Tuesday, January 18, 2011

Pengajaran sebalik kontroversi azan


Oleh Musa Awang

Berita Harian 19/01/2011

Penduduk majmuk perlu hormati hak kebebasan beragama

ISU bantahan peguam yang menghantar memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Lembah Pantai membantah laungan azan di Masjid Al-Ikhlasiah dianggap selesai apabila kelmarin, peguam terbabit membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua umat Islam.

Tindakan peguam berkenaan mendapat bantahan seluruh umat Islam, maka wajarlah permohonan maaf dibuat kepada seluruh umat Islam di negara ini.

Azan, syiar Islam yang bermula di Madinah pada tahun pertama hijrah seperti disebut dalam hadis diriwayatkan Abdullah bin Umar semasa orang Islam mula sampai di Madinah dan berkumpul menunggu menunaikan solat tetapi tiada yang menyeru untuk bersembahyang.

Maka Rasulullah SAW pada satu hari mengumpulkan sahabat untuk membincangkan cara mengingatkan umat Islam mengenai masuk waktu solat dan mengajak mereka ke masjid menunaikan solat berjemaah.

Dalam perbincangan itu, ada mencadangkan supaya dikibarkan bendera, ditiupkan serunai atau terompet, dibunyikan loceng dan dinyalakan api di atas bukit. Namun, semua usul itu ditolak Nabi Muhammad SAW kerana sama dengan amalan agama lain seperti Nasrani (Kristian) dan Yahudi.


Kemudian Saidina Umar mencadangkan supaya dilaungkan ayat ‘telah datang waktu solat’ dan cadangan itu diterima Nabi, tetapi Baginda menukar lafaznya kepada ‘marilah solat berjemaah’.
Sehinggalah pada suatu malam Abdullah bin Zaid dan Umar bin al-Khattab sama-sama bermimpi, mengenai cara lebih baik untuk menghebahkan solat dengan mengumandangkan ‘azan’ seperti yang ada pada hari ini.

Apabila mimpi sahabat disampaikan kepada Rasulullah SAW, Baginda bersabda: “Mimpi itu mimpi yang benar.” Lalu Nabi memerintahkan Bilal bin Rabah melaungkan azan pada setiap kali masuk waktu solat.

Untuk solat Jumaat, dua kali azan iaitu pertama menandakan masuk waktu Zuhur memanggil orang Islam ke masjid dan kali kedua sejurus sebelum imam memulakan khutbah Jumaat.

Manakala azan Subuh semasa zaman Rasulullah SAW dikumandangkan sebanyak dua kali seperti dilakukan di Masjidilharam.

Pertama, selepas berlalunya separuh malam untuk memberitahu umat Islam waktu Subuh sudah hampir dan waktu itulah mereka digalakkan bersembahyang sunat tahajud dan sebagainya atau bersahur untuk berpuasa.

Azan kedua diperdengar ketika masuk waktu Subuh dengan tambahan lafaz ‘solat itu lebih baik daripada tidur’. Azan juga sunat dibisikkan ke telinga bayi lelaki baru lahir.

Dalil mensyariatkan seruan azan ialah firman Allah yang bermaksud: “Jika kamu dipanggil (diseru) untuk sembahyang...” (Surah al-Ma’idah, ayat 58).

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Apabila tiba waktu sembahyang hendaklah salah seorang kamu melakukan azan dan yang lebih tua daripada kamu hendaklah menjadi imam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Keajaiban syiar Islam dalam azan ini terbukti apabila azan akan berkumandang di setiap minit selama 24 jam sehari di seluruh dunia berdasarkan perbezaan waktu dan tempat.

Ribuan bilal akan melaungkan azan Subuh seawal 5.30 pagi, bermula di bahagian timur Indonesia dan bergerak ke barat kepulauan Indonesia.

Belum pun laungan azan itu selesai di seluruh Indonesia, azan akan bergema pula di Malaysia, kemudian disambut di Thailand, Myanmar, China dan seterusnya. Azan akan terus bersahutan di Bangladesh dan bergema pula di India.

Sebelum berakhir di Pakistan, laungan azan Subuh akan dilaungkan di Afghanistan dan Oman, kemudian di Emiriah Arab Bersatu, di tanah suci Makkah, Madinah dan negara lain. Proses ini berterusan setiap detik sehingga ke pantai timur Atlantik dalam jangka masa sembilan jam setengah.

Sebelum azan subuh bergema di situ, azan Zuhur sudah berkumandang di Indonesia semula dan begitulah seterusnya laungan azan akan bersahut-sahutan di serata pelusuk dunia melaungkan keagungan Allah dan Nabi Muhammad SAW setiap detik, sepanjang waktu.

Semoga selepas ini tidak ada lagi pihak mempertikaikan amalan agama masyarakat di negara ini.

Janganlah menghuru-harakan keadaan masyarakat yang hidup dalam rukun dan damai. Walaupun permohonan maaf dibuat, namun hakikatnya ada yang tersinggung dengan tindakan itu.

Perbuatan menghina amalan agama sesuatu masyarakat tidak sepatutnya berlaku kerana kita hidup dalam masyarakat majmuk, berbilang bangsa, agama dan kepercayaan.

Cuba bayangkan jika umat Islam mempertikai amalan upacara keagamaan lain seperti amalan membunyikan loceng di kuil pada waktu Maghrib atau membakar colok di tokong yang mengeluarkan asap serta bau tidak menyenangkan, sudah tentu penganut agama itu akan marah.

Hakikat agama Islam sebagai agama Persekutuan dan agama lain bebas untuk dianuti seperti termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan perlu difahami dan dihormati masyarakat bukan Islam.

Agama Islam yang diletakkan di bahagian awal dalam Perlembagaan membawa makna yang besar dari segi peranan, kedudukan dan keutamaannya. Mempersoalkan kesucian Islam ibarat menghina pelindung kepada kesucian agama Islam di negara ini iaitu Yang di Pertuan Agong.

Wednesday, January 5, 2011

Sistem perundangan syariah perlu dipertahan jamin kesucian Islam

Oleh Musa Awang

Berita Harian
05/01/2011

MENGIMBAS isu syariah dan Mahkamah Syariah sepanjang 2010, dunia Islam dan umatnya menerima tamparan hebat apabila Hakim Datuk Lau Bee Lan pada 31 Disember 2009 membenarkan Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald-The Catholic Weekly.

Keputusan itu membangkitkan kemarahan umat Islam dan desakan supaya rayuan segera difailkan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur serta memohon penggantungan pelaksanaan keputusan bagi memastikan kesucian Islam di Malaysia terpelihara.

Kesan daripada isu itu, beberapa negeri segera mewartakan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang kali ke-82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 yang bersetuju lafaz Allah adalah kalimah suci khusus bagi agama dan umat Islam saja. Keputusan muzakarah dilengahkan pewartaan setelah dua tahun keputusan dibuat.

Tarikh 9 Februari 2010 melakar sejarah baru sistem perundangan syariah tanah air apabila tiga pesalah syariah wanita disabitkan kesalahan persetubuhan luar nikah mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 menjalani hukuman sebat.

Pelaksanaan sebatan kali pertama itu sekali gus menolak kritikan negatif golongan tertentu yang cuba mengukur undang-undang jenayah Islam daripada perspektif undang-undang sivil. Pelaksanaan hukuman sebat yang tidak mencederakan membuktikan Islam menyanjung tinggi maruah mereka walaupun terbabit dengan jenayah.

Isu sebatan menjadi polemik rentetan kes Kartika Sari Sukarno yang dijatuhi hukuman enam sebatan pada 2009, sehingga hukumannya ditangguhkan. Secara tidak langsung, mengajak kita meninjau kembali peruntukan Akta atau Enakmen Jenayah Syariah negeri yang masih berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain.

Hanya Pahang dan Kelantan memperuntukkan hukuman sebat bagi kesalahan minum arak. Persoalan juga timbul, adakah hanya peminum arak saja dikenakan tindakan. Bagaimana orang Islam yang bekerja di kedai menjual arak, menghidang atau menuang arak?
Mahkamah Tinggi Sivil membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita bukan Islam, Victoria Jayaseele Martin yang permohonannya menjadi Peguam Syarie Mahkamah Syariah Kuala Lumpur ditolak Majlis Agama Islam.

Isu itu membangkitkan perbahasan kewajaran bukan Islam diterima sebagai Peguam Syarie kerana ia juga membenarkan mereka berhujah dengan ayat al-Quran dan hadis yang boleh menyebabkan salah tafsiran terhadap hukum syarak serta mengelirukan masyarakat.

Tindakan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada Disember 2010, membuat keputusan menolak pelantikan individu bukan Islam sebagai peguam syarie seharusnya dipuji.

Keputusan muzakarah itu wajar dibawa kepada Jawatankuasa Fatwa atau Jawatankuasa Perundingan Syarak Negeri untuk diwartakan sebagai fatwa negeri supaya memberi kesan positif dari sudut perundangan.

Isu ini juga diharap membuka mata pihak berkuasa beberapa negeri seperti Johor, Perlis, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang tidak mensyaratkan Islam secara khusus untuk permohonan sebagai peguam syarie selain menyegerakan draf Akta Profesion Guaman Syarie.

Angka dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), 81,000 anak luar nikah berdaftar, jika separuh adalah anak perempuan bermakna sebanyak 40,000 permohonan bernikah secara wali hakim akan diajukan ke Mahkamah Syariah. Suatu angka besar dan perkembangan membimbangkan.

Pelantikan hakim syarie wanita, Suraya Ramli, 31 dan Rafidah Abdul Razak, 39, di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur, adalah khabar gembira dan bukti negara memberi layanan sama rata antara lelaki dengan wanita. Diharap tahun ini jumlahnya bertambah.

Isu lain menghangatkan 2010 ialah perselisihan pandangan mengenai program kepemimpinan anjuran ESQ Leadership Center Sdn Bhd (ESQ), pengumuman Majlis Agama Islam Melaka dan Jabatan Agama Islam Melaka memberi kelonggaran remaja bawah umur bernikah.

Begitu juga pertikaian agama anak bagi pasangan bukan Islam apabila salah seorang memeluk agama Islam masih mengharapkan satu penyelesaian berkesan.
Titik hitam terpalit di penghujung 2010, hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang ditahan penguatkuasa agama kerana disyaki berkhalwat dengan seorang wanita di kuarters kerajaan di Georgetown.

Kemudian, bekas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak, dihukum penjara 19 tahun dan denda RM210,000 atau penjara 42 bulan selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan rasuah.

Beliau menjadi hakim syarie pertama didakwa atas tuduhan rasuah, dihukum penjara 10 tahun kerana tiga daripada hukuman berjalan serentak.

Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan (Pindaan) 2005 yang diluluskan Parlimen, tetapi ditangguhkan pewartaan kerana dikatakan mengandungi diskriminasi terhadap wanita Islam genap lima tahun pada 22 Disember lalu.

Malangnya, sehingga kini rang undang-undang yang katanya akan dikaji semula itu masih tertangguh. Berapa lama lagi tempoh diperlukan untuk kajian semula undang-undang itu?

Sebahagian besar golongan wanita negara ini terutama pemastautin di tiga Wilayah Persekutuan masih menaruh harapan supaya Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan 2005) dapat dilaksanakan.

Isu sumbang mahram, pengabaian nafkah oleh anak terhadap ibu bapa, isu musahaqah (lesbian), gay dan lain-lain turut mewarnai kanvas 2010.
Semoga tahun 2011 membawa sinar kebaikan dan rahmat untuk keseluruhan umat Islam di negara ini.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan boleh dihubungi di alamat sekretariatpgsm@yahoo.com

Wednesday, December 22, 2010

Wajar tolak peguam syarie bukan Islam


Oleh Musa Awang
sekretariatpgsm@yahoo.com

Berita Harian 22/12/2010

Keputusan muzakarah perlu segera diwartakan elak keputusan dicabar, dipertikai

MUZAKARAH Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam membuat keputusan menolak pelantikan individu bukan Islam sebagai peguam syarie, tepat pada masanya.


Saya berharap mana-mana individu bukan Islam yang berhasrat memohon menjadi peguam syarie menghormati keputusan itu.

Sebenarnya, fungsi peguam syarie di Mahkamah Syariah bukan saja membantu anak guam, tetapi membantu mahkamah dan hakim dalam soal dakwaan, keterangan, bukti, hujah, qarinah dan ikrar. Mereka juga memberi khidmat nasihat mengenai hukum Islam, prosiding mahkamah selain bertindak sebagai pendamai.

Peguam syarie perlu berakhlak mulia, menjaga moral dan etika, menjauhi maksiat, menutup aurat dan menjaga maruah sepanjang masa sama ada dalam atau di luar mahkamah kerana profesion itu dipandang mulia oleh masyarakat.

Membuka permohonan peguam syarie kepada bukan Islam bererti membuka ruang peguam syarie minum arak, bersekedudukan, berkhalwat dan sebagainya.

Peguam syarie perlu berhujah dengan dalil daripada sumber hukum syarak iaitu al-Quran dan sunnah, ijmak, qiyas, masalih al-mursalah, amalan kalangan sahabat serta pandangan ulama muktabar.

Membenarkan bukan Islam menjadi peguam syarie bererti membenarkan mereka berhujah dengan ayat al-Quran dan hadis yang boleh menyebabkan salah tafsiran terhadap hukum syarak serta mengelirukan masyarakat.

Saya bersetuju dengan pendapat jawatankuasa fatwa bahawa individu bukan Islam tidak bersedia untuk semua perkara itu, justeru keputusan menolak pelantikan mereka sebagai peguam syarie adalah wajar.

Saya juga berharap keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam itu segera dibawa kepada Jawatankuasa Fatwa/Perundingan Syarak Negeri dan seterusnya diwartakan Jabatan Mufti Negeri sebagai fatwa negeri supaya lebih memberi kesan dari sudut perundangan.

Sesuatu fatwa mengikat dan berkuatkuasa menurut undang-undang hanya selepas ia diwartakan. Seksyen 49 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003 memperuntukkan: “Apabila disiarkan dalam warta, sesuatu fatwa hendaklah mengikat setiap orang Islam yang berada di Negeri Selangor sebagai ajaran agamanya dan hendaklah menjadi kewajipannya di sisi agama Islam untuk mematuhi dan berpegang kepada fatwa itu, melainkan jika dia dibenarkan oleh hukum syarak untuk tidak mengikut fatwa itu dalam perkara amalan peribadi.”

Mewartakan keputusan muzakarah perlu dilakukan segera supaya tidak membuka sebarang ruang kepada pihak yang tidak berpuas hati dengan fatwa ini mengambil tindakan yang tidak wajar. Kita juga tidak mahu fatwa itu menjadi seperti fatwa pengharaman rokok yang hanya Selangor, Kedah dan Pahang yang mewartakannya.

Keputusan muzakarah ini juga seharusnya membuka mata Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) seperti Johor, Perlis, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang tidak mensyaratkan Islam secara khusus untuk permohonan sebagai peguam syarie, segera berbuat demikian. Tugas MAIN menjaga kepentingan umat Islam serta mengelakkan mudarat tertentu atau yang bersifat mendatang.

Menurut Seksyen 80 (2) (a) dan (b), Enakmen Pentadbiran Agama Islam, majlis boleh dengan kelulusan Sultan, membuat peraturan mengadakan peruntukan bagi tatacara, kelayakan dan fi bagi penerimaan peguam syarie, mengawal selia dan mengawasi kelakuan peguam syarie.

Di peringkat nasional, draf Akta Profesion Guaman Syarie yang pernah diumumkan Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, yang ketika itu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri pada 14 Jun 2008 di Konvensyen Peguam Syarie Kali Pertama bahawa ia akan dibentangkan di Parlimen hujung tahun sehingga kini masih belum menjadi kenyataan. Akta itu juga perlu disegerakan.

Penulis ialah Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia.
E-mel : sekretariatpgsm@yahoo.com.

Saturday, December 18, 2010

Nafsu Songsang – Pelaku Musahaqah boleh dihukum sebat

Oleh Tuan Musa Awang

Berita Harian 8 Disember 2010.

Ahad lalu, akhbar Harian Metro melaporkan bahawa golongan lesbian menggunakan medium laman social Facebook untuk mencari dan menambah kenalan baru, mengadakan parti liar di kelab malam atau di rumah.

Lesbian dalam Islam disebut sebagai musahaqah, iaitu melakukan sesuatu perbuatan untuk memuaskan nafsu seks di antara perempuan dengan perempuan, dengan menggeselkan kemaluan mereka berdua hingga mendatangkan berahi dan merasa kelazatan. Islam jelas mengharamkan musahaqah. Dari Abu Musa katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, “Bila laki-laki menyetubuhi laki-laki maka keduanya telah berzina, dan bila wanita menyetubuhi wanita maka keduanya juga berzina.” (HR Al-Baihaqi dalam Syu’abil Iman).

Dari Watsilah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, ”Musahaqah di antara para wanita adalah zina di antara mereka” (HR Ath Thabrani dalam Al Kabir). Ibnu Qudamah dalam kitab Al-Mughni berpendapat, jika telah bergesek dua wanita maka keduanya melakukan zina yang terlaknat berdasarkan apa yang diriwayatkan dari Nabi s.a.w yang bersabda yang bermaksud, “Apabila seorang wanita mendatangi (menyetubuhi) seorang wanita maka keduanya berzina.”

Imam Al-Alusi dalam kitab Ruhul Ma’ani, Jilid ke-8, hlm. 172-173, berpendapat bahawa Sihaq (lesbian) termasuk dalam kategori liwat yang juga terjadi pada kaum Luth, yaitu seorang wanita menyetubuhi wanita. Dalam sebuah hadith Hudzaifah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, “Sesungguhnya benarlah ucapan (Allah Subhaanahu wa Ta’ala) atas kaum Luth tatkala kaum wanita (dari mereka) merasa cukup dengan para wanita dan kaum lelaki merasa cukup dengan para lelaki.”

Para Fuqaha sepakat bahwa musahaqah tidak di kenakan hukuman hudud. Ia dikategorikan sebagai kesalahan Ta’zir, kerana ia merupakan perbuatan maksiat yang tidak menepati takrif atau maksud zina secara tepat dan sempurna yang membolehkan pelakunya di kenakan hudud. Ia adalah zina secara umum, seperti zina mata, zina tangan, zina kaki, dan zina mulut, dan boleh dikenakan hukuman ta’zir. Wanita yang telah melakukan dosa musahaqah, telah meletakkan kedua kakinya di atas jalan pebuatan yang keji dan mungkar. Ia akan menjadi pembuka jalan kepada kejahatan yang lebih besar seperti minum arak dan sebagainya.

Musahaqah berlaku disebabkan terpengaruh dengan budaya liar, berpunca daripada tindakan membaca atau menonton bahan-bahan lucah, akhirnya melahirkan perasaan ingin mencuba dan terjerumus. Mereka juga tidak sanggup memikul tanggungjawab suami isteri. Saya pernah menemubual beberapa orang pelaku musahaqah dan menurut mereka, mereka suka berpasangan sesame wanita kerana perbuatan tersebut tidak berisiko untuk mengandung. Mereka juga lebih menyukai kelembutan pasangan wanita berbanding lelaki yang lebih kasar. Juga kerana pasangan wanita lebih memahami, menghargai dan romantik berbanding lelaki yang lebih bersikap mendominasi.

Apa pun alasan, ia adalah lahir dari kotak pemikiran pelaku musahaqah yang sebenarnya telah terpedaya dengan tipudaya syaitan. Naluri dan perasaan mereka telah ditipu oleh syaitan, kerana kecenderungan sesama jenis bukan fitrah kejadian manusia. Pelaku musahaqah juga adalah muslim yang kufur terhadap nikmat dan fitrah kejadian yang dijadikan Allah s.w.t, dan mereka ini akan mendapat azab Allah diakhirat kelak, jika tidak bertaubat. Firman Allah yang bermaksud “Dan sesungguhnya azab akhirat adalah lebih keras.” (Surah Ar-Ra’d [13]: 34)

Pelaku musahaqah boleh dikenakan hukuman sebatan menurut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. Seksyen 26 Akta tersebut memperuntukkan bahawa “mana-mana orang perempuan yang melakukan musahaqah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

Pelaku musahaqah yang berkelakuan tidak sopan seperti berpeluk-pelukan atau bercium-ciuman sesame wanita di tempat awam juga boleh dibendung dengan diambil tindakan undang-undang. Menurut Seksyen 29 Akta yang sama, diperuntukkan bahawa “Mana-mana orang yang bertindak atau berkelakuan tidak sopan bertentangan dengan Hukum Syarak di mana-mana tempat awam adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.”

Manakala mana-mana pihak yang mengadakan aktiviti untuk tujuan menganjurkan, mendorong atau menggalakkan aktiviti maksiat juga boleh dikenakan tindakan undang-undang. Pengendali laman maya yang dikatakan memudahkan golongan musahaqah mencari kenalan dan bertukar-tukar pasangan dalam tempoh singkat, dan kemudian membawa kepada aktiviti seperti parti seks lesbian boleh dikenakan tindakan menurut Seksyen 35 Akta tersebut yang memperuntukkan, “Mana-mana orang yang menganjurkan, mendorong atau menggalakkan orang lain untuk melakukan apa-apa maksiat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Perlakuan musahaqah jika tidak dibendung akan meruntuhkan institusi perkahwinan kerana pelaku musahaqah tidak berminat dengan perkahwinan. Pelaku musahaqah juga terdedah dengan pelbagai pelbagai penyakit fizikal dan mental, serta akan mendapat balasan azab di dunia dan akhirat.

- Penulis ialah Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Boleh emailkan ke sekretariatpgsm@yahoo.com.

Friday, December 17, 2010

Kenyataan Media Berhubung Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Menolak Sebarang Pelantikan Bukan Islam Sebagai Peguam Syarie

18 DISEMBER 2010

Rentetan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam menolak sebarang pelantikan individu bukan Islam sebagai Peguam Syarie, PGSM dengan ini menyatakan pendirian dan mengeluarkan kenyataan seperti berikut :-

PGSM MENYAMBUT BAIK keputusan tersebut dan berharap ianya dipatuhi oleh kesemua pihak terutama individu bukan Islam yang ingin memohon sebagai Peguam Syarie.

- Fungsi Peguam Syarie di Mahkamah Syariah bukan saja membantu anak guam, tetapi juga membantu mahkamah dan hakim termasuk dalam soal dakwaan, keterangan, bukti, hujah, qarinah, ikrar, khidmat nasihat kepada anak guam mengenai hukum Islam dan soal prosiding mahkamah, pendamai/mediator dan membuat rayuan.

- Sebagaimana Hakim Syarie, Peguam Syarie juga perlu berakhlak mulia, menjaga moral dan etika, menjauhi maksiat, menutup aurat dan menjaga maruah sepanjang masa, sama ada dalam mahkamah atau di luar mahkamah, kerana ia dipandang mulia dan tinggi oleh masyarakat.

- Peguam Syarie perlu berhujah dengan dalil daripada sumber hukum Syarak iaitu al-Quran dan sunnah, al-ijmak, al-qiyas, masalih al-mursalah, amalan kalangan sahabat serta pandangan ulama muktabar. Membenarkan bukan Islam sebagai Peguam Syarie bererti membenarkan bukan Islam berhujah dengan ayat al-Quran, hadis dan sebagainya, mencemarkan kesucian Islam dan boleh menyebabkan salah tafsiran terhadap hukum syarak serta mengelirukan masyarakat.

PGSM juga berharap Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam tersebut SEGERA DIPANJANGKAN KEPADA MUFTI NEGERI DAN DIWARTAKAN SEBAGAI FATWA SETIAP NEGERI, supaya ia lebih berkesan dan mengikat dari sudut perundangan.

- Keputusan Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam tersebut kemudiannya akan dibawa kepada Jawatankuasa Fatwa/Perundingan Syarak Negeri atau Mufti Negeri, dan seterusnya akan diwartakan oleh negeri berkenaan sebagai fatwa.

- Mewartakan keputusan Muzakarah ini perlu dilakukan segera supaya tidak membuka sebarang ruang kepada pihak-pihak yang tidak berpuashati dengan fatwa ini mengambil tindakan yang tidak wajar. Sesuatu fatwa hanya berkuatkuasa atau mempunyai kesan menurut undang-undang, setelah ia diwartakan sahaja.

- PGSM tidak mahu fatwa tersebut menjadi seperti fatwa pengharaman rokok yang hanya negeri Selangor, Kedah dan Pahang yang mewartakannya, serta beberapa fatwa lain yang mana-mana ia tidak diselaraskan dan diwartakan sebagai fatwa negeri.

Sekian untuk siaran.

Terima kasih.

“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak”

Yang benar,
(MUSA AWANG, P.P.N)
Timbalan Presiden
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Wednesday, November 24, 2010

Sejarah beri panduan bina masa depan cemerlang



Oleh Tuan Musa Awang

Berita Harian
24/11/2010

CADANGAN kerajaan menjadikan subjek Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) wajar dipandang dari perspektif positif, meskipun ada beberapa pihak menentangnya. Sebagai seorang yang mengambil subjek Sejarah sejak di bangku sekolah menengah, saya menyokong syor ini.

Sejarah bukan hanya untuk dikenang, dibukukan atau dijadikan rekod tawarikh untuk ditelaah oleh generasi akan datang, tetapi sejarah adalah satu bentuk pendidikan berterusan agar kita menghargai apa yang dikorbankan oleh tokoh terdahulu atau tidak mengulangi kesalahan sama yang pernah dilakukan oleh orang terdahulu. Bukti menunjukkan bahawa sejarah itu berulang-ulang, cuma watak, latar tempat dan plotnya saja berbeza.

Daripada sejarah kita belajar bagaimana Nabi Muhammad SAW yang berasal daripada seorang anak yatim, miskin dan buta huruf mampu menjadi pemimpin agung, sehingga suatu ketika Islam menjadi tamadun peradaban yang mendominasi sebahagian besar dunia, kemudian menjadi lemah sehingga sekarang, akibat kesalahan dan kesilapan yang dilakukan oleh sebahagian umat Islam yang lupakan sejarah. Daripada sejarah juga kita belajar bagaimana Kesultanan Melayu Melaka menjadi sebahagian daripada tamadun Nusantara, yang kemudian jatuh ke tangan penjajah Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun akibat kesilapan yang dilakukan oleh sebahagian pemimpin dan rakyat yang lupakan sejarah.

Sejarah membuktikan bahawa undang-undang Islam yang pernah menjadi hukum kanun kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dan sebahagian besar negeri Tanah Melayu telah dipinggirkan selepas penjajahan. Hakikatnya kini, Mahkamah Syariah berada pada taraf, status, kedudukan dan bidang kuasa yang lebih rendah dan sempit berbanding mahkamah sivil.

Sejarah ketamadunan Mesir di tepian Sungai Nil mengajar kita mengenai sejarah sistem kalendar, penyimpanan mayat dan piramid. Sejarah ketamadunan China dari tepian sungai Huang Ho dan Yang Tze mengajar kita mengenai sejarah penemuan kertas, sutera, dan sistem pertanian. Sejarah perang dunia pertama dan kedua mengajar kita mengenai relovusi dan perkembangan teknologi seperti pesawat terbang, kapal selam, senjata dan komunikasi. Dari sejarah, kita belajar bahawa pemimpin yang mencapai cita-cita politik mereka dengan bermandikan darah, air mata, dan penderitaan rakyat seperti Firaun, Stalin dan Hitler akan dikenang walaupun dari sudut negatif.

Belajar sejarah menjadikan kita semakin bijak untuk membangun dunia pada masa akan datang, bukan mengulangi kesalahan yang pernah dilakukan. Belajar sejarah menurut Islam adalah untuk memberi kesedaran, mengambil iktibar dan juga untuk menambah keimanan kepada Allah SWT.

Dianggarkan satu perenam daripada kandungan kitab suci Al-Quran adalah terdiri daripada kisah sejarah. Sebagai contoh, Surah al-Qasas, sebahagian besarnya menceritakan kisah Nabi Musa (as) menentang Firaun dan kaumnya. Firman Allah dalam ayat ke-4 surah itu yang bermaksud: Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia daripada golongan yang membuat kerosakan.

Surah al-Kahfi pula menceritakan kisah sekumpulan pemuda yang tidur di dalam gua. Ayat 9 hingga 13 surah itu yang bermaksud: Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah Ashabul Kahfi dan Ar-Raqim itu saja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? (Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami. Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya. Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu). Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambah mereka dengan hidayah petunjuk.


Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Wednesday, November 10, 2010

Kecelaruan nasab akibat jahil hukum anak angkat




Oleh Tuan Musa Awang

Berita Harian
2010/11/10

Bin atau bintikan bayi dengan nama bapa angkat cetus masalah seperti wali, perwarisan

PENDEDAHAN mengenai sindiket penjualan bayi yang mampu mendaftar kelahiran dan pada masa sama berupaya menghapuskan identiti ibu bapa kandung bayi akan menyebabkan kecelaruan nasab dan keturunan terutama jika yang membeli adalah orang Islam.

Mengambil anak angkat dan memeliharanya adalah harus dalam Islam, namun perbuatan mendaftarkan nama anak angkat dengan berbin atau bintikan nama bapa angkat adalah haram.

Hukum ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan dia juga tidak menjadikan anak angkat kamu sebagai anak kamu sendiri. Panggillah anak angkat itu dengan berbinkan kepada bapa mereka sendiri, cara itulah yang lebih adil di sisi Allah.” – (Surah al-Ahzab, ayat 4 dan 5)

Sementara Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang membinkan (atau binti) kepada orang yang bukan bapanya yang sebenar, maka ia dilaknati oleh Allah.”

Dalam suatu riwayat oleh Aisyah Abu Bakar, Abu Huzaifah ibn Utbah dan Salim Mawla Abu Huzaifah berkata: “Abu Hudhaifah, salah seorang yang berjuang dalam perang Badar dengan Nabi Allah, mengambil Salim sebagai anaknya dan mengahwini anak buah perempuannya Hind binti Al-Wahd bin 'Utba padanya dan Salim sebagai seorang hamba dibebaskan daripada seorang wanita Ansar. Nabi Allah juga mengambil Zaid sebagai anak lelakinya.

Sewaktu zaman Jahiliah sebelum Islam adatnya adalah biasa, jika seorang mengangkat seorang anak lelaki, orang memanggilnya dengan nama bapa angkatnya yang dia akan mewarisi juga, hingga Allah mewahyukan: “Panggil mereka (anak lelaki angkat) dengan (nama) bapa mereka.”

Orang Islam yang mengambil anak angkat dinasihatkan supaya mengekalkan nama bapa sebenar anak itu, jika bapa sebenar itu beragama Islam atau dibinkan kepada Abdullah jika anak angkatnya itu bukan berasal daripada orang Islam.

Menukar nama bapa sebenar adalah seperti menafikan dan memutuskan perhubungan nasab antara anak dengan ibu bapanya dan melucutkan hak perwalian bapa sebenar ke atas anaknya. Ibnu al-Qayyim dalam kitab Zad al-Maad, mencatatkan: Sesungguhnya nasab itu sabit pada asalnya ialah kepada bapa.”

Hak menetapkan nasab itu ialah hak Allah dan memelihara hak Allah serta hak kanak-kanak itu wajib kerana Islam memelihara asal keturunan atau nasab penganutnya.

Soal mendaftarkan anak angkat kepada bapa angkat jika tidak diberi perhatian akan menimbulkan kecelaruan generasi dan keturunan umat Islam. Seorang gadis yang diwalikan bapa angkat tidak sah akad nikahnya, urusan akad itu mesti diserahkan kepada wali hakim.

Bapa angkat juga tidak boleh mewakilkan kepada wali hakim kerana dia tidak ada hak wali seperti bapa kandung. Jika ibu bapa angkat berpakat menyembunyikan perkara ini dan membiarkan bapa angkat mewalikan pernikahan anak angkatnya, maka perkahwinan itu tidak sah (fasid).

Bagaimana pula dengan status nasab anak yang lahir daripada pernikahan yang fasid. Ini perlu diberi perhatian ibu dan bapa angkat supaya tidak mengambil ringan hukum agama yang akibatnya nanti hanya akan mendatangkan keburukan kepada anak angkat mereka.

Hubungan anak angkat dengan keluarga angkat juga dibatasi hukum hakam syarak, walaupun anak diambil, dipelihara sejak kecil dan tinggal di bawah satu bumbung seperti masalah aurat serta pergaulan kerana adik beradik angkat adalah bukan mahram.

Dalam pewarisan, anak angkat tidak berhak mewarisi harta pusaka yang ditinggalkan ibu bapa angkat kecuali ada sebab lain yang diharuskan syarak seperti hibah atau wasiat.

Jika status anak angkat disembunyikan bagi mendapat bahagian dalam harta waris, maka ia akan menghalang keluarga sebenar yang lebih berhak, menimbulkan perasaan tidak baik dalam kalangan keluarga. Harta diperoleh juga adalah haram kerana bukan haknya yang sebenar.

Sehingga kini, tiada peruntukan mengikut Enakmen Jenayah Syariah yang membolehkan seseorang dihukum atas kesalahan menamakan anak angkat kepada bapa angkat. Bagaimanapun, perbuatan seorang Islam menyerahkan, memberi atau menjual anaknya atau kanak-kanak di bawah peliharaan kepada seorang bukan Islam untuk menjaganya adalah satu kesalahan.

Seksyen 35 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 memperuntukkan: “Mana-mana orang yang menjual, memberikan atau menyerahkan anaknya atau kanak-kanak di bawah peliharaannya kepada seseorang yang tidak beragama Islam adalah melakukan suatu kesalahan, dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan mahkamah boleh membuat apa-apa perintah yang difikirkan patut berkenaan dengan anak atau kanak-kanak itu.”

Merahsiakan status anak angkat kerana takut anak itu kembali kepada keluarga asal adalah dilarang kerana ia umpama memisahkan kasih sayang dengan ibu, bapa atau keluarganya sebenar.

Ia juga akan menimbulkan kesan besar kepada perkembangan masyarakat dan keturunan umat Islam kerana dikhuatiri suatu masa nanti ramai anak yang diragui status keturunannya kerana kesilapan ketika mendaftarkan kelahiran. Walaupun anak dijaga pihak lain, asal usul keturunan perlu dikekalkan dan dipertahankan.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM

 Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM MUSA AWANG Oleh AIMAN ALI 19 Jun 2025, 4:58 pm PETALING JAYA: Persatuan Peguam S...