Wednesday, July 31, 2013

Tubuh wanita bukan untuk tayangan


Oleh Musa Awang
Harian Metro, Selasa 30 Julai 2013

(Teks asal)

Terbaru, dua daripada empat gadis Muslim yang digugurkan daripada senarai finalis pertandingan ratu cantik Miss Malaysia World 2013 mempertikai dan mempersoalkan keputusan melarang penglibatan mereka dalam pertandingan itu.

Ini berikutan teguran Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh, yang kecewa dengan sikap mereka.

Mereka berpendapat keputusan itu satu diskriminasi berlandaskan agama, kerana pertandingan ratu cantik itu adalah dibolehkan kerana pertandingan akhir diadakan di Indonesia yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Mereka mendakwa tidak akan memakai pakaian renang atau bikini sebaliknya akan memakai pakaian sukan yang bersesuaian.

Malangnya, ada pula pertubuhan yang menyokong gadis-gadis ini, dan turut mempertikaikan fatwa mufti yang telah diwartakan itu.

Polemik ini bukan suatu perkara yang baru kerana pada tahun 1997, tiga gadis Melayu menyertai pertandingan itu di Selangor. Tahun 2011, lima wanita Islam menyertai pertandingan Ratu Cantik Borneo (MBB) 2011 di Kuching, Sarawak, walaupun sudah diberi kaunseling oleh Jabatan Agama Islam Sarawak dan mendapat bantahan pelbagai pihak.

Di Wilayah Persekutuan, fatwa pengharaman wanita Islam menyertai pertandingan ratu cantik telah diwartakan pada 8 Februari 1996. Fatwa menyatakan adalah haram dan berdosa bagi orang Islam menyertai dan menganjurkan atau menyumbangkan apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik.

Pengharaman penyertaan wanita-wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik bukan semata-mata disebabkan memperagakan pakaian mandi atau pakaian renang, tetapi haram kerana pendedahan kecantikan serta aurat wanita di hadapan lelaki yang bukan mahram.

Keputusan pengharaman tersebut bukan dibuat secara sembrono, tetapi setelah kajian dan perbahasan ulama’ dalam jawatankuasa fatwa berkenaan.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan katakan kepada perempuan beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan jangan memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala dan jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh melainkan kepada suami atau bapa atau bapa mentua atau anak atau anak tiri atau saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara mereka yang perempuan atau perempuan Islam atau hamba atau orang gaji daripada lelaki yang sudah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti mengenai aurat perempuan dan jangan mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubat kamu sekalian kepada Allah, wahai orang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah An-Nur, ayat 31) 

Pelihara kecantikan wanita

Inilah bukti Islam berbeza dengan agama-agama lain kerana memelihara kecantikan tubuh wanita Islam daripada dipertontonkan atau dijadikan bahan pertandingan.

Kecantikan wanita Islam bukan terletak pada raut wajah, lentuk tubuh atau lenggok semasa berjalan, tetapi ketaatan agama, kemuliaan hati, kelembutan tutur kata dan tindak-tanduk.

Secara simboliknya, acara ratu cantik ini merupakan satu penghinaan ke atas martabat dan maruah golongan wanita khususnya wanita Islam apabila anggota badan mereka dengan senangnya ditonton oleh orang ramai tidak kira agama atau jantina dan dinilai kecantikannya oleh juri, dan di antara juri adalah dari kalangan lelaki.

“Sebagai perbandingan, jika terdapat dua biji gula-gula, satu yang dibuka pembalutnya dan satu lagi tidak dibuka pembalutnya, lalu kedua-duanya dicampakkan ke lantai yang berdebu. Yang mana satukah yang akan kita ambil untuk dimakan? Sudah tentu gula-gula yang masih berbalut dengan kemas.”

Jika ulama’ sudah membuat ketetapan sedemikian, siapa pula pihak yang hendak mempertikaikan? Tinggi sangatkah ilmu syariah mereka? Sedangkan ulama’ adalah pewaris nabi sebagaimana sabda Baginda SAW yang bermaksud : “Ulama adalah pewaris para nabi.” (HR At-Tirmidzi dari Abu Ad-Darda r.a).

Hujah logik akal

Usah dilayan pihak yang cuba menegakkan menegakkan benang basah, dengan mengemukakan pelbagai alasan dan hujah secara logik akal. Kenapa tidak menggunakan logik akal untuk mengkaji kenapa Islam mementingkan aurat wanita dipelihara?

Suasana mutakhir ini membabitkan ancaman pihak yang menaja hak asasi dan individu secara terbuka, menggunakan alasan diskriminasi gender dan agama sebagai hujah mereka. Apabila timbul isu-isu seperti ini, maka puak-puak ini akan bersuara.

Keadan-keadaan sebegini memerlukan tindakan segera pihak berkuasa agama. Penulis mengucapkan tahniah kepada para ulama’ yang bertegas mempertahankan fatwa yang telah diwartakan tersebut. Jika para ulama leka atau bisu, maka semakin banyaklah orang bodoh yang bercita-cita untuk menjadi ulama akan bersuara menyokong perkara yang sudah terang-terangan salah di sisi Syarak.

Fatwa yang sudah diwartakan akan menjadi undang-undang yang boleh dikuatkuasa. Orang yang melakukan tindakan bertentangan dengan fatwa yang telah diwartakan boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang jenayah syariah negeri.

Seksyen 9, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997, memperuntukkan bahawa – “Mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina pihak berkuasa agama atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam, Majlis atau Mufti, yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.”

Pada masa sama, penganjur bukan Islam seharus belajar memahami kehendak ajaran agama Islam, sebagaimana orang Islam tidak pernah mempertikaikan amalan dalam agama mereka, walaupun kelihatan tidak logik pada akal. Kalian dengan agama kalian, dan kami orang Islam dengan agama kami.

Saling memahami dan menghormati pegangan agama kaum lain adalah elemen terpenting dalam memastikan keharmonian agama dan keserasian kaum di Negara ini. 

Kita tidak menghalang wanita untuk menyertai apa sahaja bentuk pertandingan, asalkan pertandingan itu tidak bertentangan dengan apa yang telah Islam gariskan. Begitu juga dengan isu pertandingan ratu cantik. Jika pesertanya wanita menutup aurat, tidak mempertandingkan kecantikan semata-mata, ditonton oleh wanita juga, dan jurinya juga dari kalangan wanita juga, maka ia adalah harus.

- Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Email : sekretariatpgsm@yahoo.com


Saturday, July 20, 2013

Enakmen agama 5 negeri ikut Perlembagaan



Peguam Syarie Menulis
Berita Harian
Rabu 17/07/2013 
Oleh Musa Awang

Gesaan pinda akta cuba kelirukan masyarakat

Terdapat segelintir pihak menggesa supaya kerajaan Negeri Sembilan, Kedah, Perak, Melaka dan Sarawak yang masih mengekalkan undang-undang memberi kebenaran kepada hanya ibu, bapa atau penjaga mengislamkan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam masing-masing.

Gesaan ini berikutan tindakan kerajaan menarik balik Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2013 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 26 Jun lalu, kerana timbul bantahan berkaitan Seksyen 107 (b) dalam rang undang-undang itu.

Agama anak di bawah umur 18 tahun boleh juga ditentukan oleh ibu atau bapa atau penjaganya yang bukan Islam. Jadi dakwaan ibu bapa bukan Islam tidak mempunyai peluang untuk mendapat keadilan adalah tidak benar dan ia tindakan cuba mengelirukan masyarakat bukan Islam.

Lebar isu ke negeri lain
Mereka mengambil kesempatan atas penarikan balik rang undang-undang berkenaan dan cuba pula melebarkan isu itu ke negeri lain.

Gesaan ini sebenarnya menggunakan hujahan dan fakta yang tidak tepat serta mengelirukan masyarakat kerana undang-undang di Negeri Sembilan, Kedah, Perak, Melaka dan Sarawak adalah bertepatan kehendak Perlembagaan Persekutuan.

Fasal (3) dalam Perkara 12, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa: “Tiada sesiapa pun boleh diwajibkan menerima ajaran-ajaran mengenai apa-apa agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau sembahyang sesuatu agama yang lain daripada agamanya sendiri.
Manakala Fasal (4) dalam Perkara 12 pula memperuntukkan: “Bagi maksud Fasal (3) agama bagi seseorang yang berumur kurang daripada 18 tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya.”

Isu dalam Perkara 12 (4) Perlembagaan ini bukan lagi satu masalah yang perlu diselesaikan atau ditafsirkan.

Dalam kes R Subashini (Subashini a/p Rajasingam lwn. Saravanan a/l Thangathoray & Ors (2008) 2 MLJ 147 FC di Mahkamah Persekutuan dan kes Nedunchelian V Uthiradam lwn. Nurshafiqah Mah Singai Annal & Ors (2005) 2 CLJ 306 yang dirujuk dalam penghakiman Subashini, Mahkamah Persekutuan sudah pun membuat tafsiran terhadap Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Hak tentukan agama anak
Mahkamah Persekutuan mentafsirkan perkataan ‘parent’ dalam Perkara 12 (4) sebagai mufrad atau satu, yakni hak menentukan agama seseorang kanak-kanak berumur bawah 18 tahun adalah bergantung kepada salah seorang sama ada ibu atau bapa atau penjaga.

Keputusan ini bukan saja terpakai kepada orang Islam, juga bukan Islam. Maksudnya, agama anak di bawah umur 18 tahun boleh juga ditentukan oleh ibu atau bapa atau penjaganya yang bukan Islam. Jadi dakwaan ibu bapa bukan Islam tidak mempunyai peluang untuk mendapat keadilan adalah tidak benar dan ia tindakan cuba mengelirukan masyarakat bukan Islam.

Maka, peruntukan mengenai persetujuan salah seorang ibu atau bapa atau penjaga yang terdapat dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003, Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam (Kedah) 2008, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Melaka) 2002 dan Ordinan Majlis Islam (Sarawak) 2001, adalah tidak bersalahan dengan kehendak Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan dan selaras keputusan Mahkamah Persekutuan.

Contohnya, seksyen 117 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 memperuntukkan: “Bagi maksud bahagian ini, seseorang yang tidak beragama Islam boleh memeluk agama Islam jika dia sempurna akal, sudah mencapai umur 18 tahun. Jika belum mencapai umur 18 tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan pemelukan agama Islam olehnya.”

Begitu juga peruntukan dalam Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Sabah) 1992, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Johor) 2003 dan Akta Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505).
Penarikan balik rang Undang-undang Bil. 1/2013 telah mengekalkan status quo seksyen 95 akta itu, yang mempunyai peruntukan sama seperti lima negeri berkenaan. Akta 505 ini telah dikuatkuasakan sejak 1993, dan ia tidak menimbulkan sebarang ketidakharmonian atau kegelisahan antara kaum, bukan seperti dakwaan pihak berkenaan.

Kuasa Mahkamah Persekutuan
Mahkamah Persekutuan adalah mahkamah tertinggi dan mahkamah terakhir yang berperanan menentukan sama ada undang-undang digubal di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri sah atau tidak. Mahkamah juga berkuasa untuk menyelesaikan masalah pertikaian undang-undang antara negeri atau kerajaan Persekutuan dengan sesebuah negeri.

Sebagai mahkamah yang tertinggi, maka apa-apa keputusan atau tafsiran dibuat oleh Mahkamah Persekutuan ini mengikat kesemua mahkamah bawahan termasuk Mahkamah Syariah dan juga keputusan yang dibuat Kabinet.

Sebenarnya peruntukan dalam enakmen Selangor, Terengganu, Pulau Pinang dan Perlis yang masih memperuntukkan seorang anak hanya boleh memeluk agama Islam selepas mendapat kebenaran daripada kedua-dua ibu bapa, adalah tidak selaras dengan Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

Maka, kerajaan negeri berkenaan yang perlu digesa mengambil tindakan sewajarnya untuk meminda peruntukan berkaitan supaya selaras dengan Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan dan selari dengan keputusan Mahkamah Persekutuan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi di alamat sekretariatpgsm@yahoo.com

Wednesday, July 10, 2013

Elak dipolemik dengan fakta salah

Oleh Musa Awang

Ramai tertanya-tanya mengenai keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang menarik balik Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2013 yang dibaca kali pertama di Dewan Rakyat pada 26 Jun lalu.

Sesuatu yang tidak mengejutkan kerana ia pernah berlaku ketika pembentangan rang undang-undang Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (Pindaan 2005), yang sudah diwartakan tetapi ditangguhkan pelaksanaannya kerana mendapat bantahan pihak tertentu. Selepas lima tahun tertangguh, barulah ia dilaksanakan. Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2013 menerima nasib sama iaitu terpaksa ditarik balik walaupun baru pada peringkat bacaan kali pertama dan belum dibahaskan oleh Ahli Dewan Rakyat.

Mungkin pembentangan rang undang-undang ini dibuat terlalu awal. Ia adalah rang undang-undang pertama pada sidang Parlimen kali pertama selepas PRU-13.

Gelanggang baru dibuka. Percaturan dan helah dalam gelanggang Parlimen belum dapat dibaca dan dikenal pasti. Pada masa akan datang, sebarang rang undang-undang berkaitan agama Islam perlu dibentangkan pada masa sesuai selepas mengambil kira pelbagai perkara yang bakal berlaku dalam Parlimen.

Apa yang dikesalkan apabila Ahli Parlimen beragama Islam baik daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang berdiam diri dalam mempertahankan rang undang-undang Islam ini, sebelum ia diputuskan untuk ditarik balik. Lebih malang, dalam kalangan wakil rakyat kerajaan sendiri ada yang menentang rang undang-undang berkenaan.

Walaupun rang undang-undang ini secara keseluruhannya baik untuk penambahbaikan pentadbiran agama Islam, dengan memasukkan peruntukan baru yang bersesuaian iaitu sebahagian besarnya terdapat dalam undang-undang pentadbiran agama Islam di negeri lain, tetapi malangnya ia perlu ditarik balik atas kelemahan.

Dari sudut positif, tindakan kerajaan menarik balik rang undang-undang ini satu langkah baik buat masa sekarang. Dalam keadaan rang undang-undang ini dipolemikkan dan digembar-gemburkan oleh pihak tertentu dengan fakta dan hujahan salah, adalah tidak wajar ia dibiarkan terus menjadi perbahasan umum. Pihak tertentu cuba memanipulasi dan memperbesarkan isu berkenaan pertukaran agama di bawah seksyen 107, sedangkan banyak lagi peruntukan lain dalam rang undang-undang ini.

Tiada perubahan drastik Walaupun hakikatnya tiada apa perubahan drastik dalam seksyen 107 rang undang-undang ini berbanding akta yang lama (Akta 505). Peruntukan cadangan itu juga selaras dengan keputusan mahkamah yang diputuskan sebelum ini.

Namun, akibat polemik dicetuskan, masyarakat awam yang tidak mendapat maklumat sebenar akan menganggap seolah-olah Islam itu berat sebelah, kejam, cuba merampas hak bukan Islam dan berbagai lagi tanggapan negatif terhadap Islam.

Maka, penarikan balik rang undang-undang ini akan mengekalkan status quo seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) yang memperuntukkan seseorang boleh masuk Islam jika dia sempurna akal dan jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan kemasukannya.

Kesan negatif terhadap penarikan balik rang-undang ini menampakkan seolah-olah kerajaan yang ada kelihatan lemah dan seperti tunduk kepada desakan pihak tertentu serta tidak bertegas dalam perkara membabitkan Islam. Wakil rakyat di pihak kerajaan juga kelihatan tidak bersatu walaupun atas perkara yang dibentangkan menteri kerajaan. Rang undang-undang ini dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, dan keputusan menarik balik rang undang-undang ini diputuskan oleh Jemaah Menteri serta diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penarikan balik rang undang-undang ini bukan suatu jaminan akan menghentikan perbincangan di luar Parlimen berhubung proses pertukaran agama yang dicanangkan. Pihak tertentu akan terus memukul gendang walaupun hakikat sebenarnya masalah berhubung pertukaran agama sudah diselesaikan oleh Mahkamah Persekutuan. 

Dalam kes R Subashini (Subashini a/p Rajasingam lwn. Saravanan a/l Thangathoray (2009)) di Mahkamah Persekutuan dan kes Nedunchelian V Uthiradam v. Nurshafiqah Mah Singai Annal & Ors [2005] 2 CLJ 306 yang dirujuk dalam penghakiman Subashini di atas, Mahkamah Persekutuan sudah pun membuat tafsiran terhadap Artikel 12 (4) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi – “Bagi maksud Fasal (3) agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.” Mahkamah mentafsirkan bahawa hak menentukan agama seseorang kanak-kanak bergantung kepada seorang daripada antara ibu, bapa atau penjaga. Bermakna salah seorang daripada mereka berhak untuk menentukan agama yang boleh dianuti oleh anak mereka.

Ironinya, sama ada kita sedar atau tidak, penarikan balik rang undang-undang ini akan mencatat sejarah sekali lagi, bahawa cadangan pelaksanaan undang-undang Islam di peringkat Persekutuan di negara ini sentiasa memiliki ruang untuk diperkotak-katikkan walaupun Islam adalah agama bagi Persekutuan. Keputusan sudah dibuat. Dicadangkan kepada kerajaan untuk meneliti semula rang undang-undang ini dengan mengambil pandangan pelbagai pihak secara holistik, dan membentangkan semula dalam tempoh terdekat.

Pembentangan semula ini biarlah dalam bentuk pindaan kepada seksyen tertentu saja sebagaimana Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (Pindaan 2005). Wallahu’alam.

Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. sekretariatpgsm@yahoo.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/10 Harian Metro

Wednesday, July 3, 2013

KENYATAAN MEDIA RUU D.R 1/2013

Selasa, 2 JULAI, 2013
bersamaan 23 Sya’ban 1434H


KENYATAAN MEDIA

PERSATUAN PEGUAM SYARIE MALAYSIA (PGSM) 

BERHUBUNG RANG UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN 2013 [RUU D.R 1/2013]

Merujuk Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 [selepas ini dirujuk sebagai “RUU D.R 1/2013 tersebut”] yang telah dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat, maka Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dengan ini memberikan KENYATAAN sebagaimana berikut :-

  1. RUU D.R. 1/2013 tersebut secara keseluruhannya adalah BAIK untuk penambahbaikan pentadbiran agama Islam. Ianya suatu REVAMP (PENYUSUNAN SEMULA kepada Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1995 (Akta 505). Mungkin disebabkan ia banyak melibatkan pindaan yang perlu dibuat, maka diperkenalkan dalam bentuk akta baru, dan bukan dalam bentuk pindaan kepada seksyen-seksyen tertentu sahaja.

  1. Secara keseluruhannya, sebahagian besar peruntukan-peruntukan dalam Akta 505 dimasukkan dan ditambah dengan beberapa peruntukan baru yang bersesuaian.

  1. Secara keseluruhannya, peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam RUU D.R 1/2013 BUKAN suatu undang-undang yang baru, malah sebahagian besarnya telah terdapat dalam undang-undang pentadbiran agama Islam di negeri-negeri seperti Pahang (2001) ; Melaka (2002) ; Selangor (2003) ; Johor (2003) ; Pulau Pinang (2004) ; Kedah (2008) ; Terengganu (2008) ; Negeri Sembilan (2009) ; dan Perak (2009).

  1. Wilayah-Wilayah Persekutuan boleh dianggap sebagai TERKEBELAKANG berbanding dengan Negeri-negeri lain dalam menggubal dan meluluskan undang-undang baru pentadbiran agama Islam. Mungkin disebabkan undang-undang di Wilayah-Wilayah Persekutuan perlu mendapat kelulusan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat berbanding di negeri-negeri yang hanya perlu mendapatkan kelulusan majoriti ahli dewan undang negeri yang bilangan ahli perwakilannya lebih kecil berbanding Parlimen. Dalam usaha penyeragaman undang-undang Syariah di Negara ini, Wilayah Persekutuan sepatutnya menjadi pendahulu atau perintis, bukan ketinggalan berbanding negeri-negeri lain.

  1. Pindaan-pindaan baru yang dimasukkan dalam RUU D.R 1/2013 adalah samada mengambil contoh peruntukan dan apa yang telah dilaksanakan di negeri-negeri lain, atau yang menjadi amalan sekarang atau dibuat berdasarkan keputusan kes yang diputuskan sebelum ini. Contoh peruntukan-peruntukan baru yang dimasukkan dlm RUU D.R 1/2013 ini, antaranya ialah :

Seksyen 6, 26, 28, 35, 40, 41; 42, 49, 63, 64, 65, 66, 67, 100, 109 dan 113.

  1. PGSM dengan ini mengemukakan RESPON terhadap SEBAHAGIAN peruntukan-peruntukan dalam RUU D.R 1/2013 sebagaimana berikut :-

i.                     Seksyen 33 – Perlantikan Mufti dan Timbalan Mufti
Seksyen 33 (1) masih menggunakan perkataan “mana-mana orang” yang layak dan sesuai. Perkataan ini pada suatu masa akan menjadi masalah dan pertikaian.

Sebagaimana yang diputuskan oleh panel Mahkamah Rayuan yang dianggotai tiga hakim diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin memutuskan bahawa perkataan ‘mana-mana orang’ yang dinyatakan dalam Seksyen 59 (1) Akta 505 tersebut adalah termasuk orang yang bukan Islam, kerana jika niat badan perundangan adalah untuk menghalang orang bukan Islam diterima sebagai peguam syarie, maka ia harus dinyatakan dalam akta itu.

Merujuk kepada keputusan ini, dan jika perkataan mana-mana orang masih hendak digunakan dalam RUU D.R 1/2013 ini, secara literal, bermaksud bahawa Mufti dan Timbalan Mufti juga boleh dilantik dari kalangan bukan Islam.

PGSM mencadangkan perkataan “mana-mana orang” dalam RUU D.R 1/2013 DITUKAR kepada “MANA-MANA ORANG ISLAM”, supaya memberi maksud yang lebih tepat dan tidak mengelirukan.

ii.                   Seksyen 41 – Menerimapakai nasihat dan syor Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.
Seksyen ini memperuntukkan bahawa Jawatankuasa Fatwa hendaklah menerima nasihat dan syor Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan hendaklah disifatkan sebagai suatu fatwa dan diwartakan.

Yang agak pelik di sini ialah Majis Fatwa Kebangsaan tidak ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang atau akta, tetapi pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan pula mengikat Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan yang ditubuhkan berakar-umbikan undang-undang. Ini agak janggal.

PGSM mencadangkan pada masa yang sama, Kerajaan perlu mewujudkan satu undang-undang bagi menjadikan penubuhan Majlis Fatwa Kebangsaan sebagai suatu institusi yang mempunyai asas dan sumber perundangan yang kukuh.

iii.                 Seksyen 49 – Kod Etika Hakim Syarie dan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah
Peruntukan ini adalah suatu peruntukan yang baru dan DISOKONG. Dengan peruntukan ini, satu penetapan kod etika yang seragam dapat dibuat, yang mengikat semua Hakim Syarie dan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah.

Sebagai tambahan, PGSM mencadangkan untuk dimasukkan satu sub-klausa di bawah Seksyen 49 ini bagi mewujudkan satu JAWATANKUASA atau TRIBUNAL bagi mengawal dan mengambil tindakan terhadap perlanggaran kod etika dan disiplin Hakim Syariah dan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, yang mana Jawatankuasa atau Tribunal tersebut ditubuhkan oleh YDP Agong, atas syor Pengerusi Mahkamah Rayuan Syariah.

iv.                 Seksyen 51/52 – Bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah/Bidangkuasa Mahkamah Rendah Syariah
PGSM mencadangkan bidangkuasa mal Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan untuk mendengar dan memutuskan tuntutan perlu DIPERTINGKATKAN daripada nilai amaun atau nilai hal perkara yang dipertikaikan tidak melebihi seratus ribu (sebagaimana yang dicadangkan dalam sub-Seksyen 52 (b) RUU D.R 1/2013) DIPERTINGKATKAN LAGI kepada lima ratus ribu ringgit (RM500,000.00).

PGSM berpandangan, jumlah RM100,000.00 tidak reflek kepada kehendak semasa. Contohnya jika Mahkamah Rendah Syariah diberikan kuasa untuk dengar tuntutan yang berjumlah sehingga RM500,000.00, maka Mahkamah Tinggi Syariah dapat menumpukan kepada kes-kes berkaitan harta sepencarian dan hadanah serta kes yang berjumlah besar sahaja. Cadangan ini dapat mengurangkan lambakan kes di Mahkamah Tinggi Syariah yang kadang-kadang mempunyai jumlah hakim yang minimum berbanding hakim Mahkamah Rendah Syariah. Ia juga dapat mengelakkan kes-kes tertunggak atau lama untuk diselesaikan.

v.                   Seksyen 66 – Jawatankuasa Kaedah Mahkamah Syariah
PGSM mengalu-alukan peruntukan Sub-Seksyen 66 (2)(e) yang memperuntukkan wakil Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dalam Jawatankuasa Kaedah Mahkamah Syariah.

Ini adalah suatu pengiktirafan yang AMAT BESAR terhadap peranan PGSM dalam membantu kelicinan perjalanan Mahkamah Syariah, dan memastikan masyarakat Islam mendapat perkhidmatan yang terbaik daripada kerajaan.

Sebarang kaedah yang akan dibuat sudah pasti akan melibatkan Peguam Syarie yang beramal di Mahkamah Syariah, dan kehadiran wakil PGSM dalam jawatankuasa tersebut boleh mencambahkan pandangan yang membina dan berkesan, terhadap kaedah-kaedah Mahkamah Syariah yang akan digubal.

vi.                 Seksyen 67 – Arahan Amalan
Peruntukan ini menjadikan Arahan Amalan yang sebelum ini bersifat directory (panduan) menjadi sebagai suatu yang bersifat compulsory (mengikat).

PGSM berpandangan cadangan menaiktaraf Arahan Amalan sebagai sesuatu yang mengikat, tanpa menuruti proses perundangan adalah suatu yang janggal. Jika niat menjadikan Arahan Amalan sebagai suatu undang-undang yang mengikat, ia harus diwartakan dan digazetkan. PGSM khuatir jika Arahan Amalan yang dikeluarkan tanpa rundingan dan secara mendadak akan memberi kesan kepada Peguam Syarie yang beramal di Mahkamah Syariah.

PGSM mencadangkan supaya Seksyen 67 ini DIKAJI SEMULA. Adalah lebih baik membiarkan Arahan Amalan itu kekal sebagaimana amalan sekarang, kerana Arahan Amalan sepatutnya bersifat pentadbiran, bukan bersifat perundangan.

PGSM mencadangkan mekanisme yang telah sedia ada dalam undang-undang tersebut boleh dimanfaatkan melalui penubuhan Jawatankuasa yang boleh mencadangkan undang-undang kecil, bagi menjadikan Arahan Amalan sebagai suatu peraturan atau kaedah yang lebih bersifat komprehensif.

vii.               Seksyen 70 – Peguam Syarie
Sub-seksyen 70 (1) masih menggunakan perkataan “mana-mana orang” yang layak dan sesuai. Perkataan ini telah pun menjadi pertikaian sebagaimana yang diputuskan oleh panel Mahkamah Rayuan yang dianggotai tiga hakim diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin memutuskan bahawa perkataan ‘mana-mana orang’ yang dinyatakan dalam Seksyen 59 (1) Akta 505 tersebut adalah termasuk orang yang bukan Islam, kerana jika niat badan perundangan adalah untuk menghalang orang bukan Islam diterima sebagai peguam syarie, maka ia harus dinyatakan dalam akta itu.

PGSM MEMBANTAH perkataan “mana-mana orang” dalam Sub-Seksyen 70 (1) ini masih digunakan dalam RUU D.R 1/2013 dan mencadangkan ia DITUKAR kepada “MANA-MANA ORANG ISLAM”, supaya lebih tepat dan tidak mengelirukan.

PGSM amat BERSETUJU dengan peruntukan sub-seksyen 70 (4) RUU D.R 1/2013 tersebut yang membolehkan seseorang Peguam Syarie yang telah diterima masuk sebagai Peguam Syarie di mana-mana negeri lain untuk diterima masuk di Wilayah Persekutuan dengan hanya menyertakan bukti bahawa dia telah memilik Sijil Amalan Negeri tersebut. Ini adalah satu langkah yang baik dalam mengiktitaf peguam Syarie satu Negara.

viii.             Seksyen 100 – Perlantikan Ketua Pendaftar Muallaf dan Pendaftar Muallaf
Ini adalah peruntukan baru yang memberikan tugas kepada Ketua Pendaftar Muallaf untuk menyelenggarakan suatu Daftar Muallaf dan mempunyai Pendaftar Muallaf yang membantu Ketua Pendaftar dalam melaksanakan tugasnya.

Cadangan ini sebagai langkah formaliti untuk memastikan seorang yang mengetuai Pendaftar-Pendaftar dalam menyelenggarakan kesemua Daftar Muallaf di seluruh Wilayah Persekutuan, agar rekod-rekod muallaf dapat dikemaskini dan diperkemaskan.  

Namun, PGSM menegaskan bahawa isu sebenar yang perlu juga disentuh ialah bagaimana untuk memberikan tugas secara statutory kepada Ketua Pendaftar Muallaf bagi memantau, mendidik muallaf dan seterusnya mengelakkan kejadian murtad di kalangan muallaf.

Maka, sebagai TAMBAHAN, PGSM mencadangkan supaya suatu peruntukan tambahan dimasukkan dengan menyatakan tugas-tugas Ketua Pendaftar Muallaf dan Pendaftar Muallaf terutama memantau, mendidik muallaf dan seterusnya mengelakkan kejadian murtad di kalangan muallaf.

ix.                 Seksyen 107 – Keupayaan untuk memeluk agama Islam
PGSM menegaskan bahawa tiada apa perubahan radikal dalam Seksyen 107 RUU D.R 1/2013 ini berbanding akta yang lama (Akta 505).

Peruntukan ini sebenarnya TELAH SEDIA ADA dalam Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505), dan telah sedia dilaksanakan sejak tahun 1993 sehingga sekarang.

PGSM beranggapan bahawa pihak-pihak yang mempertikaikan Seksyen ini berkemungkinan tidak faham dan perlu diberikan penjelasan.

PGSM tegaskan bahawa sekiranya keseluruhan RUU D.R 1/2013 ini ditarik balik, maka bermakna bahawa kedudukan Seksyen 95 dalam Akta 505 tersebut akan dikekalkan.

PGSM berpendirian bahawa kedudukan Seksyen 107 RUU D.R 1/2013 itu adalah selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Susie Teoh dan beberapa kes lain yang menyatakan seorang anak bawah umur boleh memeluk Islam dengan kebenaran daripada ibu atau bapa atau penjaganya. Jadi tidak timbul soal Majlis Agama Islam ingin merampas hak mana-mana orang bukan Islam kerana Perlembagaan telah menetapkan sedemikian. Jika ada pihak yang tidak setuju dengan Seksyen 107 tersebut, bermakna Perlembagaan Persekutuan yang perlu dicadang untuk dipinda.

PGSM lebih setuju soal pemelukan anak kecil ini diputuskan oleh Mahkamah mengikut fakta kes masing-masing. Masalah yang lebih crucial adalah bagaimana seorang bapa yang memeluk Islam bersama anaknya, hendaklah juga menjaga silaturrahim dengan ibunya yang masih belum memeluk Islam. Ini penting kerana akidah seseorang sepatutnya tidak memisahkan hak ibu dan anak.

x.                   Seksyen 113 - Hukum Syarak
Peruntukan ini adalah suatu peruntukan yang PENTING dalam mana-mana undang-undang Islam, di mana jika terdapat mana-mana peruntukan yang tidak selaras dengan Hukum Syarak, maka peruntukan itu terbatal setakat yang tidak selaras itu, dan jika terdapat apa-apa lacuna dalam RUU D.R 1/2013 tersebut, maka Mahkamah hendaklah memakai Hukum Syarak.

  1. PGSM MENYERU kesemua wakil Rakyat beragama Islam di Parlimen untuk BERSATU HATI dan menyokong RUU D.R 1/2013 ini, bagi memastikan Rang Undang-undang ini dapat diluluskan dengan lancar dan berkesan.

  1. PGSM tegaskan bahawa RUU D.R 1/2013 tersebut tidak berbahaya dan tidak bersifat subversive sebagaimana dakwaan sesetengah pihak. Orang bukan Islam tidak perlu risau dengan pindaan tersebut kerana RUU D.R 1/2013 digubal bagi mentadbir undang-undang Islam serta institusi-institusi berkaitan dengan Islam di Wilayah Persekutuan, yang digubal menurut kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua agama Islam di dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan, sebagaimana yang ditetapkan dan dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sekian, untuk siaran.

Terima kasih.

“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak”

Yang benar,

(MUSA AWANG, P.P.N)
Presiden
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
019-387 0105


Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...