipa Maidin, R. Sivarasah, Baru Bian dan Ngeh Khoo Kham. Itu antara nama-nama yang saya ingat. 

Pemilihan Thomas sebagai peguam negara oleh kerajaan Pakatan Harapan mengundang perdebatan hangat sejak dua hari lalu antaranya menyentuh mengenai isu agama, kaum dan konflik kepentingan.

Thomas berketurunan India Malayalee dan penganut Kristian, serta pernah mewakili Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam kes rasuah. 

Peguam Syariah, Musa Awang, berkata percalonan Thomas tidak diterima kerana kredibilitinya boleh dipertikai. 

"Sebelum ini pernah ada peguam negara bukan Melayu-Islam... tanpa ada masalah. Tetapi dalam isu Thomas, kredibiliti dan kebebasan beliau dipertikaikan kerana beliau adalah peguam yang mewakili Menteri Kewangan Lim Guan Eng, bagi prosiding komital dan dalam pertuduhan rasuah terhadap Lim," kata Musa, yang merupakan presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Menurutnya sejarah menunjukkan peguam negara bukan Islam diterima seperti Thomas Vernor Alexander Brodie (1955-1959), Cecil M. Sheridan (1959-1963) dan Athi Nahappan (1970-1974). 

Musa turut berpendapat peguam negara seharusnya dilantik daripada kalangan pegawai kehakiman dan perundangan yang mempunyai kredibiliti tinggi. 

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyerahkan hanya satu nama, Thomas, kepada Yang di-Pertuan Agong, untuk jawatan peguam negara. 

Mengikut Perlembagaan, Agong melantik peguam negara atas nasihat perdana menteri. 
Bagaimanapun, Majlis Raja-Raja tidak bersetuju dan akan mengadakan mesyuarat mengenai perkara itu esok. – 4 Jun, 2018.

Kefahaman Mengenai Peranan Peguam Negara Boleh Elak Kontroversi


Tarikh kemaskini: 04/06/2018
Bernama

Oleh Kurniawati Kamarudin, Ainul Huda Mohamed Saaid dan Ali Imran Mohd Noordin

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kontroversi cadangan pelantikan Peguam Negara yang baharu tidak akan timbul sekiranya masyarakat lebih memahami pengasingan kuasa dalam sistem pentadbiran.

Sistem pentadbiran negara memisahkan tiga badan utama iaitu Badan Perundangan, Badan Pemerintah dan Badan Kehakiman dengan fungsi dan tanggungjawab yang tidak bertindih antara satu sama lain.

Pakar undang-undang Dr. Aziz Bari menjelaskan bahawa peranan sebenar Peguam Negara adalah sebagai penasihat undang-undang utama kerajaan iaitu sebagai peguam dan pendakwa raya bagi pihak kerajaan Malaysia.

Bidang tugas beliau tidak langsung menyentuh hal-hal jurisdiksi badan kehakiman termasuk Mahkamah Syariah.

"Peguam Negara adalah kakitangan kerajaan yang sama seperti mana-mana kakitangan kerajaan yang lain seperti Ketua Polis Negara dan seumpamanya.

"Jadi tidak timbul isu seperti yang dibimbangi oleh banyak pihak terutama berkaitan hal-hal agama Islam kerana Peguam Negara tidak ada kuasa dalam hal tersebut," jelas beliau ketika dihubungi Bernama hari ini.

PENCALONAN THOMAS CETUS KONTROVERSI

Kemelut berkaitan pelantikan Peguam Negara yang baharu bermula apabila penyandang jawatan itu Tan Sri Mohamed Apandi Ali diarahkan bercuti tanpa rekod selama 30 hari sejak 15 Mei lepas.

Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamed telah mencalonkan nama peguam kanan Tommy Thomas sebagai calon tunggal bagi menggantikan Mohamed Apandi, dan cadangan itu kini menunggu perkenan Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhamad V.

Menurut Aziz, Yang Di-Pertuan Agong boleh mendapatkan pandangan dan memberi pandangan baginda tentang calon yang dicadangkan namun pelantikan itu hendaklah di atas nasihat Perdana Menteri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Aziz, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Perak DUN Tebing Tinggi berpendapat pelantikan seseorang Peguam Negara sebaiknya datang daripada kalangan Ahli Parlimen supaya beliau memahami setiap hala tuju dan rasional keputusan yang diambil kerajaan.

Aziz turut menyebut beberapa nama dalam kalangan Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang mempunyai pengalaman dalam bidang perundangan dan layak dicalonkan untuk jawatan itu, seperti Ahli Parlimen Sungai Buluh R.Sivarasa, Mohamed Hanipa Maidin (Sepang) dan Ngeh Koo Ham (Beruas).

SEGERAKAN PELANTIKAN

Sementara itu, Majlis Peguam Malaysia dalam satu kenyataan, menyatakan kebimbangan mengenai isu berkenaan dan menegaskan bahawa adalah penting untuk melantik Peguam Negara dengan segera, tanpa menangguhkannya lagi.

"Sebagai raja berperlembagaan, Yang Di-Pertuan Agong mempunyai tanggungjawab perlembagaan untuk mematuhi Perlembagaan Persekutuan, yang jelas menyatakan bahawa Baginda perlu bertindak atas nasihat Perdana Menteri.

"Oleh itu, Yang Di-Pertuan Agong mesti melantik individu berkenaan sebagai Peguam Negara yang baharu, sepertimana nasihat Perdana Menteri, dan menamatkan kebuntuan ini tanpa menangguhkannya lagi," kata Presidennya George Varughese.

Beliau menegaskan bahawa pelantikan Peguam Negara yang baharu tidak boleh disekat oleh pandangan luar yang mengambil kira sebarang kriteria tanpa dasar perlembagaan, berdasarkan pertimbangan yang tidak relevan, atau yang boleh dianggap arbitrari atau diskriminasi.

PEGUAM NEGARA HARUS BEBAS

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) pula berpandangan Peguam Negara yang akan dilantik sepatutnya tidak pernah bersama atau membela mana-mana menteri selain mempunyai pengetahuan dalam Undang-Undang Islam.

Presidennya, Musa Awang berkata Peguam Negara juga seharusnya bebas, tiada kontroversi dan bersih daripada rasuah atau salah guna kuasa.

Menurutnya kelayakan Tommy Thomas dipersoalkan bukan atas sebab beliau seorang bukan Melayu-Islam kerana sebelum ini kerajaan dengan perkenaan Yang Di-Pertuan Agong pernah melantik peguam negara bukan Melayu-Islam seperti Cecil M.Sheridan (1959-1963) dan Athi Nahappan (1970-1974).

Kredibiliti dan kebebasan Thomas dipertikai kerana beliau adalah peguam yang mewakili Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

HORMAT MAJLIS RAJA-RAJA

Sementara itu, Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr. Shamrahayu Abd Aziz berkata semua pihak perlu menghormati pandangan Majlis Raja-Raja yang akan mengadakan perbincangan khas mengenai pelantikan peguam negara esok.

Beliau mengharapkan agar raja-raja tidak diheret dalam situasi yang amat sukar untuk membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat dan negara.

"Kontroversi yang berlaku perlu ditangani dengan penuh berhemah dan berhikmah agar ia tidak menyebabkan berlakunya krisis perlembagaan yang serius," katanya.

BERNAMA


Hormat Agong sebagai ketua negara


Musa Awang
03 Jun 2018 6:45 PM
Utusan Malaysia




KUALA LUMPUR 3 Jun - Semua pihak perlu menghormati kedudukan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sebagai ketua negara dan tidak menimbulkan spekulasi berhubung isu pelantikan Peguam Negara.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, hal ini ini kerana Yang di-Pertuan Agong mempunyai kebijaksanaan dan amanah untuk menilai cadangan nama Tommy Thomas yang dikemukakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk dilantik menjadi Peguan Negara.

"Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat Perdana Menteri untuk melantik individu yang berkelayakan sebagai hakim Mahkamah Persekutuan untuk menjadi Peguam Negara.

"Nasihat itu bermaksud memberikan pandangan yang baik untuk kepentingan seluruh masyarakat dalam negara dan ia bukannya arahan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Bincang secara tertutup isu Peguam Negara

Bincang secara tertutup isu Peguam Negara
Sinar HARIAN 3 JUN 2018

SHAH ALAM - Isu pelantikan Peguam Negara perlu berlaku secara tertutup, penuh beradab dan berhemah tanpa sebarang pendedahan kepada media.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, pendedahan tersebut akan menimbulkan spekulasi dan persepsi negatif dalam proses pemilihan tersebut.

 "Ia juga sedikit sebanyak merendahkan institusi raja dan memaparkan sikap tidak profesional kerajaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, isu membabitkan pelantikan Peguam Negara kecoh selepas sebuah portal berita melaporkan cadangan kerajaan mahu melantik peguam kanan yang juga pakar perlembagaan, Tommy Thomas masih belum mendapat maklum balas daripada pihak istana.

Sementara itu, Musa turut menegaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dalam pelantikan Peguam Negara disebut dalam Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, bertindak atas nasihat Perdana Menteri perlu melantik seorang memenuhi kelayakan sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, untuk menjadi Peguam Negara.

"Dalam mengikut nasihat Perdana Menteri, adakah Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai pilihan atau budi bicara baginda? Saya berpandangan Yang di-Pertuan Agong dalam bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri, perlu melihat kedudukan baginda sebagai ketua negara.

"Nasihat bermaksud memberikan pandangan yang baik sifatnya, untuk kepentingan seluruh masyarakat dalam negara. Nasihat bukan suatu arahan, kerana dalam kedudukan Perdana Menteri dan Kabinet yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, bagaimana mereka hendak mengarahkan seorang ketua negara?," soalnya.  

Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong berada pada kedudukan lebih tinggi akan menilai nasihat tersebut berdasarkan kebijaksanaan, amanah dan sumpah baginda untuk mempertahankan agama Islam pada setiap masa.







Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...