Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM
MUSA
AWANG
- Oleh AIMAN ALI
- 19 Jun 2025, 4:58 pm
PETALING JAYA: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa supaya semua peruntukan undang-undang yang berkait dengan agama Islam dan umat Islam disemak serta ditambah baik secara berkala agar selari dengan keperluan semasa dan hukum syarak.
Presidennya,
Musa Awang berkata, semakan itu perlu melibatkan libat urus menyeluruh dengan
pelbagai pihak termasuk badan agama, pakar undang-undang dan masyarakat sivil
supaya sebarang pindaan atau tafsiran undang-undang Islam selari dengan
Perlembagaan dan perundangan sivil negara.
Katanya,
keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan rayuan Sisters In Islam (SIS)
Forum (Malaysia) tidak memihak kepada yang kalah atau menang kerana mahkamah
telah menjalankan tugas mentafsir peruntukan Perlembagaan Persekutuan,
khususnya perkataan-perkataan ‘orang-orang yang menganut agama Islam’.
Menurutnya,
tafsiran itu terkandung di dalam Butiran 1 Senarai II – Senarai Negeri, Jadual
Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan (‘Butiran 1’).
“Selain itu,
Mahkamah Persekutuan tidak membuat apa-apa komen mahu pun menyatakan apa-apa
pendapat tentang isi kandungan fatwa tersebut khususnya terhadap frasanya yang
berbunyi ‘… fahaman liberalism dan pluralism agama adalah sesat dan
menyelewemg daripada ajaran Islam’ dan ‘mana-mana individu yang berpegang
kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama
hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam’.
“Ini bermaksud
bahawa kuasa mengeluarkan fatwa berkaitan agama Islam ke atas penganut beragama
Islam masih kekal dalam bidang kuasa eksklusif pihak berkuasa agama Negeri
(Jawatankuasa fatwa, Majlis Agama Islam Negeri dan Kerajaan Negeri).
“Keputusan
Mahkamah Persekutuan hanya berkenaan had pemakaian fatwa tersebut iaitu hanya
kepada orang-orang sebenar (natural persons) dan bukan orang-orang buatan atau
tiruan (artificial persons) seperti sebuah syarikat, pertubuhan atau
institusi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Walaubagaimanapun,
Musa Awang berkata, mana-mana individu beragama Islam yang bertanggungjawab
atas apa-apa tindakan syarikat, pertubuhan atau institusi yang melanggar fatwa
tersebut, adalah kekal terikat dengan fatwa yang dikeluarkan tersebut.
“Ini kerana
sesebuah syarikat, pertubuhan atau institusi tidak bergerak sendiri, sebaliknya
ia semestinya digerakkan oleh individu-individu tertentu.
“Justeru,
penghakiman Mahkamah Persekutuan tersebut tidak membatalkan atau menafikan
keabsahan pemakaian fatwa ke atas individu-individu dan larangan terhadap
mana-mana individu Islam menganut fahaman pluralisme dan liberal, atau apa-apa
fahaman lain yang bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya.
Terdahulu,
Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan SIS Forum (Malaysia) dalam pertikaian
berhubung keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor, Majlis Agama Islam Selangor
(MAIS) yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng daripada
ajaran Islam sebenar, yang dikeluarkan dan diwartakan 11 tahun lalu.
Mahkamah
tertinggi negara itu dalam keputusan penting yang menjadi nas undang-undang,
memutuskan perkataan ‘orang-orang yang menganut agama Islam’ yang diguna pakai
di dalam fatwa itu hanya boleh merujuk kepada orang-orang sebenar dan bukan
orang-orang buatan seperti sebuah syarikat.
Ia bagaimanapun
menyatakan mana-mana individu yang bertanggungjawab atas apa-apa tindakan
syarikat, pertubuhan atau institusi yang melanggar fatwa itu, adalah kekal
terikat dengan fatwa berkenaan.
Panel empat
hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun
Tuan Mat hari ini melalui penghakiman majoriti 3-1 membenarkan rayuan akhir SIS
Forum dan dua yang lain untuk mencabar keabsahan fatwa berkenaan. – UTUSAN