Tuesday, November 6, 2012

Tangani isu murtad


Ambil iktibar daripada Perjanjian Hudaibiyah antara Nabi dengan musyrikin Makkah

Oleh Musa Awang


KES permohonan keluar Islam atau murtad adalah isu yang sensitif kerana menyentuh kaum dan agama lain di Malaysia. Namun dalam masyarakat majmuk di negara ini, ia tidak dapat dielakkan untuk dibicarakan. Penulis percaya bahawa rakyat Malaysia sudah cukup matang untuk membicarakan isu itu dengan fikiran terbuka.

Sebagai peguam syarie, penulis tidak dapat mengelak daripada didatangi pelanggan yang mahukan penulis mewakili mereka dalam permohonan keluar Islam. Tinggal tepuk dada tanya iman. Pernah dilaporkan oleh Harian Metro pada 5 Oktober lalu, membabitkan segelintir peguam syarie yang dikatakan menggadaikan prinsip dan agama sendiri dengan mewakili pemohon yang ingin keluar Islam kerana wang ringgit.

Penulis percaya yang terbabit hanya sebahagian kecil saja dan yakin majoriti peguam syarie masih berpegang kepada hukum syarak dan meletakkan Islam sebagai prinsip yang teratas dan tertinggi. Memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika jawapan lisan kepada soalan daripada Er Teck Hwa (DAP-Bakri) di Dewan Rakyat, Mahkamah Syariah menerima 863 kes permohonan untuk menukar status agama Islam dari tahun 2000 hingga 2010.


Sejumlah 168 orang yang memohon untuk meninggalkan agama Islam diluluskan. Pada pandangan penulis, masyarakat dan institusi Islam di negara ini perlu tahu betapa serius atau tidaknya perkara itu dan mengambil tindakan pencegahan yang sewajarnya.

Berdasarkan Jadual Sembilan, Senarai II Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahihan seseorang itu masuk Islam, menentukan seseorang itu masih lagi beragama Islam atau sudah meninggalkan agama Islam dan mengambil tindakan atas kesalahan keluar agama Islam. Ini disebut dengan jelas di dalam kebanyakan enakmen pentadbiran agama Islam negeri-negeri di Malaysia. Sebenarnya, tiada istilah permohonan untuk murtad atau keluar daripada agama Islam di dalam mana-mana enakmen negeri. Permohonan yang ada ialah permohonan pengisytiharan status agama sama ada seseorang itu masih beragama Islam atau tidak. Anggapan bahawa Mahkamah Syariah mengesahkan atau membenarkan seseorang itu murtad adalah silap. Mahkamah Syariah tidak pernah membenarkan seseorang itu murtad, tetapi membuat pengisytiharan status agama seseorang itu bukan lagi orang Islam.

Umumnya, terdapat tiga pendekatan bagi mereka yang murtad di Malaysia mengikut undang-undang. Pertama dengan didakwa sebagai kesalahan jenayah syariah yang boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau disebat sehingga enam sebatan atau campuran mana-mana daripada ketiga-tiga bentuk hukuman ini. Kedua dengan tahanan mandatori di Pusat Pemulihan Aqidah sehingga tempoh 36 bulan. Ketiga, tiada sebarang bentuk hukuman, tetapi diwajibkan melalui sesi kaunseling sebelum kebenaran keluar Islam diluluskan.

Hasil pengamatan penulis, terdapat tiga kategori pihak memohon pengisytiharan status agama di Mahkamah Syariah. Kategori pertama ialah golongan yang sejak kecil tinggal bersama dan dibesarkan dalam keluarga bukan Islam, mengamalkan agama bukan Islam, hanya tinggal nama dan status Islam dalam kad pengenalan. Sejak kecil, mereka tidak pernah mendapat didikan agama Islam atau bimbingan daripada ibu bapa, tidak mendapat kasih sayang atau diabaikan oleh ibu bapa atau keluarga bercerai. Kategori kedua ialah mereka yang menganut agama Islam selepas berumur 18 tahun, tetapi kemudian ingin kembali semula ke agama asal atas sebab tertentu. Antaranya disebabkan memeluk Islam kerana berkahwin dan kemudian berlaku perceraian, saudara baru yang memeluk Islam dengan tujuan mendapat kemudahan atau simpati apabila gagal mendapat bantuan berterusan, kurang perhatian orang Islam terhadap saudara baru bermasalah dan tiada tempat berlindung menyebabkan mereka putus asa, atau saudara baru yang tidak mendapat bimbingan agama atau mendapat bimbingan agama, tetapi hanya separuh jalan.

Ketiga ialah golongan yang lahir dan dibesarkan dalam keluarga Islam, tetapi memilih untuk keluar daripada agama Islam atas faktor seperti tuntutan cinta atau berkahwin dengan bangsa asing, terpengaruh dengan ajaran sesat, ‘black metal’, dadah dan gejala bersifat negatif, pergaulan bebas lelaki dan perempuan tanpa kawalan daripada ibu bapa, kejahilan dalam ilmu tauhid, tidak mendapat didikan agama dan bimbingan daripada ibu bapa sendiri yang juga jahil dan tidak mahu belajar agama. Namun, tidak ramai daripada kategori ini yang memohon pengisytiharan di Mahkamah Syariah berbanding kategori pertama dan kategori kedua. Kebiasaannya, permohonan untuk pengisytiharan agama akan diikuti sekali dengan permohonan untuk menukar nama dan status agama di dalam kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara. Peraturan 14 Peraturan Pendaftaran Negara 1990 mengkehendaki setiap permohonan menukar status agama mestilah mendapat Perintah dari Mahkamah Syariah. Penulis percaya, jika tidak ada peraturan sebegini, bayangkan sudah berapa ramai orang Islam bertukar nama dan status dalam kad pengenalan mereka dengan mudah.


Suatu kajian perlu dibuat bagi mengenal pasti berapa ramai saudara baru atau mualaf kembali ke agama asal mereka, dan mengapa terjadi demikian. Banyak usaha perlu dibuat untuk mencegah pencemaran akidah yang boleh membawa kepada gejala murtad.

Pendekatan dakwah perlu dikemas kini di semua peringkat dan lapisan masyarakat, memperkukuhkan institusi kekeluargaan, mengadakan program keluarga angkat saudara baru, menghapuskan program hiburan melampau di media tempatan, memperkukuhkan jati diri masyarakat Islam, mempamerkan contoh teladan yang baik kepada bukan Islam. Murtad akan berlaku sama ada diisytiharkan atau tidak oleh mahkamah. Catatan agama Islam dalam kad pengenalan bukan penentu sebenar akidah seseorang. Mengembalikan mereka ke pangkuan Islam adalah kejayaan besar bagi kita.

Penulis percaya bahawa pakar perundangan dan cendikiawan Islam perlu melihat kepada roh Perjanjian Hudaibiyah ditandatangani oleh Nabi s.a.w dengan orang musyrikin Makkah pada tahun keenam Hijrah (628 Masihi). Antara isi kandungan perjanjian itu ialah sesiapa di antara orang musyrikin Quraisy yang menganuti agama Islam tanpa izin walinya iaitu ibu bapa atau penjaganya hendaklah dikembalikan kepada kaum keluarganya atau kembali kepada agama asalnya.

Bagi orang Islam yang memihak kepada musyrikin atau menganut agama lain tidak perlu dihantar balik. Baginda bersetuju mengembalikan orang musyrikin yang menganut Islam tanpa izin walinya kerana baginda yakin mereka adalah golongan yang dibuka hatinya menerima hidayah Allah s.w.t, sanggup meninggalkan keluarga demi Islam dan tidak akan berubah hati mereka.

Apabila mereka dikembalikan kepada keluarga, mereka boleh pula berdakwah di kalangan keluarga masing-masing. Hikmah daripada kebijaksanaan baginda Rasulullah ini, dakwah Islam semakin tersebar, program dakwah Islamiyah digerakkan ke seluruh pelosok Semenanjung Tanah Arab secara aman dan umat Islam semakin bertambah. Penulis boleh dihubungi melalui e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Disiarkan dalam Harian Metro, Rabu 7/11/2012

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...