Wednesday, February 4, 2015

Takrifan syariah, sivil orang hilang

(Mengharmonikan undang-undang orang hilang)



Oleh Musa Awang

Harian Metro, 4 Februari 2015

Al-mafqud merujuk kepada seseorang yang hilang daripada tempat asalnya dalam tempoh yang lama sehingga terputus berita mengenainya dan tidak diketahui sama ada dia masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.

Status al-mafqud penting untuk masyarakat Islam dan juga bukan Islam kerana proses pembahagian harta al-mafqud akan tergendala sekiranya tidak diketahui sama ada al-mafqud itu masih hidup atau pun sudah mati.

Minggu lalu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam telah mengumumkan insiden pesawat malang MH370 secara rasmi sebagai satu kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu dianggap terkorban.

Pengisytiharan tersebut belum membubarkan status perkahwinan mangsa-mangsa dan sebarang tuntutan ke atas harta pusaka masih belum boleh dibuat. Untuk menentukan status sesuatu perkahwinan terbubar, perintah anggapan kematian (presumption of death) atau perintah pembubaran perkahwinan perlu dikeluarkan oleh mahkamah.

Merujuk kepada Seksyen 18 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) adalah dinyatakan dengan jelas bahawa setiap kematian di negara hendaklah didaftarkan dengan syarat mayatnya dijumpai. Dalam kes mayat tidak dijumpai atau individu yang diklasifikasikan sebagai telah dianggap mati, maka perintah anggapan kematian perlu diperoleh dari mahkamah.

Di Malaysia, terdapat dua undang-undang berasingan yang menyentuh soal anggapan kematian bagi al-mafqud iaitu di mahkamah sivil dan juga di mahkamah syariah. Perbezaan ketara antara kedua-dua undang-undang tersebut ialah berkenaan tempoh masa yang diperlukan bagi membentuk anggapan bahawa al-mafqud itu telah pun meninggal dunia. Undang-undang sivil mensyaratkan tempoh tujuh tahun manakala undang-undang syariah menetapkan tempoh empat tahun sebagai tempoh yang perlu untuk membentuk anggapan kematian al-mafqud.

Seksyen 108 Akta Keterangan 1950 (Akta 56) berbunyi “Apabila soalnya ialah sama ada seseorang itu masih hidup atau telah mati, dan dibuktikan bahawa tiada apa-apa khabar telah didengar mengenainya selama tujuh tahun oleh orang yang sepatutnya mendengar khabar mengenainya jika dia masih hidup, beban membuktikan yang dia masih hidup beralih kepada orang yang menegaskannya.”

Dalam kes Tay Soon Pang ([2009] 9 CLJ 778), Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zawawi Salleh menegaskan, berdasarkan Seksyen 108 Akta 56 berkenaan, dua syarat penting untuk membentuk anggapan kematian ialah pertama ; tiada apa-apa khabar yang telah didengar mengenai al-mafqud selama tujuh tahun dan kedua ; ketiadaan khabar itu mestilah dialami oleh orang yang sepatutnya mendengar khabar mengenainya jika dia masih hidup. Sekiranya tempoh tujuh tahun sudah berlalu, mahkamah boleh memutuskan al-mafqud dianggap sebagai sebagai telah mati.

Peruntukan hampir sama terdapat dalam enakmen atau akta syariah negeri-negeri. Contoh, Seksyen 80 Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 561) mempunyai peruntukan hampir sama, cuma tempoh tiada apa-apa khabar berita didengar mengenainya adalah selama empat tahun, bukan tujuh tahun.

Pada masa sama, terdapat peruntukan khusus dalam undang-undang syariah bagi maksud membolehkan seorang isteri kepada al-mafqud untuk berkahwin semula. Seksyen 53(1), Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) menyebut bahawa : “Jika suami mana-mana perempuan telah mati, atau dipercayai telah mati, atau telah tidak didengar perkhabaran mengenainya bagi suatu tempoh empat tahun atau lebih, dan hal keadaan adalah sebegitu hingga dia patut, bagi maksud membolehkan perempuan itu berkahwin semula, dianggap mengikut Hukum Syara' sebagai telah mati, maka Mahkamah boleh, di atas permohonan perempuan itu dan selepas apa-apa siasatan yang wajar, mengeluarkan dalam bentuk yang ditetapkan suatu perakuan menganggap kematian suami itu dan Mahkamah boleh di atas permohonan perempuan itu membuat perintah bagi pembubaran perkahwinan atau fasakh sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 52 .”

Perakuan yang dikeluarkan oleh mahkamah sivil tidak terpakai untuk tujuan membolehkan isteri al-mafqud berkahwin semula. Hanya mahkamah syariah sahaja yang berkuasa memberi perakuan anggapan kematian untuk tujuan itu.

Tidak pasti mengapa undang-undang sivil menetapkan tempoh tujuh tahun untuk menerima anggapan kematian al-mafqud. Tetapi bagi undang-undang syariah, tempoh empat tahun diambil berdasarkan pandangan fuqaha. Misalnya, Imam Malik dan Imam Ahmad menetapkan seseorang hakim boleh memisahkan seorang isteri daripada suaminya yang hilang tanpa khabar berita setelah empat tahun, berdasarkan keputusan yang pernah dibuat oleh Khalifah Umar al-Khattab r.a dalam kes suami hilang di zaman pemerintahannya. Manakala mazhab Hanafi menetapkan jangka hidup manusia selama 90 tahun dan anggapan kematian seseorang al-mafqud adalah apabila telah berlalu 90 tahun sejak kelahirannya.

Mazhab Syafii menetapkan tempoh tujuh tahun, tetapi konsep anggapan kematian yang diterima pakai oleh Mazhab Syafi‘i adalah berdasarkan kaedah istishab, iaitu mengekalkan suatu hukum berasaskan hukum sedia ada selagi tidak ada dalil yang mengubahnya. Maksudnya, seseorang yang hilang dianggap masih hidup sehingga ada bukti yang menunjukkan sebaliknya. Oleh sebab itu harta al-mafqud tidak boleh dibahagikan secara pusaka sehingga suatu tempoh masa tertentu dan hanya mahkamah yang boleh memutuskan tentang status sebenar bahawa al-mafqud itu telah meninggal dunia.

Dalam kes anggapan kematian Talib Saari ([2010] 1 CLJ (Sya) 493), Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Terengganu telah memutuskan bahawa al-mafqud yang hilang sejak tahun 1972 sebagai telah meninggal dunia, berdasarkan “telah berlalunya suatu tempoh yang lama ke atas al-mafqud dari tarikh ianya dilahirkan, yang mana tempoh itu adalah memungkin orang sebayanya telah meninggal dunia”. Mahkamah membuat kesimpulan jika al-mafqud itu masih lagi hidup di tahun 2004, beliau sudah pun berumur 73 atau 74 tahun dan lazimnya pada waktu umur sebegitu, seseorang telah meninggal dunia.

Bagi seorang Islam, pengisytiharan kematian al-mafqud boleh dipohon samada di mahkamah sivil atau di mahkamah syariah. Dalam kes Ridzwan Ibrahim ([2002] 4 CLJ 502), Yang Arif Hakim Heliliah Mohd Yusof berpendapat sedemikian kerana tempoh tujuh tahun yang dikehendaki oleh mahkamah sivil adalah lebih lama daripada empat tahun yang dikehendaki oleh mahkamah syariah. Sekiranya waris enggan menunggu selama tujuh tahun untuk memohon pengisytiharan mahkamah sivil, mereka boleh memohon pengisytiharan di mahkamah syariah setelah menunggu untuk tempoh yang lebih singkat, iaitu empat tahun.

Adalah wajar undang-undang sivil dan syariah diharmonikan dengan menyelaraskan tempoh masa yang diperlukan oleh mahkamah bagi membentuk anggapan kematian al-mafqud. Tempoh masa yang ditetapkan ini merupakan satu ijtihad ulama’ atau budi bicara penggubal undang-undang, dan ia boleh disesuaikan dengan keadaan dan perkembangan semasa, agar dapat mengelakkan berlakunya komplikasi yang berat dari segi konflik undang-undang.


-   - Penulis ialah Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...