(gambar hiasan)
Lafaz ta’liq adalah lafaz talak tergantung yang dibaca
dan dilafazkan oleh suami selepas akad nikah dijalankan. Ia bermaksud suami
mengaitkan talak dengan sesuatu sifat atau syarat, sama ada mempunyai hubungan
dengan isterinya, suami sendiri atau perkara atau orang lain.
Lafaz talak ta’liq yang disyaratkan selepas
perkahwinan suami isteri berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain.
Beberapa contoh seperti berikut:
Johor
“Manakala saya tinggalkan isteri saya.....(nama isteri).....selama 4 bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksa dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama masa yang tersebut padahal ia taatkan saya atau saya lakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya atau kehormatannya atau harta bendanya, kemudian ia mengadu atau wakilnya mengadu kepada kadi dan manakala sabit aduannya di sisi kadi atau mahkamah syariah dan ia atau wakilnya memberi kepada kadi bagi pihak saya $1.00 maka ketika itu tertalaklah ia dengan satu ‘talak khulu’, atau saya ghaib daripada isteri saya yang tersebut selama satu tahun atau lebih, jika ia atau wakilnya mengadu kepada kadi dengan berkata ianya tidak tertunggu lagi akan saya manakala bersabit aduannya, nescaya tertalaklah ia satu talak, demikian lafaz ta’liq saya.”
Kedah
Lafaz talak ta’liq yang baru di Kedah berbunyi:
“Adalah saya (nama suami) dengan ini berta’liq, jika :
(1) Saya tidak berma'syarah yang ma'ruf dengan isteri
saya (nama Isteri) sama ada saya meninggalkan di dengan segaja atau paksaan
atau dia meninggalkan saya dengan paksaan selama empat bulan qamariah
berturut-turut atau lebih atau;
(2) saya atau wakil saya tidak memberi nafkah
kepadanya selama empat bulan berturut-turut atau lebih dan dia tidak disabitkan
nusyuz oleh mana-mana mahkamah syariah atau:
(3) saya melakukan sebarang mudharat kepada tubuh
badannya, penganiayaan atau lain-lain darar syarie terhadapnya, dan apabila dia
mengadu kepada khadi atau hakim syarie dan sabit aduannya disisi khadi atau
hakim syarie dan ia memberi kepada khadi atau hakim syarie bagi pihak saya
sebanyak sepuluh Ringgit Malaysia atau senilai dengannya maka pada ketika itu
tertalaklah dia (nama Isteri) dengan satu talak khuluq.”
Kelantan
“Bahawa adalah saya (nama suami) dengan ini berta’liq iaitu manakala saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama 4 bulan atau lebih dengan sengaja atau paksa atau saya atau wakil saya tiada memberi nafkah yang wajib kepadanya selama masa yang tersebut pada hal ia taat kepada saya atau saya menyakiti tubuh badannya atau saya tidak mengambil tahu mengenainya selama 4 bulan atau lebih atau (nama isteri) kemudian ia mengadu kepada mana-mana kadi/hakim Syarak jika disabitkan oleh kadi/hakim Syarak ini akan aduannya maka gugurlah talak saya dan dan tiap-tiap kali saya rujuk akan isteri saya tersebut tanpa redanya maka gugurlah pula satu talak lagi.”
Perak
“1) Tiap-tiap aku tinggalkan atau tiada aku memberi
nafkah yang layak bagiku akan isteriku (nama isteri) tiga bulan atau lebih
lamanya dan mengadu ia kepada mana-mana kadi syarie dan sabit pengaduannya pada
sisi Kadi itu, maka tertalak isteriku itu dengan satu talak.
2) Jika ada perbalahan kedua aku laki isteri maka
mengadu isteriku (nama isteri) kepada mana-mana kadi syariah dan sabit
pengaduannya pada sisi kadi itu, maka mengakulah aku akan berta’liq seperti
yang dipersetujui kadi itu. Sekiranya ingkar aku daripada berta’liq sedemikian
itu maka gugurlah satu talak di atas isteriku itu.
3) Tiap-tiap aku rujuk akan isteriku (nama isteri),
dengan tiada redanya, maka tertalaklah ia satu talak pula.”
Selangor
“Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya
(nama isteri) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan
sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya
selama tempoh yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan
sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah
syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi
kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada
ketika itu tertalak ia dengan cara talak khuluk.”
Terengganu
“Saya dengan sesungguhnya melafazkan bahawa tiap-tiap kali saya tidak bersekedudukan dengan isteri saya (nama isteri) bagi selama tempoh empat bulan dengan tidak putus-putus, sama ada saya meninggal akan dia atau dia meninggal saya dengan ikhtiar atau dengan terpaksa dan tatkala ia mengadu ia kepada kadi dan tatkala sabit pada sisinya di atas ketiadaan sekedudukan selama itu maka tertalaklah isteri saya (nama isteri) itu dengan satu talak.”
Ulasan
Kebanyakan negeri memasukkan syarat jika suami
meninggalkan isteri selama empat bulan atau lebih dengan sengaja atau paksa
atau suami atau wakil suami tidak memberi nafkah kepada isteri selama tempoh
itu, pada hal isteri masih taat kepada suami.
Beberapa negeri lain meletakkan syarat meninggalkan
isteri dalam tempoh berkenaan dan suami atau wakil suami tidak memberi nafkah
kepada isteri pada hal isteri masih taat kepada suami. Dua syarat ini dibezakan
dengan perkataan ‘dan’ dan ‘atau’. Kedah dan Pulau Pinang mensyaratkan tempoh
yang lama iaitu enam bulan.
Syarat talak ta’liq Terengganu berbeza dengan negeri
lain di mana disyaratkan jika suami dan isteri tidak bersekedudukan selama
empat bulan berterus-terusan, sama ada suami meninggalkan isteri atau isteri
meninggalkan suami, sama ada dengan sukarela atau terpaksa.
Perak pula meletakkan syarat jika berlaku perbalahan
antara suami dan isteri, maka isteri boleh mengadu kepada hakim untuk
mensabitkan talak ta’liq itu.
Kebanyakan negeri meletakkan syarat jika suami
menyakiti atau mendatangkan sebarang mudarat kepada tubuh badan isteri, maka
isteri boleh mengadu kepada Hakim untuk mensabitkan talak ta’liq itu. Melaka
mensyaratkan jika suami tidak mempedulikan isteri lamanya empat bulan, isteri
boleh memohon cerai ta’liq.
Sabah meletakkan syarat tambahan jika suami
menyakitkan tubuh badan atau kehormatan atau harta benda isteri, maka aduan
untuk mensabitkan talak ta’liq boleh dibuat oleh isteri. Johor memasukkan
syarat tambahan jika suami ghaib selama setahun atau lebih, isteri boleh
mengadu untuk mensabitkan talak ta’liq berkenaan. Syarat ini tidak terdapat
dalam syarat ta’liq di negeri lain.
Melihat dari segi jenis talak jika Mahkamah
mensabitkan talak ta’liq juga berbeza antara satu negeri dengan negeri yang
lain. Kelantan, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Johor misalnya, jika
syarat ta’liq disabitkan oleh hakim, maka isteri perlu membayar RM1 dan selepas
perceraian boleh disabitkan dengan cerai khul’ (tebus talak).
Tetapi di negeri lain, jika syarat ta’liq disabitkan
oleh Hakim, isteri tertalak dengan satu talak rajie.
Boleh dikatakan semua negeri mempunyai lafaz ta’liq,
dan ia sudah menjadi suatu kemestian. Lafaz ta’liq ini akan dicatatkan sekali
dalam Sijil Perakuan Nikah pasangan yang sudah berkahwin.
Namun ada negeri tidak mempraktiskan takliq, seperti
negeri Perlis di mana pandangan muftinya menjelaskan tidak perlu kepada takliq
disebabkan selepas perkahwinan sepatutnya didoakan dengan kebahagian dan
bukannya perceraian.