Monday, June 24, 2013

Peguam syarie mesti beragama Islam

Oleh HUSSAINI AMRAN

pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 22 Jun - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa kaedah dan peraturan berkaitan pengamal guaman syarie di Perlis, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak dipinda segera bagi memastikan hanya orang Islam dibenarkan menjadi peguam syarie.

Presidennya, Musa Awang (gambar) berkata, ketika ini empat negeri terbabit masih belum meletakkan syarat berkenaan.

Menurut beliau, keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang membenarkan rayuan peguam bukan Islam, Victoria Jayaseele Martin mengemukakan permohonan beramal sebagai peguam syarie seharusnya dijadikan iktibar.

"PGSM merafak sembah kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam bagi Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak menitahkan tindakan segera diambil berhubung perkara tersebut.

"Tindakan ini bagi menyekat kehadiran bukan Islam di mahkamah syariah atas kepentingan umat Islam serta mengelak mudarat tertentu atau yang bersifat mendatang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Musa mengulas keputusan Mahkamah Rayuan yang menyifatkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bertindak di luar batas undang-undang ketika enggan memproses permohonan Victoria untuk beramal sebagai peguam syarie.

Keputusan itu dibuat secara sebulat suara panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin yang bersidang bersama Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Aziah Ali.

Tambah Musa, keputusan berkenaan dianggap bukan muktamad kerana prosiding rayuan masih boleh diteruskan di Mahkamah Persekutuan.

Menurut beliau, Kaedah 10, Kaedah-kaedah Peguam Syarie Wilayah Persekutuan 1993 masih terpakai dan salah satu syarat kelayakan untuk seseorang diterima menjadi peguam syarie mestilah beragama Islam.

"Sehubungan itu, bukan Islam tidak layak memohon sebagai peguam syarie di Wilayah Persekutuan," katanya.

Musa memberitahu, peraturan tersebut dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 59(2), Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 yang mana MAIWP dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong berkuasa membuat kaedah atau peraturan bagi prosedur, kelayakan, fi dan sebagainya berkenaan peguam syarie.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130623/dn_14/Peguam-syarie-mesti-beragama-Islam#ixzz2X8nggVKd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, June 10, 2013

Seri Paduka lambang penyatuan bangsa



Peguam Syarie Menulis
Berita Harian 05/06/2013

Oleh Musa Awang

Ketua negara bagi Malaysia ialah Yang di-Pertuan Agong. Yang di-Pertuan Agong ialah jawatan eksekutif yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan Perkara 38 Perlembagaan, jawatan ini digilirkan setiap lima tahun sekali, antara sembilan pemerintah negeri Melayu. Apabila seseorang pemerintah negeri menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong, seorang kerabat diraja akan dilantik sebagai pemangku dalam negeri berkenaan.
Sistem penggiliran Raja-Raja Melayu dari negeri yang dulunya dikenali Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang) dan Negeri Melayu Tidak Bersekutu (Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor).

Sistem penggiliran jawatan Yang di-Pertuan Agong ini unik, kerana Malaysia negara tunggal di dunia yang mengamalkan sistem penggiliran ketua negara seperti ini.

Sistem ini juga gabungan antara tradisi feudal berasaskan keturunan darah dengan konsep moden berasaskan Perlembagaan.

Sistem pemerintahan Raja berperlembagaan negara ini menjadi lambang negara berdaulat, bebas dan merdeka serta lambang perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama.

Perkara 39 Perlembagaan memperuntukkan kuasa eksekutif Persekutuan adalah hak Yang di-Pertuan Agong. Walaupun ada beberapa pengecualian dalam Perlembagaan mengenai kuasa dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong, secara lazim, baginda menerima nasihat daripada Jemaah Menteri dalam menjalankan kuasa eksekutif baginda.
Tiga fungsi dalam Perlembagaan

Seri Paduka mempunyai kuasa bertindak mengikut budi bicara baginda dalam tiga fungsi Perlembagaan iaitu melantik seorang Perdana Menteri, bersetuju atau tidak mempersetujui permintaan membubarkan Parlimen dan meminta mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja dan mengambil tindakan dalam mesyuarat itu.

Dalam kuasa perundangan, Yang di-Pertuan Agong adalah sebahagian daripada komponen Parlimen, iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Baginda mempunyai kuasa memanggil Parlimen bermesyuarat dari semasa ke semasa, memberhentikan dan membubarkan Parlimen, memberi ucapan dalam mana-mana majlis Parlimen dan memperkenankan Rang Undang-Undang.

Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa melantik dua senator untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan seorang untuk tiap-tiap Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya, serta berkuasa melantik 40 orang senator lain.

Dalam kuasa kehakiman, Yang di-Pertuan Agong berfungsi melantik Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Hakim Mahkamah Agung, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi, atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa melantik Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah bagi Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah Persekutuan.

Peristiharan darurat
Berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan perisytiharan darurat apabila berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku seperti keselamatan, kehidupan, ekonomi atau ketenteraan awam dalam Persekutuan atau negeri dalam keadaan terancam.

Yang di-Pertuan Agong juga pemerintah tertinggi angkatan bersenjata, mempunyai kuasa mengurniakan pengampunan dan menangguhkan hukuman bagi kesalahan yang dibicarakan Mahkamah Tentera dan semua kesalahan dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, menjaga hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak, sebagai sumber penghormatan dan kebesaran, fungsi diplomatik dengan melantik diplomat Malaysia di luar negara dan menerima mengadap diplomat asing serta menghadiri majlis.

Selanjutnya, Perkara 3 (3) dan (5) Perlembagaan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua agama Islam bagi negeri yang tiada raja seperti Pulau Pinang, Sarawak, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan. Di negeri lain, ketua agama Islam ialah Sultan atau Raja di negeri berkenaan.

Sebagai Ketua agama Islam, Yang di-Pertuan Agong pelindung kepada kesucian agama Islam di negara ini.

Ketua umat Islam, ketua eksekutif seluruh rakyat
Justeru, Seri Paduka bukan saja ketua kepada umat Islam, tetapi juga ketua eksekutif bagi seluruh rakyat termasuk bukan Islam dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Dalam sebuah negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum dan agama, dalam situasi masing-masing berusaha memperjuangkan hak asasi, budaya, adat resam dan agama mereka, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja tetap menjadi penyelamat ketegangan politik dan perkauman serta menjadi simbol perpaduan rakyat.

Kita, selaku rakyat yang berpayung di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong seharusnya sentiasa memberikan taat setia tidak berbelah bahagi kepada pemerintah tertinggi negara ini dan mengelak diri daripada terbabit dengan sebarang tindakan mempertikai perkara yang termaktub dalam Perlembagaan, termasuk mempertikai kesucian agama Islam sebagai agama persekutuan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

Go to Link - http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SeriPadukalambangpenyatuanbangsa/Article

Thursday, April 11, 2013

Orang ketiga boleh dihukum dunia dan akhirat


Minda Metro, Harian Metro, Khamis 11 April 2013

Oleh Musa Awang

Isu mengambil tindakan terhadap orang ketiga yang mencari punca berlaku perceraian adalah suatu perkara yang lama, tetapi ditimbulkan semula baru-baru ini. 

Apabila isu ini timbul kembali, saya menerima pelbagai soalan daripada masyarakat. Siapa orang ketiga? Tiada tafsiran khusus tentang siapa orang ketiga. 

Orang ketiga boleh jadi sesiapa sahaja. Boleh jadi orang luar yang kita kenal dan mungkin tidak kenal. Boleh jadi juga ibubapa sendiri, mertua, adik beradik, ipar duai, sepupu sepapat, dan sebagainya. Mungkin juga bekas kekasih suami atau isteri, mungkin juga jiran sebelah rumah.

Akta sudah tersedia

Dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559), di bawah kesalahan pelbagai, terdapat tiga seksyen yang memperuntukkan hukuman terhadap orang ketiga yang memujuk lari perempuan bersuami, menghalang suami isteri hidup bersama dan menghasut suami isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.

Seksyen 36 Akta memperuntukkan – ‘Mana-mana orang yang memujuk lari seorang perempuan bersuami atau membawanya keluar dari atau dengan apa-apa cara mempengaruhinya supaya meninggalkan kediaman suami isteri yang ditentukan oleh suaminya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah boleh memerintahkan perempuan tersebut supaya kembali kepada suaminya.’

Seksyen 37 Akta memperuntukkan – ‘Mana-mana orang yang menghalang sesuatu pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri yang sudah bernikah dengan sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah hendaklah memerintahkan pasangan itu supaya hidup sebagai pasangan suami isteri yang sudah bernikah dengan sah.’

Dan Seksyen 38 Akta sama memperuntukkan – ‘Mana-mana orang yang menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana orang lelaki atau orang perempuan supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan dan tanggungjawabnya sebagai suami atau isteri adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.’

Berdasarkan kepada peruntukan di atas, bukanlah bermaksud seseorang boleh menyaman pihak ketiga yang memujuk lari isteri, menghalang suami isteri hidup bersama dan menghasut suami isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipannya. 

Tiada peruntukan yang membenarkan pihak ketiga di saman bawah tindakan mal (sivil) di Mahkamah Syariah.

Perlu buat aduan

Sebaliknya, apa yang boleh dilakukan, pihak-pihak yang merasa teraniaya disebabkan oleh pihak ketiga ini boleh membuat aduan ke Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam, supaya orang ketiga ini disiasat, dan seterusnya di dakwa oleh Pendakwa Syarie mengikut kesalahan jenayah Syariah.

Kesalahan mengikut Seksyen 36,37 dan 38 di atas adalah tergolong dalam kesalahan boleh tangkap, yakni pada lazimnya Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) boleh menangkap tanpa waran. 

Jika didapati aduan tersebut perlu disiasat, PPA akan menjalankan tindakan lanjut atas aduan atau maklumat yang diterima.

Kesalahan yang dinyatakan di atas, kebanyakannya berlaku secara tidak langsung, dan sukar untuk dibuktikan. Contohnya, apabila keluarga mertua tidak berkenan dengan menantunya, pastinya akan memburuk-burukan pihak menantu atau menimbulkan konflik dalam perkahwinan, sehingga akhirnya berlaku perceraian.

Aduan perlu bukti kukuh

Oleh sebab itu, aduan yang hendak dibuat perlu dikemukakan dengan bukti yang kukuh, bukan setakat cakap, dengar atau kerana dendam kesumat sahaja. Aduan tanpa bukti kukuh akan menyukarkan pihak pendakwaan untuk membawa kes tersebut di mahkamah.

Kadang-kadang, diri sendiri yang gagal menjalankan tanggungjawab, tidak memberi nafkah, tidak sensitif terhadap pasangan, pentingkan diri dan sebagainya, tetapi lebih suka menyalahkan orang lain atas konflik yang berlaku. 

Tanggung dosa besar

Memutuskan silaturrahim antara suami isteri bukan sahaja boleh dihukum di dunia, malah dikira melakukan maksiat besar sehingga mendapat laknat dari Allah SWT, sebagaimana firmanNya dalam Surah Muhammad ayat 22-23 yang bermaksud, “(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan, jika kamu dapat memegang kuasa-kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat?. (Orang-orang yang melakukan perkara-perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya.” (Surah Muhammad: Ayat 22-23)

Rasulullah SAW, juga memberi amaran kepada orang ketiga yang memutuskan silaturrahim sebagaimana dalam sabda Baginda yang bermaksud,  “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan.” (HR Muslim)

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sekretariatpgsm@yahoo.com

Friday, March 29, 2013

Imej terkini peguam syarie

Musa Awang

Berita Harian, 27 Mac 2013

Kehadiran peguam syarie di Mahkamah Syariah adalah menjalankan tugas yang pernah dijalankan oleh sahabat Nabi SAW. Saidina Ali pernah membantu Khalifah Umar membuat keputusan yang betul dalam kes seorang wanita datang kepada Khalifah Umar dan membuat ikrar telah melakukan zina.

Melalui peranan dimainkan oleh Saidina Ali, Khalifah Umar telah membebaskan wanita itu, yang sebenarnya telah diperkosa sebagai balasan sedikit susu yang diminta daripada seorang lelaki dalam keadaan beliau terlalu dahaga.

Saidina Ali juga pernah menjadi peguam dalam kes seorang perempuan yang menuduh seorang pemuda cuba mencabul kehormatannya dengan mendakwa ada kesan air mani di tubuh serta di atas kainnya.

Saidina Ali telah menyiram air mendidih kepada kesan cecair atas kain perempuan itu dan cecair berkenaan menjadi beku serta putih seperti putih telur. Akhirnya perempuan berkenaan mengaku perbuatan tipu dayanya untuk mengenakan pemuda itu.

Abdullah bin Ja’far pernah menjadi peguam kepada Ali bin Abi Talib dengan Talhah bin Ubaidullah pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan. Pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan, Abdullah bin Abbas pernah menjadi peguam kepada Hassan bin Thabit, (seorang penyair terkenal pada zaman Nabi SAW).

Walaupun Hassan seorang penyair, dia tidak mahir berhujah dalam perbicaraan. Ibnu Abbas sebagai seorang yang faqih dan petah berhujah telah bertindak sebagai peguam membela Hassan.

Lencana Sahabat Mahkamah Syariah
Kehadiran peguam syarie di Mahkamah Syariah adalah berpaksikan kepada undang-undang, bukan semata-mata mencari rezeki. Kewujudan dan fungsi peguam syarie diiktiraf dan disebut dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam atau Enakmen Mahkamah Syariah negeri-negeri.

Seksyen 59 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Wilayah Persekutuan 1993 menyebutkan majlis boleh menerima sesiapa yang mempunyai pengetahuan mencukupi mengenai hukum syarak menjadi peguam syarie bagi mewakili pihak-pihak dalam prosiding di Mahkamah Syariah.

Pelancaran lencana Sahabat Mahkamah Syariah yang disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Tan Sri Dr Ibrahim Lembut, pada 18 Mac lalu sebagai simbolik hubungan peguam syarie membantu Hakim Syarie membuat keputusan adil, cepat, betul dan tepat berdasarkan hukum syarak serta undang-undang.

Sahabat adalah orang yang merasa bertanggungjawab terhadap satu sama lain, walaupun tidak memiliki hubungan darah. Sahabat bukan adik-beradik, tetapi berupaya mewujudkan hubungan persaudaraan seperti adik-beradik.



Sahabat adalah orang yang banyak memberi manfaat dan kebaikan antara satu sama lain. Sahabat juga membantu apabila berada dalam kesusahan, meredakan kesedihan, menghilangkan kebimbangan dan sanggup berjuang demi kebaikan bersama.

Sahabat seorang yang mampu menyimpan rahsia dan keaiban, sentiasa melindungi dan semangat mereka sentiasa bersama. Sahabat membuatkan seseorang berasa selamat apabila mereka bersama. Sahabat tidak semestinya memiliki minat atau pendapat sama, tetapi mereka saling memerlukan.

Diriwayatkan oleh al-Hakim, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik-baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya.”

Pelancaran lencana Sahabat Mahkamah Syariah oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) adalah salah satu usaha menjadikan peguam syarie sebagai sahabat baik kepada Mahkamah Syariah.

Lencana itu akan dipakai oleh peguam syarie ketika berurusan di Mahkamah Syariah, sebagai satu simbolik pengiktirafan peranan peguam syarie sebagai sahabat baik kepada Mahkamah Syariah.


Pupuk hubungan baik
Lencana itu juga bertujuan memupuk serta meneruskan hubungan baik berpanjangan antara peguam syarie dengan Mahkamah Syariah, di samping memudahkan orang awam mengenali peguam syarie bagi mencegah berlakunya penyamaran oleh orang tidak berkelayakan.

Hubungan baik antara peguam syarie dan Mahkamah Syariah perlu ditingkatkan, diiktiraf serta dihormati oleh semua pihak sama ada dari pihak Mahkamah Syariah sendiri dan kalangan peguam syarie.

Peguam syarie serta kakitangan mahkamah berada dalam satu barisan dan tujuan yang sama untuk menjadikan Mahkamah Syariah sebagai institusi dipandang tinggi serta dihormati masyarakat.

Jika ada kekurangan di pihak peguam syarie, ia wajar ditegur dengan cara berhemah dan berhikmah, bukan memperlekehkan, memperkecilkan, memalukan atau menjatuhkan maruah mereka di hadapan pelanggan.

Begitu juga peguam syarie, jika ada sebarang kekurangan di pihak mahkamah, aduan perlu disalurkan melalui saluran yang betul kepada Mahkamah Syariah. Menceritakan mengenai kes Mahkamah Syariah dan tindakan hakim laman sosial akan mengundang masalah seperti mengundang komen dan perbahasan kalangan mereka yang tidak faham serta mahir mengenai undang-undang.

Sedar atau tidak, tindakan segelintir hakim dan peguam syarie itu secara tidak langsung telah menjatuhkan kredibiliti serta kewibawaan institusi Mahkamah Syariah, hakim syarie, peguam syarie dan memburukkan Islam.

Go to link - 
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Imejterkinipeguamsyarie/Article/


Tuesday, February 26, 2013

Hikmah bertunang


Ikatan boleh batal jika wanita masih isteri orang

Peguam Syarie Menulis
Berita Harian, 27 Februari 2013.

Oleh Musa Awang

Tunang  atau dalam bahasa arab disebut Khitbah adalah suatu hasrat dari seorang lelaki untuk menjadikan seorang perempuan sebagai isterinya atau secara ringkasnya suatu perjanjian untuk mendirikan rumahtangga. Perjanjian juga dianggap sebagai suatu kontrak sebelum memasuki alam pernikahan, iaitu apabila pihak lelaki mengemukakan hasrat untuk mengahwini pihak perempuan sama ada secara langsung atau tidak langsung melalui orang tengah atau perantaraan.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah : 234-235 yang bermaksud “… Dan tidak ada dosa bagi kamu meminang wanita-wanita itu dengan sindiran atau kamu menyembunyikan (keinginan mengahwini mereka) dalam hatimu. Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut mereka, dalam pada itu janganlah kamu mengadakan janji kahwin dengan mereka secara rahsia, kecuali sekadar mengucapkan (kepada mereka) perkataan yang ma’aruf…”

Mengikut adat orang Melayu, jika seorang lelaki berkenan kepada seorang perempuan, maka hasratnya akan diluahkan kepada ibubapanya. Maka ibubapa lelaki atau saudara maranya akan bertandang ke rumah perempuan untuk memaklumkan kepada ibubapa perempuan tersebut tentang hasrat hati lelaki berkenaan. 

Bukan tiket hubungan bebas

Kebiasaannya, sebentuk cincin merisik akan dibawa sewaktu bertandang tersebut. Sewaktu merisik inilah perbincangan mengenai majlis pertunangan akan diadakan, seperti tarikh dan tempat untuk majlis bertunang.

Hikmah bertunang adalah untuk membuka jalan perkenalan antara pasangan bertunang, mengenali hati budi masing-masing, menyuburkan rasa cinta kerana perkahwinan hendaklah diasaskan kepada cinta antara satu sama lain, dan memastikan jiwa dan emosi pasangan yang bertunang stabil, kerana bebas dari gangguan lelaki atau perempuan yg lain.

Namun, ikatan pertunangan ini bukanlah bermakna ia suatu tiket membenarkan lelaki dan perempuan bergaul bebas. Menjadi tanggungjawab ibubapa untuk menyegerakan akad perkahwinan jika didapati ikatan pertunangan itu telah menyebabkan hubungan bebas antara pasangan yang bertunang.

Secara amnya Islam telah menggariskan sifat-sifat ataupun syarat-syarat yang sepatutnya dimiliki oleh setiap pasangan yang berhasrat bertunang. Lelaki yang mengemukakan hasrat untuk bertunang wajiblah seorang yang berakal, beragama Islam, dan telah berusia akhil baligh. Lelaki tersebut juga harus pasti orangnya, supaya tidak keliru dengan orang yang mempunyai nama yang sama. Disyaratkan juga lelaki itu hendaklah seorang lelaki yang tidak mempunyai isteri seramai 4 orang.

Syarat pada pihak perempuan juga hendaklah beragama Islam, pasti orangnya, terutama sekali apabila perempuan tersebut mempunyai ramai adik beradik perempuan, dan halal bagi lelaki yang ingin meminangnya.

Wanita yang haram dikahwini
Perempuan yang diharamkan dikahwini dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud : “Diharamkan ke atasmu menikahi ibu-ibumu, anak-anak perempuanmu, saudara-saudara perempuanmu, saudara-saudara perempuan bapamu (ibu saudara sebelah bapa), saudara-saudara perempuan ibumu (ibu saudara sebelah ibu), anak-anak perempuan daripada saudara lelakimu, anak-anak perempuan daripada saudara perempuanmu, ibu-ibu yang menyusukanmu, saudara-saudara perempuan sepersusuan, ibu mentuamu dan anak-anak tirimu yang ibunya sudah kamu campuri, tetapi jika kamu belum mencampuri ibunya, kamu boleh mengkahwininya.” [Surah al-Nisa, ayat 32].

Perempuan itu juga hendaklah bukan di dalam eddah cerai hidup atau cerai mati, dan hendaklah bukan isteri kepada lelaki lain. Mana-mana pertunangan yang diadakan dengan perempuan yang telah bersuami ianya adalah tidak sah dan terbatal.

Lelaki yang menjalin hubungan dengan seorang perempuan sedangkan dia mengetahui perempuan itu adalah isteri seseorang, lalu menyatakan kesediaan untuk mengambil ‘kekasihnya’ itu sebagai isteri jika diceraikan oleh suaminya, juga termasuk dalam konteks meminang yang dilarang Syarak. ‘Peminangan’ sedemikian akan mendorong perempuan itu meminta cerai daripada suaminya, sebagai jalan untuknya berkahwin dengan kekasihnya.

Islam melarang seorang isteri meminta cerai dari suaminya, tanpa sebab yang diharuskan Syarak. Sabda Rasulullah SAW bermaksud : “Mana-mana perempuan yang meminta suaminya menjatuhkan talak tanpa apa-apa kesalahan, maka haramlah ke atasnya bau syurga.” – [HR Abu Daud dan at-Tirmidzi].

Disyaratkan juga perempuan tersebut hendaklah bukan tunangan lelaki lain. Adalah haram untuk meminang seorang perempuan yang telah bertunang. Dalam satu hadith dari Ibn Umar, Rasulullah SAW bersabda bermaksud - “Tidak boleh meminang seorang atas pinangan saudaranya sehingga yang meminang sebelumnya itu meninggalkan pinangannya atau diizinkan baginya” [HR Bukhari & Muslim].

Bagaimanapun, perempuan yang sudah bertunang boleh dipinang setelah ikatan pertunangan dibatalkan oleh pihak lelaki atau dipersetujui oleh pihak lelaki, yakni si lelaki bersedia memutuskan pertunangan itu.

Tuntutan gantirugi pertunangan
Memutuskan ikatan pertunangan tanpa apa-apa sebab yang sah boleh menyebabkan tindakan gantirugi pertunangan dikemukakan di Mahkamah Syariah. Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (Pindaan 1992) memperuntukkan – “Jika seseorang telah mengikat suatu pertunangan mengikut Hukum Syara', sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan, dan kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi itu tanpa apa-apa sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungan memulangkan pemberian-pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam Mahkamah.”

Menaruh minat terhadap perempuan yang telah bertunang juga adalah suatu perkara yang perlu dielakkan. Perbuatan meminang atau menjalin hubungan dengan tunangan orang boleh menyebabkan perbalahan, pergaduhan, perpecahan dan boleh memutuskan silaturrahim. Islam melarang keras perbuatan memutuskan silaturrahim. Sabda Nabi SAW yang bermaksud : “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan silaturrahim.”-  (HR Muslim)

- Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). E-mail : sekretariatpgsm@yahoo.com.

Go to link -
http://www.bharian.com.my/articles/PeguamSyarieMenulis_Hikmahbertunang/Article/


Wednesday, February 6, 2013

Tangani golongan persenda Islam


Kuat kuasa enakmen dalam Perlembagaan elak keharmonian Negara tergugat

Musa Awang

Peguam Syarie Menulis,
Berita Harian 6 Februari 2013

Akhir-akhir ini banyak provokasi terhadap Islam dilakukan oleh pemimpin dan orang terkenal dalam masyarakat. Walau apa pun tujuan terselindung, perlakuan tersebut bukan sahaja menimbulkan resah dalam kalangan orang Islam, juga akan menghakis kedaulatan Islam sebagai agama Negara.

Sikap menghina agama Islam turut menjalar dalam masyarakat hingga menyebabkan ada orang bukan Islam secara terang-terangan berani mempersendakan peraturan agama Islam, mencemuh amalan dan mengeluarkan kata-kata tidak sepatutnya terhadap agama Islam serta penganutnya.

Lebih malang, ada pihak yang merestui dan bersekongkol dengan usaha itu. Dari perspektif integrasi kaum dan agama, sikap begini kurang ajar dan tidak menghormati perasaan khususnya orang Islam dan orang Melayu.

Memperkecil Islam sebagai agama Persekutuan
Dari sudut perundangan, ia dilihat cuba memperlekeh dan memperkecilkan Islam sebagai agama bagi persekutuan, serta menggugat keistimewaan yang diberikan oleh Perlembagaan kepada orang Islam.

Golongan yang mempersendakan Islam sebenarnya telah lama wujud sejak zaman Rasulullah SAW dan diteruskan golongan modenis zaman sekarang atas nama demokrasi, kebebasan bersuara, hak asasi dan kebebasan beragama.

Golongan ini telah banyak kali cuba memperlekeh dan menghina Rasulullah SAW, cuba menjatuhkan martabat Baginda, menghina Islam, sekaligus cuba menjauhkan manusia dari ajaran Islam yang dibawanya.

Allah SWT telah mengingatkan Rasulullah SAW dan umat Islam dalam firman-Nya yang bermaksud : Mereka bersumpah dengan nama Allah, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang buruk terhadapmu), padahal sesungguhnya mereka telah mengatakan perkataan kufur, dan mereka pula menjadi kafir sesudah melahirkan Islam, serta mereka berazam untuk melakukan apa yang mereka tidak akan dapat mencapainya (iaitu membunuhmu). Dan tidaklah mereka mencaci dan mencela (Islam) melainkan setelah Allah dan RasulNya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah kurniaNya. Oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan beroleh kebaikan; dan jika mereka berpaling (ingkar), Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan mereka tidak akan mendapat sesiapa pun di bumi ini, yang akan menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong. [Surah at-Taubah ayat 74].

Walaupun hati umat Islam telah terguris dengan perlakuan itu, mereka nampaknya tidak cepat melatah, membalas cemuhan dan provokasi dengan memperkecil atau mempersendakan amalan agama lain.

Mereka masih bersikap menghormati agama lain dan tidak mahu menyinggung keharmonian antara kaum. Tidak kurang juga yang masih berpeluk tubuh dan bersikap endah tidak endah.  Bagaimanapun, tindakan perlu diambil supaya mereka tidak mengulangi perbuatan berkenaan.

Rasulullah SAW pernah menempelak golongan ini dengan ayat al-Quran yang bermaksud : Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main". Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?" Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah. [Surah at-Taubah ayat 65-66]

Tindakan tegas
Golongan yang mempersenda Islam pada zaman Rasulullah SAW hanya menampilkan diri mereka dan melakukannya secara terang-terangan selepas kewafatan Baginda. Semasa hayat Baginda, mereka melakukannya secara sembunyi kerana takutkan tindakan yang mungkin diambil oleh Rasulullah SAW.

Khalifah ar-Rasyidun tetap mendakwa mereka dan menjatuhkan hukuman ke atas golongan yang mempersenda agama seperti yang dikenakan kepada Musailamah al-Kazzab yang mengaku nabi selepas kewafatan Baginda SAW.

Penulis bersetuju dengan pandangan sesetengah pihak yang mendesak tindakan tegas diambil terhadap golongan ini. Selagi tidak ada tindakan berkesan kerajaan terhadap pihak yang jelas tidak mahu menghormati Perlembagaan, selagi itulah mereka akan terus melakukan kegiatan yang boleh menjejas keharmonian beragama dalam negara ini.

Sampai bila pihak berkuasa mahu menutup mata tanpa mahu bertindak tegas terhadap mereka yang berterusan menggugat keharmonian kaum, selain mempersendakan Perlembagaan. Undang-undang bukan sahaja perlu dihormati dan dipatuhi, malah juga perlu dikuatkuasakan.

Orang Islam yang melakukan perbuatan menghina, atau menyebabkan dipandang hina agama Islam boleh didakwa atas kesalahan Seksyen 7, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, yang jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Sekat agih bible
Orang bukan Islam yang menyebarkan agama mereka kepada orang Islam termasuk perbuatan mengagihkan Bible dalam kalangan pelajar Islam boleh dikenakan dakwaan di bawah Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) dah telah pun wujud di Terengganu, Kelantan, Kedah, Melaka, Perak, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, dan Johor.

Hanya Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Perlis yang belum menggubal undang-undang sedemikian, walaupun kuasa telah diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Jika sabit kesalahan di bawah Enakmen tersebut, pesalah boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM10,000 atau penjara selama tempoh satu tahun atau kedua-duanya. Undang-undang kawalan dan sekatan pengembangan agama tersebut bukan Islam tersebut bukan sahaja boleh dikenakan terhadap bukan Islam, tetapi juga boleh dikenakan ke atas orang Islam yang bersekongkol. 

-       Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi melalui emel : sekretariatpgsm@yahoo.com.

Saturday, January 5, 2013

Perutusan Tahun Baru 2013 Presiden PGSM

Assalamu’alaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdullilah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita masih dipanjang umur dan dapat menyaksikan labuhnya tirai tahun 2012 serta terpancar fajar baru 2013. Tentu sebahagian besar atau mungkin kesemua azam kita tahun 2012 telah dimakbulkan Allah SWT, dan kita melangkah ke tahun 2013 ini dengan azam yang baru.

Tahniah kepada pelatih dalam kamar yang telah lulus dalam temuduga dan telah ditauliahkan sebagai Peguam Syarie. Kepada yang gagal, usah putus asa. Cuba lagi di tahun 2013 ini. Tahniah kepada rakan-rakan kita yang melangsungkan perkahwinan sepanjang cuti panjang persekolahan baru-baru ini. 

Tahniah juga kepada rakan-rakan kita yang telah dikurniakan cahayamata. 

Tahniah juga kepada rakan-rakan kita yang telah mendapat tempat untuk melakukan latihan dalam kamar, atau yang bertukar majikan yang baru atau yang membuka firma sendiri. Saya bagi pihak PGSM mengucapkan selamat maju jaya.

Mungkin kita tidak sedar, kebahagian yang kita perolehi atau kejayaan yang kita kecapi dalam perkara-perkara yang disebutkan di atas mempunyai satu elemen yang sama, iaitu “amanah”. Apabila dikaitkan dengan amanah bererti ia akan disoal oleh Allah SWT.

Sabda Baginda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar, katanya: “Saya telah mendengar Rasulullah SAW telah bersabda: ‘Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan diminta bertanggungjawab atas kepemimpinannya. Seorang ketua negara akan diminta bertanggungjawab perihal rakyat yang dipimpinnya. Seorang suami akan ditanya perihal keluarga yang dipimpinnya. Seorang isteri yang mengurus rumah tangga akan ditanya perihal tanggungjawab dan tugasnya. Bahkan seorang pembantu atau pekerja yang bertugas memelihara barangan milik majikannya juga akan ditanya perihal yang dipimpinnya. Dan kamu sebagai pemimpin akan ditanya (dipertanggungjawab) atas kepemimpinannya’.” (HR Bukhari dan Muslim).

Jadi, marilah kita sama-sama memastikan amanah yang diletakkan atas bahu setiap dari kita itu dilaksanakan sepanjang tahun 2013 ini.

Bagi pihak kepimpinan PGSM sesi ini (MT & EXCO), saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua Peguam Syarie, pelatih dalam kamar dan pelajar-pelajar, terutama ahli PGSM yang sama-sama menyokong dan mendokong PGSM sepanjang kami memegang tampuk kepimpinan PGSM. Teruskanlah sokongan Tuan/Puan kepada PGSM sepanjang tahun 2013 ini dan seterusnya pada masa-masa akan datang.

Pelbagai program telah dirancang untuk tahun 2013.

Program pertama tahun 2013 ialah Seminar Prosedur Rayuan Jenayah & Mal Di Mahkamah Syariah Selangor : Berdasarkan Kajian Kes pada Sabtu 12 Januari 2013, anjuran bersama PGSM dan Persatuan Pegawai Syariah Selangor (PPSS). Tempat terhad seramai 40 orang sahaja. Silalah Tuan/Puan daftar segera.

Mesyuarat Agung Tahunan PGSM dijadualkan pada 15 Februari 2013. Insya-Allah pada Februari 2013 juga akan diadakan Persidangan Peguam Syarie Negeri Selangor, manakala sekitar Julai 2013 akan diadakan Konvensyen Peguam Syarie Kebangsaan Kali Ke-3 serta Majlis Makan Malam PGSM.

PGSM juga merancang untuk mengadakan Seminar Bagaimana Mengekalkan Kebahagian Rumahtangga, Seminar Pengurusan Harta Islam dan Klinik Guaman Syariah Percuma (Klinik Syariah) untuk masyarakat awam.

Program Tafaqquh akan diteruskan seperti biasa pada Jumaat minggu ketiga setiap bulan. Begitu juga program Skil Advokasi Peguam Syarie, program-program sukan dan riadah dan lain-lain secara berterusan.

PGSM sedang dalam proses menerbitkan buku ilmiah, kompilasi artikel ilmiah serta kompilasi kertas-kertas kerja program. Sekurang-kurangnya 4 buah buku bakal diterbitkan tahun 2013 ini. Insya-Allah. PGSM juga sedang mengumpulkan alasan-alasan penghakiman untuk kes-kes Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah daripada ahli-ahli yang mewakili kes-kes tersebut. Ahli-ahli boleh menghantarkan salinan penghakiman tersebut ke sekretariat PGSM, atau emelkan soft copy kepada sekretariatpgsm@yahoo.com.

Untuk makluman, draf Akta Profesion Guaman Syarie sedang dalam peringkat kedua, yang mana PGSM akan mengadakan mesyuarat dengan JAKIM dan Peguam Negara pada Januari 2013 untuk memuktamadkan draf tersebut. Buat masa ini, perbincangan draf tersebut dibuat dalam Jawatankuasa Kecil Draf APGS di bawah PGSM, dianggotai oleh kesemua MT PGSM, Exco Profesion Guaman Syarie, beberapa orang Exco lain serta beberapa orang ahli senior yang dilantik oleh PGSM.

Program latihan Peguam Syarie panel untuk YBGK juga akan diteruskan ke negeri-negeri di utara, pantai timur, Sabah, Sarawak, dan seterusnya program latihan fasal kedua pula akan menyusul. Untuk makluman, PGSM telah dilantik sebagai lembaga pengarah dalam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. 

Juga, wakil PGSM telah dilantik dalam Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri Selangor, Jawatankuasa Kaedah Mahkamah Syariah, Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri Sembilan dan terkini PGSM sedang memperjuangkan supaya ada wakil PGSM dalam Jawatankuasa Peguam Syarie Wilayah Persekutuan yang tidak ada wakil peguam syarie sejak sekian lama.

Insya-Allah, dengan sokongan Tuan/Puan, kesemua perancangan tahun 2013 ini akan dilaksanakan dengan betul dan mengikut jadual. Marilah kita bersama-sama merealisasikan masa depan yang lebih baik untuk profesion tercinta ini, dalam mencari redha Allah SWT. Ia tidak akan menjadi sebuah mimpi sahaja, malahan ia akan berada dalam rangkulan kita jika kita sanggup merancang dengan teliti dan bekerja keras bagi mencapainya. Sesungguhnya hari-hari yang terbaik kita berada di hadapan kita. Selamat tahun Baru 2013.

Terima kasih.
“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak”

MUSA AWANG
Presiden
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
18 Safar 1434H bersamaaan 31 Disember 2012.

Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM

 Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM MUSA AWANG Oleh AIMAN ALI 19 Jun 2025, 4:58 pm PETALING JAYA: Persatuan Peguam S...