Bidang kuasa Jawatankuasa Fatwa Negeri kenakan fatwa ke atas individu Islam masih kekal sah, tak terjejas' - PGSM
Oleh Amir Abd Hamid - Jun 19, 2025 @ 4:52pm
Presiden
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang. Gambar fail
KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menegaskan bidang kuasa Jawatankuasa Fatwa Negeri untuk mengenakan fatwa ke atas individu beragama Islam adalah kekal sah dan tidak terjejas.
Penegasan itu
sebagai reaksi kepada keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini dalam kes
membabitkan Sisters in Islam (SIS) Forum Malaysia.
Presiden PGSM,
Musa Awang, berkata keputusan mahkamah tertinggi negara itu hanya mentafsirkan
bahawa fatwa terpakai kepada 'orang sebenar' dan bukannya kepada entiti
undang-undang seperti syarikat atau pertubuhan.
Beliau berkata,
mahkamah tidak sama sekali membatalkan atau menyentuh isi kandungan fatwa yang
dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor sebelum ini.
"Mahkamah
Persekutuan tidak membuat sebarang komen terhadap kandungan fatwa yang
mengisytiharkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat.
"Ini
bermakna kuasa pihak berkuasa agama negeri untuk mengeluarkan fatwa ke atas
penganut Islam masih kekal dan sah," katanya dalam kenyataan media hari
ini.
Beliau berkata
demikian bagi mengulas kes membabitkan cabaran undang-undang dibuat SIS dan
pengasasnya terhadap fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada
2014.
Mahkamah
Persekutuan hari ini memutuskan satu fatwa Selangor yang mengisytiharkan
fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat tidak boleh diguna pakai
terhadap SIS kerana fatwa itu hanya terpakai kepada orang perseorangan beragama
Islam dan bukannya syarikat atau pertubuhan.
Susulan itu,
Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan dikemukakan SIS dan pengasasnya, Datin
Paduka Zainah Mahfoozah Anwar, berhubung pertikaian keputusan Jawatankuasa
Fatwa Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengisytiharkan
pertubuhan itu sesat dan menyeleweng ajaran Islam sebenar yang dikeluar dan
diwartakan 11 tahun lalu, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan
Mahkamah Rayuan sebelum ini.
Musa berkata,
walaupun fatwa itu kini tidak boleh dikuatkuasakan secara langsung ke atas SIS
sebagai sebuah pertubuhan, individu Muslim yang menguruskan atau menjadi ahli
dalam mana-mana pertubuhan tetap terikat dengan fatwa dikeluarkan.
"Sesebuah
pertubuhan tidak bergerak sendiri, ia digerakkan oleh individu. Justeru,
individu Muslim yang bertanggungjawab dalam sesebuah pertubuhan itu kekal
tertakluk kepada fatwa dikeluarkan," katanya.
Beliau berkata,
penghakiman Mahkamah Persekutuan itu tidak menafikan keabsahan larangan
terhadap mana-mana individu Islam daripada menganut fahaman pluralisme,
liberalisme, atau fahaman lain yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Sementara itu,
Musa berkata, PGSM turut menggesa semua peruntukan undang-undang berkaitan hal
ehwal Islam di negara ini disemak dan ditambah baik secara berterusan.
"Usaha
penambahbaikan ini perlu membabitkan sesi libat urus dengan pelbagai pihak
supaya peruntukan yang ada bukan saja memenuhi kehendak hukum syarak, malah
selari dengan kerangka perundangan negara," katanya.
No comments:
Post a Comment