Wednesday, July 1, 2009

Rujuk Majlis isu tukar agama tindakan bijaksana



Artikel ini disiarkan Berita Harian pada 1 Julai 2009)

Oleh Musa Awang

Keputusan selaras tugas penting mengurus, beri nasihat, perundangan berkaitan Islam

KELMARIN, Mesyuarat Majlis Raja-Raja selama dua setengah jam di Istana Negara memutuskan supaya pandangan Majlis Agama Islam negeri diperoleh terlebih dulu berhubung cadangan pindaan undang-undang berkaitan penukaran agama dan pindaan kepada Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan).

Mesyuarat yang dipengerusikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Pada 22 April lalu, Kabinet membuat keputusan bahawa anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing ketika berkahwin, apabila ibu atau bapa mereka memeluk agama lain kemudian.

Kabinet berpendapat penukaran agama tidak boleh dijadikan alasan untuk membubarkan sesuatu perkahwinan secara automatik atau mendapatkan hak penjagaan anak. Jemaah Menteri juga bersetuju mana-mana individu yang ingin menukar agama, perlu menyelesaikan semua masalah berkaitan tanggungjawabnya terlebih dulu, bagi mengelak pihak tidak bersalah terutama kanak-kanak, menjadi mangsa.

Majlis Raja-Raja mempunyai peranan besar dalam Sistem Raja Berperlembagaan di negara kita. Majlis Raja-Raja adalah suatu majlis unik kerana ia satu-satunya institusi yang sedemikian rupa wujud di dunia pada masa kini.

Menyorot sejarah penubuhan Majlis Raja-Raja pada 1948, ia sebagai menggantikan Mesyuarat Raja-Raja Negeri-Negeri Bersekutu yang sebelum itu dikenali sebagai Majlis Raja-Raja Melayu (Durbar).

Mesyuarat Durbar kali pertama diadakan di Kuala Kangsar pada 1897. Majlis itu dianggotai empat raja dari Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang, yang dipengerusikan Pesuruhjaya Tinggi British.

Durbar timbul daripada perkataan Urdu-Parsi (Darbar) yang membawa maksud Istana Raja, dan juga bermaksud perjumpaan umum yang diadakan oleh Raja-Raja atau gabenor atau wizurai British di India pada masa dulu.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali pertama diadakan pada 31 Ogos dan 1 September 1948, yang dihadiri semua sembilan Raja Melayu. Apabila negara mencapai kemerdekaan, penubuhan Majlis Raja-Raja dikanunkan mengikut Perkara 38, Perlembagaan Persekutuan.

Fungsi dan tugas Majlis Raja-Raja adalah seperti dalam Jadual Kelima Perlembagaan Persekutuan:

• Memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan mengikut peruntukan jadual ketiga Perlembagaan Persekutuan;
• Mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama meliputi seluruh Persekutuan;
• Mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membuat atau memberi nasihat mengenai apa-apa perlantikan yang, menurut Perlembagaan, memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja;
• Melantik anggota Mahkamah Khas mengikut Fasal (1) Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan;
• Memberi ampun, penangguhan hukuman (reprief dan respit), atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman di bawah Fasal (12) Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Majlis Raja-Raja juga boleh menimbangkan soal mengenai dasar negara dan apa juga perkara lain yang difikirkannya patut. Apabila Majlis Raja-Raja menimbangkan perkara mengenai dasar negara, ia hendaklah disertai Perdana Menteri, Raja, Yang Dipertua Negeri disertai Menteri Besar atau Ketua Menteri.

Tiada undang-undang yang menyentuh secara langsung mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Majlis Raja-Raja. Majlis Raja-Raja juga hendaklah diminta buah fikirannya sebelum dibuat sebarang perubahan dasar mengenai tindakan pentadbiran mengikut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, iaitu mengenai kedudukan dan keistimewaan orang Melayu, Bumiputera serta hak kaum lain.

Majlis Raja-Raja juga mempunyai kuasa menurut budi bicara mereka dalam urusan berhubung:

• Memilih atau memecat Yang di-Pertuan Agong daripada jawatannya; atau memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan;
• Memberi nasihat mengenai pelantikan ditetapkan Perlembagaan;
• Mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu negeri atau yang menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran raja;
• Mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama meliputi seluruh Persekutuan;
• Pelantikan anggota Mahkamah Khas mengikut Fasal (1) Perkara 182; atau
• Pemberian ampun, penangguhan hukuman (reprief dan respite), atau peremitan, penggantungan atau peringanan hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) melihat tindakan Majlis Raja-Raja untuk merujuk dan mendapatkan pandangan Majlis Agama Islam berhubung keputusan Kabinet membuat peraturan pertukaran agama adalah tindakan bijaksana.

Ia kerana keputusan yang bakal dibuat itu pasti akan membabitkan banyak aspek iaitu sensitiviti agama, perkauman, termasuk institusi kekeluargaan seperti pembubaran perkahwinan, agama anak, hak penjagaan dan nafkah anak serta nafkah isteri.

Keputusan Majlis Raja-Raja juga bertepatan dengan seruan Allah yang bermaksud: "Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui." (Surah An-Nahl, ayat 43)

Majlis Agama Islam Negeri yang ditubuhkan mengikut peruntukan Enakmen Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Negeri berfungsi dan bertanggungjawab menolong serta menasihati Duli Yang Maha Mulia Sultan sebagai Ketua Agama Islam Negeri, dalam perkara berkaitan agama Islam.

Majlis Agama Islam juga bertanggungjawab memastikan pengurusan dan perjalanan hal ehwal Islam di negeri pada landasan yang betul, mempertingkatkan dan meneguhkan sosio-ekonomi umat Islam, memastikan harta Islam terpelihara, berkembang dan membangun sesuai menurut tuntutan syarak serta memastikan semua orang Islam mengeluarkan zakat.

Di samping Majlis Agama Islam Negeri, Majlis Raja-Raja juga boleh mendapatkan pandangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Jakim yang ditubuhkan pada 1 Januari 1997, mengambil peranan Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri (Baheis) atau Majlis Kebangsaan Bagi Hal-Ehwal Agama Islam Malaysia, yang idea penubuhan asalnya adalah cetusan dari Majlis Raja-Raja pada 1968.

Dua tugas penting Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ialah membincang, menimbang dan menguruskan sebarang perkara dirujukkan kepada majlis oleh Majlis Raja-Raja, mana-mana kerajaan negeri atau Majlis Agama Islam Negeri atau seseorang ahli Majlis, dengan tujuan hendak memberi nasihat atau pengesyoran.

Kedua, memberi nasihat kepada Majlis Raja-Raja, kerajaan negeri atau Majlis Agama Islam Negeri berkaitan perundangan atau pentadbiran agama Islam atau pelajaran agama Islam dengan tujuan membaiki, menyamakan atau menggalakkan persamaan undang-undang atau pentadbiran.

Fungsi asal Jakim untuk memelihara kesucian akidah dan ajaran Islam, kemudian berkembang sebagai badan bagi menggembleng usaha pembangunan dan kemajuan umat Islam di Malaysia, selaras dengan taraf negara sebagai negara Islam yang makin kukuh serta mendapat perhatian dunia antarabangsa.

Nasihat dan pendapat pakar undang-undang terutama daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan peguam terbabit secara langsung dalam permasalahan itu tidak harus dipandang sepi. Barangkali segala kelemahan pada peringkat akar umbi mampu diketengahkan di samping mengutarakan syor baru lebih bernas demi kepentingan semua pihak.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sila layari http://peguamsyarie.org.

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...