Saturday, August 14, 2010

Wartawan memperkasa imej mahkamah syariah



Oleh Tuan Musa Awang

MATA pena wartawan bisa menjadi selembut lidah, bisa menjadi setajam pedang. Jika mengkaji sejarah, pembentukan negara Israel adalah rentetan tulisan wartawan Israel, Theodor Haerzl, yang bertanggungjawab membangkitkan semangat kaum Yahudi mencapai matlamat membentuk negara haram mereka.

Sejarah juga membuktikan, media penulisan sudah lama menjadi medium dakwah cendekiawan, pemikir dan ulama Islam. Nama seperti Rasyid Rida, Muhammad Abduh, Tok Kenali antara tokoh pemikir Islam terbabit dalam dunia penulisan dan kewartawanan untuk dakwah Islam yang berkesan.

Menyusuri susur galur sejarah perjuangan wartawan Melayu tanah air seperti Tan Sri Samad Ismail, Rahim Kajai, Burhanuddin Helmi dan Said Zahari, jelas penulisan adalah kembar mereka dalam memperjuangkan nasib bangsa.Wartawan juga berkhidmat untuk masyarakat. Berita dan maklumat disebarkan mencerminkan fikiran masyarakat. Wartawan adalah pengantara bagi masyarakat meluahkan perasaan suka, duka, marah dan kecewa, terhadap apa juga isu atau permasalahan melanda.

Inilah tanggungjawab sosial yang berat dipikul setiap wartawan. Sesuatu maklumat atau tulisan yang disampaikan mampu mencorak fikiran masyarakat sama ada ke arah pemikiran memihak, tidak memihak, positif atau negatif.

Mutakhir ini, kehadiran wartawan di mahkamah syariah untuk melaporkan kes adalah suatu yang positif. Malah, kebanyakan akhbar utama sudah mewujudkan ruangan mahkamah khusus untuk melaporkan kes dibicarakan. Media adalah alat yang mampu merangsang kesedaran dan mempengaruhi sikap serta membentuk pandangan sarwa individu atau masyarakat terhadap sesuatu isu diketengahkan. Fungsi media sudah menjadi pelbagai, selain menjadi penyalur maklumat, penyampai berita, penglipur dan penghibur.

Laporan media di mahkamah syariah secara tidak langsung memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai hukum syarak dan undang-undang.

Mengambil beberapa contoh, dalam kes Ako Mustapha yang dipenjarakan tiga bulan kerana berkhalwat dengan bukan Islam, ia memberi pendidikan kepada masyarakat bahawa berkhalwat dengan bukan Islam juga adalah satu kesalahan.

Dalam kes pemain badminton negara (Faizah Mohamad lawan Roslin Hashim), masyarakat mendapat ilmu baru iaitu jika tidak berlaku persetubuhan antara suami isteri, talak yang disabitkan ialah bain sughro, yakni talak yang tidak boleh dirujuk, melainkan dengan akad baru. Sementara dalam kes penyanyi popular Jamal Abdillah, masyarakat didedahkan bahawa persetubuhan semata-mata tanpa rujuk walaupun berlaku dalam tempoh edah bukan rujuk, tetapi adalah zina.

Sebelum ini, mungkin ramai tidak tahu perkara itu tetapi apabila didedahkan di media, ia menjadi satu bentuk pendidikan kepada mereka. Dari satu sudut, apabila sesuatu kes itu mendapat liputan media, perjalanan kes menjadi lebih cepat dan pantas, berbanding kes tidak mendapat liputan.

Peranan media memartabatkan undang-undang syariah diiktiraf Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang mana suatu kerjasama diadakan antara Media Prima-UIA-JKSM-PGSM pada 10 Februari lalu, untuk menerbitkan rancangan Kes Syariah di TV9. JKSM juga mengadakan kerjasama dengan rancangan Sebutan Syariah-Astro Oasis.

Bagaimanapun, hak umum untuk mengetahui sesuatu maklumat mestilah diseimbangkan dengan hak individu mengekalkan maklumat peribadinya sebagai suatu hak persendirian yang sulit dan tidak dihebahkan kepada umum.

Maruah mana-mana individu tetap dipertahankan. Laporan yang sensitif, keterlaluan dan secara sensasi perlu dielakkan, kerana Islam menggalakkan kemuliaan insan dipelihara dalam semua keadaan. Semua pengamal media perlu sedar bahawa mereka tertakluk kepada Seksyen 4(1)(a) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Peranan dan pengaruh yang besar ini dalam sesetengah keadaan boleh merosakkan imej serta identiti Islam dan umatnya. Berita bersifat provokatif dan suara sebelah pihak, tanpa penyiasatan atau penyelidikan perlu dielakkan.

Menjadi satu kebaikan kepada wartawan Islam untuk berusaha memperbetul dan memperkasakan mahkamah syariah, tetapi dalam batasan yang tidak merosakkan imej Islam serta umatnya. Tanggungjawab seorang wartawan Muslim terhadap perintah amar makruf nahi mungkar, adalah lebih besar kerana golongan ini mempunyai medan suara yang luas pengaruhnya.

Pada era mencabar ini, sudah tiba masanya pengamal media membuat anjakan paradigma dengan mengambil kira pendekatan pendidikan dan berdakwah. Tidak salah menyajikan hiburan tetapi perlu diimbangi dengan maklumat yang membina peribadi dan peradaban.

Akta Kebudayaan Kebangsaan 1971 memperuntukkan tiga unsur utama perlu didukung semua rakyat, iaitu unsur kebudayaan asal rantau ini, unsur kebudayaan lain yang wajar dan unsur Islam sebagai unsur terpenting.

Memanfaatkan media sama ada media elektronik atau cetak sebagai media dakwah bukanlah satu kerja mudah. Ia memerlukan sokongan dan perhatian semua pihak. Hanya dengan rasa tanggungjawab sosial yang tinggi, maka barulah usaha diketengahkan akan benar-benar menghasilkan sesuatu yang berfaedah dan dihargai semua.

Media perlu tampil dan menyiarkan lebih banyak program ilmiah berteraskan syariat bagi mendidik minda dan hati masyarakat, yang boleh memberi impak positif dalam pembentukan sahsiah masyarakat terpuji dan boleh diteladani menurut tuntutan agama.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) sentiasa bersedia menyalurkan bantuan kepakaran bagi menghasilkan produk media yang Islamik untuk menyebarkan maklumat berguna kepada masyarakat Islam.

- Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Sila layari http://www.peguamsyarie.org.

Soaljawab Hak Muslim - Masalah Hibah-Dinasihatkan Rujuk Ke Mahkamah Syariah

">ARWAH ayah menyerahkan sejumlah wang kepada saya sebelum beliau meninggal dunia tanpa pengetahuan adik-beradik lain. Adik-beradik mendapat tahu mengenai perkara itu dan menuntut wang berkenaan dibahagikan sebagai harta pusaka. Saya tidak mahu membahagikan kepada mereka kerana saya yakin wang itu diserahkan kepada saya sebagai hibah. Adakah saya perlu membahagikan wang itu kepada adik-beradik lain. Apa yang perlu saya lakukan.

Yang mempertahankan hak
Alai, Melaka

Sebelum menjawab soalan anda, saya perlu mengetahui sama ada ketika wang diserahkan, arwah bapa ada membuat apa-apa wasiat terhadap wang itu? Jika ada wasiat, maka lain jawapannya. Tetapi jika tiada wasiat, mungkin ia boleh dianggap hibah, dengan syarat rukun dan syarat hibah itu sempurna.

Hibah ialah akad yang dapat memindah milik sesuatu yang dibuat ketika hidup dan dibuat secara sukarela. Hibah menurut istilah syarak ialah suatu akad pemberian milik ain harta kepada seseorang tanpa balasan (’iwad), dilakukan ketika hidup dan secara sukarela.

Hibah mempunyai pengertian hampir sama dengan hadiah dan sedekah. Cuma ketiga-tiganya berbeza dari segi tujuan dan natijahnya. Sedekah ialah pemberian untuk mendapatkan pahala di akhirat.

Hadiah pula ialah pemberian untuk memuliakan seseorang. Setiap sedekah dan hadiah adalah hibah, tetapi bukan semua hibah itu adalah sedekah atau hadiah. Hibah adalah suatu amalan yang disunatkan dalam Islam, terutama kepada kaum keluarga terdekat.

Allah berfirman bermaksud: “Dan berikanlah kepada perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.” (Surah an-Nisa’, ayat 4)

Akad hibah tidak akan terbentuk melainkan selepas memenuhi rukun dan syarat hibah, iaitu si pemberi hibah (al-wahib), si penerima hibah (al-mauhub lahu), barang yang dihibahkan (al-mauhub), dan sighah (ijab dan kabul).

Apabila sesuatu akad hibah memenuhi rukun dan syaratnya serta berlaku penyerahan dan pemberian barang itu (al-qabd), maka harta itu menjadi milik si penerima hibah.

Menurut Mazhab Syafie, syarat berlaku penyerahan dan penerimaan (al-qabd) adalah syarat luzum, yang bermaksud akad hibah tidak akan berkuat kuasa dengan berlaku ijab dan kabul semata-mata, tetapi perlu berlaku al-qabd.

Jika al-qabd tidak berlaku, maka akad hibah tidak sah dan pemberi hibah berhak menarik balik hibah itu selama mana harta masih berada dalam miliknya.

Bagi memastikan akad hibah itu sempurna dan menjadi suatu akad yang mengikat pihak, maka al-qabd tertakluk kepada syarat berikut:

• Mendapat kebenaran dan keizinan pemberi hibah secara jelas (sorih).

• Harta yang dihibahkan itu tidak bercampur dengan harta lain.

• Penerima hibah berkeahlian (baligh dan berakal) untuk menerima hibah.

Cara penerimaan barang (al-qabd) adalah berbeza mengikut jenis harta. Bagi harta tak alih (seperti rumah dan tanah), al-qabd boleh berlaku dengan cara mengosongkan harta itu, menguasainya dan melakukan kegiatan terhadap harta itu seperti menyerahkan kunci dan sebagainya. Sementara harta alih boleh berlaku al-qabd dengan mengambil harta itu, memindah atau mengasingkan harta dengan harta lain.

Dalam kes anda, jika penyerahan wang dibuat oleh ayah secara sukarela tanpa sebarang wasiat, harta itu tidak bercampur dengan harta lain dan ketika wang diserahkan, anda seorang yang berkeahlian, memenuhi rukun dan syarat hibah seperti dinyatakan, maka mungkin boleh dihukumkan wang itu adalah hibah.

Bagaimanapun, untuk lebih meyakinkan, saya nasihatkan perkara itu dibawa ke Mahkamah Syariah, yang mana anda memohon mahkamah mengesahkan pemberian adalah hibah menurut hukum syarak. Sila dapatkan nasihat dan pandangan kedua daripada peguam syarie bertauliah.

Jawapan disediakan Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang.

Soaljawab Hak Muslim - Tidak tahan terpaksa bayar nafkah berterusan

Gaji dipotong RM800 sebulan walaupun bekas isteri sudah berkahwin lain

Soalan:
SAYA bercerai dengan isteri pada Mac lalu dan mempunyai seorang anak berumur tiga tahun. Sehingga hari ini gaji saya masih dipotong sebanyak RM800 atas perintah Mahkamah Syariah walaupun tanpa persetujuan dan kerelaan saya. Disebabkan potongan yang begitu tinggi menyulitkan hidup saya, kerana saya juga perlu membiayai nafkah anak bersama isteri pertama, tiga menuntut di institut pengajian tinggi dan dua di sekolah menengah. Apakah prosedur sebenar potongan gaji dan adakah masih perlu saya memberi nafkah kepada bekas isteri selepas idah walaupun khabarnya beliau sudah berkahwin lagi? Bagaimanakah penyelesaian boleh dilakukan memandangkan saya tidak begitu yakin dengan hakim yang mengendalikan kes ini daripada peringkat awal lagi. Nampaknya banyak berat sebelah kerana hakim tidak mahu mendengar hujah daripada saya.
Duda keliru,
Kuala Lumpur.

Jawapan:
Menurut undang-undang, perintah potongan gaji adalah sebahagian daripada perintah penguatkuasaan, iaitu selepas suatu perintah dikeluarkan mengenai bayaran wang sebelum itu gagal dilaksanakan orang yang dikenakan perintah.
Sebagai perintah penguatkuasaan, mahkamah boleh memerintahkan bayaran itu dibuat dengan cara potongan gaji kerana kegagalan mematuhi perintah mahkamah sebelum itu.
Potongan gaji boleh diperintahkan jika ketika perbicaraan saudara bersetuju dengan kaedah atau cara bayaran itu. Jika saudara tidak bersetuju dan mengemukakan alasan munasabah kenapa cara potongan gaji tidak wajar dilakukan, kebiasaannya mahkamah akan mempertimbangkan cara lain.

Saya tidak pasti sama ada saudara ada menyatakan bantahan terhadap cara potongan gaji itu ketika kes dibicarakan sebelum ini. Walau bagaimanapun, jika bantahan sudah dibangkitkan dan mahkamah masih memerintahkan gaji dipotong, saudara boleh memfailkan rayuan di mahkamah lebih tinggi kerana tidak berpuas hati dengan keputusan hakim.

Rayuan mestilah difailkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan tertakluk kepada prosedur dan tatacara rayuan. Akan tetapi, jika tempoh rayuan sudah tamat, saudara boleh kembali ke mahkamah sama dan memfailkan permohonan untuk mengubah dan menyemak semula kadar nafkah yang diperintahkan sama ada berpatutan atau tinggi untuk seorang anak.

Saudara juga boleh mengemukakan alasan kenapa jumlah RM800 itu tinggi dengan mengemukakan butiran tanggungan dan komitmen lain, termasuk terhadap anak dengan isteri sebelum itu.

Mahkamah akan memanggil semula bekas isteri dan mendengar keterangan serta hujah kedua belah pihak sebelum membuat sebarang keputusan mengubah kadar nafkah anak atau mengekalkannya.

Untuk makluman saudara, nafkah isteri hanya wajib disediakan suami sehingga tamat tempoh edah. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan hak suami untuk memberi nafkah kepada isteri dalam edah terhenti apabila tempoh edah tamat ataupun apabila isteri hidup dalam perzinaan.

Seksyen 65 (2) memperuntukkan: “Hak bagi seseorang isteri yang sudah bercerai untuk menerima nafkah daripada suaminya yang dulu di bawah sesuatu perintah mahkamah hendaklah terhenti apabila tamat edah atau apabila isteri itu hidup dalam perzinaan dengan seseorang yang lain.”
Saya menasihatkan saudara spaya mendapatkan nasihat daripada Peguam Syarie bertauliah di tempat saudara jika saudara masih tidak jelas dengan penerangan ini.

Jawapan disediakan Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang. Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo-.com. Sila layari http://peguam-syarie.blogspot.com

Soaljawab Hak Muslim - Sumpah ciri unik sistem perundangan

Perlu dibuat di hadapan hakim, tidak babit kes hudud, dilarang berbalas sumpah

Soalan:
SUMPAH sekarang menjadi isu hangat diperkatakan. Banyak pandangan dan pendapat diutarakan mengenai sumpah hingga menimbulkan kekeliruan. Diharap, tuan dapat menjelaskan pandangan syarak dalam bab sumpah membabitkan kes jenayah adakah dibolehkan atau tidak? Jika dibolehkan, dalam keadaan bagaimana dan siapa yang patut memulakan sumpah? Adakah ia boleh dibuat secara terbuka dan berbalas-balas sumpah? Semoga penjelasan tuan dapat melerai kekeliruan dan menamatkan polemik ini kerana jika dibiarkan berpanjangan akan memberi gambaran negatif kepada Islam itu sendiri.
Ismail Ahmad

Jawapan:
Saya akan cuba menjawab soalan anda dari sudut akademik dan perbahasan ulama. Sumpah (al-yamin) adalah salah satu cara pembuktian yang diterima pakai dalam sistem keadilan Islam. Di sinilah letaknya keunikan sistem perundangan syariah yang berbeza dengan sivil dan Barat.

Dalam kes mal atau sivil, jumhur fuqaha menerima kaedah sumpah sebagai salah satu cara pembuktian atau keterangan di mahkamah. Bagaimanapun, dalam kes jenayah syariah, tidak semua fuqaha menerimanya. Sesetengah fuqaha hanya menerimanya dalam kes tertentu saja. Sumpah dalam kes jenayah boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu sumpah pihak yang kena dakwa (al-mudda’a alaih), sumpah pihak yang mendakwa (al-mudda’i) dan sumpah saksi.

l Sumpah pihak yang kena dakwa (al-mudda’a alaih)
Prinsip umum dalam pendakwaan Islam ialah pihak yang mendakwa perlu membuktikan dakwaannya, manakala orang yang kena dakwa boleh diminta bersumpah bagi menafikan dakwaan ke atasnya, jika pihak yang mendakwa gagal membuktikan dakwaan itu.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW riwayat at-Tirmizi yang bermaksud: “Keterangan di atas pihak yang mendakwa dan sumpah di atas pihak yang menafikan (yang kena dakwa).”Apabila berlaku dakwaan, hakim perlu meminta pihak yang mendakwa mengemukakan segala keterangan untuk menyokong dakwaannya. Dalam satu kes, Nabi SAW bersabda kepada yang mendakwa: “Apakah kamu ada keterangan/bukti? Jawabnya: “Tidak ada.” Maka Nabi SAW bersabda: “Jika begitu kamu boleh (meminta) sumpahnya.”

Ini bererti, sumpah orang yang kena dakwa itu adalah hak bagi pihak yang mendakwa, yang boleh diminta olehnya apabila dia tidak mampu membuktikan dakwaan itu melalui keterangan atau bukti. Ibnu al-Humam memetik kenyataan dalam al-Kafi yang berbunyi: “Sesungguhnya dijadikan sumpah itu hak bagi pendakwa kerana dia merasa lawannya sudah merosakkan haknya dengan penafian itu. Oleh itu, dia boleh meminta lawannya itu bersumpah kerana jika apa yang dia anggap itu betul, maka lawannya sudah melakukan dua kerosakan. Pertama, membuat sumpah dusta. Sebaliknya pula jika apa yang dianggap itu tidak betul, maka lawannya itu akan mendapat pahala kerana membuat sumpah secara besar dengan menyebut dan membesarkan nama Allah.”

l Sumpah pihak yang mendakwa (al-mudda’i)
Sumpah orang yang mendakwa boleh berlaku dalam dua keadaan iaitu sumpah yang dipulangkan (al-yamin al-mardudah) dan sumpah al-Qasamah.

Al-Yamin al-mardudah ialah orang yang kena dakwa enggan bersumpah apabila diminta oleh orang yang mendakwa (dalam keadaan tidak cukup bukti dan keterangan), maka sumpah itu dipulangkan kepada orang yang mendakwa, tetapi ulama berbeza pendapat sejauh mana yamin al-mardudah memberi kesan terhadap pendakwaan.

l Sumpah al-Qasamah pula ialah sumpah dengan nama Allah yang akan dilakukan oleh pihak keluarga orang yang terbunuh dalam kes pembunuhan bagi membuktikan hak mereka terhadap tertuduh. Bagi mazhab Hanafi, ia akan dilakukan oleh tertuduh bagi menafikan pembabitan mereka dalam kes itu.

Fuqaha umumnya menerima sumpah sebagai keterangan dalam kes jenayah berkaitan hak individu dan awam seperti dalam kes qisas, diyat, serta ta’zir. Sedangkan dalam kes hudud, sumpah tidak diterima.

Kata Ahmad Fathi Bahnasi: “Orang yang kena dakwa tidak boleh bersumpah kecuali apabila diminta oleh pendakwa. Pendakwa tidak boleh berbuat demikian kecuali dalam kes yang keputusannya boleh dibuat apabila orang yang kena dakwa enggan bersumpah. Oleh itu, tidak boleh diminta bersumpah dalam kes hudud, kerana hakim tidak boleh membuat apa-apa keputusan apabila berlaku keengganan (nukul). Keengganan bersumpah (nukul) sudah disifatkan sebagai pengakuan dalam kes hudud yang menjadi hak Allah secara mutlak. Membuat pengakuan sesudah menafikannya tidak boleh diterima lagi. Oleh itu hudud tidak sabit apabila berlaku enggan (nukul).”

Kesimpulannya, sumpah perlu dibuat di hadapan hakim (mahkamah), bukan di tempat awam atau secara berbalas umpah. Sumpah dimulakan oleh pihak yang kena dakwa, selepas kes dibicarakan dan orang yang mendakwa gagal mengemukakan keterangan dan bukti, atau dalam keadaan tuduhan tanpa ada keterangan dan bukti.

Dalam keadaan demikian, orang yang mendakwa boleh meminta supaya orang yang kena dakwa bersumpah, dengan kebenaran hakim. Tetapi jika orang yang kena dakwa enggan bersumpah, orang yang mendakwa dibolehkan bersumpah, tetapi dalam kes qisas, diyat, serta ta’zir. Sumpah tidak diterima dalam kes hudud.

Jawapan disediakan Setiausaha Agong Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang. Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com
Sumber: http://www.bharian.com.my

Taati ibu, jangan sakiti hati suami



Oleh Musa Awang

CEREKARAMA berjudul Selimut Putih yang ditayangkan di televisyen malam Sabtu lalu menarik untuk dikupas pada ruangan ini. Tayangan drama itu bertepatan dengan sambutan Hari Ibu Ahad lalu.

Drama itu mengisahkan dua wanita yang derhaka kepada suami mereka. Akhirnya mereka menerima balasan di mana anaknya pula menderhaka kepadanya. Akhir cerita, si anak juga kemudian mendapat balasan atas dosa menderhaka terhadap ibu mereka.

Mana-mana agama sekalipun di dunia ini, ibu diletakkan sebagai orang paling atas untuk ditaati dan dimuliakan kerana pengorbanan dan kedudukannya.

Banyak firman Allah dalam al-Quran mengenai suruhan mentaati ibu bapa dan ketaatan kepada mereka adalah selepas ketaatan kepada Allah, begitu juga hadis Rasulullah SAW.
Sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW kepada siapa harus aku memberikan bakti. Baginda SAW menjawab: ‘Ibumu…’ sebanyak tiga kali. Ditanya kali keempat, barulah Baginda SAW menjawab: ‘Ayahmu…’.

Diriwayatkan oleh Thalhah Bin Muawiyah As-Sulami, beliau datang bertanya kepada Rasulullah SAW bahawa dia ingin sekali hendak turut serta berjihad fi sabilillah bersama Baginda. Lalu Rasulullah SAW bertanya: “Apakah ibumu masih hidup?” Beliau menjawab, “Masih.” Lalu Baginda Rasulullah SAW bersabda: “Duduklah terus di sisinya, di sanalah terletaknya syurga.”

Hadis ini menjelaskan bahawa tugas anak berbakti kepada ibu adalah lebih besar ganjarannya daripada berjihad di jalan Allah.

Namun, kita perlu jelas bahawa mentaati ibu atau sesiapa sekalipun tidak boleh melepasi ketaatan kita kepada Allah. Arahan dan kasih sayang kepada ibu tidak boleh menyebabkan kita taat sehingga melakukan perkara ditegah Allah.

Ia berdasarkan arahan Rasulullah SAW bermaksud, “Jangan kamu taat kepada makhluk dalam hal yang melanggari Allah.”

Setiap anak perlu sentiasa mentaati arahan yang baik dan dosa menderhaka kepada ibu dan bapa adalah termasuk dalam tujuh dosa yang sangat besar.

Sementara itu, seorang isteri mempunyai tugas dan tanggungjawab besar terhadap suami yang tidak boleh diabaikan. Isteri yang mengabaikannya akan mendapat laknat dan termasuk dalam kategori isteri nusyuz (derhaka).

Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan Saidatina Aisyah yang bermaksud: “Aku pernah bertanya kepada Baginda, “Siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri?” Baginda menjawab: “Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya.” Kemudian aku bertanya lagi, “Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?” Baginda menjawab: “Orang yang paling berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya.” (Hadis riwayat Bazar dan al-Hakim)

Jika syurga seorang lelaki atau seorang anak adalah di bawah tapak kaki ibu, tetapi syurga bagi seorang isteri ialah di bawah tapak kaki suaminya.

Bahkan Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: “Sekiranya aku dibenarkan untuk memerintahkan seseorang bersujud kepada orang lain, nescaya aku perintahkan seorang isteri bersujud kepada suaminya.” (Hadis riwayat Tirmidzi dan Ibnu Hibban)

Tanda isteri nusyuz banyak, antaranya:

Menyakiti hati suami
Rasulullah SAW selepas peristiwa Israk dan Mikraj, bersabda kepada sahabat wanita bermaksud: “Kebanyakan ahli neraka adalah wanita. Maka menangislah mereka (sahabat wanita) dan bertanya seorang daripada mereka: Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir? Baginda menjawab: Tidak. Mereka menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur nikmat yang disediakan suaminya.” (Hadis riwayat Muslim).

Puasa sunat dan membawa masuk lelaki ke rumah tanpa izin
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat jika suaminya ada di rumah serta tidak dengan izinnya, dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya (walaupun saudara mara) dengan tidak meminta izin suaminya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Keluar rumah tanpa izin
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Apabila seorang isteri keluar rumah, sedangkan suami membencinya (tidak mengizinkannya), dia akan dilaknat oleh semua malaikat di langit dan semua apa yang dilaluinya (di bumi) selain daripada jin dan manusia, sehinggalah dia kembali semula (kepada rumah suaminya).” (Hadis riwayat Thabari)

Meminta cerai tanpa sebab
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya (tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak) haram baginya bau syurga.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)

Menolak bersetubuh tanpa alasan
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Apabila suami memanggil isterinya ke tempat tidur, tetapi ditolaknya sehingga marahlah suaminya, maka akan tidurlah isteri itu di dalam laknat malaikat sehingga ke pagi.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam Undang-undang Kekeluargaan Islam di negara ini ada peruntukan mengenai hukuman terhadap isteri yang derhaka (nusyuz) kepada suami. Contohnya, Seksyen 130 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan seorang isteri derhaka boleh dihukum denda tidak melebihi RM100, bagi kesalahan kali kedua atau kali kemudian, denda tidak melebihi RM500.

Walaupun hukumannya tidak tinggi, isteri nusyuz tidak akan terlepas daripada balasan hukuman di akhirat. Nusyuz juga boleh memberi kesan kepada kedudukan nafkah isteri yang wajib disempurnakan suami.

Walau bagaimanapun, belum ada undang-undang yang membolehkan tindakan diambil terhadap anak yang menderhaka terhadap ibu atau bapanya. Mungkin penggubal undang-undang boleh mengkaji perkara itu untuk memasukkan peruntukan dan hukuman sesuai terhadap pihak yang mengabaikan atau menderhaka terhadap ibu bapanya.

• Penulis ialah Setiausaha Agong Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dihantar ke admin@pgsm.org.my

Soaljawab Hak Muslim - Boleh Tuntut Separuh Mahar

Thursday, February 19, 2009

Hak Muslim: Boleh tuntut separuh mahar jika bercerai sebelum bercampur
SAYA bercerai dengan isteri bulan lalu selepas dia memohon perceraian. Ketika berkahwin, saya mengeluarkan perbelanjaan RM20,000 untuk mas kahwin dan hantaran, malangnya rumah tangga kami hanya bertahan enam bulan. Saya amat terkilan dan kecewa dengan apa yang berlaku. Persoalannya, bolehkah mas kahwin dan hantaran saya itu dituntut semula?

Ahmad Adham
Padang Lalang

MAHAR ialah mas kahwin wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab terjalinnya akad nikah yang sah. Mahar ini disebut sebagai mahar musamma iaitu mahar yang disebut jumlahnya dalam akad nikah atau yang tidak disebut ketika akad tetapi ditentukan jumlahnya selepas akad nikah.

Mahar yang tidak disebutkan dalam akad nikah maka suami perlu membayar mahar mithil dengan melihat kepada jumlah mahar yang biasa dibayar kepada kaum kerabat sebelah pihak isteri.

Mahar ini wajib dibayar oleh suami kepada isterinya sama ada secara tunai atau hutang. Bagaimanapun, ia sebenarnya belum menjadi hak milik isteri secara mutlak, walaupun ia dibayar suami kerana ia tertakluk sama ada isteri disetubuhi atau belum.

Jika sudah disetubuhi, barulah ia menjadi milik mutlak isteri. Tetapi jika isteri diceraikan sebelum disetubuhi, maka gugur hak isteri terhadap mahar itu, sama ada gugur separuh mahar atau keseluruhan mahar.

Separuh Mahar: Hak isteri terhadap mahar akan gugur separuh jika mahar itu mahar musamma. Firman Allah bermaksud: "Jika kamu menceraikan isterimu sebelum kamu bercampur (bersetubuh) dengan mereka, padahal sesungguhnya kamu telah menentukan maharnya, maka bayarlah seperdua daripada mahar yang telah kamu tentukan itu, kecuali jika isteri-isterimu itu memaafkan (menghalalkan) atau dimaafkan (dihalalkan) oleh orang yang memegang ikatan nikah (sama ada wali isteri yang belum baligh atau suami sendiri), dan pemaafan kamu itu lebih dekat kepada takwa. Dan janganlah kamu melupakan keutamaan di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Melihat segala apa yang kamu lakukan."- Surah al-Baqarah ayat 237

Dalam ayat ini dapat difahamkan jika suami belum membayar mahar kepada isterinya yang diceraikan sebelum disetubuhi, maka ia wajib membayar separuh saja mahar kepada isterinya. Jika isteri menghalalkannya, maka suami tidak perlu membayar suatu mahar.

Maka jika semua mahar sudah dijelaskan suami, maka isteri perlu memulangkan semula separuh mahar kepada suaminya, melainkan jika suami menghalalkannya.

Sesetengah mahar patut dipulangkan jika perceraian berlaku sebelum persetubuhan dan berpunca daripada pihak suami seperti suami sukarela menceraikan isterinya; suami murtad; suami melakukan li'an terhadap isterinya; suami melakukan ila' terhadap isterinya ; atau ibu suami menyusukan isteri suami yang masih bayi, maka isteri itu bertukar menjadi mahram suami (saudara susuan).

Dalam keadaan itu, sekiranya mahar sudah dibayar semuanya kepada isteri, maka suami berhak mendapatkan semula separuh mahar daripada isterinya.

Keseluruhan mahar: Kewajipan suami membayar mahar mithil boleh gugur jika berlaku perceraian sebelum isteri disetubuhi. Sekiranya jumlah mahar tidak ditentukan dan belum dibayar, maka suami tidak perlu membayar mahar kepada isterinya jika perceraian berlaku sebelum isteri disetubuhi, sama ada perceraian atas kehendak suami, kehendak isteri atau atas perintah mahkamah.

Suami hanya wajib membayar mut'ah kepada isteri yang diceraikan itu sebagai ganti mahar. Tetapi jika mahar mithil dibayar kepada isteri, maka suami hanya berhak mendapat setengah saja kadarnya, kerana ia termasuk dalam kategori mahar musamma.

Suami juga tidak perlu membayar mahar musamma kepada isteri serta berhak mendapatkan semula keseluruhan mahar yang dibayar jika perceraian berlaku sebelum persetubuhan itu berpunca daripada pihak isteri seperti cerai fasakh kerana aib isteri atau isteri murtad.

Firman Allah bermaksud: "Tidak ada kewajipan membayar (mahar) atas kamu, jika kamu menceraikan isterimu sebelum kamu bercampur dengan mereka dan sebelum kamu menentukan maharnya. Dan hendaklah kamu berikan suatu mut'ah (pemberian sagu hati) kepada mereka."(Surah al-Baqarah ayat 236).

Dalam Seksyen 59 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan: "Tiada apa-apa juga yang terkandung dalam Enakmen ini boleh menyentuh apa-apa hak yang mungkin ada pada seseorang isteri di bawah hukum syarak terhadap mas kahwinnya dan pemberian kepadanya atau apa-apa bahagian daripadanya apabila perkahwinannya dibubarkan.

Jawapan disediakan oleh Tuan Musa Awang, Setiausaha Agung PGSM. Sila layari http://www.peguamsyarie.org.

Soaljawab Hak Muslim - Serah anak dijaga bukan Islam dikira jenayah

Jawapan Hak Muslim disiarkan dalam Berita Harian 7 Ogs 2008

Soalan
SAYA ada jiran yang agak daif kehidupannya. Dia baru-baru ini melahirkan anak perempuan. Kerana kesempitan hidup, dia berhasrat menyerahkan anak itu kepada orang lain untuk dijadikan anak angkat. Masalahnya, ada seorang bukan Islam berhasrat mengambil anaknya itu. Boleh saya tahu, apa akan jadi jika seseorang Islam menyerahkan anaknya untuk dijaga oleh bukan Islam?
Mohamad Ikram
Kuala Selangor.

Jawapan
Saya cuba kupas persoalan ini secara berhemah supaya tidak menjadi isu kontroversi atau dimanipulasi sesetengah pihak untuk kepentingan peribadi.

Menurut hukum syarak, seperti pendapat imam Mazhab Shafie yang disebut dalam kitab al-Fiqh wa Adillatuhu, oleh Dr Wahbah al-Zuhaili (Juzuk 7), syarat umum pihak yang diberi hak penjagaan anak (haadin) ialah cukup umur, sempurna akal, berkeupayaan mendidik kanak-kanak, berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah dan seorang Islam. Islam adalah syarat penting untuk seseorang menjaga kanak-kanak Islam.

Dari segi hukumnya, seorang kanak-kanak itu dikira Islam jika ibu atau bapanya seorang Islam. Orang bukan Islam tidak harus diberikan hak penjagaan kanak-kanak Islam, kerana hak penjagaan adalah hak penguasaan (haq al-wilayah). Orang bukan Islam tidak mempunyai hak penguasaan terhadap orang Islam. Firman Allah yang bermaksud: "Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang kafir untuk membinasakan orang beriman." (Surah An-Nisa', ayat 141)

Al-Syeikh Muhammad al-Khatib al-Syarbini dalam kitabnya Mughni Muhtaj, menyebutkan: "Hadanah dari segi syarak bererti tanggungjawab menjaga seseorang yang tidak mampu menguruskan dirinya sendiri, oleh kerana masih belum mampu atau tidak mampu membuat pemilihan mana satu yang baik dan mana satu yang buruk, seperti kanak-kanak kecil atau orang dewasa yang gila, dan juga tanggungjawab memberi pendidikan kepada mereka yang berkenaan itu hingga menyebabkan mereka berjaya menjadi manusia baik, serta tanggungjawab memberi makan minum dan seumpamanya kepada mereka."

Hadanah dalam Islam juga bertujuan menjaga kebajikan dan kepentingan kanak-kanak itu dari segi agamanya, keturunannya (nasab) dan lain-lain. Dalam kes Wan Abdul Aziz lwn Siti Aishah, kes Rayuan Mal Negeri Kelantan, jemaah pengadilan memberikan pendapat, antaranya: "Pokok dan tujuan hadanah ialah maslahat dan kebaikan budak yang dipelihara dan dijaga sebagai hak asasi budak itu.

Hak mesti diutamakan lebih daripada hak pihak yang memelihara sebagaimana difahamkan daripada fatwa Ibnu Al-Salah dalam 'Tuhfah' dan 'Nihayad' serta diakui muktamadnya oleh Ali Shabramulsi, juga seperti disalin Sayid Sabiq dalam Fiqhul al-Sunnah, yang bermaksud, "Sesungguhnya setiap menjaga dan dijaga (anak) mempunyai hak dalam pemeliharaan tetapi hak dijaga lebih kuat daripada hak yang menjaga, dan diterangkan oleh Ibnu Qadamah dengan katanya yang bermaksud: "Sabit hadanah adalah untuk menentukan nasib (kepentingan) budak (kanak-kanak) itu."

Juga dikhuatiri penjaga kanak-kanak itu akan mengubah agamanya dengan apa cara sekalipun. Bagaimanapun, Islam memberi kelonggaran jika dari segi hukumnya ibu bapa kanak-kanak itu bukan Islam, maka sama ada orang Islam atau bukan Islam boleh menjaganya.

Perbuatan seorang Islam yang menyerahkan, memberikan atau menjual anaknya atau kanak-kanak di bawah peliharaannya kepada seorang bukan Islam untuk menjaganya adalah satu kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah. Seksyen 35 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 memperuntukkan: "Mana-mana orang yang menjual, memberikan atau menyerahkan anaknya atau kanak-kanak di bawah peliharaannya kepada seseorang yang tidak beragama Islam adalah melakukan suatu kesalahan, dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan mahkamah boleh membuat apa-apa perintah yang difikirkan patut berkenaan dengan anak atau kanak-kanak itu."

Penjenayah hadanah boleh dikenakan denda atau penjara atau kedua-duanya serentak. Walau bagaimana susah atau miskin sekalipun, janganlah sesekali menyerahkan anak untuk dipelihara oleh orang dari agama lain.

Jawapan disediakan Setiausaha Agong Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Tuan Musa Awang. Sebarang komentar boleh dihantar ke exco@yahoo.com. Layari http:// peguamsyarie.blogspot.com

Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM

 Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM MUSA AWANG Oleh AIMAN ALI 19 Jun 2025, 4:58 pm PETALING JAYA: Persatuan Peguam S...