Saturday, December 22, 2012

Mangsa perceraian tiada pembelaan


Modul kursus khas patut ada perjelas tanggungjawab terhadap anak

Peguam Syarie Menulis, Berita Harian 

19 Disember 2012

MUSA AWANG

Apabila sesuatu perkahwinan berakhir dengan perceraian, tidak dapat dinafikan ia akan memberi kesan kepada bapa, ibu dan anak-anak hasil perkahwinan. Namun kesan kepada anak-anak adalah lebih besar berbanding kepada ibu atau bapa.

Statistik pendaftaran cerai mengikut negeri-negeri bagi 10 tahun (2000-2010) menunjukan jumlah perceraian terkumpul bagi sepuluh tahun ialah 197,120 pasangan. Secara purata, perceraian bagi sepuluh tahun ialah sebanyak 19,712 pasangan. Empat negeri yang mempunyai kadar tertinggi perceraian dalam tempoh 10 tahun ialah Selangor,(34,302) diikuti Kelantan (20,880), Johor 19,946 dan Kedah 18,954 pasangan.

Jika secara puratanya setiap pasangan yang bercerai di atas mempunyai sekurang-kurangnya 2 orang anak, maka seramai 394,240 adalah anak-anak mangsa perceraian. Pernahkah suatu kajian dibuat terhadap anak-anak mangsa perceraian ini? Bagaimana nasib mereka, perkembangan pendidikan mereka. Daripada jumlah itu berapa ramaikah yang berjaya dan sebaliknya.

Setakat ini kita tidak ada suatu tindakan atau mekanisme khusus untuk ibu atau bapa atau anak-anak mangsa perceraian ini. Kita sekadar mengumpulkan statistik tanpa apa-apa tindakan drastik.

Anak-anak mangsa perceraian menjalani kehidupan tanpa sokongan dan rangsangan dari ibu bapa, mendorong mereka untuk melakukan perkara negatif seterusnya terlibat dengan gejala sosial. Prestasi belajar anak-anak juga boleh terjejas lantaran gangguan mental kesan dari penceraian.

Hakikatnya, walaupun perkahwinan telah berakhir, ibu atau bapa masih perlu menjaga dan mendidik anak-anak. Sebahagian besar ibu atau bapa masih bergelut dengan perasaan sedih, marah dan dendam masing-masing, hingga terbawa-bawa ke dalam proses penjagaan dan pendidikan anak-anak. Ada sesetengah ibu atau bapa menghasut anak-anak supaya membenci antara satu sama lain dan meletakkan kesalahan terhadap pasangan masing-masing, yang akhirnya mencetuskan hubungan yang tidak baik dan permusuhan yang berpanjangan antara ibu atau bapa dengan anak-anak. Masalah dan konflik yang dialami oleh ibu bapa menjadikan anak-anak sebagai mangsanya.

Sebahagian yang lain mengheret sama anak-anak ke kancah pertelingkahan dan tuntutan mereka di Mahkamah Syariah, dengan membawa sekali anak-anak setiap kali pendengaran kes di Mahkamah Syariah. Ada pula yang menjadikan anak-anak sebagai saksi kepada tuntutan mereka.
Sebahagian ibu pula bergelut dengan tanggungjawab mencari nafkah untuk diri sendiri dan anak-anak, kerana bapa melupakan terus tanggungjawab nafkah selepas berpisah dengan ibu. Krisis kewangan bertambah serius tatkala bilangan anak yang ramai dan masih kecil.
Sebahagian yang lain menjadikan alasan bapa tidak memberikan nafkah untuk menghalang atau menafikan hak bapa untuk melawat dan bersama anak-anak. Sementelahan pula, bapa juga menggunakan alasan tidak dapat berjumpa anak-anak bagi menidakkan pemberian nafkah kepada anak-anak.

Sebahagian yang lain pula cuba membeli kasih sayang anak-anak dengan memberikan apa sahaja yang diminta, menjadikan anak-anak manja dan besar kepala. Tanpa disedari, keadaan-keadaan ini merperkotak-katikkan hidup anak-anak.

Kalau dahulu ibu, bapa dan anak berada di bawah satu bumbung. Selepas bercerai, ibu atau bapa pasti akan tinggal di dua rumah yang berasingan. Salah satu pihak akan menjaga anak dan salah satu pihak tidak. Dalam sesetengah keadaan, anak-anak dibahagi-bahagikan antara ibu atau bapa, menyebabkan anak-anak juga terpisah antara satu sama lain. Sebahagian ibu atau bapa juga akan mempunyai keluarga yang baru.

Memang lazim bagi seorang ibu atau bapa untuk cuba berbaik-baik dan menambat hati anak-anak apabila bercerai. Satu pihak akan menjaga anak-anak dan pihak satu lagi hak melawat atau hak bersama pada hujung minggu. Keadaan ini pastu menyukarkan pihak untuk mendisiplinkan dan menetapkan peraturan bagi anak-anak. Cerita-cerita bersama ibu akan sampai kepada bapa. Begitu juga sebaliknya cerita-cerita bersama bapa akan sampai kepada ibu. Cerita-cerita ini juga sebahagiannya akan digunakan untuk memburuk-burukkan atau melaga-lagakan antara satu sama lain.

Lambat-laun ibu bapa dan anak-anak perlu menyedari wujudnya kasih sayang yang berbeza. Walaupun ibu bapa tidak lagi saling menyayangi, namun hubungan ibu bapa dengan anak tetap tidak akan terputus. Anak-anak mungkin akan bersikap negatif sekiranya mereka tidak dijelaskan perkara sebenar dan betul. Mereka mungkin beranggapan perhubungan mereka dengan ibu atau bapa juga akan berakhir.

Pastinya sekiranya keadaaan-keadaan yang disebutkan ini gagal diatasi dengan baik, dibimbangi akan menjerumuskan masa hadapan negara kepada isu-isu sosial yang lain. Berkemungkinan besar juga masalah-masalah sosial yang kita sedang hadapi sekarang ini sedikit sebanyak ada hubungkait dengan fenomena ini?

Hasil tinjauan penulis mendapati sukar bagi pasangan yang bercerai untuk mendapatkan ilmu tentang teknik dan tanggungjawab selepas berlaku perceraian. Kalau kursus sebelum perkahwinan ada disediakan oleh semua jabatan agama Islam mahupun ada yang diswastakan, tetapi tidak bagi kursus untuk pasangan selepas perceraian.

Maka pihak-pihak yang berkenaan perlu mencari satu modul kursus khas untuk menyampaikan ilmu-ilmu tentang teknik keibubapaan, disiplin waktu dan tanggungjawab sebagai ibu atau bapa kepada pasangan yang bercerai. Kursus ini mungkin boleh diadakan secara tertutup dan diwajibkan kepada mereka yang telah selesai kes perceraian mereka di Mahkamah Syariah, juga kepada anak-anak kepada pasangan ini.

Perceraian telah berlaku, bukan lagi masanya untuk mencari siapa salah. Namun kehidupan perlu diteruskan, anak-anak perlu dibesarkan dengan cara yang baik dan sihat menurut kehendak hukum Syarak. Kesan akibat kesilapan ibu atau bapa tidak seharusnya dibebankan kepada anak-anak. Wallahu’alam.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi melalui e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com

No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...