Wednesday, July 10, 2013

Elak dipolemik dengan fakta salah

Oleh Musa Awang

Ramai tertanya-tanya mengenai keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang menarik balik Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2013 yang dibaca kali pertama di Dewan Rakyat pada 26 Jun lalu.

Sesuatu yang tidak mengejutkan kerana ia pernah berlaku ketika pembentangan rang undang-undang Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (Pindaan 2005), yang sudah diwartakan tetapi ditangguhkan pelaksanaannya kerana mendapat bantahan pihak tertentu. Selepas lima tahun tertangguh, barulah ia dilaksanakan. Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2013 menerima nasib sama iaitu terpaksa ditarik balik walaupun baru pada peringkat bacaan kali pertama dan belum dibahaskan oleh Ahli Dewan Rakyat.

Mungkin pembentangan rang undang-undang ini dibuat terlalu awal. Ia adalah rang undang-undang pertama pada sidang Parlimen kali pertama selepas PRU-13.

Gelanggang baru dibuka. Percaturan dan helah dalam gelanggang Parlimen belum dapat dibaca dan dikenal pasti. Pada masa akan datang, sebarang rang undang-undang berkaitan agama Islam perlu dibentangkan pada masa sesuai selepas mengambil kira pelbagai perkara yang bakal berlaku dalam Parlimen.

Apa yang dikesalkan apabila Ahli Parlimen beragama Islam baik daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang berdiam diri dalam mempertahankan rang undang-undang Islam ini, sebelum ia diputuskan untuk ditarik balik. Lebih malang, dalam kalangan wakil rakyat kerajaan sendiri ada yang menentang rang undang-undang berkenaan.

Walaupun rang undang-undang ini secara keseluruhannya baik untuk penambahbaikan pentadbiran agama Islam, dengan memasukkan peruntukan baru yang bersesuaian iaitu sebahagian besarnya terdapat dalam undang-undang pentadbiran agama Islam di negeri lain, tetapi malangnya ia perlu ditarik balik atas kelemahan.

Dari sudut positif, tindakan kerajaan menarik balik rang undang-undang ini satu langkah baik buat masa sekarang. Dalam keadaan rang undang-undang ini dipolemikkan dan digembar-gemburkan oleh pihak tertentu dengan fakta dan hujahan salah, adalah tidak wajar ia dibiarkan terus menjadi perbahasan umum. Pihak tertentu cuba memanipulasi dan memperbesarkan isu berkenaan pertukaran agama di bawah seksyen 107, sedangkan banyak lagi peruntukan lain dalam rang undang-undang ini.

Tiada perubahan drastik Walaupun hakikatnya tiada apa perubahan drastik dalam seksyen 107 rang undang-undang ini berbanding akta yang lama (Akta 505). Peruntukan cadangan itu juga selaras dengan keputusan mahkamah yang diputuskan sebelum ini.

Namun, akibat polemik dicetuskan, masyarakat awam yang tidak mendapat maklumat sebenar akan menganggap seolah-olah Islam itu berat sebelah, kejam, cuba merampas hak bukan Islam dan berbagai lagi tanggapan negatif terhadap Islam.

Maka, penarikan balik rang undang-undang ini akan mengekalkan status quo seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) yang memperuntukkan seseorang boleh masuk Islam jika dia sempurna akal dan jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan kemasukannya.

Kesan negatif terhadap penarikan balik rang-undang ini menampakkan seolah-olah kerajaan yang ada kelihatan lemah dan seperti tunduk kepada desakan pihak tertentu serta tidak bertegas dalam perkara membabitkan Islam. Wakil rakyat di pihak kerajaan juga kelihatan tidak bersatu walaupun atas perkara yang dibentangkan menteri kerajaan. Rang undang-undang ini dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, dan keputusan menarik balik rang undang-undang ini diputuskan oleh Jemaah Menteri serta diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penarikan balik rang undang-undang ini bukan suatu jaminan akan menghentikan perbincangan di luar Parlimen berhubung proses pertukaran agama yang dicanangkan. Pihak tertentu akan terus memukul gendang walaupun hakikat sebenarnya masalah berhubung pertukaran agama sudah diselesaikan oleh Mahkamah Persekutuan. 

Dalam kes R Subashini (Subashini a/p Rajasingam lwn. Saravanan a/l Thangathoray (2009)) di Mahkamah Persekutuan dan kes Nedunchelian V Uthiradam v. Nurshafiqah Mah Singai Annal & Ors [2005] 2 CLJ 306 yang dirujuk dalam penghakiman Subashini di atas, Mahkamah Persekutuan sudah pun membuat tafsiran terhadap Artikel 12 (4) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi – “Bagi maksud Fasal (3) agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.” Mahkamah mentafsirkan bahawa hak menentukan agama seseorang kanak-kanak bergantung kepada seorang daripada antara ibu, bapa atau penjaga. Bermakna salah seorang daripada mereka berhak untuk menentukan agama yang boleh dianuti oleh anak mereka.

Ironinya, sama ada kita sedar atau tidak, penarikan balik rang undang-undang ini akan mencatat sejarah sekali lagi, bahawa cadangan pelaksanaan undang-undang Islam di peringkat Persekutuan di negara ini sentiasa memiliki ruang untuk diperkotak-katikkan walaupun Islam adalah agama bagi Persekutuan. Keputusan sudah dibuat. Dicadangkan kepada kerajaan untuk meneliti semula rang undang-undang ini dengan mengambil pandangan pelbagai pihak secara holistik, dan membentangkan semula dalam tempoh terdekat.

Pembentangan semula ini biarlah dalam bentuk pindaan kepada seksyen tertentu saja sebagaimana Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (Pindaan 2005). Wallahu’alam.

Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. sekretariatpgsm@yahoo.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/10 Harian Metro

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...