Wednesday, February 22, 2012

Heret bekas suami ke mahkamah tuntut nafkah anak

Peguam Syarie Menulis Berita Harian

Oleh Tuan Musa Awang

22/02/2012

Penyitaan, penjualan harta boleh diambil supaya si penghutang menjelaskan hutang

SEPANJANG 2000 hingga 2009, sebanyak 206,113 kes perceraian difailkan di Mahkamah Syariah seluruh negara. Sebanyak 80 peratus atau 12,300 kes bekas suami gagal mematuhi perintah melunaskan nafkah yang menyebabkan hak isteri dan anak-anak terabai.

Malangnya, daripada jumlah itu, hanya 15,380 kes atau 7.5 peratus saja kes nafkah yang difailkan ke mahkamah.

Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan kebanyakan bekas isteri atau ibu kepada anak-anak tidak faham hak mereka menurut undang-undang, atau mereka tidak mahu turun naik mahkamah menuntut penguatkuasaan nafkah anak-anak.

Cerita negatif mengenai proses perbicaraan di mahkamah syariah yang memakan masa lama, lebih memburukkan keadaan. Akhirnya, si ibu lebih rela menanggung sendiri nafkah anak-anak dan membiarkan bekas suami lepas tangan terhadap nafkah anak-anak, walaupun dalam sesetengah kes, perintah nafkah anak sudah dikeluarkan oleh mahkamah.

Kewajipan mematuhi perintah dikeluarkan Mahkamah Syariah diperuntukkan dengan jelas dalam Seksyen 147, Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998, berbunyi : “(1) Tiap-tiap orang yang diarahkan oleh mana-mana penghakiman supaya melakukan apa-apa perbuatan hendaklah mematuhinya tanpa desakan, dan tidaklah perlu disampaikan kepadanya penghakiman itu atau apa-apa notis penghakiman itu kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam subseksyen 135 (3).

(2) Seseorang penghutang penghakiman hendaklah dari semasa ke semasa memberitahu mahkamah alamat tempat tinggalnya yang terakhir dan kegagalan mematuhi kehendak subseksyen ini hendaklah disifatkan sebagai penghinaan mahkamah.”
Apabila suatu perintah pembayaran nafkah anak dikeluarkan, tetapi bekas suami gagal melaksanakan apa yang diperintahkan, maka wanita atau bekas isteri perlulah tampil ke hadapan dengan memfailkan kes penguatkuasaan perintah nafkah anak di Mahkamah Syariah.

Proses penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah ini bukanlah lambat dan tidaklah menyebelahi pihak bekas suami sebagaimana dakwaan sesetengah pihak. Apabila perintah dikeluarkan, maka jumlah yang tidak dibayar bekas suami akan menjadi tunggakan hutang yang wajib dibayar.

Tujuan anda ke mahkamah adalah untuk menuntut balik hutang nafkah itu dan menguatkuasakan perintah nafkah anak, yang sebelum itu gagal dilaksanakan bekas suami.

Yang penting, anda perlu faham prosedur dan caranya, ia akan menjadi mudah dan cepat. Lantiklah Peguam Syarie untuk bertindak bagi pihak anda.

Bagi wanita yang tidak mampu melantik Peguam Syarie, anda boleh merujuk kepada Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang menyediakan perkhidmatan membantu bekas isteri membuat permohonan penguatkuasaan nafkah di Mahkamah Syariah, dengan syarat-syarat tertentu.

Penguatkuasaan perintah adalah proses mahkamah apabila berlaku kegagalan atau keengganan mematuhi perintah mahkamah, dengan menggunakan satu atau lebih daripada cara pelaksanaan yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Pelbagai jenis pelaksanaan perintah boleh diambil apabila menghadapi situasi kegagalan bekas suami membayar nafkah seperti Penyitaan dan Penjualan, prosiding Hiwalah, Saman Penghutang Penghakiman, sehinggalah tindakan Pengkomitan atau pemenjaraan. Prosiding ini di bawah tindakan mal di Mahkamah Syariah.

Penyitaan dan penjualan ialah dengan menyita harta alih atau harta tak alih kepunyaan si penghutang, kemudian dilelong dan dijual harta itu untuk menjelaskan jumlah yang terhutang. Mengikut hukum syarak, seseorang yang berhutang wajib membayar hutangnya jika ia berupaya membayarnya pada masa yang ditetapkan.

Jika dia melambat-lambatkan atau enggan membayarnya, maka si pemiutang boleh memohon supaya harta si penghutang itu dijual dan hasil jualannya dibayar kepada si pemiutang. Imam Taqiyuddin Abu Bakar bin Muhammad dalam Kitab Kifayatul al-Akhyar memetik perintah Sayidina Umar r.a yang berkata: “Barang siapa punya pemiutang hendaklah datang kepada kami esok sebab kami akan menjual hartanya dan membahagikan kepada orang yang memberi hutang kepadanya.”

Prosiding hiwalah ialah dengan menahan harta yang kena dibayar oleh pihak yang berhutang kepada si penghutang (garnishee atau muhal ‘alaih) dan mahkamah boleh memerintahkan supaya garnishee membayar terus kepada si pemiutang, jumlah yang perlu dibayar.

Sebagai contoh si A berhutang nafkah anak dengan si B. Pada masa yang sama, si C ada berhutang kepada si A. Maka si B boleh memohon supaya hutang itu langsung dibayar oleh si C kepadanya. Cara kedua ialah dengan menahan harta alih si penghutang yang berada dalam milikan atau kawalan pihak ketiga. Mahkamah boleh memerintahkan supaya muhal’alaih menyerahkan harta dalam milikan atau kawalannya kepada bailif mahkamah.

Manakala prosiding Saman Penghutang Penghakiman adalah suatu prosiding ‘post-trial’ untuk memeriksa kemampuan si penghutang untuk membayar, sama ada dia boleh bayar secara sekali gus atau secara beransur-ansur. Walaupun secara beransur-ansur, hutang nafkah anak tetap perlu dibayar sehingga selesai.

Jika bekas suami masih lagi gagal membuat bayaran seperti diperintahkan, maka dia boleh diberikan notis tunjuk sebab mengapa dia tidak patut ditahan ke penjara kerana keingkaran membayar nafkah anak.

Dipenjarakan tidak bermakna hutang tunggakan nafkah anak akan luput atau terhapus. Hutang tetap hutang. Hukuman penjara adalah sebagai pengajaran kepada bekas suami supaya tidak bersikap sambil lewa berhubung soal nafkah.

Selain tindakan mal, tindakan jenayah boleh juga dilakukan dengan membuat aduan kepada penguatkuasa agama di Jabatan Agama Islam kerana bekas suami menghina Mahkamah.

Seksyen 10, Akta Kesalahan Jenayah Syariah Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan bahawa jika seseorang itu sabit kesalahan, maka mereka boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Walaupun tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap bekas suami yang ingkar membayar nafkah anak, tetapi kesedaran kaum lelaki yang menjalankan tanggungjawab dengan ikhlas adalah lebih utama dari penguatkuasaan undang-undang.

Penulis ialah Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Boleh dihubungi melalui e-mel: sekretariatpgsm@yahoo.com.

Saturday, February 18, 2012

Gubal enakmen khusus tatacara keluar Islam

Peguam Syarie Menulis
02-11-2011
Oleh Tuan Musa Awang

Kejayaan sebenar bukanlah menghukum, tetapi menggiatkan usaha memulihkan akidah

MURTAD dalam Islam dikenali sebagai ar-riddah. Menurut bahasa bermaksud kembali dari sesuatu kepada sesuatu. Manakala dari segi istilah syarak ialah kembali dari agama Islam kepada kafir, sama ada dengan niat, perbuatan atau perkataan. Murtad dilarang keras dalam Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (Islam), lalu dia mati sedang ia dalam keadaan kafir (ingkar), maka orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya (buat selama-lamanya).” (Surah al-Baqarah, ayat 217) Masalah murtad timbul apabila Saidina Abu Bakar dilantik menjadi khalifah. Pada masa itu banyak puak Arab memberontak dan menentang khalifah. Sesetengah daripada mereka enggan membayar zakat, ada yang kembali kepada menyembah berhala.

Ada mendakwa mereka hanya menurut perintah Rasulullah SAW ketika hayat Baginda saja dan ada juga mendakwa mereka adalah nabi dan rasul. Maka Saidina Abu Bakar melancarkan perang terhadap golongan ini yang dinamakan Perang Riddah.

Tindakan perang ini diambil setelah bermesyuarat dengan sahabat termasuk Saidina Umar al-Khattab, kerana orang yang murtad melakukan jenayah menghina agama Islam.

Fuqaha’ berijmak seorang lelaki yang murtad hendaklah dihukum bunuh manakala Hanafiah pula berpendapat wanita yang murtad tidak dikenakan hukuman bunuh, kerana ada hadis melarang pembunuhan terhadap wanita.

Wanita murtad hukumannya ialah memaksanya kembali kepada Islam, jika dia enggan hendaklah dipenjarakan sehingga dia kembali memeluk Islam atau sehingga dia mati.

Menurut jumhur, si murtad wajib diminta supaya bertaubat dan hendaklah dilakukan sebanyak tiga kali sebelum hukuman dijalankan. Hanafiah pula berpendapat, meminta si murtad bertaubat hukumnya sunat.

Antara sebab berlaku murtad ialah kerana lemahnya iman, tidak ada suasana membentuk kekuatan iman, tidak ada orang yang membimbing, di samping wujud komplot tertentu bagi memecahbelahkan umat Islam melalui ajaran bukan Islam.

Kebanyakan negeri kecuali Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Perlis sudah meluluskan undang-undang mengawal pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam. Persoalannya, sejauh manakah undang-undang ini dikuatkuasakan dan bilakah negeri yang belum mengadakan enakmen sedemikian hendak meluluskan enakmen itu?

Setakat ini hanya Negeri Sembilan memperuntukkan tatacara khusus bagi seseorang yang mahu keluar Islam melalui seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 yang mengkehendaki seseorang mahu keluar Islam membuat permohonan perisytihar

Setelah menerima permohonan, mahkamah hendaklah menasihati pemohon bertaubat dan jika enggan, mahkamah hendaklah menangguhkan permohonan selama 90 hari supaya pemohon menjalani sesi runding cara dan bimbingan bagi memberi peluang mereka bertaubat.

Jika selepas tempoh 90 hari pemohon masih enggan bertaubat, mahkamah boleh memerintahkan pemohon menjalani sesi runding cara serta bimbingan selanjutnya selama tempoh tidak melebihi satu tahun.

Selepas tempoh itu, jika pemohon tetap dengan pendiriannya, mahkamah boleh mengisytiharkan pemohon telah meninggalkan agama Islam. Sebelum perisytiharan itu, mahkamah hendaklah membuat perintah mengenai pembubaran perkahwinan, pembahagian harta sepencarian, hak perwalian, hak pusaka dan hadanah.

Cuma kelemahan dikenal pasti dalam peruntukan sedia ada, permohonan bagi perisytiharan keluar agama Islam hendaklah dibuat secara ex-parte (pendengaran sebelah pihak).

Berbeza dengan negeri lain, peruntukan keluar Islam terdapat dalam enakmen kesalahan jenayah syariah dalam bentuk hukuman jenayah. Perintah pemulihan dibuat berdasarkan budi bicara hakim, memberi ruang pihak tidak berpuas hati membuat semakan atau rayuan ke mahkamah lebih tinggi.

Sudah sampai masanya negeri lain menggubal undang-undang khusus tatacara permohonan keluar Islam, pencegahan, cara dan tempoh pemulihan serta menggubal enakmen atau Akta Pusat Pemulihan Akidah bagi memastikan negeri membina pusat pemulihan akidah menurut undang-undang.

Murtad berlaku sama ada disahkan atau tidak oleh mahkamah. Catatan agama Islam dalam kad pengenalan bukan penentu sebenar akidah seseorang. Usaha dakwah perlu dipertingkatkan dan sebarang usaha memurtadkan umat Islam diadukan ke Jabatan Agama Islam Negeri atau pihak berkuasa.

Kejayaan sebenar bukanlah menghukum, tetapi mengembalikan mereka ke pangkuan Islam dan menghilangkan kekeliruan terhadap agama. Tumpuan khusus dan pemantauan perlu diberi kepada saudara baru kerana ramai yang ingin meninggalkan Islam terdiri daripada saudara baru.

Mereka menganut Islam ada kala disebabkan faktor perkahwinan dan apabila berlaku perceraian, mereka hilang tempat bergantung, hilang bimbingan dan masyarakat juga kurang prihatin lalu mereka terpaksa kembali kepada keluarga asal serta hidup dalam agama asal.

Setakat ini, belum ada statistik tepat dikeluarkan berhubung permohonan murtad di seluruh negara atau permohonan pindah nama dan agama kerana keluar Islam. Saya percaya masyarakat perlu tahu statistik ini supaya mendatangkan kegerunan dan memberi kesedaran kepada mereka.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi di alamat emel maa46050@yahoo.com

Wednesday, February 8, 2012

Perintah nafkah iddah, cerai wajar dikeluarkan serentak



Bekas isteri teraniaya jika tuntutan dibuat berasingan

Peguam Syarie Menulis, Berita Harian 08/02/2012

Oleh Tuan Musa Awang
bhagama@bharian.com.my

IDDAH ialah tempoh menunggu yang wajib bagi isteri selepas diceraikan atau kematian suami. Dalam tempoh iddah, bekas isteri diharamkan berkahwin dengan orang lain. Tujuan iddah ialah bagi memastikan rahim wanita berkenaan suci daripada sebarang janin bagi mengelakkan ketidakpastian nasab sebenar anak, jika selepas bercerai, bekas isteri berkahwin dengan lelaki lain.

Bagi perceraian talak satu dan talak dua, tujuan iddah juga adalah bagi memberi peluang kepada pasangan untuk memikirkan semula sama ada berpeluang untuk rujuk kembali dalam tempoh iddah raj’ie, atau muktamad dengan perceraian.

Sama ada perceraian berlaku dengan cerai raj’i (talak satu atau dua), atau cerai bain (talak tiga, lian, fasakh, tebus talak, atau Ila’), isteri tetap mempunyai tempoh menunggu atau iddah. Di sini harus difahami isteri yang tidak disetubuhi dalam tempoh perkahwinan saja yang tidak mempunyai tempoh iddah.

Perempuan yang masih ada haid, iddahnya tiga kali suci daripada haid. Firman Allah SWT, “Wanita yang ditalak hendaklah menahan diri (menunggu) tiga kali suci” (Surah Al-Baqarah, ayat 228).

Perempuan yang belum datang haid atau belum cukup umur atau perempuan yang putus haid, iddahnya tiga bulan, manakala bagi perempuan mengandung, iddahnya sehingga melahirkan anak.

Firman Allah SWT, “Dan perempuan yang hamil, waktu iddah mereka itu ialah sampai mereka melahirkan kandungan.” (Surah At-Talaq ayat empat).

Bagi persetubuhan syubhah (tersilap menyangka isterinya, tetapi orang lain) atau dalam kes pernikahan yang difaraqkan, iddahnya adalah sama seperti perempuan yang diceraikan.

Walaupun berlaku perceraian, suami masih berkewajiban membayar nafkah isteri sehingga tamat tempoh iddah. Nafkah adalah semua keperluan menurut keadaan dan tempat, seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya.

Kadar nafkah yang wajib adalah sekadar mencukupi keperluan isteri, dengan melihat keadaan dan kemampuan suami, menurut kebiasaan, tempat dan keadaan mereka.

Hal ini ditegaskan Allah SWT dalam firman-Nya, “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya.” (Surah at-Talaq, ayat 65).

Isteri yang berada dalam iddah raj’i berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal selama tempoh iddah. Isteri yang berada dalam iddah bain sekiranya isteri tidak hamil hanya berhak mendapat tempat tinggal saja. Isteri yang hamil berhak mendapat tempat tinggal dan nafkah.

Seksyen 59, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan (1) ‘mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.’

Seksyen 47(16) dan (17) Akta sama (pindaan A902) memperuntukkan ‘(16) sesuatu talaq raj'i yang dilafazkan oleh suami melainkan dibatalkan terlebih dulu, sama ada secara nyata atau tafsiran, atau dengan perintah daripada mahkamah, tidak boleh berkuat kuasa untuk membubarkan perkahwinan itu sehingga habis tempoh 'iddah.’

Seksyen (17) Akta sama pula memperuntukkan ‘jika isteri hamil pada masa talaq itu dilafazkan atau pada masa perintah itu dibuat, talaq atau perintah itu tidak boleh berkuat kuasa untuk membubarkan perkahwinan itu sehingga berakhir kehamilan itu.’

Syarat membolehkan isteri memperoleh nafkah iddah ialah ikatan perkahwinan yang dibina itu sah menurut syarak, isteri taat dan patuh pada suaminya serta tidak pernah disabitkan oleh mahkamah sebagai isteri nusyuz.

Realiti pada hari ini, ketika tuntutan perceraian atau pengesahan lafaz perceraian di mahkamah, mahkamah hanya akan memerintahkan nafkah iddah sekiranya ada persetujuan antara bekas suami dan isteri. Jika tiada sepakat, maka pihak isteri dinasihatkan untuk membuat tuntutan berasingan.

Apabila tuntutan berasingan nafkah iddah difailkan, kadang-kadang persetujuan bekas suami berkenaan nafkah iddah masih belum diperoleh, menyebabkan kes terpaksa dibicarakan, yang memakan masa sehingga bertahun-tahun, sedangkan jumlah yang dituntut bekas isteri adalah untuk nafkah selama tempoh iddah saja.

Saya melihat ini penganiayaan kepada pihak bekas isteri yang terpaksa turun naik mahkamah untuk mendapatkan bayaran nafkah iddah yang jumlahnya tidak sebanyak mana.

Satu mekanisme atau cara terbaik perlu dicari untuk menyelesaikan perkara ini. Sebagai contoh, berdasarkan Seksyen 47(1) (f) Akta di atas, apabila seseorang suami atau isteri hendak bercerai, mereka perlu menyerahkan borang yang mengandungi akuan berkenaan dengan nafkah dan tempat kediaman bagi isteri, sama ada sesuatu persetujuan tercapai atau cadangan pemohon mengenai hal itu.

Maka akuan itu boleh dijadikan sebagai panduan kepada mahkamah untuk terus memerintahkan nafkah dalam tempoh iddah isteri, dalam jumlah yang munasabah.

Begitu juga dalam kes pengesahan lafaz perceraian, mahkamah boleh terus memerintahkan berkenaan dengan nafkah isteri dalam tempoh iddah, sebaik saja mengesahkan lafaz perceraian berkenaan.
Persetujuan atau cadangan dan kemampuan suami boleh diteliti ketika membuat perintah itu.

Ketika mensabitkan tuntutan perceraian taklik, fasakh atau tebus talak, sekiranya mahkamah mendapati tidak terdapat bukti isteri seorang yang nusyuz, tidak salah dari segi undang-undang atau hukum syarak sekiranya mahkamah terus memerintahkan nafkah iddah isteri, berdasarkan kepada bukti zahir yang ada di hadapan mahkamah.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) sekretariatpgsm@yahoo.com.

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...