Monday, August 10, 2009

Isu Arak Di Selangor-PGSM turut kesal

Utusan Malaysia 8 Ogos 2009
PGSM turut kesal

KUALA LUMPUR 7 Ogos -Tindakan Exco Selangor, Ronnie Liu yang mencampuri urusan penguatkuasaan undang-undang Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengundang kemarahan banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.
Terbaru, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PPSM) melahirkan kekesalan terhadap tindakan Ronnie yang dianggap tidak sepatutnya berlaku.
Timbalan Presidennya, Musa Awang berkata, sebagai individu yang diberi amanah memimpin kerajaan, Ronnie seharusnya menjalankan tanggungjawab secara bijaksana dengan mengambil kira sensitiviti majoriti rakyat.

"Sensitiviti umat Islam selaku penganut agama rasmi negara ini perlu dijaga dan dipertahankan. Selama ini masyarakat Islam banyak bertolak ansur tetapi dalam isu arak, ia merupakan sesuatu yang tidak boleh dikompromi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

"Sama ada sedikit atau banyak kandungan alkohol, minuman itu tetap haram di sisi Islam. Justeru, tindakan yang diambil seharusnya tidak mengutamakan kepentingan peribadi atau individu tertentu kerana ia mengguris sensitiviti masyarakat Islam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Ronnie yang mengarahkan MBSA memulangkan semula minuman keras dari sebuah kedai serbaneka di Jalan Liku, Seksyen 8, Shah Alam setelah merampasnya dalam satu operasi 30 Julai lalu.

Rampasan oleh Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan MBSA itu dibuat selepas menerima aduan daripada penduduk setempat sejak beberapa bulan lalu yang tidak berpuas hati kerana mendakwa premis berkenaan menjual minuman keras kepada umat Islam.
Dalam pada itu, Musa turut menggesa agar pemberian lesen penjualan arak diperketatkan dan dikawal di samping penguatkuasaan terhadap mana-mana pekedai yang melanggar undang-undang dibuat dengan lebih kerap.

Isu Arak Di Selangor- PGSM mahu tindakan tegas

Sinar Harian 8 Ogos 2009
PGSM mahu tindakan tegas

KUALA LUMPUR - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa pihak berkuasa tempatan bertindak tegas dalam pemberian lesen penjualan arak.

Timbalan Presidennya Musa Awang berkata, dalam usaha bagi memastikan umat Islam dikawal dan dijauhi dari terlibat dengan arak, pihak berkuasa perlulah memastikan penjualan arak terkawal dan tidak melibatkan orang Islam secara langsung atau tidak langsung.

“Orang Islam sama sekali perlu dilarang bekerja dimana-mana kedai yang menjual arak. Bagaimana pun, penjualan arak di 7-Eleven secara jelas telah melibatkan orang Islam kerana kebanyakan pekerja di kedai 24 jam itu, adalah
terdiri daripada orang Islam,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, PGSM turut kesal dengan tindakan Exco Selangor Ronnie Liu yang didakwa campur tangan dalam urusan penguatkuasaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkaitan penjualan arak.

“Ini tidak sepatutnya berlaku. Sebagai orang yang diberi amanah untuk memimpin kerajaan, beliau sepatutnya menjalankan tanggungjawab secara bijaksana dengan mengambil kira sensitiviti rakyat dan majoriti penduduk, tanpa mengutamakan kepentingan peribadi atau individu tertentu,” katanya.

Musa berkata PGSM turut menyokong sepenuhnya peraturan larangan penjualan arak di kawasan majoriti penduduk Melayu.

“Soal penduduk bukan Islam yang terpaksa ke kawasan lain bagi mendapatkan bekalan arak adalah tidak timbul kerana sensitiviti umat Islam perlu dijaga dan dipertahankan,” katanya.

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...