Saturday, August 14, 2010

Hukuman pesalah jenayah syariah masih rendah



Oleh Musa Awang

Berita Harian, 13 Mei 2009

PADA 22 April lalu, ketika penulis dalam perjalanan menghantar anak ke sekolah, terdengar perbualan sesama mereka. Kata si abang kepada adiknya, “Adik, tengok ’paper’ ni, Kapten Boleh kena penjara tiga bulan. Patutlah cerita Kapten Boleh di TV asyik ulang-ulang cerita sama saja.” Si adik merampas surat khabar daripada abangnya dan berkata, “Iya betullah..Patutlah...” Tersenyum penulis mendengar perbualan anak kecil ini.

Pada 21 April lalu, pelakon Ako Mustapha dijatuhi hukuman penjara tiga bulan berkuat kuasa serta-merta dan didenda maksimum RM3,000 atas kesalahan berkhalwat dengan seorang jurusolek bukan Muslim, dua tahun lalu.

Ako atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha, 36, mengaku salah atas tuduhan berkhalwat dengan Anang Sagunting, 25, pada 27 Jun 2007 sekitar jam 1.20 pagi di Blok B-2-9, Kondominuim Oakleaf Park, Persiaran Bukit Antarabangsa, Gombak.

Sebelum itu, Ako dikenakan waran tangkap Januari lalu selepas beberapa kali tidak menghadirkan diri pada prosiding mahkamah. Bagaimanapun, pada 21 Januari lalu, Ako mengaku bersalah atas tuduhan dikenakan ke atasnya.

Daripada perbualan spontan anak itu, rentetan daripada kes Ako Mustapha ini, terlintas di fikiran penulis beberapa perkara yang perlu kita renungkan bersama.
Pertamanya, betapa kuatnya pengaruh karaktor dalam rancangan televisyen kepada anak. Pada masa sama, adakah hukuman jenayah syariah masih relevan dengan keadaan semasa? Adakah hukuman dijatuhkan hakim itu cukup berat untuk menjadi pengajaran kepada pesalah dan masyarakat dan adakah hukuman itu cukup mapan untuk membendung kes jenayah syariah?

Terlintas di fikiran ini, Ako yang berkhalwat dengan pasangan bukan Islam dijatuhkan hukuman, bagaimana pula pasangannya? Adakah dia terlepas begitu saja?

Anak melihat watak rekaan di televisyen sebagai hero mereka. Lebih-lebih lagi jika rancangan itu ditayang berulang-ulang kali. Anak lebih kenal watak Kapten Boleh?, berbanding nama sebenarnya Ako Mustafa. Anak menyanjungnya sebagai seorang kapten serba boleh, yang boleh menyelesaikan setiap masalah. Amatlah malang apabila hero yang menjadi kebanggaan anak melakukan jenayah, mengaku salah dan dikenakan hukuman penjara.

Sebagai ibu bapa, fikirkan, sama ada wajar atau tidak hukuman denda RM3,000 dan penjara tiga bulan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur itu. Tambahan pula, Ako beberapa kali tidak menghadirkan diri sehingga waran tangkap dikeluarkan terhadapnya. Ako seolah-olah mencabar kewibawaan mahkamah syariah, walaupun publisiti terhadap perjalanan kesnya disiarkan dalam media arus perdana.
Sebagai selebriti yang menjadi pujaan dan perhatian masyarakat, seharusnya dia menjadi idola yang baik. Lebih-lebih lagi jika dia membawa watak hero kepada kanak-kanak. Hukuman yang dijatuhkan itu bukan sekadar dakwah kepada Ako saja, malah sebagai pengajaran kepada selebriti lain dan masyarakat keseluruhannya.

Atau, adakah anda berasakan hukuman itu terlalu ringan dengan kesalahan dan kesan dilakukan? Apa pun penilaian anda, hakim bicara sebenarnya menjatuhkan hukuman menurut undang-undang.

Kes Ako ini turut mencetuskan persoalan pada minda penulis, adakah masih relevan hukuman jenayah syariah dengan keadaan semasa? Adakah hukuman yang ada sekarang cukup berat menjadi pengajaran kepada pesalah dan masyarakat, dan adakah ia cukup mapan untuk membendung kes jenayah syariah?

Penulis berpandangan, adalah wajar hukuman bagi kesalahan jenayah syariah ditingkatkan, bagi membendung peningkatan kesalahan jenayah syariah di negara ini. Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom, pada 24 April lalu kemungkinan hukuman bagi kesalahan jenayah syariah ditingkatkan disambut baik. Ia tepat pada masa dan suasana sekarang.

Kini, hukuman boleh dijatuhkan mahkamah syariah adalah rendah, terutama apabila kebanyakan hukuman dijatuhkan hanya membabitkan denda. Hukuman dikenakan ini adalah dalam ruang lingkup bidang kuasa diberikan kepada hakim syariah dalam menghukum pesalah jenayah syariah.

Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah Syariah) 1965 (pindaan 1984) membataskan hukuman boleh dikenakan oleh mahkamah syariah adalah tidak melangkaui prinsip 5-3-6, iaitu denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau sebatan tidak melebihi enam kali sebatan.

Akta yang sudah 25 tahun tidak mengalami perubahan ini perlu dipinda supaya ia bersesuaian dan mampu membangun dengan arus kemajuan dan pemodenan umat Islam hari ini. Jika 25 tahun lalu, jumlah denda RM5,000 mungkin menggerunkan, tetapi tidak lagi pada masa sekarang. Ia menyebabkan pesalah jenayah syariah lebih rela mengaku salah dan membayar denda daripada dibicarakan.

Jika mahkamah syariah mengenakan denda maksimum sekalipun, ia masih rendah dan boleh dibayar pada bila-bila masa. Jarang kita dengar pesalah syariah dipenjarakan kerana gagal membayar denda.

Jika perbandingan dibuat dengan Mahkamah Majistret Kelas Pertama pun, ternyata kuasa pada mahkamah syariah adalah lebih rendah. Seksyen 85 Akta Mahkamah Rendah 1948 memberikan bidang kuasa jenayah kepada Mahkamah Majistret Kelas Pertama yang boleh membicarakan semua kesalahan dengan hukuman maksimumnya tidak melebihi 10 tahun penjara atau denda saja.

Sedangkan mahkamah syariah dan mahkamah tinggi syariah sekali pun, hanya boleh menjatuhkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau sebatan tidak melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Sila layari http://peguamsyarie.org.

Keratan akhbar - Polemik Tukar Agama Anak

RENCANA UTUSAN MALAYSIA 6 MEI 2009
Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my

Polemik yang melanda antara agama Islam dan agama lain bukan satu perkara baru. Setiap kali isu tersebut timbul, semua pihak dilihat mengambil langkah drastik dalam menyelesaikan pertikaian dan pergeseran yang berlaku demi menjamin kerukunan dan kelangsungan keharmonian bersama.

Menilai dan mempertimbangkan semua aspek semasak-masaknya sebelum menjurus kepada suatu keputusan akhir demi menangani isu yang timbul memang sangat dialu-alukan. Lebih-lebih lagi jika keputusan yang dibuat bakal merubah struktur asal yang menjadi nadi atau teras undang-undang serta kesucian Perlembagaan.

Sebagai contoh, Kabinet pada 23 April lalu telah menetapkan bahawa kanak-kanak bawah umur akan kekal menganut agama asal ketika ibu bapa berkahwin, sungguhpun selepas salah seorang pasangan itu bertindak menukar agama.

Itu antara intipati keputusan Kabinet yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada tarikh tersebut.
Sebenarnya dalam membuat sesuatu ketetapan lebih-lebih lagi jika melibatkan undang-undang, implikasi daripada keputusan tersebut perlu dikaji dari segenap sudut, sejak awal lagi.

Selama ini, kita menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan yang merupakan teras undang-undang tertinggi Malaysia.

Jika begitu interpretasinya maka ia juga mestilah dijunjung dan dijadikan rujukan atau kayu ukur oleh menteri-menteri Kabinet agar keputusan yang dibuat mereka tidak tersasar daripada landasan yang telah ditetapkan.

Membicarakan lebih lanjut topik tersebut, nasihat dan pendapat pakar undang-undang terutamanya para peguam tidak harus dipandang sepi. Ini kerana, berdasarkan pandangan dan pendapat mereka, barangkali segala kelemahan mampu diperbaiki.
Malah, mungkin boleh mengetengahkan syor baru yang lebih bernas demi kepentingan semua pihak.

Melihatkan pergeseran tersebut, Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berusaha mengupas keputusan tersebut dari aspek undang-undang.

''Saya tidak nampak keputusan yang dibuat Jemaah Menteri sebagai langkah penyelesaian jangka panjang berhubung isu pertikaian status agama kanak-kanak berkenaan apabila ibu atau bapa mereka menukar agama.

"Malah, ia akan mencetuskan kontroversi yang lebih hebat dan pertikaian semasa dan agama masyarakat di negara ini.

''Keputusan tersebut perlu ditangguhkan dan dikaji semula dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang awam dan ahli akademik,'' kata Musa.

Beliau menambah kata, banyak implikasi ketidakadilan yang akan berlaku jika keputusan tersebut diteruskan. Sama ada berkaitan pembubaran perkahwinan, agama anak mahupun hak penjagaan anak.

Andainya kes berkaitan pertikaian ini didengar di Mahkamah Sivil maka undang-undang yang akan diterima pakai adalah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

Seksyen 51 akta tersebut, menurut Musa, jika salah seorang pasangan terbabit memeluk agama Islam, hanya pasangan yang kekal dengan agama asal yang boleh memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan. Iaitu selepas tiga bulan pasangannya memeluk Islam.
Ini bermakna selagi dia tidak memfailkan petisyen perceraian tersebut di Mahkamah Sivil bererti perkahwinan sivilnya bersama pasangan yang telah memeluk Islam tetap dianggap sah di bawah akta tersebut.

Sehubungan itu, pada pandangan Musa, adalah jelas berlaku ketidakadilan kepada pasangan yang telah memeluk Islam kerana langsung tidak mempunyai hak untuk memfailkan petisyen perceraian seperti yang dihuraikan di bawah seksyen itu.
Kepada suami atau isteri yang telah memeluk Islam pula, hak mereka hanya diperuntukkan di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam.

Musa berkata, Seksyen 46(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan asal bukan Islam memeluk Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuat kuasa untuk membubarkan perkahwinan itu melainkan sehingga disahkan oleh Mahkamah (Syariah).
Namun timbul satu persoalan, adakah pasangan yang tidak memeluk Islam itu boleh disaman untuk hadir ke Mahkamah Syariah?

Walhal Seksyen 4 akta tersebut telah memperuntukkan bahawa ia terpakai untuk orang Islam semata-mata. Katakanlah Mahkamah Syariah memutuskan permohonan untuk membubarkan perkahwinan menurut Seksyen 46(2) akta tersebut dilakukan.

Namun, adakah ia diiktiraf sebagai perintah membubarkan perkahwinan asal dalam agama mereka yang dahulunya telah di daftarkan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976?

Di sinilah timbul tanda tanya adakah benar keputusan Kabinet itu boleh menyelesaikan krisis tersebut?

''Pada pandangan saya, ia bukan menyelesaikan masalah, sebaliknya mengundang pelbagai persoalan dan merumitkan lagi keadaan. Saya berpendapat, bentuk penyelesaian terbaik adalah dengan meminda Seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 tersebut dengan memasukkan peruntukan mana-mana pihak (sama ada yang memeluk Islam atau yang masih kekal dalam agama asal) boleh memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan, sebaik-baik sahaja salah seorang pasangan memeluk Islam. Barulah ia adil kepada kedua-dua pihak,'' kata Musa.

Dalam perkara yang melibatkan agama anak pula, menurut Musa, keputusan Kabinet tersebut nyata sekali bertentangan dengan Perkara 12(3) dan 12(4) Perlembagaan Persekutuan serta kes Subashini melawan Saravanan yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah tertinggi negara itu telah memutuskan bahawa salah seorang ibu atau bapa boleh menentukan keislaman anak tersebut.

Pada hemat Musa, keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut juga telah menjawab percanggahan keputusan beberapa mahkamah bawahan seperti kes Chang Ah Mee dan Gengga Devi Chelliah yang memutuskan bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa diperlukan untuk menukar agama anak di bawah 18 tahun. Serta kes Nenduchelian di Mahkamah Tinggi Johor Bahru yang memutuskan hanya kebenaran salah seorang ibu atau bapa diperlukan.
''Secara tidak langsung keputusan kes ini seolah-olah telah mengambil roh tersirat dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa agama bagi seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya (parent or guardian),'' ujar beliau.

Bagi Musa sejajar dengan kehormatan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara, ia seharusnya dijunjung oleh semua menteri Kabinet.
Sekiranya kita menjunjung Perlembagaan tersebut sudah tentu kita mengakui hakikat keputusan Mahkamah Persekutuan itu adalah selari dengan kehendak Perlembagaan, katanya lagi.

''Saya tidak mahu berhujah mengenai hukum syarak dalam perkara ini kerana kalangan bukan Islam tidak mahu mengambil tahu atau memahami hukum syarak dan Islam.

''Sedar atau tidak, ia menyebabkan orang yang berniat masuk Islam akan berfikir banyak kali. Orang yang berniat memeluk Islam akan berada dalam keadaan serba salah kerana mereka seolah-olah diberi dua pilihan. Iaitu, masuk Islam tinggalkan anak-anak dalam agama asal.

"Atau kekal dalam agama asal bersama anak-anak. Tetapi saya melihat keputusan Kabinet tersebut memberi gambaran seolah-olah 'masuk Islam, tinggal anak'," tegas beliau.

Beliau menyatakan sebelum ini sentimen persaudaraan dilihat boleh menjejaskan niat seseorang untuk memeluk agama Islam (sebagai contoh hubungan dengan keluarga agama asal akan terjejas jika memeluk Islam).

Tetapi dengan keputusan terbaru ini jemaah menteri seakan-akan menimbulkan sentimen yang baru, iaitu membabitkan hubungan ayah atau ibu dengan anak.
Justeru, Musa amat berharap agar jemaah menteri mengkaji semula keputusan tersebut supaya tidak mencacat asas yang telah dibina sebelum ini.

Keratan akhbar - Peguam Syarie mahu keputusan dikaji

Utusan Malaysia 24 April 2009

KUALA LUMPUR 23 April – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mahu jemaah menteri mengkaji semula keputusan berhubung status anak-anak kekal menganut agama asal meskipun salah seorang ibu atau bapa mereka memeluk agama lain.

Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang yang terkejut dengan keputusan tersebut berkata, ia seolah-olah menggambarkan adanya usaha campur tangan dalam urusan pentadbiran mahkamah di Malaysia.

Walhal bagi Musa, mahkamah syariah mahupun mahkamah sivil sepatutnya diletakkan sebagai satu entiti yang bebas dalam memutuskan sesuatu pertikaian sama ada yang melibatkan Islam mahupun bukan Islam.

‘‘Sekiranya keputusan ini diteruskan, ia akan mewujudkan satu suasana seolah-olah pihak kehakiman terikat dengan apa yang diputuskan oleh kerajaan. Sedangkan ia tidak sepatutnya dikacau atau diganggu.

‘‘Mahkamah perlu dibiarkan bebas daripada campur tangan mana-mana pihak termasuklah pihak eksekutif (kerajaan). Kebebasan institusi legislatif (mahkamah) perlu dipertahankan,’’ ujar Musa.

Justeru itu, beliau meminta keputusan tersebut ditangguhkan dan dikaji semula dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang awam dan ahli akademik.

Keratan akhbar - Decision shocks syariah lawyers

The Star
Friday April 24, 2009

PETALING JAYA: Courts must be allowed to remain free from interference from any party including the Government, said Malaysian Syariah Lawyers Association (PGSM) deputy president Musa Awang.

“PGSM is shocked with the latest decision of the Cabinet. We view the decision as an interference of legislative matters. It threatens the freedom of the courts,” he said in a statement yesterday.

“PGSM demands that the decision be postponed and reviewed again with the input from all parties inclu­ding NGOs, the public and academicians.”
He stressed the freedom of the court and the legislative institution must be defended.
Musa was commenting on the Ca­bi­net’s decision on children of parents, where one of them opts to convert, must be raised in the common religion at the time of marriage.
The religious conversion issue came to the Cabinet’s attention on April 15 involving a specific case.
Indra Ghandhi had sought the help of the Hindu Sangam branch in Ipoh after her husband K. Patma­na­than, now Mohd Ridzuan Abdullah, converted their three children without their presence and without informing her.

Wartawan memperkasa imej mahkamah syariah



Oleh Tuan Musa Awang

MATA pena wartawan bisa menjadi selembut lidah, bisa menjadi setajam pedang. Jika mengkaji sejarah, pembentukan negara Israel adalah rentetan tulisan wartawan Israel, Theodor Haerzl, yang bertanggungjawab membangkitkan semangat kaum Yahudi mencapai matlamat membentuk negara haram mereka.

Sejarah juga membuktikan, media penulisan sudah lama menjadi medium dakwah cendekiawan, pemikir dan ulama Islam. Nama seperti Rasyid Rida, Muhammad Abduh, Tok Kenali antara tokoh pemikir Islam terbabit dalam dunia penulisan dan kewartawanan untuk dakwah Islam yang berkesan.

Menyusuri susur galur sejarah perjuangan wartawan Melayu tanah air seperti Tan Sri Samad Ismail, Rahim Kajai, Burhanuddin Helmi dan Said Zahari, jelas penulisan adalah kembar mereka dalam memperjuangkan nasib bangsa.Wartawan juga berkhidmat untuk masyarakat. Berita dan maklumat disebarkan mencerminkan fikiran masyarakat. Wartawan adalah pengantara bagi masyarakat meluahkan perasaan suka, duka, marah dan kecewa, terhadap apa juga isu atau permasalahan melanda.

Inilah tanggungjawab sosial yang berat dipikul setiap wartawan. Sesuatu maklumat atau tulisan yang disampaikan mampu mencorak fikiran masyarakat sama ada ke arah pemikiran memihak, tidak memihak, positif atau negatif.

Mutakhir ini, kehadiran wartawan di mahkamah syariah untuk melaporkan kes adalah suatu yang positif. Malah, kebanyakan akhbar utama sudah mewujudkan ruangan mahkamah khusus untuk melaporkan kes dibicarakan. Media adalah alat yang mampu merangsang kesedaran dan mempengaruhi sikap serta membentuk pandangan sarwa individu atau masyarakat terhadap sesuatu isu diketengahkan. Fungsi media sudah menjadi pelbagai, selain menjadi penyalur maklumat, penyampai berita, penglipur dan penghibur.

Laporan media di mahkamah syariah secara tidak langsung memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai hukum syarak dan undang-undang.

Mengambil beberapa contoh, dalam kes Ako Mustapha yang dipenjarakan tiga bulan kerana berkhalwat dengan bukan Islam, ia memberi pendidikan kepada masyarakat bahawa berkhalwat dengan bukan Islam juga adalah satu kesalahan.

Dalam kes pemain badminton negara (Faizah Mohamad lawan Roslin Hashim), masyarakat mendapat ilmu baru iaitu jika tidak berlaku persetubuhan antara suami isteri, talak yang disabitkan ialah bain sughro, yakni talak yang tidak boleh dirujuk, melainkan dengan akad baru. Sementara dalam kes penyanyi popular Jamal Abdillah, masyarakat didedahkan bahawa persetubuhan semata-mata tanpa rujuk walaupun berlaku dalam tempoh edah bukan rujuk, tetapi adalah zina.

Sebelum ini, mungkin ramai tidak tahu perkara itu tetapi apabila didedahkan di media, ia menjadi satu bentuk pendidikan kepada mereka. Dari satu sudut, apabila sesuatu kes itu mendapat liputan media, perjalanan kes menjadi lebih cepat dan pantas, berbanding kes tidak mendapat liputan.

Peranan media memartabatkan undang-undang syariah diiktiraf Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang mana suatu kerjasama diadakan antara Media Prima-UIA-JKSM-PGSM pada 10 Februari lalu, untuk menerbitkan rancangan Kes Syariah di TV9. JKSM juga mengadakan kerjasama dengan rancangan Sebutan Syariah-Astro Oasis.

Bagaimanapun, hak umum untuk mengetahui sesuatu maklumat mestilah diseimbangkan dengan hak individu mengekalkan maklumat peribadinya sebagai suatu hak persendirian yang sulit dan tidak dihebahkan kepada umum.

Maruah mana-mana individu tetap dipertahankan. Laporan yang sensitif, keterlaluan dan secara sensasi perlu dielakkan, kerana Islam menggalakkan kemuliaan insan dipelihara dalam semua keadaan. Semua pengamal media perlu sedar bahawa mereka tertakluk kepada Seksyen 4(1)(a) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Peranan dan pengaruh yang besar ini dalam sesetengah keadaan boleh merosakkan imej serta identiti Islam dan umatnya. Berita bersifat provokatif dan suara sebelah pihak, tanpa penyiasatan atau penyelidikan perlu dielakkan.

Menjadi satu kebaikan kepada wartawan Islam untuk berusaha memperbetul dan memperkasakan mahkamah syariah, tetapi dalam batasan yang tidak merosakkan imej Islam serta umatnya. Tanggungjawab seorang wartawan Muslim terhadap perintah amar makruf nahi mungkar, adalah lebih besar kerana golongan ini mempunyai medan suara yang luas pengaruhnya.

Pada era mencabar ini, sudah tiba masanya pengamal media membuat anjakan paradigma dengan mengambil kira pendekatan pendidikan dan berdakwah. Tidak salah menyajikan hiburan tetapi perlu diimbangi dengan maklumat yang membina peribadi dan peradaban.

Akta Kebudayaan Kebangsaan 1971 memperuntukkan tiga unsur utama perlu didukung semua rakyat, iaitu unsur kebudayaan asal rantau ini, unsur kebudayaan lain yang wajar dan unsur Islam sebagai unsur terpenting.

Memanfaatkan media sama ada media elektronik atau cetak sebagai media dakwah bukanlah satu kerja mudah. Ia memerlukan sokongan dan perhatian semua pihak. Hanya dengan rasa tanggungjawab sosial yang tinggi, maka barulah usaha diketengahkan akan benar-benar menghasilkan sesuatu yang berfaedah dan dihargai semua.

Media perlu tampil dan menyiarkan lebih banyak program ilmiah berteraskan syariat bagi mendidik minda dan hati masyarakat, yang boleh memberi impak positif dalam pembentukan sahsiah masyarakat terpuji dan boleh diteladani menurut tuntutan agama.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) sentiasa bersedia menyalurkan bantuan kepakaran bagi menghasilkan produk media yang Islamik untuk menyebarkan maklumat berguna kepada masyarakat Islam.

- Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Sila layari http://www.peguamsyarie.org.

Soaljawab Hak Muslim - Masalah Hibah-Dinasihatkan Rujuk Ke Mahkamah Syariah

">ARWAH ayah menyerahkan sejumlah wang kepada saya sebelum beliau meninggal dunia tanpa pengetahuan adik-beradik lain. Adik-beradik mendapat tahu mengenai perkara itu dan menuntut wang berkenaan dibahagikan sebagai harta pusaka. Saya tidak mahu membahagikan kepada mereka kerana saya yakin wang itu diserahkan kepada saya sebagai hibah. Adakah saya perlu membahagikan wang itu kepada adik-beradik lain. Apa yang perlu saya lakukan.

Yang mempertahankan hak
Alai, Melaka

Sebelum menjawab soalan anda, saya perlu mengetahui sama ada ketika wang diserahkan, arwah bapa ada membuat apa-apa wasiat terhadap wang itu? Jika ada wasiat, maka lain jawapannya. Tetapi jika tiada wasiat, mungkin ia boleh dianggap hibah, dengan syarat rukun dan syarat hibah itu sempurna.

Hibah ialah akad yang dapat memindah milik sesuatu yang dibuat ketika hidup dan dibuat secara sukarela. Hibah menurut istilah syarak ialah suatu akad pemberian milik ain harta kepada seseorang tanpa balasan (’iwad), dilakukan ketika hidup dan secara sukarela.

Hibah mempunyai pengertian hampir sama dengan hadiah dan sedekah. Cuma ketiga-tiganya berbeza dari segi tujuan dan natijahnya. Sedekah ialah pemberian untuk mendapatkan pahala di akhirat.

Hadiah pula ialah pemberian untuk memuliakan seseorang. Setiap sedekah dan hadiah adalah hibah, tetapi bukan semua hibah itu adalah sedekah atau hadiah. Hibah adalah suatu amalan yang disunatkan dalam Islam, terutama kepada kaum keluarga terdekat.

Allah berfirman bermaksud: “Dan berikanlah kepada perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.” (Surah an-Nisa’, ayat 4)

Akad hibah tidak akan terbentuk melainkan selepas memenuhi rukun dan syarat hibah, iaitu si pemberi hibah (al-wahib), si penerima hibah (al-mauhub lahu), barang yang dihibahkan (al-mauhub), dan sighah (ijab dan kabul).

Apabila sesuatu akad hibah memenuhi rukun dan syaratnya serta berlaku penyerahan dan pemberian barang itu (al-qabd), maka harta itu menjadi milik si penerima hibah.

Menurut Mazhab Syafie, syarat berlaku penyerahan dan penerimaan (al-qabd) adalah syarat luzum, yang bermaksud akad hibah tidak akan berkuat kuasa dengan berlaku ijab dan kabul semata-mata, tetapi perlu berlaku al-qabd.

Jika al-qabd tidak berlaku, maka akad hibah tidak sah dan pemberi hibah berhak menarik balik hibah itu selama mana harta masih berada dalam miliknya.

Bagi memastikan akad hibah itu sempurna dan menjadi suatu akad yang mengikat pihak, maka al-qabd tertakluk kepada syarat berikut:

• Mendapat kebenaran dan keizinan pemberi hibah secara jelas (sorih).

• Harta yang dihibahkan itu tidak bercampur dengan harta lain.

• Penerima hibah berkeahlian (baligh dan berakal) untuk menerima hibah.

Cara penerimaan barang (al-qabd) adalah berbeza mengikut jenis harta. Bagi harta tak alih (seperti rumah dan tanah), al-qabd boleh berlaku dengan cara mengosongkan harta itu, menguasainya dan melakukan kegiatan terhadap harta itu seperti menyerahkan kunci dan sebagainya. Sementara harta alih boleh berlaku al-qabd dengan mengambil harta itu, memindah atau mengasingkan harta dengan harta lain.

Dalam kes anda, jika penyerahan wang dibuat oleh ayah secara sukarela tanpa sebarang wasiat, harta itu tidak bercampur dengan harta lain dan ketika wang diserahkan, anda seorang yang berkeahlian, memenuhi rukun dan syarat hibah seperti dinyatakan, maka mungkin boleh dihukumkan wang itu adalah hibah.

Bagaimanapun, untuk lebih meyakinkan, saya nasihatkan perkara itu dibawa ke Mahkamah Syariah, yang mana anda memohon mahkamah mengesahkan pemberian adalah hibah menurut hukum syarak. Sila dapatkan nasihat dan pandangan kedua daripada peguam syarie bertauliah.

Jawapan disediakan Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang.

Soaljawab Hak Muslim - Tidak tahan terpaksa bayar nafkah berterusan

Gaji dipotong RM800 sebulan walaupun bekas isteri sudah berkahwin lain

Soalan:
SAYA bercerai dengan isteri pada Mac lalu dan mempunyai seorang anak berumur tiga tahun. Sehingga hari ini gaji saya masih dipotong sebanyak RM800 atas perintah Mahkamah Syariah walaupun tanpa persetujuan dan kerelaan saya. Disebabkan potongan yang begitu tinggi menyulitkan hidup saya, kerana saya juga perlu membiayai nafkah anak bersama isteri pertama, tiga menuntut di institut pengajian tinggi dan dua di sekolah menengah. Apakah prosedur sebenar potongan gaji dan adakah masih perlu saya memberi nafkah kepada bekas isteri selepas idah walaupun khabarnya beliau sudah berkahwin lagi? Bagaimanakah penyelesaian boleh dilakukan memandangkan saya tidak begitu yakin dengan hakim yang mengendalikan kes ini daripada peringkat awal lagi. Nampaknya banyak berat sebelah kerana hakim tidak mahu mendengar hujah daripada saya.
Duda keliru,
Kuala Lumpur.

Jawapan:
Menurut undang-undang, perintah potongan gaji adalah sebahagian daripada perintah penguatkuasaan, iaitu selepas suatu perintah dikeluarkan mengenai bayaran wang sebelum itu gagal dilaksanakan orang yang dikenakan perintah.
Sebagai perintah penguatkuasaan, mahkamah boleh memerintahkan bayaran itu dibuat dengan cara potongan gaji kerana kegagalan mematuhi perintah mahkamah sebelum itu.
Potongan gaji boleh diperintahkan jika ketika perbicaraan saudara bersetuju dengan kaedah atau cara bayaran itu. Jika saudara tidak bersetuju dan mengemukakan alasan munasabah kenapa cara potongan gaji tidak wajar dilakukan, kebiasaannya mahkamah akan mempertimbangkan cara lain.

Saya tidak pasti sama ada saudara ada menyatakan bantahan terhadap cara potongan gaji itu ketika kes dibicarakan sebelum ini. Walau bagaimanapun, jika bantahan sudah dibangkitkan dan mahkamah masih memerintahkan gaji dipotong, saudara boleh memfailkan rayuan di mahkamah lebih tinggi kerana tidak berpuas hati dengan keputusan hakim.

Rayuan mestilah difailkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan tertakluk kepada prosedur dan tatacara rayuan. Akan tetapi, jika tempoh rayuan sudah tamat, saudara boleh kembali ke mahkamah sama dan memfailkan permohonan untuk mengubah dan menyemak semula kadar nafkah yang diperintahkan sama ada berpatutan atau tinggi untuk seorang anak.

Saudara juga boleh mengemukakan alasan kenapa jumlah RM800 itu tinggi dengan mengemukakan butiran tanggungan dan komitmen lain, termasuk terhadap anak dengan isteri sebelum itu.

Mahkamah akan memanggil semula bekas isteri dan mendengar keterangan serta hujah kedua belah pihak sebelum membuat sebarang keputusan mengubah kadar nafkah anak atau mengekalkannya.

Untuk makluman saudara, nafkah isteri hanya wajib disediakan suami sehingga tamat tempoh edah. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan hak suami untuk memberi nafkah kepada isteri dalam edah terhenti apabila tempoh edah tamat ataupun apabila isteri hidup dalam perzinaan.

Seksyen 65 (2) memperuntukkan: “Hak bagi seseorang isteri yang sudah bercerai untuk menerima nafkah daripada suaminya yang dulu di bawah sesuatu perintah mahkamah hendaklah terhenti apabila tamat edah atau apabila isteri itu hidup dalam perzinaan dengan seseorang yang lain.”
Saya menasihatkan saudara spaya mendapatkan nasihat daripada Peguam Syarie bertauliah di tempat saudara jika saudara masih tidak jelas dengan penerangan ini.

Jawapan disediakan Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang. Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo-.com. Sila layari http://peguam-syarie.blogspot.com

Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM

 Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM MUSA AWANG Oleh AIMAN ALI 19 Jun 2025, 4:58 pm PETALING JAYA: Persatuan Peguam S...