Wednesday, September 11, 2013

Kahwin lain tak halang jaga anak

Peguam Syarie Menulis
Berita Harian, 11/09/2013


Suatu perkara yang ramai sedia maklum bahawa ibu paling berhak untuk mendapat hak jagaan atau hadanah anak.

Pada dasarnya, Islam menetapkan hak hadanah kepada ibu kecuali jika ada sebab-sebab yang boleh menggugurkan hak dan tanggungjawab itu. Antara sebab gugurnya hak jagaan kepada ibu jika dia berkahwin dengan lelaki lain.

Ini disebut dalam hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Seorang perempuan berkata, wahai Rasulullah, sesungguhnya anak yang berada dalam dukungan ini, sayalah yang menyusukannya, tetapi sekarang bapanya menceraikan saya dan dia mahu mengambil anak ini daripada saya. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Kamu lebih berhak ke atas ini selagi kamu belum berkahwin.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud) 

Hadanah bertujuan memenuhi keperluan fizikal, mental dan emosi kanak-kanak supaya mereka dapat membesar dalam keadaan sejahtera dan penuh kasih sayang. Maka, tanggungjawab ini wajar diserahkan kepada ibu.

Ibu mampu beri kasih sayang
Ia sejajar seperti dinyatakan Imam Taqiyuddin dalam Kitab Kifayatul Akhyar fi Hal Ghayah al-Ikhtisar, bahawa ibu mampu memberikan kasih sayang dan kelembutan yang lebih kepada kanak-kanak. Ibu adalah orang lebih tepat untuk mendidik, lebih sabar dalam tugas mengurus kanak-kanak dan juga berinteraksi lebih dengan kanak-kanak.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat ke-13 menyatakan: “Maka (dengan jalan itu) kami kembalikan dia kepada ibunya, supaya tenang tenteram hatinya dan tidak berdukacita (disebabkan bercerai dengannya).”

Imam Khatib Syarbini menjelaskan bahawa ibu lebih layak mendapat jagaan anak kerana fitrah dan naluri ibu lebih kasih dan cenderung untuk mendidik serta lebih sabar dalam membesarkan anak-anak.

Dalam pertelingkahan antara Umar al-Khattab ra dan isterinya mengenai perebutan anak mereka, Saidina Abu Bakar ra berkata kepada Saidina Umar, “..baunya, kebaikannya dan kelembutannya (isteri itu) lebih baik untuknya (Asim) daripada engkau (Umar)”.

Selaras dengan kehendak agama, Seksyen 81(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan: “Tertakluk kepada Seksyen 82, ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.”

Perlu ditegaskan di sini bahawa ibu lebih berhak bagi menjaga dan mendidik anak terutama anak kecil berbanding bapa walaupun bapa itu menunjukkan sifat sempurna dalam menjaga anak, tetapi yang lebih sempurna ialah ibu.

Persoalan ibu kahwin semula
Persoalan yang selalu ditimbulkan, bagaimana jika selepas bercerai, ibu berkenaan berkahwin semula dengan seorang lelaki lain? Tanggapan kebanyakan orang, jika si ibu berkahwin lain, maka kelayakannya untuk menjaga anak akan gugur secara automatik.

Hakikatnya, tanggapan itu tidak berapa tepat ini kerana merujuk kepada Seksyen 83 (a) AUKI 1984 yang berbunyi: “Jika perempuan itu berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, jika penjagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu, tetapi haknya untuk penjagaan akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan.”

Perkataan ‘jika penjagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu’ adalah suatu yang berbentuk subjektif. Ini menunjukkan hilangnya hak jagaan melalui perkahwinan kedua adalah tidak mutlak, kerana jika perkahwinan itu tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak, maka ibu masih lagi layak dan berhak dalam memperoleh hak jagaan.

Ini dapat dikukuhkan lagi dengan pandangan Imam al-Hasan al-Syaibani dan Ibn Hazm yang menyatakan hak penjagaan seorang ibu yang sudah berkahwin dengan seorang yang bukan mahram dengan kanak-kanak masih kekal.

Ini berdasarkan kepada dua autoriti. Pertama, dalam sebuah hadis meriwayatkan bahawa Anas ibn Malik tetap kekal dalam penjagaan ibunya walaupun ibunya berkahwin dengan lelaki lain. Kedua, semasa Ummu Salamah berkahwin dengan Rasulullah SAW, beliau tetap diberi hak untuk memelihara anaknya hasil perkahwinannya dengan suami yang pertama. Ini kerana Rasulullah SAW reda dengan hal ini dan kebajikan anaknya tidak akan terjejas.

Oleh itu, jika perkahwinan itu tidak akan menjejaskan kebajikan dan kemaslahatan anak itu, hak hadanah ibu itu kekal. Hak seorang ibu juga akan kekal sekiranya suami baru reda dan bersetuju supaya hadinah (isterinya) mengekalkan hak jagaannya. Terbuktilah bahawa kehilangan hak jagaan jika berkahwin lain adalah bukan satu kehilangan yang mutlak.

Seorang lelaki yang menuntut hak jagaan anak atas dakwaan bahawa bekas isterinya berkahwin lain perlu membuktikan kepada mahkamah yang akibat perkahwinan itu, bekas isterinya sudah tidak mampu untuk menjaga dan memelihara anak kandungnya itu.

Sebaliknya, si ibu boleh mematahkan dakwaan si bapa dengan menyatakan sememangnya dia bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu untuk menjaga dan mendidik anaknya dengan sebaik-baiknya, dan dengan adanya suami baru di sisi dapat membantu beliau bersama-sama menguruskan rumahtangga dan hal ehwal anak-anak.

Dalam isu hadanah, mahkamah akan melihat segala faktor secara menyeluruh, terutama kebajikan dan kemaslahatan anak, bukan melihat kepada kepentingan si ibu atau si bapa. Kebajikan anak adalah yang paling utama mengikut maqasid syariah bagi menjamin kehidupan masa depan yang lebih baik bagi anak itu.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Email : sekretariatpgsm@yahoo.com

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...