Thursday, July 30, 2009

Nikah Luar Kariah Sukarkan Proses Daftar Nikah, Cerai

(Jawapan ini disiarkan dalam Hak Muslim Berita Harian 30 Julai 2009)

Assalamualaikum

Saya berkahwin di Thailand yang tidak didaftarkan di sini. Selepas beberapa bulan, saya telah bercerai dengan suami. Apakah status saya kalau mengikut prosedur undang-undang Syariah Malaysia? Adakah saya akan mengalami kesukaran jikalau saya hendak berkahwin lagi kelak? Untuk pengetahuan, segala dokumen (surat nikah) telah dimusnahkan demi menjaga keselamatan diri saya daripada diganggu suami. Harap dapat memberikan penjelasan.
Ingin Tahu.

Perkahwinan adalah satu sunnah Rasulullah s.a.w yang amat dituntut terhadap umat Islam. Apa yang penting sesuatu perkahwinan itu hendaklah mengikuti kehendak Hukum Syarak dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak pemerintah bagi mengelakkan masalah yang tidak diingini. Matlamat perkahwinan itu sendiri adalah untuk mencapai kebahgiaan hidup berkeluarga yang berkekalan dan mendapat rahmat serta keredhaan Allah mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Hukum Syarak. Hikmah perkahwinan juga untuk memelihara diri daripada melakukan perkara yang haram, memelihara kesucian keturunan, menghubungkan silaturrahim, membentu keluarga dan menyusun masyarakat. Namun jika dilihat kepada kriteria nikah sindiket itu, kebanyakannya tidak memenuhi kehendak dan matlamat sesuatu perkahwinan diharuskan dalam Islam.

Nikah sindiket ialah sesuatu perkahwinan yang dilaksanakan tanpa mendapat kebenaran dari pendaftar Perkahwinan atau pihak berkuasa samada dijalankan di dalam atau di luar Negara atau sesuatu perkahwinan yang berlawanan dengan Hukum Syarak. Adalah menjadi peraturan yang berkuatkuasa, apabila seseorang lelaki atau perempuan hendak berkahwin, dia perlu memohon kebenaran daripada Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam di daerah tempat beliau bermastautin. Ini adalah ketetapan berdasarkan peruntukan Seksyen 16 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam yang berbunyi:
(1) “Apabila dikehendaki untuk mengakadnikahkan sesuatu perkahwinan dalam Negeri tiap-tiap satu pihak kepada perkahwinan yang dicadangkan itu hendaklah memohon dalam borang yang ditetapkan untuk kebenaran berkahwin kepada Pendaftar bagi kariah masjid di mana pihak perempuan itu bermastautin.”
(2) jika pihak lelaki bermastautin di kariah masjid yang berlainan daripada kariah masjid pihak perempuan, atau bermastautindi mana-mana Negeri, permohonannya hendaklah mengandungi atau disertai dengan kenyataan Pendaftar bagi kariah masjidnya atau pihak berkuasa yang hak bagi Negeri itu, mengikut mana yang berkenaan, yang bermaksud bahawa sejauh yang dapat dipastikan perkara-perkara yang disebut dalam permohonan itu adalah benar. “

Dalam kes-kes tertentu iaitu jika bakal pasangan itu di bawah umur atau jika perempuan itu adalah janda berhias atau jika perempuan itu tidak mempunyai wali nasab, maka dia perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Hakim Syarie tempat dia bermastautin, untuk dia dinikahkan secara wali Hakim. Ini diperuntukkan dalam Seksyen 18 Enakmen yang sama. Manakala bagi lelaki yang ingin berkahwin lebih dari seorang isteri pada satu masa (poligami), maka lelaki itu juga perlu memohon kebenaran bertulis daripada Hakim Syarie tempat di bermastautin, iaitu berdasarkan peruntukan Seksyen 23 Enakmen yang sama.

Menurut Seksyen 20 Enakmen, sesuatu perkahwinan tidak boleh diakadnikahkan kecuali dalam kariah masjid di mana pihak perempuan bermastautin, kecuali dalam kes-kes tertentu setelah mendapat kebenaran dari Hakim Syarie untuk dia dinikahkan di tempat lain. Manakala menurut Seksyen 24 pula, perkahwinan boleh diakadnikahkan oleh Pendaftar yang dilantik oleh DYMM Sultan di Kedutaan, Suruhanjaya tinggi atau Pejabat Konsul Malaysia di mana-mana Negara tertentu yang tidak membantah pernikahan tersebut dijalankan di sana.

Jika seseorang lelaki atau perempuan bernikah berlawanan dengan undang-undang yang dinyatakan di atas, maka ia adalah sebahagian daripada nikah sindiket, walau apa pun cara dan gayanya. Sesuatu perkahwinan itu hanya akan menjadi sah sekiranya memenuhi semua syarat dan rukun-rukun yang ditetapkan oleh Hukum Syarak.
Dalam masalah puan ini, tidak dapat dipastikan samada nikah itu sah atau tidak menurut Hukum Syarak. Pernikahan puan perlu dipanjangkan ke Mahkamah Syariah untuk pengesahan samada nikah itu sah atau tidak menurut Hukum Syarak. Yang pasti dari sudut undang-undang nikah tersebut adalah tak sah kerana dijalankan berlawanan dengan peruntukan undang-undang dan peraturan yang dinyatakan di atas.
Menurut Seksyen 11 Enakmen yang sama, sesuatu perkahwinan yang bersalahan dengan Enakmen tidak boleh didaftarkan, melainkan perkahwinan itu telah disahkan oleh Hakim Syarie bahawa ia sah menurut Hukum Syarak dan telah diperintahkan oleh Hakim tersebut untuk ia didaftarkan. Berdasarkan Seksyen ini, jelas bahawa hanya Hakim Syarie adalah pihak yang diberi kuasa dan berotoriti untuk mengesahkan nikah itu samada sah atau tidak dan hanya Hakim Syarie yang berkuasa mengarahkan nikah itu didaftarkan atau tidak. Dan jika pernikahan puan melibatkan pernikahan poligami, maka ia tertakluk kepada Seksyen 23 (2) yang mana hanya Mahkamah Syariah yang berkuasa menentukan nikah tersebut sah atau tidak dan berkuasa memerintahkan pernikahan itu didaftarkan, tertakluk kepada penalty di bawah Seksyen 124 yang bakal dikenakan kepada suami yang berpoligami tersebut.

Status pernikahan puan di sisi undang-undang Syariah adalah tidak berdaftar dan tidak mempunyai rekod bahawa anda pernah berkahwin, sehinggalah pernikahan tersebut disahkan dan didaftarkan. Status pernikahan puan menurut Hukum Syarak juga sukar untuk dipastikan, samada ia sah atau tidak. Status perceraian puan juga adalah tidak berdaftar dan tidak mempunyai rekod menurut undang-undang Malaysia. Begitu juga status perceraian itu menurut Hukum Syarak, kerana perlu dipastikan dahulu samada nikah puan dan suami sah, barulah cerai itu boleh jadi sah. Bagaimanakah puan katakana telah bercerai jika nikah pun belum dipastikan sah atau tidak?
Saya nasihatkan puan dapatkan pandangan dan nasihat Peguam Syarie bertauliah secara langsung, supaya hidup puan tidak terus dalam dilemma yang tidak berkesudahan. Wallahu’alam.

- Jawapan disediakan oleh Tuan Musa Awang, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sila layari http://www. peguamsyarie.org.

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...