Sunday, December 22, 2013

Malaysia perlu laksana hudud

Malaysia perlu laksana hudud
Muhamad Adzhar Tajuddin, Nina Farzuin Md Sharom, Juruvideo: Yusrizal Yusuf, Jurufoto Sharifudin
MUSA AWANG 

ISU
 hukum hudud bukanlah perkara baru. Ia sudah mendapat liputan meluas di negara ini. Pelbagai reaksi dan pandangan telah diberikan pelbagai pihak mengenainya sehingga mengundang pelbagai kontroversi. Meskipun begitu, bagaimana dan bila hudud mampu dikuatkuasakan di negara ini masih terus menjadi teka-teki pelbagai pihak.

Wartawan Muhamad Adzhar Tajuddin dan Nina Farzuin Md Sharom bersama juruvideo Yusrizal Yusuf Ahmad serta jurufoto Sharifudin Abdul Rahim menemu ramah PRESIDEN PERSATUAN PEGUAM SYARIE MALAYSIA (PGSM), MUSA AWANG bagi mendapatkan penjelasan yang lebih tepat mengenai perkara ini.

Apakah hukum hudud itu yang sebenarnya dan mengapa di Malaysia masih sukar untuk dilaksanakan?

Musa Awang:
 Hukum hudud ertinya hukuman yang telah ditetapkan ALLAH dalam al-Quran dan hadis. Manusia dilarang mengubah, menokok atau mengurangkannya. Hukum hudud terdiri daripada pelbagai jenis kesalahan. Dalam perbahasan ulama, hudud dikatakan mempunyai enam atau tujuh kesalahan. Antaranya zina, qazaf, minum arak, merompak dan murtad. Kesalahan-kesalah yang disebutkan itu bukan sahaja telah termaktub di dalam al-Quran, malah hukumannya juga telah ditetapkan ALLAH. Sebagai contoh, sesiapa yang mencuri, baik lelaki atau perempuan, hukumnya ialah potong tangan.

Berbalik pada sejarah, pada tahun 1511, Kesultanan Melayu Melaka difahamkan sudah pun melaksanakan hukum hudud. Bagaimanapun, kedatangan British pada 1874 menyebabkan hukum itu terhakis. Memburukkan lagi keadaan, fungsi mahkamah syariah sudah dikecilkan sebagaimana yang kita lihat pada hari ini. Mahkamah syariah pada waktu itu diletakkan di bawah mahkamah sivil dan sebarang keputusan mahkamah syariah boleh dipinda oleh mahkamah sivil.

Selepas tahun 1988, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan 121 (1A)  telah mengasingkan kedua-dua mahkamah itu, namun bidang kuasa mahkamah syariah masih lagi rendah. Sebagai contoh, mahkamah syariah hanya boleh menjatuhkan hukuman dalam kadar yang agak ringan di mana pesalah hanya boleh dijatuhkan hukuman maksimum penjara 3 tahun, denda tidak melebih RM5,000 dan sebat tidak lebih  daripada enam kali. Secara total, itu sahaja kuasa yang tertakluk di bawah mahkamah seperti mana yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan. Maka sukar melaksanakan hudud sekiranya bidang kuasa mahkamah syariah masih lagi kecil dan rendah.
Mengapa Brunei mampu laksanakan? Adakah kerana jumlah penduduk di negara itu lebih kecil dan tidak berbilang kaum seperti di Malaysia?

Sistem di Brunei berbeza dengan Malaysia di mana kuasa tertinggi terletak pada sultan sendiri dan negara tersebut mengamalkan pemerintahan secara monarki. Oleh yang demikian, sultan berhak menitahkan sebarang arahan kepada kerajaannya sama ada mahu dilaksanakan undang-undang Islam atau sebaliknya. Perkara ini tidak berlaku di negara kita, Walaupun ada di kalangan sultan Melayu yang menitahkan hukum hudud untuk dijalankan, namun ia tidak mengikat pihak Parlimen untuk melaksanakannya.

Jika Malaysia mahu laksanakan apakah perkara utama yang mesti dibuat?

MUSA AWANG:
 Perkara pokok yang perlu dibuat adalah meminda Perlembagaan Persekutuan dengan kelulusan 2/3 ahli Parlimen daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Keduanya, kerajaan perlu meminda akta bidang kuasa mahkamah syariah 1984 yang membataskan bidang kuasa mahkamah syariah selama ini. Kedua-dua perkara tersebut merupakan batasan atau kekangan yang menjadikan Malaysia tidak boleh melaksanakan hukum hudud.

Untuk melaksanakan hudud memerlukan kelulusan 2/3 ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Adakah 2/3 kelulusan itu datangnya dari ahli Parlimen beragama Islam sahaja?

MUSA AWANG:
 Tidak, 2/3 kelulusan yang dimaksudkan turut melibat ahli-ahli Parlimen yang bukan beragama Islam juga. Walaupun hukum hudud hanya tertakluk kepada individu beragama Islam, namun persetujuan daripada ahli Parlimen bukan Islam juga diwajibkan.

Mengapa Kelantan masih tidak mampu laksanakannya? Adakah Parlimen penting dalam proses untuk laksana hudud?

MUSA AWANG:
 Kelantan tidak boleh melaksanakan hudud disebabkan keterbatasan akta bidang kuasa mahkamah Syariah 1984 untuk menjatuhkan hukuman seperti yang dijelaskan dalam hukum hudud. Kuasa yang diberikan oleh Parlimen kepada kerajaan negeri merujuk jadual 9 senarai 2, khusus melibat jenayah-jenayah bersifat individual sahaja.

Selain itu, sebarang undang-undang yang hendak dibuat dan dijalankan oleh kerajaan negeri mesti selari dengan perlembagaan. Hal ini bermaksud, sebarang hukuman yang hendak dibuat oleh kerajaan negeri mesti tidak boleh mendahului daripada segala yang termaktub di dalam perlembagaan. Perkara tersebut yang menyebabkan sehingga ke hari ini Kelantan tidak dapat laksanakan undang-undang Islam itu.

Pada pendapat tuan wajarkan Malaysia laksana hudud? adakah ia sesuai di negara majmuk seperti Malaysia ini?

MUSA AWANG:
 Pada pendapat saya kita kena tengok keadaan semasa. Di sini, kita bukan mempersoalkan hukum hudud itu tidak boleh dilaksanakan memandangkan perkara itu sememangnya sudah termaktub dalam al-Quran. Cepat atau lambat kita tetap wajib menjalankan. Cuma yang kita mesti lihat adalah berkenaan masa, sama ada sesuai atau pun tidak, malah pihak terlibat perlu juga melihat kekangan-kekangan yang mampu menidakkan hukum hudud itu dilaksanakan. 

Malaysia mempunyai dua sistem iaitu mahkamah sivil dan syariah. Jadi, sekiranya kita hendak melaksanakan hudud di mahkamah syariah misalnya, ia juga secara tidak langsung akan melibatkan beberapa peruntukan undang-undang yang sekarang tertakluk di bawah mahkamah sivil. Sebagai contoh, kesalahan mencuri; perkara tersebut sudah ada di bawah kanun keseksaan. Di bawah kanun keseksaan pencuri mungkin dipenjarakan tetapi sekiranya mengikut hudud, pesalah wajib dikenakan hukuman potong tangan. Perkara sama turut berlaku terhadap kesalahan zina di mana ia tertakluk pada enakmen jenayah syariah. Di bawah kesalahan itu, pesalah hanya boleh dipenjarakan tak melebihi 3 tahun atau didenda lebih dari RM5,000 atau kedua-duanya sekali. Secara total, kesemua kesalahan yang boleh didakwa di bawah hukuman hudud sama sekali bercanggah dengan kuasa hukuman yang boleh dijatuhkan oleh mahkamah syariah.

Berbalik kepada hukuman hudud, saya berasa sudah ada kewajaran untuk pihak terbabit melaksanakan hukuman itu. Hal ini berdasarkan pada statistik kesalahan atau jenayah yang makin ketara di negara ini.
Namun, apabila kita sudah bersedia melaksanakannya nanti, pastinya akan terhasil satu perubahan yang besar dan ketara. Antara yang boleh dilihat jelas adalah pelbagai kesalahan di bawah mahkamah sivil akan dipindahkan ke mahkamah syariah.

Pelaksanaan hudud bukan melibatkan soal majmuk atau tidak sesebuah masyarakat itu (jika nak dilaksanakan hudud). Hal ini kerana hudud hanya melibatkan orang Islam. Orang bukan Islam mempunyai pilihan sama ada mahu memilih undang-undang sivil yang sedia ada atau hukum hudud.  Jadi, soal majmuk bukan merupakan kekangan atau masalah yang membuatkan Malaysia sehingga ke hari ini tidak mampu melaksanakan hudud.

Apakah langkah yang perlu diambil supaya hudud dapat diterima seluruh masyarakat di negara ini?

MUSA AWANG:
 Pada pendapat saya, ini sebenarnya adalah tugas orang-orang dakwah atau pun pihak jabatan agama serta kerajaan. Pihak-pihak ini perlu memberi penjelasan lebih terperinci mengenai apa itu hudud dan bagaimana ia dilaksanakan.

Sebenarnya hukuman hudud itu ada tahapnya dan bergantung kepada kesalahan yang dilakukan. Contohnya seperti berzina, secara umumnya, masyarakat hanya tahu hukuman bagi kesalahan itu adalah sebat 100 kali bagi yang belum berkahwin dan rejam sampai mati bagi yang telah berkahwin. Tapi sebenarnya, pembuktian zina itu terlalu ketat sebab kes-kes zaman Nabi pun yang pernah dihukum, semuanya berdasarkan pengakuan orang yang melakukan kesalahan dan bukannya berdasarkan keterangan saksi.

Maksudnya, mahu membuktikan zina itu perkara yang amat sukar sekali. Berkemungkinan pada zaman ini hukuman hudud untuk kesalahan berzina ini tidak akan berlaku kerana sukar untuk dibuktikan. Jadi jika perkara ini dijelaskan kepada masyarakat, mereka tidak akan risau dan menentang perlaksanaan hukum hudud ini.

Selain mendidik dan memberi penjelasan kepada masyarakat, persediaan lain yang perlu dibuat sebelum laksana hudud?

MUSA AWANG:
 Dari apa yang saya lihat, sistem dan mahkamah Syariah itu sendiri perlu diperkasakan terlebih dahulu. Dari segi kakitangan dan infrastruktur, kalau kita lihat di Selangor, mungkin mahkamah yang ada nampak hebat. Tapi bagaimana dengan negeri lain?

Adakah keadaannya sama seperti di Selangor?

MUSA AWANG:
 Keduanya, dari segi badan penguatkuasaan seperti penguatkuasaan agama, pendakwa syarie, perkara ini perlu diambil kira kerana merekalah yang akan menguatkuasakan undang-undang hudud jika ia dilaksanakan kelak.

Sebenarnya untuk laksanakan hudud banyak perkara yang perlu diteliti. Jika ia tidak dilakukan, saya khuatir, ia akan ‘back fire’ (kena batang hidung) dan seterusnya hingga menjejaskan nama Islam sendiri.

Apakah fungsi persatuan ini? Bila ditubuhkan?

MUSA AWANG:
 PGSM ditubuhkan pada 2001. Fungsi PGSM antaranya adalah untuk menyatupadukan peguam-peguam syarie di seluruh negara. Selain itu, kewujudan PGSM untuk menjaga kebajikan peguam-peguam syarie di mana sebagai pengantaraan bagi institusi-institusi perundangan dan pentadbiran Islam dan sebagai saluran menyampaikan idea, cadangan, bantuan dan juga sokongan kepada semua pihak.

PGSM juga menjalankan kerjasama dengan badan-badan kehakiman, jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain berfungsi memartabatkan institusi perundangan Syariah bagi mencadangkan peruntukan-peruntukan sesuai dan undang-undang lebih baik.

Bilangan ahli dan bagaimana untuk mereka yang mahu sertai daftar? Dan syarat keahliannya?

MUSA AWANG:
 Buat masa ini, ahli yang telah berdaftar dalam persatuan ini ada lebih kurang 550 orang daripada seluruh negara. Bagi mereka yang mahu sertai persatuan ini, mereka perlu memiliki lulusan syariah atau sijil peguam syarie dari mana-mana negeri.
Di sini saya mahu ambil kesempatan menyeru peguam-peguam syarie yang masih belum menjadi ahli supaya berdaftar dengan PGSM kerana banyak manfaat yang boleh diperoleh selain mewujudkan kesatuan di antara kita duduk di bawah satu payung.

Adakah wajar persatuan seperti ini, diperbanyakkan di masa akan datang?

MUSA AWANG:
 Bagi saya, persatuan syarie seperti PGSM ini tidak perlu banyak. Satu sudah cukup sebab kalau banyak akan ada perbezaan. Seharusnya, semua peguam syarie perlu duduk di bawah satu bumbung. Sekiranya berlaku masalah, kita boleh duduk semeja untuk berbincang dan bertukar pendapat untuk selesaikannya.

Apakah bantuan guaman yang diberikan? Bagaimana kepada mereka yang tidak mampu?

MUSA AWANG:
 PGSM tidak hanya memberi kemudahan kepada para peguam, malah menyediakan perkhidmatan untuk orang awam, terutama mereka yang tidak mampu melantik peguam untuk selesaikan masalah yang dihadapi. Sebenarnya, kita ada wujudkan satu pasukan sukarelawan yang terdiri daripada 50 peguam syarie.

Selain itu, PGSM juga dalam perancangan mewujudkan Syariah Hotline.

Bagaimana untuk hubungi persatuan ini?

MUSA AWANG:
 
Kami boleh dihubungi di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, No 71, Jalan Sri Hartamas 1, Taman Sri Hartamas, 50676 Kuala Lumpur atau terus menghubungi talian 03-60257000.


Wednesday, October 2, 2013

Hak anak tentukan penjaga tidak mutlak

Peguam Syarie Menulis, Berita Harian
02/10/2013

Oleh Musa Awang
sekretariatpgsm@yahoo.com


Menurut kamus al-Mu’tamad, umur mumaiyiz dapat didefinisikan sebagai satu tempoh yang mana manusia dapat mengetahui manfaat dan mudarat. Imam Syafie mengatakan umur tamyiz ialah tujuh atau lapan tahun.

Namun, tempoh hadanah adalah apabila anak itu mampu untuk membezakan baik dan buruk, tidaklah semata-mata melihat kepada faktor umur.

Menurut Abd Karim Zaidan, dalam kitabnya Al-Mufassal Fi Ahkam Al-Mar’ah Wal Bait Al-Muslim Fi al-Syari’ah Islamiyyah (1993), apabila anak itu sudah cerdik untuk menilai baik dan buruk sesuatu perkara, maka bolehlah anak itu membuat pilihan sama ada untuk tinggal bersama ibu atau bapa.

Hak hadanah bagi kanak-kanak

Hal ini selari Seksyen 84 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan, hak hadanah bagi menjaga seseorang kanak-kanak tamat setelah kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun untuk kanak-kanak lelaki dan sembilan tahun untuk perempuan.

Jika kanak-kanak itu telah mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz), maka kanak-kanak berhak memilih untuk tinggal sama ada dengan ibu atau bapanya, melainkan jika mahkamah memerintahkan selainnya.

Seksyen 86 (2) (b) akta yang sama menetapkan, untuk memutuskan siapa yang layak, pertimbangan utama ialah kebajikan kanak-kanak yang memberi perhatian kepada kemahuan kanak-kanak jika dia telah meningkat umur dapat menyatakan pendapatnya sendiri.

Berdasarkan Seksyen 84(1) akta sama, kanak-kanak perempuan yang telah mencapai umur sembilan tahun dianggap mumaiyiz dan anak itu bolehlah membuat pilihan untuk tinggal bersama ibu atau ayahnya.

Sabda Rasulullah SAW: “Hendaklah kamu berdua membuang undi mengenai anak kamu, maka berkata suami perempuan itu: Siapakah yang boleh menentang saya berkenaan anak saya (bererti suami itu tidak bersetuju cara membuang undi). Lalu Rasulullah SAW menyuruh anak itu memilih antara ibu atau bapa dengan sabdanya: Ini bapa engkau dan ini ibu engkau, pilihlah siapa antara kedua-duanya yang engkau suka tinggal bersama. Maka anak itu pun memilih ibunya dengan memegang tangan ibunya itu. Lalu perempuan itu pun membawa anaknya itu pulang bersama”. (Riwayat Abu Daud, An-Nasa’i dan Tirmizi)

Pilihan anak tidak mutlak

Walau bagaimanapun, seksyen 84 (2) akta sama menyatakan pilihan yang dibuat oleh anak tidaklah mutlak kerana mahkamah boleh memerintahkan keputusan berlawanan dengan pilihan anak.

Walaupun seseorang itu telah melepasi umur mumaiyiz, tetapi tidak bermakna pilihannya itu bersifat mutlak dan wajib diikuti. Kesan daripada pilihan anak itu perlu juga diambil kira kerana dikhuatiri mereka tersilap dalam membuat keputusan.

Berkata Ibn Uqail dalam kitabnya Kassyaf al-Qina’ ‘an Matn al-Qina’ (1982), “Sesungguhnya kita menyerahkan anak kepada bapa atau ibunya adalah bertujuan untuk menjaga kemaslahatan anak dan menyelamatkan mereka daripada keburukan. Jika mereka membenci satu pihak kerana mengajarnya adab, maka pilihannya itu tidak boleh diikuti.”

Ibn Taimiyyah berkata: “Aku dengar guruku berkata: Telah berselisih faham dua orang ibu bapa di hadapan hakim mengenai siapa yang akan memelihara anaknya. Kemudian hakim menyuruh anak itu supaya memilih antara ibu atau bapanya. Lalu anak itu memilih bapanya. Berkata ibunya kepada hakim: Cubalah tuan hakim tanya kepada anak itu apa sebabnya anak itu memilih bapanya? Lalu hakim bertanya kepada anak itu. Anak itu menjawab: Ibuku menghantarku ke tempat mengaji al-Quran tiap-tiap hari dan guru-guru acap kali memukulku, manakala bapaku membiarkanku bermain-main bersama kawan-kawan, sebab itu aku suka tinggal dengan bapaku. Mendengar demikian, hakim memutuskan untuk menyerahkan anak itu kepada ibunya dengan menyatakan: Engkau lebih berhak memelihara anak itu.”

Tuntut hak, tetapi tak layak jaga anak

Hari ini, di Mahkamah Syariah ramai ibu atau bapa yang menuntut hak jagaan anak walaupun mereka tahu sebenarnya mereka tidak layak berbuat demikian. Ada yang berkerja sepanjang masa, ada meninggalkan solat dan ajaran fardu lain, tetapi tetap berkeras untuk menuntut hak jagaan anak.

Ada juga yang berkeras menuntut hak jagaan, tetapi anak dijaga oleh nenek, datuk atau pengasuh. Mereka berbuat demikian bukan disebabkan kelayakan atau suci hati untuk menjaga anak, tetapi atas faktor lain seperti dendam akibat perceraian, tanpa memikirkan kesan perbuatan itu kepada anak.

Sesungguhnya, hadanah adalah suatu tanggungjawab yang wajib dilaksanakan. Kepentingannya amatlah besar kerana asas sesebuah masyarakat yang tinggi budi pekertinya bergantung kepada sebuah keluarga yang soleh.

Oleh itu, penting bagi setiap ibu bapa atau penjaga untuk memastikan mereka berkelayakan bagi melindungi, menjaga, mendidik dan membentuk anak-anak di bawah jagaan mereka. Dengan pendidikan yang baik, akan terpeliharalah sesebuah keluarga daripada kemungkaran.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie (PGSM) dan boleh dihubungi di alamat emel sekretariatpgsm@yahoo.com.

Wednesday, September 11, 2013

Kahwin lain tak halang jaga anak

Peguam Syarie Menulis
Berita Harian, 11/09/2013


Suatu perkara yang ramai sedia maklum bahawa ibu paling berhak untuk mendapat hak jagaan atau hadanah anak.

Pada dasarnya, Islam menetapkan hak hadanah kepada ibu kecuali jika ada sebab-sebab yang boleh menggugurkan hak dan tanggungjawab itu. Antara sebab gugurnya hak jagaan kepada ibu jika dia berkahwin dengan lelaki lain.

Ini disebut dalam hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Seorang perempuan berkata, wahai Rasulullah, sesungguhnya anak yang berada dalam dukungan ini, sayalah yang menyusukannya, tetapi sekarang bapanya menceraikan saya dan dia mahu mengambil anak ini daripada saya. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Kamu lebih berhak ke atas ini selagi kamu belum berkahwin.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud) 

Hadanah bertujuan memenuhi keperluan fizikal, mental dan emosi kanak-kanak supaya mereka dapat membesar dalam keadaan sejahtera dan penuh kasih sayang. Maka, tanggungjawab ini wajar diserahkan kepada ibu.

Ibu mampu beri kasih sayang
Ia sejajar seperti dinyatakan Imam Taqiyuddin dalam Kitab Kifayatul Akhyar fi Hal Ghayah al-Ikhtisar, bahawa ibu mampu memberikan kasih sayang dan kelembutan yang lebih kepada kanak-kanak. Ibu adalah orang lebih tepat untuk mendidik, lebih sabar dalam tugas mengurus kanak-kanak dan juga berinteraksi lebih dengan kanak-kanak.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat ke-13 menyatakan: “Maka (dengan jalan itu) kami kembalikan dia kepada ibunya, supaya tenang tenteram hatinya dan tidak berdukacita (disebabkan bercerai dengannya).”

Imam Khatib Syarbini menjelaskan bahawa ibu lebih layak mendapat jagaan anak kerana fitrah dan naluri ibu lebih kasih dan cenderung untuk mendidik serta lebih sabar dalam membesarkan anak-anak.

Dalam pertelingkahan antara Umar al-Khattab ra dan isterinya mengenai perebutan anak mereka, Saidina Abu Bakar ra berkata kepada Saidina Umar, “..baunya, kebaikannya dan kelembutannya (isteri itu) lebih baik untuknya (Asim) daripada engkau (Umar)”.

Selaras dengan kehendak agama, Seksyen 81(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan: “Tertakluk kepada Seksyen 82, ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.”

Perlu ditegaskan di sini bahawa ibu lebih berhak bagi menjaga dan mendidik anak terutama anak kecil berbanding bapa walaupun bapa itu menunjukkan sifat sempurna dalam menjaga anak, tetapi yang lebih sempurna ialah ibu.

Persoalan ibu kahwin semula
Persoalan yang selalu ditimbulkan, bagaimana jika selepas bercerai, ibu berkenaan berkahwin semula dengan seorang lelaki lain? Tanggapan kebanyakan orang, jika si ibu berkahwin lain, maka kelayakannya untuk menjaga anak akan gugur secara automatik.

Hakikatnya, tanggapan itu tidak berapa tepat ini kerana merujuk kepada Seksyen 83 (a) AUKI 1984 yang berbunyi: “Jika perempuan itu berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, jika penjagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu, tetapi haknya untuk penjagaan akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan.”

Perkataan ‘jika penjagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu’ adalah suatu yang berbentuk subjektif. Ini menunjukkan hilangnya hak jagaan melalui perkahwinan kedua adalah tidak mutlak, kerana jika perkahwinan itu tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak, maka ibu masih lagi layak dan berhak dalam memperoleh hak jagaan.

Ini dapat dikukuhkan lagi dengan pandangan Imam al-Hasan al-Syaibani dan Ibn Hazm yang menyatakan hak penjagaan seorang ibu yang sudah berkahwin dengan seorang yang bukan mahram dengan kanak-kanak masih kekal.

Ini berdasarkan kepada dua autoriti. Pertama, dalam sebuah hadis meriwayatkan bahawa Anas ibn Malik tetap kekal dalam penjagaan ibunya walaupun ibunya berkahwin dengan lelaki lain. Kedua, semasa Ummu Salamah berkahwin dengan Rasulullah SAW, beliau tetap diberi hak untuk memelihara anaknya hasil perkahwinannya dengan suami yang pertama. Ini kerana Rasulullah SAW reda dengan hal ini dan kebajikan anaknya tidak akan terjejas.

Oleh itu, jika perkahwinan itu tidak akan menjejaskan kebajikan dan kemaslahatan anak itu, hak hadanah ibu itu kekal. Hak seorang ibu juga akan kekal sekiranya suami baru reda dan bersetuju supaya hadinah (isterinya) mengekalkan hak jagaannya. Terbuktilah bahawa kehilangan hak jagaan jika berkahwin lain adalah bukan satu kehilangan yang mutlak.

Seorang lelaki yang menuntut hak jagaan anak atas dakwaan bahawa bekas isterinya berkahwin lain perlu membuktikan kepada mahkamah yang akibat perkahwinan itu, bekas isterinya sudah tidak mampu untuk menjaga dan memelihara anak kandungnya itu.

Sebaliknya, si ibu boleh mematahkan dakwaan si bapa dengan menyatakan sememangnya dia bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu untuk menjaga dan mendidik anaknya dengan sebaik-baiknya, dan dengan adanya suami baru di sisi dapat membantu beliau bersama-sama menguruskan rumahtangga dan hal ehwal anak-anak.

Dalam isu hadanah, mahkamah akan melihat segala faktor secara menyeluruh, terutama kebajikan dan kemaslahatan anak, bukan melihat kepada kepentingan si ibu atau si bapa. Kebajikan anak adalah yang paling utama mengikut maqasid syariah bagi menjamin kehidupan masa depan yang lebih baik bagi anak itu.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Email : sekretariatpgsm@yahoo.com

Tuesday, August 27, 2013

Golongan beriman muliakan wanita

Tiada jurang bezakan hak golongan wanita dan lelaki dalam kehidupan

Peguam Syarie Menulis, Berita Harian
Rabu 28 Ogos 2013

MUSA AWANG

Penulis tertarik dengan ucapan YAB Perdana Menteri semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2013 pada Ahad lalu, yang memetik teks khutbah terakhir Nabi Muhammad SAW.

Khutbah terakhir Nabi SAW pada 9 Zulhijjah tahun ke 10 hijrah di Lembah Uranah, Gunung ‘Arafah berbunyi, antaranya berbunyi - “Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik! dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.”

Peranan wanita sebagai ‘tulang rusuk lelaki’ iaitu anggota yang paling rapat dengan hati dan jantung manusia, bermula sejak awal kewujudan manusia di atas muka bumi ini lagi. Hawa dijadikan oleh Allah s.w.t sebagai peneman kepada kesunyian Nabi Adam a.s di dalam syurga.

Sayyadatina Khadijah r.a pula mententeramkan dan menyelimutkan Rasulullah SAW sewaktu baginda dalam keadaan amat tertekan dan ketakutan selepas menerima wahyu Allah SWT yang pertama di gua Hira’.

Hormat-menghormati dalam keluarga bukan berlaku sebelah pihak sahaja, tetapi ia berjalan secara timbal-balik. Bukan saja isteri perlu menghormati suami, malah suami juga perlu menghormati isteri.

Bukan saja isteri perlu menunaikan hak suami, malah suami juga perlu menunaikan hak isteri dengan memberi nafkah dalam suasana kasih sayang, melayan isteri dengan baik dan berlemah lembut dengan mereka kerana isteri adalah teman serta pembantu yang setia.


Penghormatan terhadap wanita
Dalam Islam, penghormatan kepada wanita bukan sekadar tidak berlaku kasar atau tidak memukul sahaja, tetapi penghormatan terhadap status dan peranan wanita diangkat besar dan mulia lebih daripada itu.

Rasulullah SAW bersabda, “Tidak akan memuliakan perempuan-perempuan melainkan orang yang mulia, dan tidak menghina akan perempuan-perempuan melainkan orang yang hina.” (HR Ibnu ´Asakir)

Kasih dan rahmat Allah SWT kepada wanita sama tidak pernah dibezakan dengan kaum lelaki kerana kedua-duanya berasal dari penciptaan yang sama.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud : “Dialah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu, dan Ia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain...” - (Surah al-A’raf : 189).

Wanita diperintahkan solat lima waktu sama seperti lelaki. Wanita juga diperintahkan berpuasa Ramadhan, walaupun dalam keadaan tertentu wanita diberikan peringanan, namun ibadat yang ditinggalkan perlu diganti pada masa yang lain atau dengan cara yang lain.

Wanita juga diperintahkan mengerjakan haji dan berzakat, sama seperti lelaki. Tiada beza kadar zakat antara lelaki dan wanita. Masing-masing akan perolehi pahala yang sama apabila melakukan amal ibadat, dan akan menanggung dosa yang sama atas kesalahan yang dilakukan.

Hukuman tak beza jantina
Oleh sebab itu, dalam undang-undang jenayah Syariah, pesalah dihukum tanpa membezakan jantina. Penzina lelaki dan penzina wanita dihukum dengan hukuman yang sama sebagaimana firman Allah SWT Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat...” -(Surah al-Nuur : 2)

Pencuri wanita atau pencuri lelaki juga dikenakan hukuman yang sama. Firman Allah SWT - “Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah...” - (Al-Maaidah :38)

Islam memberikan kepada wanita hak untuk menuntut ilmu sepertimana lelaki, kerana menuntut ilmu adalah fardhu ke atas setiap individu, bukan berasaskan kepada gender atau jantina. Allah SWT akan mengangkat darjat dan kedudukan orang berilmu dalam masyarakat, tidak kiralah samada dia lelaki atau wanita.

Islam menghormati wanita Islam dengan cara memelihara kecantikan tubuh dan aurat wanita Islam daripada dipertontonkan kepada bukan mahram, jauh sekali untuk dijadikan bahan pertandingan.

Firman Allah SWT bermaksud : “Dan katakan kepada perempuan beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan jangan memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala dan jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh melainkan kepada suami atau bapa atau bapa mentua atau anak atau anak tiri atau saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara mereka yang perempuan atau perempuan Islam atau hamba atau orang gaji daripada lelaki yang sudah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti mengenai aurat perempuan dan jangan mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubat kamu sekalian kepada Allah, wahai orang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah An-Nur, ayat 31).

Pelbagai fakta diketengahkan sebagai faktor berlakunya keganasan terhadap wanita namun ia masih boleh dipersoalkan kesahihannya, kerana tiada istilah dan penjelasan yang mudah bagi mengulas faktor keganasan terhadap wanita.

Islam angkat martabat wanita
Hakikatnya, Islam membela nasib wanita dan mengangkat martabat wanita bukan sekadar larangan daripada melakukan keganasan terhadap mereka, tetapi lebih dari itu mencakupi asas iman dan akhlak seseorang.

Hanya orang yang beriman dan berakhlak mulia yang akan memuliakan wanita, sebaliknya orang yang menghina wanita atau melakukan kekerasan terhadap wanita adalah orang yang hina di sisi Allah SWT.

Maka, dalam mengembalikan ‘respek’ atau hormat kaum lelaki terhadap wanita, perkara utama yang perlu dilakukan ialah mendekatkan jurang yang semakin melebar antara sikap dan tingkahlaku umat Islam pada hari ini berbanding ajaran Islam sebenar yang suci dan murni, yang diwasiatkan oleh Baginda SAW dalam khutbah haji terakhir tersebut di atas. Wallahu’alam.



-         Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi di alamat email : sekretariatpgsm@yahoo.com. 

Wednesday, July 31, 2013

Tubuh wanita bukan untuk tayangan


Oleh Musa Awang
Harian Metro, Selasa 30 Julai 2013

(Teks asal)

Terbaru, dua daripada empat gadis Muslim yang digugurkan daripada senarai finalis pertandingan ratu cantik Miss Malaysia World 2013 mempertikai dan mempersoalkan keputusan melarang penglibatan mereka dalam pertandingan itu.

Ini berikutan teguran Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh, yang kecewa dengan sikap mereka.

Mereka berpendapat keputusan itu satu diskriminasi berlandaskan agama, kerana pertandingan ratu cantik itu adalah dibolehkan kerana pertandingan akhir diadakan di Indonesia yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Mereka mendakwa tidak akan memakai pakaian renang atau bikini sebaliknya akan memakai pakaian sukan yang bersesuaian.

Malangnya, ada pula pertubuhan yang menyokong gadis-gadis ini, dan turut mempertikaikan fatwa mufti yang telah diwartakan itu.

Polemik ini bukan suatu perkara yang baru kerana pada tahun 1997, tiga gadis Melayu menyertai pertandingan itu di Selangor. Tahun 2011, lima wanita Islam menyertai pertandingan Ratu Cantik Borneo (MBB) 2011 di Kuching, Sarawak, walaupun sudah diberi kaunseling oleh Jabatan Agama Islam Sarawak dan mendapat bantahan pelbagai pihak.

Di Wilayah Persekutuan, fatwa pengharaman wanita Islam menyertai pertandingan ratu cantik telah diwartakan pada 8 Februari 1996. Fatwa menyatakan adalah haram dan berdosa bagi orang Islam menyertai dan menganjurkan atau menyumbangkan apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik.

Pengharaman penyertaan wanita-wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik bukan semata-mata disebabkan memperagakan pakaian mandi atau pakaian renang, tetapi haram kerana pendedahan kecantikan serta aurat wanita di hadapan lelaki yang bukan mahram.

Keputusan pengharaman tersebut bukan dibuat secara sembrono, tetapi setelah kajian dan perbahasan ulama’ dalam jawatankuasa fatwa berkenaan.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan katakan kepada perempuan beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan jangan memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala dan jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh melainkan kepada suami atau bapa atau bapa mentua atau anak atau anak tiri atau saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara mereka yang perempuan atau perempuan Islam atau hamba atau orang gaji daripada lelaki yang sudah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti mengenai aurat perempuan dan jangan mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubat kamu sekalian kepada Allah, wahai orang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah An-Nur, ayat 31) 

Pelihara kecantikan wanita

Inilah bukti Islam berbeza dengan agama-agama lain kerana memelihara kecantikan tubuh wanita Islam daripada dipertontonkan atau dijadikan bahan pertandingan.

Kecantikan wanita Islam bukan terletak pada raut wajah, lentuk tubuh atau lenggok semasa berjalan, tetapi ketaatan agama, kemuliaan hati, kelembutan tutur kata dan tindak-tanduk.

Secara simboliknya, acara ratu cantik ini merupakan satu penghinaan ke atas martabat dan maruah golongan wanita khususnya wanita Islam apabila anggota badan mereka dengan senangnya ditonton oleh orang ramai tidak kira agama atau jantina dan dinilai kecantikannya oleh juri, dan di antara juri adalah dari kalangan lelaki.

“Sebagai perbandingan, jika terdapat dua biji gula-gula, satu yang dibuka pembalutnya dan satu lagi tidak dibuka pembalutnya, lalu kedua-duanya dicampakkan ke lantai yang berdebu. Yang mana satukah yang akan kita ambil untuk dimakan? Sudah tentu gula-gula yang masih berbalut dengan kemas.”

Jika ulama’ sudah membuat ketetapan sedemikian, siapa pula pihak yang hendak mempertikaikan? Tinggi sangatkah ilmu syariah mereka? Sedangkan ulama’ adalah pewaris nabi sebagaimana sabda Baginda SAW yang bermaksud : “Ulama adalah pewaris para nabi.” (HR At-Tirmidzi dari Abu Ad-Darda r.a).

Hujah logik akal

Usah dilayan pihak yang cuba menegakkan menegakkan benang basah, dengan mengemukakan pelbagai alasan dan hujah secara logik akal. Kenapa tidak menggunakan logik akal untuk mengkaji kenapa Islam mementingkan aurat wanita dipelihara?

Suasana mutakhir ini membabitkan ancaman pihak yang menaja hak asasi dan individu secara terbuka, menggunakan alasan diskriminasi gender dan agama sebagai hujah mereka. Apabila timbul isu-isu seperti ini, maka puak-puak ini akan bersuara.

Keadan-keadaan sebegini memerlukan tindakan segera pihak berkuasa agama. Penulis mengucapkan tahniah kepada para ulama’ yang bertegas mempertahankan fatwa yang telah diwartakan tersebut. Jika para ulama leka atau bisu, maka semakin banyaklah orang bodoh yang bercita-cita untuk menjadi ulama akan bersuara menyokong perkara yang sudah terang-terangan salah di sisi Syarak.

Fatwa yang sudah diwartakan akan menjadi undang-undang yang boleh dikuatkuasa. Orang yang melakukan tindakan bertentangan dengan fatwa yang telah diwartakan boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang jenayah syariah negeri.

Seksyen 9, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997, memperuntukkan bahawa – “Mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina pihak berkuasa agama atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam, Majlis atau Mufti, yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.”

Pada masa sama, penganjur bukan Islam seharus belajar memahami kehendak ajaran agama Islam, sebagaimana orang Islam tidak pernah mempertikaikan amalan dalam agama mereka, walaupun kelihatan tidak logik pada akal. Kalian dengan agama kalian, dan kami orang Islam dengan agama kami.

Saling memahami dan menghormati pegangan agama kaum lain adalah elemen terpenting dalam memastikan keharmonian agama dan keserasian kaum di Negara ini. 

Kita tidak menghalang wanita untuk menyertai apa sahaja bentuk pertandingan, asalkan pertandingan itu tidak bertentangan dengan apa yang telah Islam gariskan. Begitu juga dengan isu pertandingan ratu cantik. Jika pesertanya wanita menutup aurat, tidak mempertandingkan kecantikan semata-mata, ditonton oleh wanita juga, dan jurinya juga dari kalangan wanita juga, maka ia adalah harus.

- Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Email : sekretariatpgsm@yahoo.com


Saturday, July 20, 2013

Enakmen agama 5 negeri ikut Perlembagaan



Peguam Syarie Menulis
Berita Harian
Rabu 17/07/2013 
Oleh Musa Awang

Gesaan pinda akta cuba kelirukan masyarakat

Terdapat segelintir pihak menggesa supaya kerajaan Negeri Sembilan, Kedah, Perak, Melaka dan Sarawak yang masih mengekalkan undang-undang memberi kebenaran kepada hanya ibu, bapa atau penjaga mengislamkan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam masing-masing.

Gesaan ini berikutan tindakan kerajaan menarik balik Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2013 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 26 Jun lalu, kerana timbul bantahan berkaitan Seksyen 107 (b) dalam rang undang-undang itu.

Agama anak di bawah umur 18 tahun boleh juga ditentukan oleh ibu atau bapa atau penjaganya yang bukan Islam. Jadi dakwaan ibu bapa bukan Islam tidak mempunyai peluang untuk mendapat keadilan adalah tidak benar dan ia tindakan cuba mengelirukan masyarakat bukan Islam.

Lebar isu ke negeri lain
Mereka mengambil kesempatan atas penarikan balik rang undang-undang berkenaan dan cuba pula melebarkan isu itu ke negeri lain.

Gesaan ini sebenarnya menggunakan hujahan dan fakta yang tidak tepat serta mengelirukan masyarakat kerana undang-undang di Negeri Sembilan, Kedah, Perak, Melaka dan Sarawak adalah bertepatan kehendak Perlembagaan Persekutuan.

Fasal (3) dalam Perkara 12, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa: “Tiada sesiapa pun boleh diwajibkan menerima ajaran-ajaran mengenai apa-apa agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau sembahyang sesuatu agama yang lain daripada agamanya sendiri.
Manakala Fasal (4) dalam Perkara 12 pula memperuntukkan: “Bagi maksud Fasal (3) agama bagi seseorang yang berumur kurang daripada 18 tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya.”

Isu dalam Perkara 12 (4) Perlembagaan ini bukan lagi satu masalah yang perlu diselesaikan atau ditafsirkan.

Dalam kes R Subashini (Subashini a/p Rajasingam lwn. Saravanan a/l Thangathoray & Ors (2008) 2 MLJ 147 FC di Mahkamah Persekutuan dan kes Nedunchelian V Uthiradam lwn. Nurshafiqah Mah Singai Annal & Ors (2005) 2 CLJ 306 yang dirujuk dalam penghakiman Subashini, Mahkamah Persekutuan sudah pun membuat tafsiran terhadap Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Hak tentukan agama anak
Mahkamah Persekutuan mentafsirkan perkataan ‘parent’ dalam Perkara 12 (4) sebagai mufrad atau satu, yakni hak menentukan agama seseorang kanak-kanak berumur bawah 18 tahun adalah bergantung kepada salah seorang sama ada ibu atau bapa atau penjaga.

Keputusan ini bukan saja terpakai kepada orang Islam, juga bukan Islam. Maksudnya, agama anak di bawah umur 18 tahun boleh juga ditentukan oleh ibu atau bapa atau penjaganya yang bukan Islam. Jadi dakwaan ibu bapa bukan Islam tidak mempunyai peluang untuk mendapat keadilan adalah tidak benar dan ia tindakan cuba mengelirukan masyarakat bukan Islam.

Maka, peruntukan mengenai persetujuan salah seorang ibu atau bapa atau penjaga yang terdapat dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003, Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam (Kedah) 2008, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Melaka) 2002 dan Ordinan Majlis Islam (Sarawak) 2001, adalah tidak bersalahan dengan kehendak Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan dan selaras keputusan Mahkamah Persekutuan.

Contohnya, seksyen 117 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 memperuntukkan: “Bagi maksud bahagian ini, seseorang yang tidak beragama Islam boleh memeluk agama Islam jika dia sempurna akal, sudah mencapai umur 18 tahun. Jika belum mencapai umur 18 tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan pemelukan agama Islam olehnya.”

Begitu juga peruntukan dalam Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Sabah) 1992, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Johor) 2003 dan Akta Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505).
Penarikan balik rang Undang-undang Bil. 1/2013 telah mengekalkan status quo seksyen 95 akta itu, yang mempunyai peruntukan sama seperti lima negeri berkenaan. Akta 505 ini telah dikuatkuasakan sejak 1993, dan ia tidak menimbulkan sebarang ketidakharmonian atau kegelisahan antara kaum, bukan seperti dakwaan pihak berkenaan.

Kuasa Mahkamah Persekutuan
Mahkamah Persekutuan adalah mahkamah tertinggi dan mahkamah terakhir yang berperanan menentukan sama ada undang-undang digubal di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri sah atau tidak. Mahkamah juga berkuasa untuk menyelesaikan masalah pertikaian undang-undang antara negeri atau kerajaan Persekutuan dengan sesebuah negeri.

Sebagai mahkamah yang tertinggi, maka apa-apa keputusan atau tafsiran dibuat oleh Mahkamah Persekutuan ini mengikat kesemua mahkamah bawahan termasuk Mahkamah Syariah dan juga keputusan yang dibuat Kabinet.

Sebenarnya peruntukan dalam enakmen Selangor, Terengganu, Pulau Pinang dan Perlis yang masih memperuntukkan seorang anak hanya boleh memeluk agama Islam selepas mendapat kebenaran daripada kedua-dua ibu bapa, adalah tidak selaras dengan Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

Maka, kerajaan negeri berkenaan yang perlu digesa mengambil tindakan sewajarnya untuk meminda peruntukan berkaitan supaya selaras dengan Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan dan selari dengan keputusan Mahkamah Persekutuan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi di alamat sekretariatpgsm@yahoo.com

Wednesday, July 10, 2013

Elak dipolemik dengan fakta salah

Oleh Musa Awang

Ramai tertanya-tanya mengenai keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang menarik balik Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2013 yang dibaca kali pertama di Dewan Rakyat pada 26 Jun lalu.

Sesuatu yang tidak mengejutkan kerana ia pernah berlaku ketika pembentangan rang undang-undang Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (Pindaan 2005), yang sudah diwartakan tetapi ditangguhkan pelaksanaannya kerana mendapat bantahan pihak tertentu. Selepas lima tahun tertangguh, barulah ia dilaksanakan. Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2013 menerima nasib sama iaitu terpaksa ditarik balik walaupun baru pada peringkat bacaan kali pertama dan belum dibahaskan oleh Ahli Dewan Rakyat.

Mungkin pembentangan rang undang-undang ini dibuat terlalu awal. Ia adalah rang undang-undang pertama pada sidang Parlimen kali pertama selepas PRU-13.

Gelanggang baru dibuka. Percaturan dan helah dalam gelanggang Parlimen belum dapat dibaca dan dikenal pasti. Pada masa akan datang, sebarang rang undang-undang berkaitan agama Islam perlu dibentangkan pada masa sesuai selepas mengambil kira pelbagai perkara yang bakal berlaku dalam Parlimen.

Apa yang dikesalkan apabila Ahli Parlimen beragama Islam baik daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang berdiam diri dalam mempertahankan rang undang-undang Islam ini, sebelum ia diputuskan untuk ditarik balik. Lebih malang, dalam kalangan wakil rakyat kerajaan sendiri ada yang menentang rang undang-undang berkenaan.

Walaupun rang undang-undang ini secara keseluruhannya baik untuk penambahbaikan pentadbiran agama Islam, dengan memasukkan peruntukan baru yang bersesuaian iaitu sebahagian besarnya terdapat dalam undang-undang pentadbiran agama Islam di negeri lain, tetapi malangnya ia perlu ditarik balik atas kelemahan.

Dari sudut positif, tindakan kerajaan menarik balik rang undang-undang ini satu langkah baik buat masa sekarang. Dalam keadaan rang undang-undang ini dipolemikkan dan digembar-gemburkan oleh pihak tertentu dengan fakta dan hujahan salah, adalah tidak wajar ia dibiarkan terus menjadi perbahasan umum. Pihak tertentu cuba memanipulasi dan memperbesarkan isu berkenaan pertukaran agama di bawah seksyen 107, sedangkan banyak lagi peruntukan lain dalam rang undang-undang ini.

Tiada perubahan drastik Walaupun hakikatnya tiada apa perubahan drastik dalam seksyen 107 rang undang-undang ini berbanding akta yang lama (Akta 505). Peruntukan cadangan itu juga selaras dengan keputusan mahkamah yang diputuskan sebelum ini.

Namun, akibat polemik dicetuskan, masyarakat awam yang tidak mendapat maklumat sebenar akan menganggap seolah-olah Islam itu berat sebelah, kejam, cuba merampas hak bukan Islam dan berbagai lagi tanggapan negatif terhadap Islam.

Maka, penarikan balik rang undang-undang ini akan mengekalkan status quo seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) yang memperuntukkan seseorang boleh masuk Islam jika dia sempurna akal dan jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan kemasukannya.

Kesan negatif terhadap penarikan balik rang-undang ini menampakkan seolah-olah kerajaan yang ada kelihatan lemah dan seperti tunduk kepada desakan pihak tertentu serta tidak bertegas dalam perkara membabitkan Islam. Wakil rakyat di pihak kerajaan juga kelihatan tidak bersatu walaupun atas perkara yang dibentangkan menteri kerajaan. Rang undang-undang ini dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, dan keputusan menarik balik rang undang-undang ini diputuskan oleh Jemaah Menteri serta diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penarikan balik rang undang-undang ini bukan suatu jaminan akan menghentikan perbincangan di luar Parlimen berhubung proses pertukaran agama yang dicanangkan. Pihak tertentu akan terus memukul gendang walaupun hakikat sebenarnya masalah berhubung pertukaran agama sudah diselesaikan oleh Mahkamah Persekutuan. 

Dalam kes R Subashini (Subashini a/p Rajasingam lwn. Saravanan a/l Thangathoray (2009)) di Mahkamah Persekutuan dan kes Nedunchelian V Uthiradam v. Nurshafiqah Mah Singai Annal & Ors [2005] 2 CLJ 306 yang dirujuk dalam penghakiman Subashini di atas, Mahkamah Persekutuan sudah pun membuat tafsiran terhadap Artikel 12 (4) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi – “Bagi maksud Fasal (3) agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.” Mahkamah mentafsirkan bahawa hak menentukan agama seseorang kanak-kanak bergantung kepada seorang daripada antara ibu, bapa atau penjaga. Bermakna salah seorang daripada mereka berhak untuk menentukan agama yang boleh dianuti oleh anak mereka.

Ironinya, sama ada kita sedar atau tidak, penarikan balik rang undang-undang ini akan mencatat sejarah sekali lagi, bahawa cadangan pelaksanaan undang-undang Islam di peringkat Persekutuan di negara ini sentiasa memiliki ruang untuk diperkotak-katikkan walaupun Islam adalah agama bagi Persekutuan. Keputusan sudah dibuat. Dicadangkan kepada kerajaan untuk meneliti semula rang undang-undang ini dengan mengambil pandangan pelbagai pihak secara holistik, dan membentangkan semula dalam tempoh terdekat.

Pembentangan semula ini biarlah dalam bentuk pindaan kepada seksyen tertentu saja sebagaimana Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (Pindaan 2005). Wallahu’alam.

Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. sekretariatpgsm@yahoo.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/10 Harian Metro

Wednesday, July 3, 2013

KENYATAAN MEDIA RUU D.R 1/2013

Selasa, 2 JULAI, 2013
bersamaan 23 Sya’ban 1434H


KENYATAAN MEDIA

PERSATUAN PEGUAM SYARIE MALAYSIA (PGSM) 

BERHUBUNG RANG UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN 2013 [RUU D.R 1/2013]

Merujuk Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 [selepas ini dirujuk sebagai “RUU D.R 1/2013 tersebut”] yang telah dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat, maka Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dengan ini memberikan KENYATAAN sebagaimana berikut :-

  1. RUU D.R. 1/2013 tersebut secara keseluruhannya adalah BAIK untuk penambahbaikan pentadbiran agama Islam. Ianya suatu REVAMP (PENYUSUNAN SEMULA kepada Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1995 (Akta 505). Mungkin disebabkan ia banyak melibatkan pindaan yang perlu dibuat, maka diperkenalkan dalam bentuk akta baru, dan bukan dalam bentuk pindaan kepada seksyen-seksyen tertentu sahaja.

  1. Secara keseluruhannya, sebahagian besar peruntukan-peruntukan dalam Akta 505 dimasukkan dan ditambah dengan beberapa peruntukan baru yang bersesuaian.

  1. Secara keseluruhannya, peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam RUU D.R 1/2013 BUKAN suatu undang-undang yang baru, malah sebahagian besarnya telah terdapat dalam undang-undang pentadbiran agama Islam di negeri-negeri seperti Pahang (2001) ; Melaka (2002) ; Selangor (2003) ; Johor (2003) ; Pulau Pinang (2004) ; Kedah (2008) ; Terengganu (2008) ; Negeri Sembilan (2009) ; dan Perak (2009).

  1. Wilayah-Wilayah Persekutuan boleh dianggap sebagai TERKEBELAKANG berbanding dengan Negeri-negeri lain dalam menggubal dan meluluskan undang-undang baru pentadbiran agama Islam. Mungkin disebabkan undang-undang di Wilayah-Wilayah Persekutuan perlu mendapat kelulusan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat berbanding di negeri-negeri yang hanya perlu mendapatkan kelulusan majoriti ahli dewan undang negeri yang bilangan ahli perwakilannya lebih kecil berbanding Parlimen. Dalam usaha penyeragaman undang-undang Syariah di Negara ini, Wilayah Persekutuan sepatutnya menjadi pendahulu atau perintis, bukan ketinggalan berbanding negeri-negeri lain.

  1. Pindaan-pindaan baru yang dimasukkan dalam RUU D.R 1/2013 adalah samada mengambil contoh peruntukan dan apa yang telah dilaksanakan di negeri-negeri lain, atau yang menjadi amalan sekarang atau dibuat berdasarkan keputusan kes yang diputuskan sebelum ini. Contoh peruntukan-peruntukan baru yang dimasukkan dlm RUU D.R 1/2013 ini, antaranya ialah :

Seksyen 6, 26, 28, 35, 40, 41; 42, 49, 63, 64, 65, 66, 67, 100, 109 dan 113.

  1. PGSM dengan ini mengemukakan RESPON terhadap SEBAHAGIAN peruntukan-peruntukan dalam RUU D.R 1/2013 sebagaimana berikut :-

i.                     Seksyen 33 – Perlantikan Mufti dan Timbalan Mufti
Seksyen 33 (1) masih menggunakan perkataan “mana-mana orang” yang layak dan sesuai. Perkataan ini pada suatu masa akan menjadi masalah dan pertikaian.

Sebagaimana yang diputuskan oleh panel Mahkamah Rayuan yang dianggotai tiga hakim diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin memutuskan bahawa perkataan ‘mana-mana orang’ yang dinyatakan dalam Seksyen 59 (1) Akta 505 tersebut adalah termasuk orang yang bukan Islam, kerana jika niat badan perundangan adalah untuk menghalang orang bukan Islam diterima sebagai peguam syarie, maka ia harus dinyatakan dalam akta itu.

Merujuk kepada keputusan ini, dan jika perkataan mana-mana orang masih hendak digunakan dalam RUU D.R 1/2013 ini, secara literal, bermaksud bahawa Mufti dan Timbalan Mufti juga boleh dilantik dari kalangan bukan Islam.

PGSM mencadangkan perkataan “mana-mana orang” dalam RUU D.R 1/2013 DITUKAR kepada “MANA-MANA ORANG ISLAM”, supaya memberi maksud yang lebih tepat dan tidak mengelirukan.

ii.                   Seksyen 41 – Menerimapakai nasihat dan syor Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.
Seksyen ini memperuntukkan bahawa Jawatankuasa Fatwa hendaklah menerima nasihat dan syor Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan hendaklah disifatkan sebagai suatu fatwa dan diwartakan.

Yang agak pelik di sini ialah Majis Fatwa Kebangsaan tidak ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang atau akta, tetapi pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan pula mengikat Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan yang ditubuhkan berakar-umbikan undang-undang. Ini agak janggal.

PGSM mencadangkan pada masa yang sama, Kerajaan perlu mewujudkan satu undang-undang bagi menjadikan penubuhan Majlis Fatwa Kebangsaan sebagai suatu institusi yang mempunyai asas dan sumber perundangan yang kukuh.

iii.                 Seksyen 49 – Kod Etika Hakim Syarie dan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah
Peruntukan ini adalah suatu peruntukan yang baru dan DISOKONG. Dengan peruntukan ini, satu penetapan kod etika yang seragam dapat dibuat, yang mengikat semua Hakim Syarie dan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah.

Sebagai tambahan, PGSM mencadangkan untuk dimasukkan satu sub-klausa di bawah Seksyen 49 ini bagi mewujudkan satu JAWATANKUASA atau TRIBUNAL bagi mengawal dan mengambil tindakan terhadap perlanggaran kod etika dan disiplin Hakim Syariah dan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, yang mana Jawatankuasa atau Tribunal tersebut ditubuhkan oleh YDP Agong, atas syor Pengerusi Mahkamah Rayuan Syariah.

iv.                 Seksyen 51/52 – Bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah/Bidangkuasa Mahkamah Rendah Syariah
PGSM mencadangkan bidangkuasa mal Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan untuk mendengar dan memutuskan tuntutan perlu DIPERTINGKATKAN daripada nilai amaun atau nilai hal perkara yang dipertikaikan tidak melebihi seratus ribu (sebagaimana yang dicadangkan dalam sub-Seksyen 52 (b) RUU D.R 1/2013) DIPERTINGKATKAN LAGI kepada lima ratus ribu ringgit (RM500,000.00).

PGSM berpandangan, jumlah RM100,000.00 tidak reflek kepada kehendak semasa. Contohnya jika Mahkamah Rendah Syariah diberikan kuasa untuk dengar tuntutan yang berjumlah sehingga RM500,000.00, maka Mahkamah Tinggi Syariah dapat menumpukan kepada kes-kes berkaitan harta sepencarian dan hadanah serta kes yang berjumlah besar sahaja. Cadangan ini dapat mengurangkan lambakan kes di Mahkamah Tinggi Syariah yang kadang-kadang mempunyai jumlah hakim yang minimum berbanding hakim Mahkamah Rendah Syariah. Ia juga dapat mengelakkan kes-kes tertunggak atau lama untuk diselesaikan.

v.                   Seksyen 66 – Jawatankuasa Kaedah Mahkamah Syariah
PGSM mengalu-alukan peruntukan Sub-Seksyen 66 (2)(e) yang memperuntukkan wakil Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dalam Jawatankuasa Kaedah Mahkamah Syariah.

Ini adalah suatu pengiktirafan yang AMAT BESAR terhadap peranan PGSM dalam membantu kelicinan perjalanan Mahkamah Syariah, dan memastikan masyarakat Islam mendapat perkhidmatan yang terbaik daripada kerajaan.

Sebarang kaedah yang akan dibuat sudah pasti akan melibatkan Peguam Syarie yang beramal di Mahkamah Syariah, dan kehadiran wakil PGSM dalam jawatankuasa tersebut boleh mencambahkan pandangan yang membina dan berkesan, terhadap kaedah-kaedah Mahkamah Syariah yang akan digubal.

vi.                 Seksyen 67 – Arahan Amalan
Peruntukan ini menjadikan Arahan Amalan yang sebelum ini bersifat directory (panduan) menjadi sebagai suatu yang bersifat compulsory (mengikat).

PGSM berpandangan cadangan menaiktaraf Arahan Amalan sebagai sesuatu yang mengikat, tanpa menuruti proses perundangan adalah suatu yang janggal. Jika niat menjadikan Arahan Amalan sebagai suatu undang-undang yang mengikat, ia harus diwartakan dan digazetkan. PGSM khuatir jika Arahan Amalan yang dikeluarkan tanpa rundingan dan secara mendadak akan memberi kesan kepada Peguam Syarie yang beramal di Mahkamah Syariah.

PGSM mencadangkan supaya Seksyen 67 ini DIKAJI SEMULA. Adalah lebih baik membiarkan Arahan Amalan itu kekal sebagaimana amalan sekarang, kerana Arahan Amalan sepatutnya bersifat pentadbiran, bukan bersifat perundangan.

PGSM mencadangkan mekanisme yang telah sedia ada dalam undang-undang tersebut boleh dimanfaatkan melalui penubuhan Jawatankuasa yang boleh mencadangkan undang-undang kecil, bagi menjadikan Arahan Amalan sebagai suatu peraturan atau kaedah yang lebih bersifat komprehensif.

vii.               Seksyen 70 – Peguam Syarie
Sub-seksyen 70 (1) masih menggunakan perkataan “mana-mana orang” yang layak dan sesuai. Perkataan ini telah pun menjadi pertikaian sebagaimana yang diputuskan oleh panel Mahkamah Rayuan yang dianggotai tiga hakim diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin memutuskan bahawa perkataan ‘mana-mana orang’ yang dinyatakan dalam Seksyen 59 (1) Akta 505 tersebut adalah termasuk orang yang bukan Islam, kerana jika niat badan perundangan adalah untuk menghalang orang bukan Islam diterima sebagai peguam syarie, maka ia harus dinyatakan dalam akta itu.

PGSM MEMBANTAH perkataan “mana-mana orang” dalam Sub-Seksyen 70 (1) ini masih digunakan dalam RUU D.R 1/2013 dan mencadangkan ia DITUKAR kepada “MANA-MANA ORANG ISLAM”, supaya lebih tepat dan tidak mengelirukan.

PGSM amat BERSETUJU dengan peruntukan sub-seksyen 70 (4) RUU D.R 1/2013 tersebut yang membolehkan seseorang Peguam Syarie yang telah diterima masuk sebagai Peguam Syarie di mana-mana negeri lain untuk diterima masuk di Wilayah Persekutuan dengan hanya menyertakan bukti bahawa dia telah memilik Sijil Amalan Negeri tersebut. Ini adalah satu langkah yang baik dalam mengiktitaf peguam Syarie satu Negara.

viii.             Seksyen 100 – Perlantikan Ketua Pendaftar Muallaf dan Pendaftar Muallaf
Ini adalah peruntukan baru yang memberikan tugas kepada Ketua Pendaftar Muallaf untuk menyelenggarakan suatu Daftar Muallaf dan mempunyai Pendaftar Muallaf yang membantu Ketua Pendaftar dalam melaksanakan tugasnya.

Cadangan ini sebagai langkah formaliti untuk memastikan seorang yang mengetuai Pendaftar-Pendaftar dalam menyelenggarakan kesemua Daftar Muallaf di seluruh Wilayah Persekutuan, agar rekod-rekod muallaf dapat dikemaskini dan diperkemaskan.  

Namun, PGSM menegaskan bahawa isu sebenar yang perlu juga disentuh ialah bagaimana untuk memberikan tugas secara statutory kepada Ketua Pendaftar Muallaf bagi memantau, mendidik muallaf dan seterusnya mengelakkan kejadian murtad di kalangan muallaf.

Maka, sebagai TAMBAHAN, PGSM mencadangkan supaya suatu peruntukan tambahan dimasukkan dengan menyatakan tugas-tugas Ketua Pendaftar Muallaf dan Pendaftar Muallaf terutama memantau, mendidik muallaf dan seterusnya mengelakkan kejadian murtad di kalangan muallaf.

ix.                 Seksyen 107 – Keupayaan untuk memeluk agama Islam
PGSM menegaskan bahawa tiada apa perubahan radikal dalam Seksyen 107 RUU D.R 1/2013 ini berbanding akta yang lama (Akta 505).

Peruntukan ini sebenarnya TELAH SEDIA ADA dalam Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505), dan telah sedia dilaksanakan sejak tahun 1993 sehingga sekarang.

PGSM beranggapan bahawa pihak-pihak yang mempertikaikan Seksyen ini berkemungkinan tidak faham dan perlu diberikan penjelasan.

PGSM tegaskan bahawa sekiranya keseluruhan RUU D.R 1/2013 ini ditarik balik, maka bermakna bahawa kedudukan Seksyen 95 dalam Akta 505 tersebut akan dikekalkan.

PGSM berpendirian bahawa kedudukan Seksyen 107 RUU D.R 1/2013 itu adalah selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Susie Teoh dan beberapa kes lain yang menyatakan seorang anak bawah umur boleh memeluk Islam dengan kebenaran daripada ibu atau bapa atau penjaganya. Jadi tidak timbul soal Majlis Agama Islam ingin merampas hak mana-mana orang bukan Islam kerana Perlembagaan telah menetapkan sedemikian. Jika ada pihak yang tidak setuju dengan Seksyen 107 tersebut, bermakna Perlembagaan Persekutuan yang perlu dicadang untuk dipinda.

PGSM lebih setuju soal pemelukan anak kecil ini diputuskan oleh Mahkamah mengikut fakta kes masing-masing. Masalah yang lebih crucial adalah bagaimana seorang bapa yang memeluk Islam bersama anaknya, hendaklah juga menjaga silaturrahim dengan ibunya yang masih belum memeluk Islam. Ini penting kerana akidah seseorang sepatutnya tidak memisahkan hak ibu dan anak.

x.                   Seksyen 113 - Hukum Syarak
Peruntukan ini adalah suatu peruntukan yang PENTING dalam mana-mana undang-undang Islam, di mana jika terdapat mana-mana peruntukan yang tidak selaras dengan Hukum Syarak, maka peruntukan itu terbatal setakat yang tidak selaras itu, dan jika terdapat apa-apa lacuna dalam RUU D.R 1/2013 tersebut, maka Mahkamah hendaklah memakai Hukum Syarak.

  1. PGSM MENYERU kesemua wakil Rakyat beragama Islam di Parlimen untuk BERSATU HATI dan menyokong RUU D.R 1/2013 ini, bagi memastikan Rang Undang-undang ini dapat diluluskan dengan lancar dan berkesan.

  1. PGSM tegaskan bahawa RUU D.R 1/2013 tersebut tidak berbahaya dan tidak bersifat subversive sebagaimana dakwaan sesetengah pihak. Orang bukan Islam tidak perlu risau dengan pindaan tersebut kerana RUU D.R 1/2013 digubal bagi mentadbir undang-undang Islam serta institusi-institusi berkaitan dengan Islam di Wilayah Persekutuan, yang digubal menurut kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua agama Islam di dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan, sebagaimana yang ditetapkan dan dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sekian, untuk siaran.

Terima kasih.

“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak”

Yang benar,

(MUSA AWANG, P.P.N)
Presiden
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
019-387 0105


Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...