Tuesday, August 24, 2010

Bukan Islam ada hak di Mahkamah Syariah



Oleh Tuan Musa Awang

Disiarkan di Berita Harian pada 25/08/2010.

PANEL tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Zainun Ali, yang bersidang bersama Hakim Datuk Abdul Wahab Patail dan Hakim Datuk Clement Allan Skinner memutuskan pertikaian mengenai status agama seseorang yang sudah memeluk Islam hanya boleh ditentukan secara eksklusif di Mahkamah Syariah, bukan Mahkamah Sivil.

Berdasarkan keputusan sebulat suara Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa menyemak dan membatalkan perintah Mahkamah Tinggi Syariah yang mengisytiharkan pendaki Everest, Sarjan M Moorthy seorang Islam yang dirayu bekas balunya, S Kaliammal.

Dalam penghakimannya, Hakim Zainun menyatakan, undang-undang sudah mengiktiraf perselisihan berhubung status agama seseorang Islam adalah bidang kuasa tunggal Mahkamah Syariah dan pihak berkuasa bagi agama terbabit lebih layak menentukan sama ada seseorang itu benar-benar penganut agama itu atau masih mengamalkan ajarannya.

Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah menentukan status agama seseorang dan Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa ke atas perkara itu.

Panel itu berpendapat, Kaliammal tidak dilarang mengemukakan permohonan di Mahkamah Syariah bagi mengetepikan perintah sebelah pihak secara adil berlandaskan undang-undang Syariah.

Memetik keputusan panel dalam kes ini, perayu tidak dihalang daripada membuat permohonan di Mahkamah Syariah untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi bagi membolehkannya (Mahkamah Syariah) membincangkan isu relevan dan memutuskannya dengan adil mengikut agama dan undang-undang Islam.

Meninjau sejarah kehakiman Islam, bukan Islam diberikan hak sama rata seperti umat Islam. Kisah perbicaraan antara Khalifah Ali selaku Amirul Mukminin ketika itu dengan seorang Yahudi perihal baju besi wajar dijadikan rujukan.

Diriwayatkan, pada satu malam Khalifah Ali kehilangan baju besinya. Semasa Khalifah Ali meronda di sebuah pasar, beliau terlihat baju besinya berada di antara barang jualan seorang lelaki Yahudi.

Apabila dituntut Khalifah Ali dengan mengatakan ia adalah baju besinya yang jatuh dari untanya di malam hari, lelaki Yahudi itu enggan mengaku dan menegaskan ia miliknya. Tuntutan Khalifah Ali kemudian dibawa ke pengadilan Qadhi Syuraih Ibn Harith Al-Kindi.

Semasa perbicaraan Qadhi Syuraih meminta Ali mendatangkan saksi untuk membuktikan baju besi yang ada pada lelaki Yahudi itu miliknya dan Khalifah Ali memberitahu kedua-dua anaknya, Hadan dan Hysain adalah saksinya.

Bagaimanapun, Qadhi Syuraih menolak kerana penyaksian anak terhadap bapanya dalam kes itu tidak diterima walaupun Khalifah Ali menegaskan kedudukan mereka sebagai ahli syurga seperti mana disebut Nabi Muhammad SAW.

Oleh itu, Qadhi Syuraih memberikan baju besi itu kepada lelaki Yahudi itu. Bagaimanapun, lelaki Yahudi itu akhirnya memeluk Islam kerana tindakan Khalifah Ali membawa kes itu ke mahkamah Islam dan diputuskan hakim pilihannya.

Lelaki Yahudi itu berkata: Amirul Mukminin Ali membawaku untuk diputuskan hukuman melalui mahkamahnya (Islam) dan Qadhi pilihannya. Qadhi pilihannya memutuskan sebaliknya. Aku bersaksi sesungguhnya agama ini adalah benar, lalu terus mengucap dua kalimah syahadah.

Kemudian, beliau memberitahu baju besi itu adalah milik Ali yang tercicir
pada malam hari tetapi Ali kemudian menghadiahkan baju besi kepada lelaki itu.

Jelaslah, bukan Islam boleh hadir di Mahkamah Syariah. Sehingga kini, semua enakmen negeri membabitkan undang-undang Islam memperuntukkan, Mahkamah Syariah hanya berkuasa mendengar dan memutuskan perkara orang Islam saja.

Tetapi ini tidak bermakna bukan Islam tidak boleh hadir di Mahkamah Syariah. Enakmen negeri membenarkan bukan Islam hadir di Mahkamah Syariah untuk memberi keterangan.

Seksyen 3 Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 561] mendefinisikan makna keterangan termasuk bayyinah, syahadah dan segala penyataan dibenarkan atau dikehendaki mahkamah dibuat saksi berhubungan fakta yang disiasat.

Al-Syahadah adalah keterangan lisan didahului dengan lafaz asyhadu yang dibuat dalam mahkamah oleh saksi yang memenuhi syarat. Namun, dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia, saksi bukan Islam juga relevan dalam keadaan tertentu.

Walaupun keterangan mereka tidak diterima sebagai al-syahadah tetapi Mahkamah Syariah masih boleh menerima keterangan mereka dalam konteks al-Bayyinah iaitu keterangan lisan yang dibuat saksi yang tidak memenuhi syarat sebagai seorang saksi menurut Islam.

Mereka terdiri daripada saksi bukan Islam atau saksi Islam tetapi fasik. Ini diperuntukkan mengikut seksyen 83 (2) akta berkenaan. Pemakaian peruntukan ini dilaksanakan dalam beberapa kes Mahkamah Syariah antaranya kes si mati Nyonya Tahir.

Akta 561 menerima ikrar atau pengakuan yang dibuat bukan Islam. Seksyen 18 akta itu tidak mensyaratkan orang yang membuat pengakuan beragama Islam. Dalam kes seperti hibah, wasiat, penjagaan anak, ikrar orang bukan Islam diterima dan mempunyai kuasa perundangan iaitu pengakuan itu akan mengikat dirinya.

Walau bagaimanapun, pengakuan salah orang bukan Islam mengenai kesalahan jenayah syariah seperti berjudi, berzina atau melakukan khalwat tiada kesan perundangan ke atas dirinya walaupun dilakukan bersama orang Islam kerana Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa jenayah ke atas orang bukan Islam.

Seksyen 33 Akta 561 memperuntukkan jika keterangan mengenai sesuatu perkara memerlukan khidmat pakar dalam bidang itu, tahap kepakaran tidak ditentukan berdasarkan agama atau tahap keadilannya.

Dalam hal ini, seorang doktor bukan Islam boleh memberi pendapatnya di Mahkamah Syariah dan ia dikira sebahagian dari al-bayyinah. Seorang bukan Islam juga boleh hadir ke Mahkamah Syariah untuk menentukan kesahihan sesuatu dokumen.

Sebagai mahkamah yang memperjuangkan keadilan yang menyeluruh, Mahkamah Syariah sewajarnya berperanan lebih luas seperti kisah Khalifah Ali, hakim syarie boleh mendengar keterangan dari pihak sama ada beragama Islam atau tidak. Mengecilkan skop keadilan hanya kepada pihak beragama Islam sebenarnya bertentangan dengan prinsip keadilan Islam.

- Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...