Saturday, December 29, 2012

Ibu lebih sesuai jaga anak


Oleh Musa Awang

Minda, Mymetro
27 Disember 2012

Sebahagian daripada kes hadanah (hak jagaan) anak-anak di Mahkamah Syariah difailkan oleh bapa, walaupun dalam sesetengah kes, anak yang dituntut masih di bawah umur mumayyiz (umur kecerdikan). Mahkamah tidak boleh menghalang seseorang membuat tuntutan, namun sebelum sesuatu tindakan dibuat, bapa perlu tahu adakah mereka berhak terhadap hadanah anak-anak yang masih kecil.

Dari sudut bahasa, hadanah diambil dari perkataan al-hidn yang bererti rusuk atau dada, kerana kebiasaannya kanak-kanak akan didukung pada rusuk atau dada. Dari sudut Syara’, mazhab al-Shafie mendefinisikan hadanah sebagai menjaga orang yang tidak boleh bersendirian menguruskan dirinya daripada perkara yang menyakitkannya kerana dia tidak mumayyiz, seperti kanak-kanak dan orang besar yang gila. Juga dengan mendidik orang tersebut dengan perkara yang memberi maslahah kepadanya sama ada berkaitan pemeliharaan makanan, minuman dan sebagainya.

Hukum hadanah ke atas kanak-kanak adalah wajib, kerana mengabaikannya bererti membiarkannya kepada bahaya dan kebinasaan. Sebab itu apabila ibu dan bapa telah tinggal berasingan atau telah berlaku perceraian, adalah menjadi kewajipan kepada Mahkamah Syariah untuk memutuskan berkenaan hadanah kepada salah seorang daripada ibu atau bapa atau kepada seorang yang lain.

Menurut Syed Sabiq dalam kitabnya Fiqh As-Sunnah (Juzuk 8) menyatakan bahawa sesungguhnya setiap penjaga dan anak jagaan masing-masing mempunyai hak. Akan tetapi hak anak atau maslahah anak lebih penting dari hak penjaganya.

Maka atas dasar kemaslahatan anak, Islam telah menetapkan hak hadanah kepada seorang ibu, selama mana dia belum berkahwin lain. Dalam hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar bahawa seorang wanita pernah datang kepada Baginda s.a.w dan bertanya “Ya Rasulullah, anakku ini, perutkulah yang mengandungnya, susu akulah minumannya dan ribaanku rumahnya tetapi bapanya telah menceraikan aku dan hendak merampas anak itu daripada aku”. Selepas mendengar aduan itu Rasulullah saw bersabda, “Engkaulah yang lebih berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain”.- (HR Ahmad dan Abu Dawud)

Ibu diberi keutamaan untuk mendapat hadanah, kerana ibu mempunyai ciri-ciri dan sifat yang lebih sesuai untuk tujuan pengasuhan jika dibandingkan dengan bapa. Ibu lebih tahu bagaimana mendidik anak, lebih sabar, dan ibu mempunyai lebih masa berdampingan dan bermanja dengan anak-anak berbanding dengan bapa yang sibuk mencari nafkah untuk keluarga.

Hak dan tanggungjawab ibu akan berterusan sehingga kanak-kanak tersebut mencapai umur mumayyiz (umur kecerdikan). Seksyen 84 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan [Akta 303] memperuntukkan - Hak hadinah bagi menjaga seseorang kanak-kanak adalah tamat setelah kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu perempuan, tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan hadinah, membenarkan dia menjaga kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sebelas tahun, jika kanak-kanak itu perempuan.

Meskipun syara’ menetapkan ibu orang yang paling berhak terhadap hadanah, tetapi hak tersebut tertakluk kepada beberapa syarat yang telah ditetapkan. Sekiranya seorang ibu itu tidak dapat memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, maka hak dan tanggungjawab hadanah tersebut akan jatuh kepada orang yang seterusnya mengikut turutan yang telah ditetapkan.

Ibu yang telah berkahwin dengan lelaki lain yang tidak mempunyai hubungan mahram dengan anak itu akan menggugurkan hak hadanah baginya. Menurut mazhab Syafi’i, seseorang penjaga (hadinah) mestilah seorang Islam kerana seorang ibu yang kafir atau murtad tidak berhak mengasuh kanak-kanak kecil. Penjaga juga mestilah berakal waras. Orang gila tidak boleh menjadi pengasuh kecuali gilanya itu terlalu sedikit, seperti sehari dalam masa setahun. Ibu yang mempunyai sifat khianat juga tidak berhak menjadi penjaga, kerana dia tidak akan menjaga kanak-kanak itu dengan sebaik mungkin.

Penjaga juga mestilah baliqh, merdeka dan wanita yang baik serta bermoral tinggi. Perempuan fasik, seperti penzina, peminum arak, pencuri dan sebagainya tidak berhak menjadi pengasuh. Kanak-kanak juga tidak boleh diserahkan kepada ibu jika mereka tidak mempunyai tempat tinggal tetap, sama ada milik sendiri atau rumah sewa. 

Seksyen 82 Akta 303 memperuntukkan bahawa - "syarat-syarat menjadi hadinah ialah -
(a) dia adalah seorang Islam ;
(b) dia adalah sempurna akal ;
(c) dia berumur yang melayakkan dia memberikan kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang diperlukan oleh kanak-kanak itu '
(d) dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah ; dan
(e) dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani." 

Mempunyai akhlak yang mulia adalah menjadi keutamaan kepada orang yang memelihara kanak-kanak pasangan yang bercerai, bertujuan untuk memelihara kanak-kanak tersebut daripada sifat-sifat buruk yang boleh merosakkan akhlak. Jika ibu telah hilang kelayakan untuk hadanah atau meninggal dunia, hak tersebut akan berpindah kepada nenek sebelah ibu. Jika nenek juga tidak layak, barulah berpindah kepada bapa.

Jika ibu atau nenek masih hidup dan tidak hilang kelayakannya di sisi Syarak untuk hadanah, maka bapa usahlah membuang masa mereka dan masa mahkamah menuntut sesuatu yang bukan hak mereka. Cukuplah bapa menuntut hak melawat (haqqul ziarah) anak-anak tersebut. Yakinlah dengan Syarak kenapa kaum ibu diberikan keutamaan menjaga anak-anak.

Apabila sampai umur mumayyiz anak-anak tersebut boleh berfikir dan membuat pilihan sendiri mana yang terbaik untuk mereka, samada tinggal bersama ibu atau bapa. Seksyen 84 (2) Akta yang sama memperuntukkan - Setelah tamatnya hak hadinah, penjagaan adalah turun kepada bapa, dan jika kanak-kanak itu telah mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz), maka kanak-kanak itu adalah berhak memilih untuk tinggal dengan sama ada ibu atau bapanya, melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.

Dalam satu hadith riwayat Imam Ahmad, dikisahkan bahawa Rasulullah s.a.w telah menyuruh seorang anak yang sudah mumaiyyiz memilih sama ada ibu atau bapa yang dia suka tinggal. “Wahai anak! Ini bapamu dan ini ibumu, peganglah tangan siapa yang kamu suka antara mereka berdua. Lalu anak itu memegang tangan ibunya, lantas ibunya membawa ia pergi.” (HR Imam Ahmad)

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...