Thursday, October 14, 2010

Berbakti kepada ibu bapa ibarat jihad



Oleh Tuan Musa Awang

Berita Harian 2010/10/13

Empat mazhab sepakat, anak wajib menyara kedua-dua orang tua

KADANG-KADANG berasa sedih dan terkilan kerana tidak mempunyai banyak masa untuk berbakti dan membalas budi kedua-dua ibu bapa yang sudah kembali ke rahmatullah beberapa tahun lalu. Allah SWT lebih menyayangi mereka, walaupun saya sentiasa berdoa mereka panjang umur, agar saya mempunyai masa membalas budi mereka.

Hairan, bagaimanakah anak yang masih mempunyai ibu bapa sanggup mengabaikan mereka. Mutakhir ini kita disajikan dengan pelbagai berita mengenai sikap buruk anak terhadap ibu bapa. Seorang anak yang berjawatan besar dilaporkan tidak pernah menjenguk ibu dan bapanya, malah langsung tidak mempedulikan mereka selama lebih tujuh tahun. Ada juga anak yang menjadikan ibu bapa sebagai hamba dengan meminta mereka menjaga anak-anak secara percuma. Lebih serius, ada ibu bapa yang menjadi mangsa sepak terajang anak, dan dibunuh oleh insan yang mereka sendiri lahirkan.
Click Here

Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan peningkatan bilangan warga emas yang menghuni pusat kebajikan masyarakat dan apa yang lebih menyedihkan ialah lebih 30 peratus daripada mereka dihantar oleh anak kandung mereka sendiri. Seramai 1,714 warga tua mendiami sembilan buah Rumah Seri Kenangan kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat di seluruh negara pada 2001 dan jumlah ini bertambah kepada 1,829 pada 2003 dan 1,827 pada 2005. Untuk 2005, daripada jumlah 1,827 warga tua yang dihantar ke pusat jagaan orang tua, 751 orang terdiri daripada kaum Melayu, 558 orang adalah kaum Cina, 507 adalah India dan selebihnya seramai 11 orang adalah daripada kaum lain.

Berbuat baik kepada ibu bapa adalah perintah Allah SWT seperti dalam firmannya yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapa mu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, seperti mereka berdua mendidik aku sewaktu kecil”. – (Surah Al-Israa: 23-24)

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menceraikan susu dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Akulah kembalinya kamu.”– (Surah Luqman: 14).

Berbuat baik dan bersyukur kepada ibu bapa bermakna membalas segala jasa yang dilakukan kedua-duanya terhadap anak dengan memberikan pertolongan serta memberi nafkah kepada mereka berdua setelah mereka tua dan uzur serta tidak lagi mempunyai sumber pendapatan.

Keutamaan berbakti kepada kedua-dua ibu bapa adalah melebihi berjihad di jalan Allah seperti sabda Rasulullah SAW: “Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas’ud beliau berkata: Aku bertanya kepada Nabi SAW amalan manakah paling disukai Allah SWT? Baginda menjawab, solat pada waktunya. Saya bertanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab, kemudian berbakti kepada kedua-dua orang tua. Saya bertanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab, jihad pada jalan Allah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jumhur ulama mazhab empat bersepakat bahawa nafkah ibu dan bapa adalah wajib ke atas anak-anak sama ada anak lelaki atau anak perempuan. Ulama sepakat bahawa ibu dan bapa yang berhak kepada nafkah ialah ibu bapa yang tidak berkemampuan, tidak mempunyai harta atau tidak mempunyai pekerjaan dan tidak mampu membiayai diri mereka sendiri. Pada pandangan Mazhab Hanafi dan Shafie, tidak bekerja bermaksud juga tidak berupaya untuk berkerja disebabkan oleh penyakit kronik, buta, tidak siuman dan cacat anggota badan dan anak yang wajib memberi nafkah kepada ibu bapa adalah anak yang berkelapangan sama ada mempunyai harta ataupun pekerjaan.

Ibu bapa tidak pernah mengharapkan wang ringgit anak, cuma pada usia senja mereka mengharapkan secebis perhatian daripada anak untuk menumpang kasih, sebelum dipanggil Allah SWT.

Mahkamah Syariah boleh memerintahkan seorang anak membayar nafkah ibu bapa atau keluarga yang lain, seperti dalam peruntukan Seksyen 60 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984 yang berbunyi: ‘Mahkamah boleh memerintahkan mana-mana orang yang bertanggungan mengenai hal itu mengikut hukum syarak supaya membayar nafkah kepada seorang yang lain jika dia tidak upaya, sepenuhnya ataupun sebahagiannya, dari mencari kehidupan oleh sebab kerosakan otak atau jasmani atau tidak sihat dan Mahkamah berpuashati bahawa memandang kepada orang yang pertama tersebut itu adalah munasabah memerintahkan sedemikian.’

Peruntukan ini tidak begitu jelas dan tidak khusus kepada nafkah ibu bapa saja. Sudah sampai masanya satu peruntukan khusus berkaitan nafkah ibu bapa dimasukkan dalam undang-undang keluarga Islam negeri. Undang-Undang Keluarga Islam Kuwait 1984 boleh dijadikan panduan, ataupun Akta Penanggungan Ibu Bapa (APIB) 1995 di Singapura, atau Akta Pembiayaan Ibu Bapa 1998 di Filipina, selagi mana ia tidak bertentangan dengan hukum Syarak.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Tuesday, October 12, 2010

Senaraikan segala hutang permudah waris lunas bayaran



Oleh Tuan Musa Awang

sekretariatpgsm@yahoo.com

Berita Harian 2010/09/29

HUKUM memberi hutang bergantung kepada keadaan. Hukum asalnya adalah sunat tetapi boleh bertukar menjadi haram jika meminjamkan wang untuk tujuan maksiat. Hukumnya wajib jika memberi pinjam kepada orang yang sangat memerlukan.

Hutang adalah perbuatan saling tolong menolong antara umat manusia, dapat mengurangi kesulitan orang lain yang sedang dirundung masalah serta dapat memperkuat tali persaudaraan kedua belah pihak.

Firman Allah yang bermaksud “Hai orang yang beriman, apabila kamu (bermuamalat) tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan hendaklah kamu menuliskannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 282)

Hakikatnya hari ini kehidupan kita dikelilingi hutang seperti hutang perumahan, kenderaan, pengajian, kelengkapan rumah ditambah pula dengan hutang peribadi. Dalam perkahwinan, adalah lumrah apabila isteri menggunakan wang pendapatan untuk membantu perbelanjaan suami.

Ada juga suami mengambil kad kredit sampingan untuk isteri, yang perbelanjaan si isteri akan dicaj kepada akaun suami sebagai pemegang kad kredit utama. Perbelanjaan berlebihan akan menyebabkan pemegang kad utama terpaksa menanggung hutang dan dipertanggungjawabkan.

Apabila perceraian, ada suami atau isteri enggan membayar hutang antara satu sama lain. Secara umum, kelihatan mereka boleh lepas daripada membayar hutang di dunia, tetapi secara jelasnya Islam dan undang-undang syariah memastikan hutang ini dituntut dan diselesaikan. Hutang sentiasa mengekori si penghutang hatta selepas dia meninggal dunia. Hutang yang tidak dibayar membawa malapetaka kepadanya di akhirat.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia).” (Hadis riwayat Muslim)Walaupun selepas berlaku perceraian, hutang mas kahwin, pemberian, hantaran, nafkah isteri, nafkah anak atau hutang sesama suami isteri masih boleh dituntut di Mahkamah Syariah.

Seksyen 59 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan: “Tiada apa-apa juga yang terkandung dalam enakmen ini boleh menyentuh apa-apa hak yang mungkin ada pada seseorang isteri di bawah hukum syarak terhadap mas kahwinnya dan pemberian kepadanya atau apa-apa bahagian daripadanya apabila perkahwinan dibubarkan.”

Seksyen 70 (1) dan (2) Enakmen sama memberikan hak kepada isteri untuk menuntut apa-apa tunggakan nafkah yang belum dibayar bekas suami dalam perkahwinan mereka. Ia dianggap sebagai hutang dan bekas suami berkewajipan untuk menjelaskannya.

Jika tunggakan itu belum dibayar sehingga bekas suami meninggal dunia, maka hutang itu masih perlu dibayar daripada harta pusakanya oleh waris terdekat suami. Jika bekas isteri meninggal sebelum bekas suami menjelaskannya, maka bayaran boleh dibuat kepada wali atau wakil isteri.

Seksyen 78 Enakmen sama memperuntukkan jika ada hutang nafkah anak yang sudah diperintahkan oleh mahkamah tetapi gagal diselesaikan si bapa, maka ia juga dikira sebagai hutang.

Tindakan undang-undang boleh dimulakan di mahkamah untuk mendapatkan jumlah terhutang dengan mengemukakan saksi serta bukti dokumen termasuk catatan, bil dan dokumen lain yang membuktikan jumlah terhutang itu.

Dinasihatkan untuk membuat catatan atau wasiat mengenai hutang termasuk mas kahwin, hantaran atau nafkah. Catatan bukan saja bertujuan membuat tuntutan di mahkamah, tetapi juga supaya dapat diselesaikan waris selepas seseorang meninggal dunia.

Apabila berlaku perceraian, tuntutlah segera segala hak anda. Jangan tunggu sehingga bekas suami atau bekas isteri hendak berkahwin lain baru hendak membuat tuntutan. Cara paling baik untuk menyelesaikan hutang ialah secara perundingan.

Jika tidak berdaya berunding sendiri, lantik orang tengah seperti peguam syarie sebagai perantara dan jika masih gagal, baru dibawa ke Mahkamah Syariah.

- Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Boleh dihubungi di 03-2274 1499 atau e-mel ke sekretariatpgsm@yahoo.com

Monday, October 4, 2010

NOTIS PERPINDAHAN PEJABAT

Mulai 1 Oktober 2010, pejabat Tetuan Musa Awang & Associates di Petaling Jaya telah berpindah dan beroperasi di alamat seperti berikut :- X1-18-A, Tingkat 1, Block K, Jalan Plumbum X/7X, Pusat Komersil Seksyen 7, 40000 Shah Alam Selangor (belakang Plaza Perabot/Shell/KFC ; sebelah Jackal). Tel : 03-5566 4391. Faks : 03-55664392. Hp pejabat : 019-326 2253.

Tuesday, September 14, 2010

Aidilfitri menyatukan semula insan dilanda krisis



Oleh Tuan Musa Awang

Berita Harian 15/09/2010

Jadikan bulan mulia untuk bermaafan, kembali bermuhasabah diri dan renung kesilapan

PERNAHKAH anda menyambut lebaran tanpa isteri tersayang di sisi atau menyambut lebaran dalam keadaan hubungan dengan pasangan bagai telur di hujung tanduk? Adakah lebaran kali ini disambut tanpa suami atau anak-anak di sisi?

Keadaan ini mungkin dirasai pasangan yang sudah bercerai atau sedang menghadapi krisis rumah tangga dan mungkin akan bercerai. Keadaan ini sudah atau akan dialami isteri yang suaminya mengamalkan poligami dan lebaran tahun ini bukan gilirannya.

Keadaan ini juga pernah dan mungkin dialami ibu atau bapa terpaksa berpisah dengan anak kerana berlaku perceraian. Bagi anda yang pernah melalui pengalaman ini, walaupun pahit, namun ia mempunyai hikmah tersembunyi yang hanya dalam pengetahuan Allah.

Menyusuri sejarah Aidilfitri, ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, Baginda melihat masyarakat di sana merayakan dua hari raya diwarisi sejak zaman jahiliah iaitu ‘Nairus’ dan ‘Nahrajan’ dengan mengadakan pesta, majlis tari-menari, minum arak serta hidangan juadah mewah.

Rasulullah SAW tidak menghalang terus masyarakat berhari raya tetapi Baginda mengubah sambutan perayaan ke arah lebih bermanfaat dan menjadi suatu ibadah kepada Allah.

Diriwayatkan oleh Abu Daud dan An-Nasai yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah menukar kedua-dua hari raya dengan hari besar yang lebih baik iaitu Aidiladha dan Aidilfitri.”

Nilai baik daripada kedua-dua hari raya ini ialah mewujudkan hubungan antara hamba dengan Tuhan Yang Maha Pencipta dengan bertakbir dan silaturahim sesama makhluk melalui amalan bermaafan.

Pada hari raya juga kita menunjukkan simpati kepada golongan tidak bernasib baik dengan membayar zakat fitrah, bersedekah, bermaafan antara satu sama lain supaya manusia terhindar daripada perpecahan dan permusuhan.

Allah berfirman yang bermaksud : “Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang menciptakanmu dari seorang diri, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya dan dari kedua-duanya Allah mengembang biak lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang (dengan nama-Nya) kamu saling meminta satu sama lain, dan peliharalah hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah sentiasa menjaga dan mengawasimu.” (Surah An-Nisa’, ayat 1)

Sempena hari yang mulia ini, marilah bersama bermaafan, buang yang keruh ambil yang jernih. Biarlah keruh di hulu kita jernihkan di muara. Bagi pasangan yang sudah bercerai, usahlah jadikan perceraian sebab untuk terus membenci satu sama lain.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Apabila dia membenci sebahagian akhlaknya maka mungkin dia boleh meredai akhlaknya yang lain.” – (Hadis riwayat Muslim)

Pasangan yang sedang menghadapi krisis, jadikanlah Aidilfitri sebagai pencetus untuk bermaafan antara satu sama lain, kembali bermuhasabah diri dan merenung kesilapan dilakukan serta berusaha untuk mengubahnya. Masih belum terlambat untuk memulihkan kerukunan dan menyelamatkan rumah tangga yang sedang diuji Allah.

Menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang lain adalah salah satu ciri ketakwaan kepada Allah. Firman-Nya yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang bertakwa; iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang yang menahan kemarahannya, dan memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang berbuat perkara baik.” – (Surah Ali Imran, ayat 133-134)

Isteri yang suami tiada di sisi sewaktu lebaran, bersabarlah dan anggaplah ini suatu ujian Allah. Hakikatnya, anda kuat untuk menerima ujian Allah s.w.t.

Kepada yang membenci wanita lain dikatakan ‘merampas’ suami anda, tidak akan rugi apa-apa jika di Aidilfitri ini anda beri kemaafan kepada wanita itu.
Dendam terhadap perkara lampau sehingga menjejaskan hubungan sebenarnya menyalahi perintah Allah untuk mencintai sesama muslim.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak sempurna keimanan seseorang daripada kalian, sebelum dia mencintai saudaranya (sesama Muslim) seperti mana dia mencintai dirinya sendiri.” – (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Buat ibu bapa yang sebelum ini menjadi pemutus atau penghalang bapa dan ibu anak anda berjumpa, jadikanlah Aidilfitri sebagai titik noktah. Usahlah anda jadi pemutus silaturahim kerana hubungan ibu bapa dengan anak tidak terputus.

Hindarkan diri menjadi rakan kepada Iblis Dasim yang sangat benci kepada rumah tangga yang rukun dan bahagia, sebaliknya mengajak suami isteri melakukan kemaksiatan terhadap Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengikuti langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” – (Surah al-An’am)

Marilah bersama mencipta sejarah kebaikan pada hari lebaran mulia ini.
Setidak-tidaknya untuk kita kenang di usia tua, diceritakan kepada anak apabila mereka besar kelak dan paling penting, mendapat keampunan dan keredaan Allah.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Boleh dihubungi di talian sekretariat PGSM 03-2274 1499 atau email ke sekretariatpgsm@yahoo.com

SALAM AIDILFITRI - Saya mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI kepada semua pelanggan, rakan2 dan seluruh masyarakat Islam. Maaf zahir dan batin.

Wednesday, September 8, 2010

Sumbang mahram bukti kedangkalan agama, adat resam



Oleh Tuan Musa Awang

Berita Harian 08/09/2010

Islam melaknat orang melakukan perkara terkutuk di dunia dan akhirat

RAMADAN kali ini banyak menguji keimanan sebagai umat Islam. Menatap akhbar sepanjang Ramadan, kita dihidangkan berita meruntun jiwa dan menyayat hati. Kisah adik beradik dirogol abang kandung, datuk merogol cucu dan adik merogol kakak sendiri.

Sumbang mahram ialah perbuatan zina yang dilakukan seseorang yang ada pertalian darah atau keturunan dengan mangsa atau hubungan jenis antara mereka yang mempunyai tali persaudaraan dan perkahwinan mereka tidak sah di sisi agama, undang-undang serta adat resam.

Islam melaknat orang melakukan sumbang mahram di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT bermaksud: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan berikut), ibu kamu, anak kamu dan saudara kamu, saudara bapa kamu, saudara ibu kamu, anak saudara kamu yang lelaki, dan anak saudara kamu yang perempuan dan ibu kamu yang telah menyusukan kamu....”(Surah an-Nisa’: 23)

Sumbang mahram bukan saja merosakkan kesihatan fizikal, mental dan sosial yang berpotensi tinggi menghasilkan keturunan secara biologi lemah fizikal dan mental (cacat), tetapi juga suatu bukti kedangkalan agama serta adat resam.

Sumbang mahram ialah jenayah menurut Seksyen 376A dan Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang enam tahun dan tidak melebihi 20 puluh tahun serta sebatan.

Sumbang mahram dikenakan hukuman menurut Seksyen 20, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, (Akta 559), yang memperuntukkan: “Mana-mana orang yang melakukan perbuatan sumbang mahram adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.”

Mengikut statistik Polis Bukit Aman, sepanjang 2000 hingga 2007, Johor dan Selangor mencatatkan kes sumbang mahram tertinggi iaitu masing-masing sebanyak 308 kes daripada keseluruhan 2,158 kes dilaporkan kepada polis.

Sabah mencatatkan jumlah kedua tertinggi iaitu sebanyak 258 kes, diikuti Perak (197), Kedah (195), Pahang (164) dan Sarawak (136). Terengganu mencatatkan sebanyak 109 kes, Kelantan (107), Negeri Sembilan (102), Melaka (101), Kuala Lumpur (96), Pulau Pinang (59) dan Perlis (18).

Statistik kes sumbang mahram kerap dilaporkan. Namun, ada juga mangsa tidak membuat laporan khuatir si pelaku akan dipenjarakan atau hilang mata pencarian. Ada juga mangsa diugut supaya tidak melaporkan jenayah itu. Dalam kebanyakan kes, sumbang mahram tidak dilaporkan serta merta.

Kajian Dr Abdul Hadi Zakaria, pada 1996 dan laporannya diterbitkan Januari 1998 dengan tajuk ‘Haruan Makan Anak: Inses di Semenanjung Malaysia’ menunjukkan dari 1992 hingga 1994, 30 peratus kes rogol dilaporkan membabitkan sumbang mahram.

Pelaku utama jenayah ini ialah bapa kandung (48.8 peratus) dan diikuti bapa tiri (24.4 peratus). Si pelaku lain ialah bapa saudara, abang ipar dan datuk. Kebanyakan kes sumbang mahram berlaku di rumah kediaman mangsa.

Kajian juga menunjukkan kes sumbang mahram membabitkan mangsa yang muda, iaitu 54.9 peratus dari mereka berumur antara 11 hingga 15 tahun manakala umur si pelaku pula dari semuda 18 hingga 65 tahun.

Antara punca berlaku sumbang mahram ialah kegagalan atau kecuaian isteri memuaskan keperluan suami akibat tuntutan kerja, kepenatan, kelemahan iman, ketandusan ilmu dan kurang penghayatan agama.

Kelemahan agama menjadi lebih parah jika mereka terdedah dengan gambar atau filem porno yang mudah dimuat turun atau dipindahkan ke dalam telefon bimbit.

Islam melarang lelaki dan wanita berdua-duaan di tempat sunyi kerana akan muncul syaitan yang menghasut ke arah kejahatan seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak berada di tempat sunyi antara seorang lelaki dan seorang wanita kecuali yang ketiganya adalah syaitan.”

Islam juga mensyariatkan supaya dipisahkan tempat tidur anak dan ibu bapa sejak mereka berusia tujuh tahun serta mengajarkan kepada mereka supaya memberi salam serta meminta izin terlebih dulu sebelum masuk ke bilik ibu bapa.

Islam mensyariatkan supaya bilik untuk anak gadis diasingkan dengan bilik anak lelaki apabila mereka akil baligh, serta menekankan batas aurat, pergaulan antara ibu bapa dengan anak dan adik beradik berlainan jantina. Perasaan malu mendedahkan aurat perlu ditekankan sejak anak kecil lagi.

Firman Allah bermaksud: “Wahai anak Adam, sesungguhnya kami telah menurunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat kepada hamba-Nya supaya mereka mengenang dan bersyukur)."(Surah Al-A'raaf: 26)

Walaupun ahli keluarga boleh membuka aurat dalam kalangan mereka tetapi tidak sehingga menampakkan bahagian antara pusat dan lutut, berpakaian terlalu nipis, seksi atau mengikut bentuk badan. Anak juga perlu ditekankan larangan berzina dan melakukan dosa besar.

Peningkatan kadar perceraian, dikhuatiri kanak-kanak terdedah kepada risiko gejala sumbang mahram. Jika seseorang ibu berkahwin semula, anak perempuan akan tinggal serumah dengan bapa tiri, menjadikan risiko mereka terdedah kepada penganiayaan seksual bapa tiri.

Bagi kes yang membabitkan adik beradik, keluarga yang bercerai akan menyumbang kepada faktor ini kerana si ibu keluar rumah untuk mencari rezeki dengan meninggalkan abang menjaga adik di rumah.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

Tuesday, August 24, 2010

Umat Islam ambil mudah isu makanan halal



Oleh Tuan Musa Awang

Berita Harian pada 28/07/2010

Pengusaha makanan hanya utama sambutan pelanggan Melayu bukan logo JAKIM, JAIN

PADA Jun lalu, akhbar melaporkan sebuah kilang di Taman Sutra, Sungai Petani, Kedah dikesan menjual produk bebola babi, yang diletakkan bercampur dengan makanan halal dalam sebuah peti sejuk besar. Pekerja kilang itu memakai baju dengan logo halal sedangkan pihak syarikat turut menjual babi.

Sebelum itu, pada Mei lalu, berpuluh-puluh pelanggan yang sedang menjamu selera di sebuah kedai nasi ayam terkenal di Bukit Bintang, tersentak apabila premis terbabit tiba-tiba diserbu pegawai penguat kuasa agama kerana didapati menggunakan logo halal palsu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pemilik premis yang sering dipenuhi umat Islam bagaikan sengaja cuba memperdaya pelanggan apabila memasang tiga logo halal JAKIM bersaiz besar di hadapan premis bagi menarik kedatangan orang ramai.

Dalam suasana masyarakat majmuk di negara ini, orang bukan Islam juga menjalankan perniagaan makanan seperti hotel, restoran serta kopitiam yang juga dikunjungi oleh orang Islam. Namun, sejauh manakah pengusaha hotel dan restoran ini menitikberatkan soal halal haram makanan disajikan?

Sebagai pelanggan, adakah kita juga memastikan dengan yakin makanan dihidangkan kepada kita halal untuk dimakan?

Saya pernah diajak seorang teman ke sebuah restoran bukan Islam. Apabila saya bertanya adakah makanan di restoran itu halal? Jawapan diberikan, “ala ramai orang Melayu makan di situ”, membuat saya berfikir banyak kali.

Mungkin ini sikap segelintir masyarakat Islam hingga ada pihak yang begitu mudah mengeksploitasi sehingga berlaku kes dinyatakan. Islam amat menitikberatkan makanan yang halal dan baik. Firman Allah bermaksud: “Wahai manusia, makanlah yang halal dan baik (thayiban) dari apa-apa yang ada di bumi, dan janganlah kalian ikuti langkah syaitan. Sungguh, syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Banyak orang berusaha sekuat tenaga untuk beribadah kepada Allah lalu mengangkat kedua tangannya seraya memohon, “Ya Allah! Ya Allah! kumohon pada-Mu, terimalah ibadahku.” Tetapi jika makanannya haram, minumannya juga haram, pakaiannya pun haram, bagaimana mungkin doa mereka itu akan dikabulkan?” (Hadis riwayat Muslim dan Tirmidzi)

Islam juga menyeru umatnya menjauhi perkara yang diragui halal atau haramnya seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Yang halal itu sudah jelas dan yang haram pun sudah jelas dan di antara kedua-duanya ada hal yang subahat (samar-samar, tidak jelas halal haramnya), kebanyakan manusia tidak mengetahui hukumnya. Barang siapa hati-hati dari perkara subahat, sungguh ia telah menyelamatkan agama dan harga dirinya.” (Hadis riwayat Muslim)

Saya pasti, sepanjang puasa Ramadan ini sudah pasti ramai umat Islam akan berkunjung ke hotel untuk berbuka puasa. Suatu yang menyedihkan apabila laporan mendedahkan bahawa hotel bertaraf lima bintang yang dimiliki pengusaha bukan Islam memiliki kesedaran minimum terhadap kepentingan untuk mendapatkan sijil halal bagi dapur mereka.

Faktor ini adalah penyebab nisbah hotel yang memiliki sijil halal ketika ini terlalu kecil berbanding jumlah keseluruhan hotel di negara ini. Hanya sejumlah 32 daripada 2,360 buah hotel di seluruh negara yang mempunyai sijil halal.

Hakikatnya masyarakat Islam boleh menggunakan kuasa kepenggunaan mereka untuk menghukum pengusaha, pengilang atau pengeluar makanan yang terbukti mengambil ringan isu halal haram dengan langkah memboikot produk mereka.

Begitu juga jika mereka menipu pengguna Islam dengan mempamerkan logo halal palsu. Tindakan ini seolah-olah mempersenda dan mempermainkan pengguna Islam. JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) adalah pihak dipertanggungjawabkan secara rasmi mengeluarkan sijil dan logo halal untuk makanan dan rumah sembelihan di negara ini.

Sebarang logo halal atau sijil pengesahan halal yang dikeluarkan pihak swasta tidak diiktiraf oleh kerajaan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengenai cadangan pindaan Akta Perihal Dagangan 1972, tepat pada masanya.

Pindaan itu bakal memperuntukkan hanya JAKIM dan JAIN diberi kuasa mengeluarkan sijil dan logo halal, serta pihak yang menipu pengguna dengan logo halal palsu bakal berdepan hukuman dua atau tiga kali ganda lebih berat berbanding hukuman sedia ada.

Mengikut Akta Perihal Dagangan 1972, mereka yang menggunakan logo halal palsu boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi individu, manakala bagi syarikat denda maksimum RM250,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

Namun persoalannya, adakah JAKIM atau JAIN sudah bersedia dengan bilangan kakitangan, prasarana atau peralatan canggih lain, untuk menjalankan tugas penguatkuasaan jika cadangan pindaan itu diluluskan?

Timbul juga persoalan, kenapa tidak diperuntukkan atau digubal suatu akta khusus yang mewajibkan semua pengusaha hotel memperoleh sijil halal daripada JAKIM atau JAIN?

Disarankan juga penggunaan sijil halal diperluaskan secara menyeluruh kepada semua pengusaha gerai makan, kantin, medan selera atau restoran sebagai prasyarat mendapatkan lesen pengendali makanan daripada pihak berkuasa tempatan.

Pada masa ini, pengesahan halal hanya dikeluarkan kepada pengusaha gerai atau pihak pengurusan medan selera atas permohonan pihak berkenaan, tetapi ia bukanlah suatu peraturan wajib. Jika pengusaha tidak memohon sijil halal, tiada tindakan boleh dikenakan ke atas mereka.

- Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) boleh dihubungi melalui e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com atau layari

Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM

 Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM MUSA AWANG Oleh AIMAN ALI 19 Jun 2025, 4:58 pm PETALING JAYA: Persatuan Peguam S...