Wednesday, January 14, 2015

Melihat kasih Allah di sebalik banjir



Harian Metro, 14 Januari 2015

Oleh Tuan Musa Awang

Musibah banjir tahun ini bermula Terengganu pada 15 Disember 2014, diikuti oleh Kelantan sehari berikutnya, dan dua hari berikutnya ke Pahang. Banjir melanda Perak pada 23 Disember 2014 kemudian diikuti oleh Johor dan Selangor pada 26 Disember 2014.

Jumlah mangsa banjir di tujuh negeri tersebut mencecah lebih 150,000 orang dengan Kelantan mencatat jumlah tertinggi. Selain negeri-negeri pantai timur di Malaysia, daerah-daerah seperti Yala, Narathiwat, Pattani di Thailand, Aceh, Bandung, Jawa Tengah di Indonesia, serta lima lagi daerah di Sri Lanka, turut mengalami nasib yang sama.

Banjir besar kali ini lebih teruk daripada banjir besar yang telah berlaku pada tahun 1926, 1967 dan 2004, berpunca daripada hujan lebat sebanyak 255mm, selama 24 jam sejak 21 Disember 2014. Malah sehingga ke hari ini, hujan lebat masih berterusan di beberapa negeri. Di samping itu, fenomena “new moon” iaitu fenomena air pasang surut yang dipengaruhi oleh kedudukan bulan yang hampir dengan bumi juga menjadi penyumbang utama kepada kejadian banjir besar ini.

Terdapat pelbagai sudut pandang mengenai musibah yang menimpa. Ada yang menyalahkan satu sama lain, dan ada juga yang menerima suratan takdir qada’ dan qadar Allah SWT.

Bahasa cinta Allah
Apa yang kita perlu lihat dengan mata hati kita, di sebalik titis-titis hujan lebat yang jatuh dari langit tanpa reda, hakikatnya Allah SWT membawa bahasa cinta-Nya kepada manusia bahawa Allah SWT kasihkan manusia. Ada hikmah dan kebaikan yang Allah SWT hendak tunjukkan.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah Kami kembali.” (Al Baqarah [02] : 156)

Andai musibah banjir ini tidak berlaku, pasti manusia akan dilekakan dengan sambutan dan konsert di ambang tahun baru, di mana hampir semua negeri akan menyambutnya dengan hiburan yang biasanya akan berakhir dengan maksiat.  

Disebabkan bencana yang berlaku, sambutan secara hiburan ini telah dibatalkan dan digantikan dengan acara lain yang lebih bermanfaat. Masjid-masjid dan surau-surau diwarnai dgn bacaan yasin, tahlil dan solat hajat. Jika tidak kerana musibah banjir, barangkali jemaah hanya datang untuk bersolat sahaja.

Dana kerajaan dapat disalurkan pada jalan yang betul kepada mangsa-mangsa banjir. Jika tidak, ia akan digunakan untuk membiayai sambutan hiburan, membakar bunga api dan sebagainya bagi sambutan ambang tahun baru.

Musibah banjir ini memberi ruang dan peluang kepada rakyat yang tidak ditimpa musibah tersebut memberi sedekah dan menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir dengan pelbagai cara, samada dalam bentuk bantuan kewangan, tenaga sebagai sukarelawan, dan dengan doa yang baik kepada mangsa-mangsa. Musibah menyatukan semua masyarakat dalam Negara ini tanpa mengira status, darjat keturunan, agama atau bangsa.

Kasih Allah SWT melalui musibah ini diperlihatkan dengan semua para pemimpin turun padang ke tempat musibah, termasuk perdana menteri YAB Dato; Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang sanggup balik dari urusannya di Hawaii, Amerika Syarikat terus ke Kota Bharu, Kelantan.

Musibah besar kali ini sepatutnya membuka mata kerajaan negeri yang memegang tampuk pentadbiran negeri, untuk memikirkan inisiatif yang lebih serius bagi mengatasi masalah banjir yang berlaku setiap tahun, dengan mengambil kira faktor geografi, sistem perparitan, aktiviti pembalakan atau penebangan hutan tanpa kawalan, dan sebagainya.

Kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan harus bekerjasama dalam mengenalpasti masalah-masalah untuk mengatasi masalah banjir, tanpa saling tuduh menuduh. Jika mereka masih berbalah, bumi yang sedia rosak akan merosakkan alam keseluruhan dan segalanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud, ”Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah (SWT) merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali ke jalan yang benar” (Surah ar-Rum [30] : 41)

Musibah banjir kali ini juga menzahirkan kemunculan semakin ramai golongan ‘al-fasiqun’ dalam masyarakat, iaitu orang yang fasiq atau derhaka kepada Allah SWT dengan menyebarkan berita-berita berunsur fitnah dan tohmah, yang lebih besar dosanya dari dosa membunuh.

Lebih malang lagi apabila para pengguna laman sosial yang lain, gemar menyebarkan fitnah dan tohmahan berkenaan banjir yang sedang melanda tersebut tanpa usul periksa tentang kesahihan maklumat tersebut. Musibah ini sama besar dengan musibah banjir itu sendiri, yang perlu ditangani segera. Tindakan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) menjejaki empat orang yang memulakan berita palsu tersebut wajar diberi pujian dan usaha tersebut perlu diperhebatkan pada masa-masa akan dating supaya golongan al-fasiqun ini diberi pengajaran yang sebaik-baiknya. 

Diampunkan dosa
Allah SWT memelihara umat manusia dengan kasih-Nya. Bentuk pemeliharaan Allah SWT terhadap manusia tidak bersifat seragam atau sama. Terhindar dari bahaya dan musibah adalah salah satu dari sekian banyak pemeliharaan Allah SWT.

Tetapi bukan bermakna orang yang ditimpa musibah itu tidak dipelihara oleh Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun". [Surah al-Baqarah [2] : 155-156]

Hikmah yang paling tersirat, orang Islam yang ditimpa musibah dan sabar dengan ujian tersebut akan diampunkan dosa-dosanya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Tiadalah seorang Mukmin yang ditimpa musibah tertusuk duri atau lebih (teruk) daripada itu melainkan dengannya (musibah tersebut) Allah akan menghapuskan sebahagian daripada dosa-dosanya." [HR Bukhari dan Muslim]

Wallahu’alam.

- Penulis ialah Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). E-mail : sekretariatpgsm@yahoo.com.






Tambah hierarki Mahkamah Syariah

Harian Metro, Khamis 1 Januari 2015

Oleh Musa awang

Hari ini, peningkatan kes-kes Syariah bukan sahaja dari segi kuantiti, malah melibatkan persoalan teknikal undang-undang yang semakin kompleks. Kes-kes di Mahkamah Syariah tidak tertumpu kepada kes-kes kekeluargaan sahaja, tetapi turut melibatkan persoalan undang-undang yang berkepentingan awam seperti pertukaran agama dan tuntutan yang berkaitan dengannya, kes-kes yang melibatkan warganegara asing dan konflik bidangkuasa yang rumit.

Isu yang diputuskan oleh pentadbir atau pihak berkuasa agama Islam, walaupun melibatkan kepentingan agama dan maslahah umat Islam, telah dibawa untuk diputuskan oleh mahkamah sivil. Sebagai contoh permohonan seorang wanita bukan Islam yang memohon sebagai peguam syarie yang ditolak diperingkat pentadbiran, telah dibawa ke mahkamah sivil. Terbaru isu fatwa Mufti Negeri Selangor berhubung pengharaman sebuah NGO juga telah dibawa ke mahkamah sivil.

Sepatutnya isu terbabit didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Syariah. Dan Mahkamah Syariah yang hendak memutuskan isu-isu tersebut perlulah mahkamah yang lebih berkompeten dan berwibawa.

Pada masa kini, Mahkamah Rayuan Syariah di setiap negeri merupakan mahkamah tertinggi yang mempunyai kuasa untuk mendengar rayuan daripada Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah dalam negeri tersebut, meliputi kes mal dan jenayah. Di samping itu, ia juga mempunyai kuasa pengawasan dan penyemakan.

Sejak kemerdekaan, hieraki Mahkamah Tinggi Syariah di negeri-negeri dan juga Wilayah-Wilayah Persekutuan hanya mempunyai dua tingkatan (2 tier system) prosiding rayuan sahaja, iaitu rayuan dari Mahkamah Tinggi Syariah Negeri ke Mahkamah Rayuan Syariah Negeri. Sekiranya pihak-pihak masih tidak berpuashati dengan keputusan Mahkamah Rayuan Syariah, tiada lagi forum untuk membuat rayuan atau semakan.

Sebagai contoh, dalam kes Yang Amat Mulia Tengku Ibrahim Bin Sultan Ismail Nasiruddin Shah lwn Kerajaan Negeri Terengganu berhubung dengan tuntutan harta pusaka Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III, keputusan telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Syariah, tetapi pihak-pihak yang tidak berpuashati, tidak mempunyai peluang untuk merayu ke peringkat yang lebih tinggi.

Selain itu, dalam kes Hawa binti Embong lwn Ahmad bin Muda, pihak responden yang tidak berpuashati dengan keputusan Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Terengganu telah memohon semakan ke Mahkamah Rayuan Syariah iaitu mahkamah yang sama. Sedangkan sesuatu semakan hendaklah dibuat kepada mahkamah yang lebih tinggi.

Berbeza dengan sistem rayuan di mahkamah sivil, keputusan Mahkamah Tinggi sivil boleh dirayu ke Mahkamah Rayuan sivil dan seterusnya ke Mahkamah Persekutuan.  Keadaan ini menggambarkan ketidakseimbangan dalam proses keadilan di mahkamah syariah antara rayuan daripada mahkamah rendah yang mempunyai 2 peringkat rayuan dengan Mahkamah Tinggi Syariah yang hanya mempunyai 1 peringkat rayuan sahaja.

Pelihara sistem keadilan
Sehubungan ini, kewajipan mewujudkan satu peringkat (tier) rayuan tertinggi iaitu Mahkamah Rayuan Khas Syariah (atau waimma nama lain yang lebih sesuai) perlu dilaksanakan segera oleh pihak Kerajaan dan Pihak Berkuasa Negeri-negeri supaya tuntutan memelihara sistem keadilan menurut hukum syarak dapat dilaksanakan kepada semua pihak dengan adil dan saksama sepertimana juga sistem kehakiman sivil.

Pihak yang masih tidak berpuashati dengan keputusan Mahkamah Rayuan Syariah Negeri masih boleh merayu ke satu tingkat lagi mahkamah rayuan yang dianggotai oleh lebih ramai panel-panel hakim. Ini tentu akan memberikan kepuasan hati kepada pihak-pihak yang bertikai disamping memperkasakan institusi mahkamah syariah di mata masyarakat Islam khususnya dan keseluruhan masyarakat secara umum.

Penubuhan setingkat lagi mahkamah rayuan khas syariah negeri ini menampakkan penzahiran usaha-usaha Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri terhadap kedudukan, kemuliaan dan keistimewaan institusi Raja-Raja Melayu dan institusi-institusi pengurusan agama Islam di bawah naungan Baginda, yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh setiap negeri.

Cadangan ini tidaklah sampai perlu membina suatu sistem atau prasarana baru, sekadar mempertingkatkan perjawatan dan menggunapakai prasarana sedia wujud.

Penubuhan mahkamah rayuan khas syariah juga menjadi satu proses dan mekanisme menyelaraskan keputusan undang-undang Islam di seluruh Malaysia, melalui keputusan kes yang diputuskan oleh ahli panel rayuan syariah yang sama di semua negeri yang merupakan keputusan yang muktamad dan tertinggi bagi sistem perundangan syariah.

Ia boleh direalisasikan dengan kaedah perlantikan ahli panel hakim tetap rayuan khas syariah terdiri daripada gabungan ahli-ahli panel tetap peringkat pusat dan ahli-ahli panel sidang yang dicadangkan oleh pihak berkuasa agama Islam Negeri. Manakala Pengerusi Panel Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Khas Syariah Negeri masih dikekalkan kuasanya kepada Ketua Hakim Syarie Negeri.

Keputusan undang-undang Islam yang selaras berkeupayaan memelihara dan memartabatkan fungsi institusi Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama atas kapasiti pemerintah dan Ulil Amri.

Pihak yang mendapat kesan tidak langsung berhubung cadangan pewujudan mahkamah rayuan khas syariah ini adalah Peguam Syarie, memandangkan bidang perkhidmatan guaman syarie buat masa ini amatlah terbatas berbanding dengan rakan-rakan mereka yang menjalankan perkhidmatan guaman sivil.

Cadangan pewujudan mahkamah rayuan khas syariah ini langsung tidak akan mengurangkan kuasa Sultan atau Raja atau SPBYDP Agong sebagai Ketua Agama di negeri-negeri dan di Wilayah-Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang dan Melaka, dan tidak melibatkan sebarang pindaan ke atas mana-mana Perkara, Jadual serta Bahagian di dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Cadangan ini hanya melibatkan pindaan kepada undang-undang sedia ada yang terdapat dalam Akta atau Enakmen atau Ordinan Pentadbiran Undang-Undang Islam Negeri-negeri sahaja. Pindaan ini hanya perlu dibentang dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri sahaja. Wallahu’alam.

- Penulis ialah Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). E-mail : sekretariatpgsm@yahoo.com                                                            

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...