Isu 300 peguam syarie di Pulau Pinang yang didakwa terpaksa menjalankan urusan guaman syariah tanpa tauliah Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) tidak menimbulkan masalah besar kerana kesemua mereka telah membuat bayaran RM100 bagi memperbaharui sijil pertauliahan, kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang.

Menurut, sijil tauliah atau sijil amalan milik seseorang peguam syarie  perlu diperbaharui setiap tahun. 

Bagaimanapun, katanya, apa yang terjadi di Pulau Pinang hanyalah ketiadaan sijil amalan dan bukan tiada pertauliahan. 

"Saya ada tanya kawan di Pulau Pinang. Mereka beritahu, bukan 300 peguam syariah tiada tauliah. Tetapi sijil amalan tersebut tiada siapa nak tandatangan. Mereka dah bayar wang untuk perbaharui. 

"Saya tak nampak masalah besar sangat. Cuma secara fizikal sijil tak ada. Benda ini masalah dalaman. Saya harap perkara ini dapat diselesaikan segera. Yang penting mereka bayar untuk perbaharui," katanya ketika dihubungi Malaysiakini. 

Selain itu, kata Musa, khidmat guaman masih lagi boleh dijalankan seperti biasa dengan menggunakan slip bayaran yang telah dibuat. 

Semalam akhbar Berita Harian melaporkan, seramai 300 peguam syariah di Pulau Pinang terpaksa menjalankan urusan guaman syariah tanpa tauliah MAIPP berikutan perebutan kuasa dalam institusi tertinggi majlis agama Islam negeri. 

Akhbar itu melaporkan lagi, perkara yang berlanjutan sejak enam bulan lalu itu disebabkan kegagalan kerajaan DAP Pulau Pinang mengumumkan nama individu yang dipertanggungjawabkan sebagai Yang Dipertua (YDP) secara rasmi. 

Selain itu, menurut akhbar itu lagi, 300 permohonan perbaharui surat tauliah yang dikemukakan pengamal undang-undang syariah di negeri tersebut belum lagi ditandatangani. 

Sehubungan itu, Musa memberi cadangan supaya pindaan dibuat agar bukan sahaja YDP diberi kebenaran untuk menandatangan sijil amalan tetapi juga Ketua Hakim. 

"Seperti yang dilakukan di Selangor, saya harap ada pindaan yang membolehkan Ketua Hakim yang tandatangan surat tersebut berbanding sebelum ini, iaitu YDP," kata Musa lagi.