SHAH ALAM – Serbuan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke Pejabat Bible Society of Malaysia di Petaling Jaya kelmarin tidak menyalahi undang-undang.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, tidak menjadi persoalan daripada sudut undang-undang sama ada premis itu milik bukan Islam atau orang Islam atau tidak dapat dipastikan milik siapa kerana apa yang penting kesalahan disyaki berlaku dalam premis tersebut.

Musa berkata, Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor 1988 membenarkan menyiasat dan menangkap tanpa waran terhadap mana-mana orang yang disyaki melanggar mana-mana peruntukan dalam Enakmen Kawalan tersebut diberikan kepada pegawai bertauliah.

Menurutnya, ia bererti pegawai awam diberikan tauliah oleh pihak berkuasa kerajaan negeri secara bertulis untuk menjalankan kuasa-kuasa di bawah enakmen tersebut.

“Dalam isu ini, semasa proses siasatan di premis berkenaan, bukan sahaja terdiri daripada Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) Jais tetapi juga pegawai polis. Jika pegawai-pegawai itu adalah terdiri daripada pegawai awam yang diberikan tauliah oleh pihak berkuasa kerajaan negeri maka proses tersebut tidak salah dari sudut undang-undang.

“Sekalipun tiada pegawai bertauliah hadir sekali, berdasarkan maklumat yang diterima yang mana PPA mempunyai sebab untuk mengesyaki perlakuan sesuatu kesalahan boleh tangkap berlaku dalam sesuatu premis, berdasarkan Seksyen 57 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Selangor 2003, PPA diberikan kuasa untuk pergi ke premis tersebut untuk menyiasat serta mengambil apa-apa langkah perlu,” katanya melalui kenyataan akhbar, semalam.

Musa berkata, Seksyen 11 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 juga memberikan kuasa kepada PPA untuk menggeledah mana-mana premis yang mana orang yang disyaki melakukan kesalahan itu berada, dengan syarat orang yang tinggal atau berada di tempat itu memberikan kebenaran atau kerjasama untuk PPA masuk menjalankan penggeledahan.

Menurutnya, Seksyen 15 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 juga memberikan kuasa kepada PPA untuk memeriksa pesalah dan menyita segala barang bukti yang dijumpai.

“Dalam kes ini, orang yang berada dalam premis tersebut sendiri memberi kebenaran untuk PPA Jais masuk membuat siasatan.

“Jadi, pada pandangan saya, tiada unsur ketidakpatuhan kepada peruntukan undang-undang dalam kes ini. Cuma pihak-pihak tertentu cuba memperbesarkan isu ini, cuba memperlekeh tindakan pihak berkuasa, cuba memberikan imej buruk kepada institusi penguatkuasaan agama Islam (Islam bashing), dan cuba menjadi perselisihan antara penganut Katolik dan Islam,” katanya.