Keratan Akhbar

Sabar dulu kalau boleh’
Oleh Siti Fatimah Hassan
Kuala Lumpur: “Masalah seperti ini serius dan ia bermaksud ada kepincangan berlaku dalam masyarakat kita. Kita perlu kaji mengapa ia terjadi kerana ia akan membawa kesan berpanjangan terutama kepada anak kerana dibimbangi mereka akan mewarisi kelakuan sama,” kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang.
Beliau mengulas kes seorang lelaki terpaksa melafazkan talak kepada isterinya selepas tidak tahan dipukul wanita itu sejak hampir setahun lalu.
Lelaki yang mahu dikenali sebagai Man, 35, itu terpaksa berbuat demikian selepas membina perkahwinan selepas 10 tahun atas dasar suka sama suka dan dikurniakan dua anak bersama isterinya itu.

Musa berkata perceraian jalan terakhir boleh dipilih suami sekiranya tidak dapat bersabar dengan kelakuan isteri yang keterlaluan itu.


Bagaimanapun katanya, jika pasangan terbabit masih belum bersedia melakukan perceraian, mereka boleh menjalani sesi kaunseling dengan harapan untuk memberi peluang kepada kedua-dua pihak menyelesaikan isu yang timbul di antara mereka.
“Jalan perceraian itu jalan terakhir yang boleh dibuat. Jika boleh sabar, sabar dulu. Kalau boleh bertahan, minta daripada mahkamah untuk perintah tegahan.


“Jika tidak mereka boleh memilih menjalani sesi kaunseling, namun ia perlu dilakukan secara berterusan bukan hanya sekali atau dua saja. Jika masih berlaku, perceraian adalah pilihan yang ada,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.


Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09





Malaysia perlu laksana hudud
Muhamad Adzhar Tajuddin, Nina Farzuin Md Sharom, Juruvideo: Yusrizal Yusuf, Jurufoto Sharifudin
MUSA AWANG 

ISU
 hukum hudud bukanlah perkara baru. Ia sudah mendapat liputan meluas di negara ini. Pelbagai reaksi dan pandangan telah diberikan pelbagai pihak mengenainya sehingga mengundang pelbagai kontroversi. Meskipun begitu, bagaimana dan bila hudud mampu dikuatkuasakan di negara ini masih terus menjadi teka-teki pelbagai pihak.

Wartawan Muhamad Adzhar Tajuddin dan Nina Farzuin Md Sharom bersama juruvideo Yusrizal Yusuf Ahmad serta jurufoto Sharifudin Abdul Rahim menemu ramah PRESIDEN PERSATUAN PEGUAM SYARIE MALAYSIA (PGSM), MUSA AWANG bagi mendapatkan penjelasan yang lebih tepat mengenai perkara ini.

Apakah hukum hudud itu yang sebenarnya dan mengapa di Malaysia masih sukar untuk dilaksanakan?

Musa Awang:
 Hukum hudud ertinya hukuman yang telah ditetapkan ALLAH dalam al-Quran dan hadis. Manusia dilarang mengubah, menokok atau mengurangkannya. Hukum hudud terdiri daripada pelbagai jenis kesalahan. Dalam perbahasan ulama, hudud dikatakan mempunyai enam atau tujuh kesalahan. Antaranya zina, qazaf, minum arak, merompak dan murtad. Kesalahan-kesalah yang disebutkan itu bukan sahaja telah termaktub di dalam al-Quran, malah hukumannya juga telah ditetapkan ALLAH. Sebagai contoh, sesiapa yang mencuri, baik lelaki atau perempuan, hukumnya ialah potong tangan.

Berbalik pada sejarah, pada tahun 1511, Kesultanan Melayu Melaka difahamkan sudah pun melaksanakan hukum hudud. Bagaimanapun, kedatangan British pada 1874 menyebabkan hukum itu terhakis. Memburukkan lagi keadaan, fungsi mahkamah syariah sudah dikecilkan sebagaimana yang kita lihat pada hari ini. Mahkamah syariah pada waktu itu diletakkan di bawah mahkamah sivil dan sebarang keputusan mahkamah syariah boleh dipinda oleh mahkamah sivil.

Selepas tahun 1988, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan 121 (1A)  telah mengasingkan kedua-dua mahkamah itu, namun bidang kuasa mahkamah syariah masih lagi rendah. Sebagai contoh, mahkamah syariah hanya boleh menjatuhkan hukuman dalam kadar yang agak ringan di mana pesalah hanya boleh dijatuhkan hukuman maksimum penjara 3 tahun, denda tidak melebih RM5,000 dan sebat tidak lebih  daripada enam kali. Secara total, itu sahaja kuasa yang tertakluk di bawah mahkamah seperti mana yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan. Maka sukar melaksanakan hudud sekiranya bidang kuasa mahkamah syariah masih lagi kecil dan rendah.
Mengapa Brunei mampu laksanakan? Adakah kerana jumlah penduduk di negara itu lebih kecil dan tidak berbilang kaum seperti di Malaysia?

Sistem di Brunei berbeza dengan Malaysia di mana kuasa tertinggi terletak pada sultan sendiri dan negara tersebut mengamalkan pemerintahan secara monarki. Oleh yang demikian, sultan berhak menitahkan sebarang arahan kepada kerajaannya sama ada mahu dilaksanakan undang-undang Islam atau sebaliknya. Perkara ini tidak berlaku di negara kita, Walaupun ada di kalangan sultan Melayu yang menitahkan hukum hudud untuk dijalankan, namun ia tidak mengikat pihak Parlimen untuk melaksanakannya.

Jika Malaysia mahu laksanakan apakah perkara utama yang mesti dibuat?

MUSA AWANG:
 Perkara pokok yang perlu dibuat adalah meminda Perlembagaan Persekutuan dengan kelulusan 2/3 ahli Parlimen daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Keduanya, kerajaan perlu meminda akta bidang kuasa mahkamah syariah 1984 yang membataskan bidang kuasa mahkamah syariah selama ini. Kedua-dua perkara tersebut merupakan batasan atau kekangan yang menjadikan Malaysia tidak boleh melaksanakan hukum hudud.

Untuk melaksanakan hudud memerlukan kelulusan 2/3 ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Adakah 2/3 kelulusan itu datangnya dari ahli Parlimen beragama Islam sahaja?

MUSA AWANG:
 Tidak, 2/3 kelulusan yang dimaksudkan turut melibat ahli-ahli Parlimen yang bukan beragama Islam juga. Walaupun hukum hudud hanya tertakluk kepada individu beragama Islam, namun persetujuan daripada ahli Parlimen bukan Islam juga diwajibkan.

Mengapa Kelantan masih tidak mampu laksanakannya? Adakah Parlimen penting dalam proses untuk laksana hudud?

MUSA AWANG:
 Kelantan tidak boleh melaksanakan hudud disebabkan keterbatasan akta bidang kuasa mahkamah Syariah 1984 untuk menjatuhkan hukuman seperti yang dijelaskan dalam hukum hudud. Kuasa yang diberikan oleh Parlimen kepada kerajaan negeri merujuk jadual 9 senarai 2, khusus melibat jenayah-jenayah bersifat individual sahaja.

Selain itu, sebarang undang-undang yang hendak dibuat dan dijalankan oleh kerajaan negeri mesti selari dengan perlembagaan. Hal ini bermaksud, sebarang hukuman yang hendak dibuat oleh kerajaan negeri mesti tidak boleh mendahului daripada segala yang termaktub di dalam perlembagaan. Perkara tersebut yang menyebabkan sehingga ke hari ini Kelantan tidak dapat laksanakan undang-undang Islam itu.

Pada pendapat tuan wajarkan Malaysia laksana hudud? adakah ia sesuai di negara majmuk seperti Malaysia ini?

MUSA AWANG:
 Pada pendapat saya kita kena tengok keadaan semasa. Di sini, kita bukan mempersoalkan hukum hudud itu tidak boleh dilaksanakan memandangkan perkara itu sememangnya sudah termaktub dalam al-Quran. Cepat atau lambat kita tetap wajib menjalankan. Cuma yang kita mesti lihat adalah berkenaan masa, sama ada sesuai atau pun tidak, malah pihak terlibat perlu juga melihat kekangan-kekangan yang mampu menidakkan hukum hudud itu dilaksanakan. 

Malaysia mempunyai dua sistem iaitu mahkamah sivil dan syariah. Jadi, sekiranya kita hendak melaksanakan hudud di mahkamah syariah misalnya, ia juga secara tidak langsung akan melibatkan beberapa peruntukan undang-undang yang sekarang tertakluk di bawah mahkamah sivil. Sebagai contoh, kesalahan mencuri; perkara tersebut sudah ada di bawah kanun keseksaan. Di bawah kanun keseksaan pencuri mungkin dipenjarakan tetapi sekiranya mengikut hudud, pesalah wajib dikenakan hukuman potong tangan. Perkara sama turut berlaku terhadap kesalahan zina di mana ia tertakluk pada enakmen jenayah syariah. Di bawah kesalahan itu, pesalah hanya boleh dipenjarakan tak melebihi 3 tahun atau didenda lebih dari RM5,000 atau kedua-duanya sekali. Secara total, kesemua kesalahan yang boleh didakwa di bawah hukuman hudud sama sekali bercanggah dengan kuasa hukuman yang boleh dijatuhkan oleh mahkamah syariah.

Berbalik kepada hukuman hudud, saya berasa sudah ada kewajaran untuk pihak terbabit melaksanakan hukuman itu. Hal ini berdasarkan pada statistik kesalahan atau jenayah yang makin ketara di negara ini.
Namun, apabila kita sudah bersedia melaksanakannya nanti, pastinya akan terhasil satu perubahan yang besar dan ketara. Antara yang boleh dilihat jelas adalah pelbagai kesalahan di bawah mahkamah sivil akan dipindahkan ke mahkamah syariah.

Pelaksanaan hudud bukan melibatkan soal majmuk atau tidak sesebuah masyarakat itu (jika nak dilaksanakan hudud). Hal ini kerana hudud hanya melibatkan orang Islam. Orang bukan Islam mempunyai pilihan sama ada mahu memilih undang-undang sivil yang sedia ada atau hukum hudud.  Jadi, soal majmuk bukan merupakan kekangan atau masalah yang membuatkan Malaysia sehingga ke hari ini tidak mampu melaksanakan hudud.

Apakah langkah yang perlu diambil supaya hudud dapat diterima seluruh masyarakat di negara ini?

MUSA AWANG:
 Pada pendapat saya, ini sebenarnya adalah tugas orang-orang dakwah atau pun pihak jabatan agama serta kerajaan. Pihak-pihak ini perlu memberi penjelasan lebih terperinci mengenai apa itu hudud dan bagaimana ia dilaksanakan.

Sebenarnya hukuman hudud itu ada tahapnya dan bergantung kepada kesalahan yang dilakukan. Contohnya seperti berzina, secara umumnya, masyarakat hanya tahu hukuman bagi kesalahan itu adalah sebat 100 kali bagi yang belum berkahwin dan rejam sampai mati bagi yang telah berkahwin. Tapi sebenarnya, pembuktian zina itu terlalu ketat sebab kes-kes zaman Nabi pun yang pernah dihukum, semuanya berdasarkan pengakuan orang yang melakukan kesalahan dan bukannya berdasarkan keterangan saksi.

Maksudnya, mahu membuktikan zina itu perkara yang amat sukar sekali. Berkemungkinan pada zaman ini hukuman hudud untuk kesalahan berzina ini tidak akan berlaku kerana sukar untuk dibuktikan. Jadi jika perkara ini dijelaskan kepada masyarakat, mereka tidak akan risau dan menentang perlaksanaan hukum hudud ini.

Selain mendidik dan memberi penjelasan kepada masyarakat, persediaan lain yang perlu dibuat sebelum laksana hudud?

MUSA AWANG:
 Dari apa yang saya lihat, sistem dan mahkamah Syariah itu sendiri perlu diperkasakan terlebih dahulu. Dari segi kakitangan dan infrastruktur, kalau kita lihat di Selangor, mungkin mahkamah yang ada nampak hebat. Tapi bagaimana dengan negeri lain?

Adakah keadaannya sama seperti di Selangor?

MUSA AWANG:
 Keduanya, dari segi badan penguatkuasaan seperti penguatkuasaan agama, pendakwa syarie, perkara ini perlu diambil kira kerana merekalah yang akan menguatkuasakan undang-undang hudud jika ia dilaksanakan kelak.

Sebenarnya untuk laksanakan hudud banyak perkara yang perlu diteliti. Jika ia tidak dilakukan, saya khuatir, ia akan ‘back fire’ (kena batang hidung) dan seterusnya hingga menjejaskan nama Islam sendiri.

Apakah fungsi persatuan ini? Bila ditubuhkan?

MUSA AWANG:
 PGSM ditubuhkan pada 2001. Fungsi PGSM antaranya adalah untuk menyatupadukan peguam-peguam syarie di seluruh negara. Selain itu, kewujudan PGSM untuk menjaga kebajikan peguam-peguam syarie di mana sebagai pengantaraan bagi institusi-institusi perundangan dan pentadbiran Islam dan sebagai saluran menyampaikan idea, cadangan, bantuan dan juga sokongan kepada semua pihak.

PGSM juga menjalankan kerjasama dengan badan-badan kehakiman, jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain berfungsi memartabatkan institusi perundangan Syariah bagi mencadangkan peruntukan-peruntukan sesuai dan undang-undang lebih baik.

Bilangan ahli dan bagaimana untuk mereka yang mahu sertai daftar? Dan syarat keahliannya?

MUSA AWANG:
 Buat masa ini, ahli yang telah berdaftar dalam persatuan ini ada lebih kurang 550 orang daripada seluruh negara. Bagi mereka yang mahu sertai persatuan ini, mereka perlu memiliki lulusan syariah atau sijil peguam syarie dari mana-mana negeri.
Di sini saya mahu ambil kesempatan menyeru peguam-peguam syarie yang masih belum menjadi ahli supaya berdaftar dengan PGSM kerana banyak manfaat yang boleh diperoleh selain mewujudkan kesatuan di antara kita duduk di bawah satu payung.

Adakah wajar persatuan seperti ini, diperbanyakkan di masa akan datang?

MUSA AWANG:
 Bagi saya, persatuan syarie seperti PGSM ini tidak perlu banyak. Satu sudah cukup sebab kalau banyak akan ada perbezaan. Seharusnya, semua peguam syarie perlu duduk di bawah satu bumbung. Sekiranya berlaku masalah, kita boleh duduk semeja untuk berbincang dan bertukar pendapat untuk selesaikannya.

Apakah bantuan guaman yang diberikan? Bagaimana kepada mereka yang tidak mampu?

MUSA AWANG:
 PGSM tidak hanya memberi kemudahan kepada para peguam, malah menyediakan perkhidmatan untuk orang awam, terutama mereka yang tidak mampu melantik peguam untuk selesaikan masalah yang dihadapi. Sebenarnya, kita ada wujudkan satu pasukan sukarelawan yang terdiri daripada 50 peguam syarie.

Selain itu, PGSM juga dalam perancangan mewujudkan Syariah Hotline.

Bagaimana untuk hubungi persatuan ini?

MUSA AWANG:
 
Kami boleh dihubungi di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, No 71, Jalan Sri Hartamas 1, Taman Sri Hartamas, 50676 Kuala Lumpur atau terus menghubungi talian 03-60257000.





Setempat

Undang-undang mesti disesuai dengan agama

Kuala Lumpur: “Undang-undang dibuat mesti disesuaikan dengan kehendak agama, bukan sebaliknya,” kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan merujuk kepada kes rogol statutori membabitkan seorang kanak-kanak berusia 13 tahun didakwa dirogol seorang pengurus restoran berusia 40 tahun di Sabah.

Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah yang mendengar kes rogol statutori itu dimaklumkan lelaki didakwa merogol gadis bawah umur itu, Riduan Masmud, berkahwin dengan gadis terbabit mengikut undang-undang Syariah, malah salinan sijil perkahwinan itu turut diserahkan kepada mahkamah.

“PGSM bersetuju dengan cadangan disuarakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun untuk mengkaji semula undang-undang sivil dan syariah bagi memperketatkan peraturan berkaitan perkahwinan bawah umur berlandaskan nas al-Quran dan sunnah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/26



Tolak gaji bulanan bekas suami

Kuala Lumpur: “Antara mekanisme yang boleh diambil pihak berwajib adalah dengan membuat potongan gaji suami supaya kes pengabaian nafkah dapat diatasi,” kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang.

Beliau berkata, sebaik saja kes tuntutan nafkah dikemukakan ke mahkamah, sistem menolak gaji bulanan bagi bekas suami berpendapatan tetap adalah kaedah dapat diterima pakai serta mendatangkan manfaat kepada bekas isteri dan anak.

“Kebiasaannya, apabila sesuatu kes sebegini dijalankan, prosedur biasa adalah mahkamah akan mengeluarkan perintah dengan menyatakan jumlah perlu dilunaskan bekas suami setiap bulan sebagai tanggungjawab terhadap anak selepas diteliti dengan rapi.“

Arahan potongan gaji yang dihantar terus ke majikan dianggap sebagai keputusan alternatif atau kedua hanya jika si ayah gagal menjelaskan bayaran,” katanya ketika diminta mengulas tindakan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah (JKSM) menyita harta lelaki yang ingkar membayar nafkah kepada anak dan bekas isteri, seperti diperintahkan Mahkamah Syariah. Musa berkata, langkah itu dapat memberi jaminan buat si ibu dalam mendapatkan hak mereka dalam membesarkan anak.

Selain itu, katanya, ramai tidak mengetahui beban yang harus ditanggung bekas isteri ketika kes tuntutan dibahaskan di mahkamah apabila mereka terpaksa berdepan dengan tanggungjawab perbelanjaan anak secara sendirian ketika menunggu perintah dikeluarkan.

Katanya, jumlah tuntutan sementara dalam tempoh mendapatkan nilai sebenar bayaran oleh bekas suami perlu dibuat supaya mereka mendapat keadilan dalam hal ini.


Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/04



Setempat


Hukuman lebih tinggi diharap gerunkan pesalah syariah

Putrajaya: Kebenaran yang diberikan Jabatan Peguam Negara untuk meningkatkan kuasa mahkamah syariah bagi menjatuhkan hukuman lebih tinggi kepada pesalah syariah disambut baik banyak pihak termasuk Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan berharap ia dapat dilaksanakan dengan segera.

Presidennya Musa Awang berkata, peningkatan ini selari dengan kedudukan mahkamah syariah setaraf dengan mahkamah sivil selepas pindaan terhadap perkara 121 1A Perlembagaan Persekutuan.

“Hampir 30 tahun mahkamah syariah terikat dengan batasan hukumam 356 atau 653 (merujuk kepada hukuman enam kali sebatan, RM5,000 denda dan tiga tahun penjara) yang dibataskan oleh Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) 1984.

“(Sehubungan itu) Hukuman baru dicadangkan perlulah satu bentuk yang lebih menggerunkan pesalah berbanding hukuman sedia ada sekarang yang terlalu ringan dan dipandang sebelah mata oleh pesalah,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan mengenai Jabatan Peguam Negara yang memberi lampu hijau kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk meningkatkan kuasa mahkamah syariah bagi menjatuhkan hukuman lebih tinggi kepada pesalahnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dipetik berkata, pihaknya dan pejabat Peguam Negara melalui bahagian syariah akan memulakan langkah itu dan berharap dapat dilakukan dalam masa terdekat.

Beliau dilaporkan berkata, langkah itu supaya ruang lingkup kepada hukuman yang ada dalam mahkamah syariah itu dilihat dalam bentuk lebih holistik untuk dipertingkatkan kuasa yang ada padanya.

Musa berkata, pihaknya mencadangkan supaya suatu hukuman tidak terbatas tetapi tidak membabitkan hukuman mati dilaksanakan.

“Menerusi peningkatan ini, ia bukan saja akan membabitkan kesalahan jenayah syariah, tetapi termasuk kesalahan matrimonial (kekeluargaan) seperti lafaz cerai di luar mahkamah dan poligami tanpa kebenaran mahkamah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/09

1 comment:

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...