Friday, September 8, 2023

MENUDUH ISTERI BERZINA SUATU TUDUHAN SERIUS

 MENUDUH ISTERI BERZINA SUATU TUDUHAN SERIUS

Dalam sebahagian dokumen yang difailkan oleh suami di Mahkamah Syariah, samada dalam tuntutan suami bagi mengisytiharkan isteri seorang yang nusyuz atau derhaka, ataupun semasa membela tuntutan isteri yang menuntut perceraian, antara alasan yang digunakan suami ialah menuduh isteri ada hubungan atau berzina dengan lelaki lain. Dalam sesetengah keadaan yang lain, ada suami yang menafikan kandungan yang dikandung isteri dari darah dagingnya sendiri.

Kedua-dua tuduhan ini adalah suatu yang serius dan amat berat dalam Islam, walaupun tuduhan itu hanya dibuat secara bertulis semasa membela tuntutan perceraian isteri.

Suami yang menuduh isteri melakukan zina perlu membuktikannya, dan ini menjadi beban kepadanya melainkan beliau sendiri nampak dengan mata kepalanya atau dapat mengemukakan saksi di mahkamah. Sebaliknya, jika suami tidak melihat kejadian itu ataupun tiada saksi yang menyaksikan isteri berzina, tetapi dia yakin perkara itu berlaku, suami diharuskan oleh hukum syarak untuk bersumpah li’an jika menuduh isterinya berzina atau menafikan nasab anak yang dikandung oleh isterinya.

Li‘an berlaku apabila suami menuduh isterinya melakukan zina atau menafikan anak yang dikandungkan oleh isterinya sebagai anaknya, tanpa mempunyai empat orang saksi. Maka suami hendaklah dia bersumpah empat kali “bahawa dia adalah orang yang benar” dan pada kali kelimanya “bahawa dia akan dilaknati Allah jika dia berdusta”.

Tuduhan suami hanya akan bersabit selepas isteri tidak mahu bersumpah. Jika isteri menafikan tuduhan suami dan sanggup bersumpah, maka segala tuduhan suami dengan sendirinya akan tertolak. Sama seperti suami, isteri perlu bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali “bahawa suaminya itu berdusta” dan pada kali kelimanya “bahawa dia akan dilaknati Allah jika suaminya benar”.

Firman Allah s.w.t:

وَالَّذِيْنَ يَرْمُوْنَ اَزْوَاجَهُمْ وَلَمْ يَكُنْ لَّهُمْ شُهَدَاۤءُ اِلَّآ اَنْفُسُهُمْ فَشَهَادَةُ اَحَدِهِمْ اَرْبَعُ شَهٰدٰتٍۢ بِاللّٰهِ ۙاِنَّهٗ لَمِنَ الصّٰدِقِيْنَ

وَالْخَامِسَةُ اَنَّ لَعْنَتَ اللّٰهِ عَلَيْهِ اِنْ كَانَ مِنَ الْكٰذِبِيْنَ

وَيَدْرَؤُا عَنْهَا الْعَذَابَ اَنْ تَشْهَدَ اَرْبَعَ شَهٰدٰتٍۢ بِاللّٰهِ اِنَّهٗ لَمِنَ الْكٰذِبِيْنَ

وَالْخَامِسَةَ اَنَّ غَضَبَ اللّٰهِ عَلَيْهَآ اِنْ كَانَ مِنَ الصّٰدِقِيْنَ

Yang bermaksud - “Adapun orang yang menuduh isterinya berzina sedangkan mereka tidak ada saksi (empat orang) kecuali hanya dirinya sahaja maka persaksian bagi orang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa sesungguhnya dia adalah orang yang benar. Dan sumpahan yang kelima bahawa laknat Allah akan menimpanya jika dia berdusta. Dan untuk menghindarkan seksa terhadap isteri yang tertuduh itu hendaklah si isteri bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa sumpahan yang kelima hendaklah dia berkata kemungkaran Allah akan menimpa dirinya.” - (Surah An-Nur, 24:6-9)

Tuntutan untuk kedua-dua sumpah ini perlu dilakukan di hadapan Mahkamah Syariah. Oleh sebab itu, para suami usahlah terlalu mudah membuat tuduhan terhadap isteri sekiranya tiada bukti kukuh. Menurut hukum syara‘, sekiranya yang menuduh (suami) enggan bersumpah, maka dia akan dikenakan hukuman qazaf dengan sebatan sebanyak 80 kali rotan.  Had qazaf hanya akan gugur jika beliau bersumpah.

Jika isteri yang dituduh pula tidak menafikan atau menolak tuduhan suaminya dengan bersumpah li’an, maka tuduhan suami boleh disabitkan sebagai benar, dan isteri akan dikenakan hukuman sebagaimana hukuman ke atas orang yang berzina.

Tetapi jika kedua-duanya bersumpah li’an, maka ia akan memberi kesan yang besar kepada hubungan suami isteri. Apabila kedua-duanya bersumpah dan melakukan li’an, maka ikatan perkahwinan mereka suami isteri akan terputus sama sekali, termasuk dalam kategori bain kubra serta haram muabbad, yakni mereka diharamkan berkahwin semula buat selama-lamanya.

 bnu ‘Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah telah bersabda yang bermaksud - “Suami isteri yang melakukan li‘an apabila mereka berdua berpisah, kedua-dua mereka tidak boleh berkumpul (berkahwin) untuk selama-lamanya. (HR Daruqutni)

Peruntukan tentang li’an terdapat dalam undang-undang keluarga Islam. Seksyen 50A, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984  [Akta A902] mempertuntukkan bahawa – 1) Jika pihak-pihak kepada sesuatu perkahwinan telah mengangkat sumpah dengan cara li'an mengikut Hukum Syara' di hadapan Hakim Syarie, apabila penghakiman, maka Hakim Syarie itu hendaklah memerintahkan mereka difarakkan dan dipisahkan dan hidup berasingan selama-lamanya.

Hakim Syarie diberi kuasa untuk memerintahkan perkahwinan suami isteri tersebut dibubarkan, setelah salah seorang atau kedua-duanya bersumpah li’an di hadapan Mahkamah Syariah.

 Tuduhan zina adalah suatu tuduhan yang berat, lebih-lebih lagi jika tuduhan dibuat ke atas isteri sendiri. Usah membuat tuduhan jika tiada bukti kukuh. Jika seorang suami tidak lagi mempercayai kejujuran isteri, maka gunakanlah kuasa talak dengan sebaiknya, dengan menceraikan isteri secara baik. Allah berfirman yang bermaksud  "Talak itu dua kali, maka hendaklah kamu pegang secara ma’ruf atau kamu lepaskan secara ihsan." (Surah al-Baqarah, ayat 229)

- Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Email : maa46050@yahoo.com.

No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...