Thursday, June 7, 2018

Kefahaman Mengenai Peranan Peguam Negara Boleh Elak Kontroversi


Tarikh kemaskini: 04/06/2018
Bernama

Oleh Kurniawati Kamarudin, Ainul Huda Mohamed Saaid dan Ali Imran Mohd Noordin

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kontroversi cadangan pelantikan Peguam Negara yang baharu tidak akan timbul sekiranya masyarakat lebih memahami pengasingan kuasa dalam sistem pentadbiran.

Sistem pentadbiran negara memisahkan tiga badan utama iaitu Badan Perundangan, Badan Pemerintah dan Badan Kehakiman dengan fungsi dan tanggungjawab yang tidak bertindih antara satu sama lain.

Pakar undang-undang Dr. Aziz Bari menjelaskan bahawa peranan sebenar Peguam Negara adalah sebagai penasihat undang-undang utama kerajaan iaitu sebagai peguam dan pendakwa raya bagi pihak kerajaan Malaysia.

Bidang tugas beliau tidak langsung menyentuh hal-hal jurisdiksi badan kehakiman termasuk Mahkamah Syariah.

"Peguam Negara adalah kakitangan kerajaan yang sama seperti mana-mana kakitangan kerajaan yang lain seperti Ketua Polis Negara dan seumpamanya.

"Jadi tidak timbul isu seperti yang dibimbangi oleh banyak pihak terutama berkaitan hal-hal agama Islam kerana Peguam Negara tidak ada kuasa dalam hal tersebut," jelas beliau ketika dihubungi Bernama hari ini.

PENCALONAN THOMAS CETUS KONTROVERSI

Kemelut berkaitan pelantikan Peguam Negara yang baharu bermula apabila penyandang jawatan itu Tan Sri Mohamed Apandi Ali diarahkan bercuti tanpa rekod selama 30 hari sejak 15 Mei lepas.

Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamed telah mencalonkan nama peguam kanan Tommy Thomas sebagai calon tunggal bagi menggantikan Mohamed Apandi, dan cadangan itu kini menunggu perkenan Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhamad V.

Menurut Aziz, Yang Di-Pertuan Agong boleh mendapatkan pandangan dan memberi pandangan baginda tentang calon yang dicadangkan namun pelantikan itu hendaklah di atas nasihat Perdana Menteri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Aziz, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Perak DUN Tebing Tinggi berpendapat pelantikan seseorang Peguam Negara sebaiknya datang daripada kalangan Ahli Parlimen supaya beliau memahami setiap hala tuju dan rasional keputusan yang diambil kerajaan.

Aziz turut menyebut beberapa nama dalam kalangan Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang mempunyai pengalaman dalam bidang perundangan dan layak dicalonkan untuk jawatan itu, seperti Ahli Parlimen Sungai Buluh R.Sivarasa, Mohamed Hanipa Maidin (Sepang) dan Ngeh Koo Ham (Beruas).

SEGERAKAN PELANTIKAN

Sementara itu, Majlis Peguam Malaysia dalam satu kenyataan, menyatakan kebimbangan mengenai isu berkenaan dan menegaskan bahawa adalah penting untuk melantik Peguam Negara dengan segera, tanpa menangguhkannya lagi.

"Sebagai raja berperlembagaan, Yang Di-Pertuan Agong mempunyai tanggungjawab perlembagaan untuk mematuhi Perlembagaan Persekutuan, yang jelas menyatakan bahawa Baginda perlu bertindak atas nasihat Perdana Menteri.

"Oleh itu, Yang Di-Pertuan Agong mesti melantik individu berkenaan sebagai Peguam Negara yang baharu, sepertimana nasihat Perdana Menteri, dan menamatkan kebuntuan ini tanpa menangguhkannya lagi," kata Presidennya George Varughese.

Beliau menegaskan bahawa pelantikan Peguam Negara yang baharu tidak boleh disekat oleh pandangan luar yang mengambil kira sebarang kriteria tanpa dasar perlembagaan, berdasarkan pertimbangan yang tidak relevan, atau yang boleh dianggap arbitrari atau diskriminasi.

PEGUAM NEGARA HARUS BEBAS

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) pula berpandangan Peguam Negara yang akan dilantik sepatutnya tidak pernah bersama atau membela mana-mana menteri selain mempunyai pengetahuan dalam Undang-Undang Islam.

Presidennya, Musa Awang berkata Peguam Negara juga seharusnya bebas, tiada kontroversi dan bersih daripada rasuah atau salah guna kuasa.

Menurutnya kelayakan Tommy Thomas dipersoalkan bukan atas sebab beliau seorang bukan Melayu-Islam kerana sebelum ini kerajaan dengan perkenaan Yang Di-Pertuan Agong pernah melantik peguam negara bukan Melayu-Islam seperti Cecil M.Sheridan (1959-1963) dan Athi Nahappan (1970-1974).

Kredibiliti dan kebebasan Thomas dipertikai kerana beliau adalah peguam yang mewakili Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

HORMAT MAJLIS RAJA-RAJA

Sementara itu, Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr. Shamrahayu Abd Aziz berkata semua pihak perlu menghormati pandangan Majlis Raja-Raja yang akan mengadakan perbincangan khas mengenai pelantikan peguam negara esok.

Beliau mengharapkan agar raja-raja tidak diheret dalam situasi yang amat sukar untuk membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat dan negara.

"Kontroversi yang berlaku perlu ditangani dengan penuh berhemah dan berhikmah agar ia tidak menyebabkan berlakunya krisis perlembagaan yang serius," katanya.

BERNAMA


No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...