Sunday, July 16, 2017

Kelantan Lulus Hukum Sebat Khalayak Ramai, PINDAAN TAK BERCANGGAH PERLEMBAGAAN

Berita Harian
Jumaat, 14 Julai 2017

KELANTAN LULUS HUKUM SEBAT KHALAYAK RAMAI
Pindaan tak bercanggah Perlembagaan



Pindaan yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN) terhadap Enakmenan Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) berkenaan antara lain membolehkan pesalah syariah disebat di khalayak ramai selain meningkatkan denda dan tempoh penjara. Selain itu, pindaan enakmen itu juga membabitkan penambahan hukuman denda daripada RM1,000 kepada RM2,000 atau RM3,000.

Pindaan itu hanya penambaikan, bukan mengadakan undang-undang baru. Pindaan itu masih dalam kerangka dibenarkan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355), iaitu sebatan tidak melebihi enam kali, denda tidak melebih RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun.

Proses pelaksanaan sebatan syariah diperuntukkan dengan jelas dalam Seksyen 125 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Kelantan) 2002 (Enakmen No. 8 tahun 2002), antaranya sub-Seksyen 125 (3)(c) yang memperuntukkan bahawa – “(c) hukuman hendaklah dilaksanakan di hadapan seorang Pegawai Perubatan Kerajaan di mana-mana tempat sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri bagi maksud itu.”

Peruntukan ini jelas beri kuasa kepada Mahkamah Syariah menentukan tempat sesuai menjalankan proses sebatan syariah.

Sebelum ini proses sebatan syariah dijalankan di penjara oleh pegawai penjara dengan disaksikan oleh pegawai penjara, pegawai mahkamah, Pegawai Perubatan dan beberapa orang lain yang dibenarkan. Dengan pindaan itu, bermaksud proses sebatan boleh dilaksanakan di tempat selain penjara, secara terbuka, samada Mahkamah Syariah atau tempat lain yang diarahkan oleh mahkamah yang mengeluarkan perintah sebatan.

Suka saya betulkan persepsi orang awam bahawa sebatan secara terbuka bukan bermaksud pesalah akan disebat di khalayak ramai seperti di Acheh, Indonesia. Saya yakin sekiranya pihak Kerajaan Kelantan ingin laksanakan proses sebatan sedemikian, suatu pertimbangan lebih mendalam dan teliti perlu dijalankan kerana dikhuatiri akan beri kesan yang lebih negatif berbanding positif.

Secara peribadi saya berpandangan dalam keadaan di mana jumlah maksimum sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah masih tidak melebihi enam kali, adalah lebih baik sebatan hanya dijalankan secara tertutup, di penjara. Suatu keadaan yang akan menyukarkan pihak terbabit (pesalah, Pegawai Penjara, Pegawai Perubatan dll.) untuk bawa keluar pesalah dari penjara bagi menjalani proses sebatan di luar atau tempat terbuka, sedangkan pesalah hanya akan disebat semaksimum enam kali sahaja.

Betul, niat atau tujuan yang baik ialah supaya ia disaksikan dan dijadikan pengajaran oleh sebahagian orang Islam lain mengikut kehendak Allah SWT dalam Al-Quran Surah An-Nur ayat 2, berbunyi – “… jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.”

Akan tetapi, perlu diingat, menyebat pesalah di khalayak ramai sebagaimana di Acheh bukan sahaja akan disaksikan oleh orang beriman, malah juga orang tidak beriman, orang fasiq, orang kafir dan orientalis yang akan mencari kelemahan Islam untuk digunakan semula sebagai senjata menyerang Islam.

Musa Awang
Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia. 

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...