Tuesday, November 29, 2011

Tiada kesepakatan laksana fatwa kelirukan umat Islam



Oleh Musa Awang

Peguam Syarie Menulis Berita Harian 30/11/2011

Wanita Muslim sertai ratu cantik cabar ketetapan syariah

PENYERTAAN wanita Islam pada pertandingan ratu cantik pernah menggugat ketenangan masyarakat apabila tiga gadis Melayu menyertai pertandingan itu di Selangor pada 1997.

Baru-baru ini, lima wanita Islam menyertai pertandingan Ratu Cantik Borneo (MBB) 2011 di Kuching, Sarawak, walaupun sudah diberi kaunseling oleh Jabatan Agama Islam Sarawak dan mendapat bantahan pelbagai pihak. Walaupun belum ada undang-undang khusus di Sarawak yang menghalang orang Islam menyertai pertandingan ratu cantik, tidak bermakna mereka boleh memperagakan aurat pada pertandingan itu.

Dicadangkan supaya diwujudkan jawatankuasa penyelarasan pada peringkat kebangsaan untuk memastikan negeri yang belum mewartakan fatwa sudah diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk berbuat demikian Firman Allah SWT bermaksud: “Dan katakan kepada perempuan beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan jangan memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala dan jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh melainkan kepada suami atau bapa atau bapa mentua atau anak atau anak tiri atau saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara mereka yang perempuan atau perempuan Islam atau hamba atau orang gaji daripada lelaki yang sudah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti mengenai aurat perempuan dan jangan mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubat kamu sekalian kepada Allah, wahai orang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah An-Nur, ayat 31)

Kecantikan tubuh wanita Islam bukan untuk dipertontonkan atau dijadikan bahan pertandingan. Wanita Islam perlu memiliki sifat tawaduk dan tidak membanggakan diri. Kecantikan wanita Islam terletak pada ketaatan agama, kemuliaan hati, kelembutan tutur kata dan tindak-tanduk.

Majlis Fatwa Kebangsaan sudah memutuskan untuk mengharamkan wanita Islam menyertai pertandingan ratu cantik pada 1997. Isu terbaru membuka mata kita walaupun selepas lebih 14 tahun fatwa kebangsaan dikeluarkan, masih ada negeri belum menerima dan mewartakan fatwa itu.

Walaupun dari sudut perundangan keputusan muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan tidak mengikat negeri untuk menerimanya, dari sudut pandangan syarak, keputusan itu suatu fatwa.

Dari sudut lain, ia menunjukkan tiada kesepaduan pendapat dalam urusan umat Islam. Perbezaan adat dan budaya tidak boleh mengubah hukum ditetapkan syarak. Dicadangkan supaya diwujudkan jawatankuasa penyelarasan peringkat kebangsaan untuk memastikan negeri yang belum mewartakan fatwa sudah diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk berbuat demikian. Alasan munasabah perlu diberikan negeri yang belum mewartakan fatwa kebangsaan itu termasuk Sarawak. Mereka perlu menyemak semula semua fatwa kebangsaan yang belum diwartakan, terutama larangan ratu cantik Islam.

Suasana mutakhir ini membabitkan ancaman pihak yang menaja hak asasi dan individu secara terbuka, memerlukan tindakan segera pihak berkuasa agama. Ramai gadis terlalu ghairah memperagakan kecantikan pada pertandingan majalah dan akhbar sama ada dalam keadaan mereka mengetahui atau jahil hukum.

Dari segi penguatkuasaan, jika sudah diwartakan, orang yang melakukan tindakan bertentangan dengan fatwa itu boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang jenayah syariah negeri. Seksyen 9 Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah 2001 (Ordinan 46 Tahun 2001) memperuntukkan: “Mana-mana orang yang bertindak dengan cara menghina pihak berkuasa agama atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan majlis dinyatakan atau diberikan melalui fatwa, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.”

Tindakan menasihatkan lima peserta terbabit adalah langkah awal yang harus dipuji. Apabila mereka masih menyertai pertandingan itu walaupun diberi nasihat, ia seperti mencabar kewibawaan pihak berkuasa agama. Maka, kajian menjadikan larangan itu dalam bentuk penguatkuasaan undang-undang perlu disegerakan bagi menyekat aktiviti itu terus berleluasa.

Penulis ialah Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia boleh dihubungi di alamat e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com

Wednesday, November 23, 2011

Dilema putus tunang



Dilema putus tunang
Oleh Noriah Idris
Metro Ahad

Pertunangan adalah permulaan langkah menuju gerbang perkahwinan. Biarpun belum sah bergelar pasangan suami isteri, namun ia adalah fasa yang menghampiri untuk hidup berumah tangga. Pun begitu, pertunangan tidak menghalalkan hubungan intim sebagaimana yang berlaku dalam sebuah rumah tangga.

Timbalan Presiden Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, Islam tidak menetapkan bentuk atau cara pertunangan, namun dibenarkan selagi ia tidak bertentangan dengan prinsip asas hukum syarak.

Katanya, kebanyakan pertunangan diamalkan masyarakat Islam hari ini membawa banyak kebaikan kepada pasangan yang bertunangkerana selain merapatkan hubungan kekeluargaan antara kedua-dua pihak, secara tidak langsung menyimpul perasaan menghormati antara satu sama lain sebelum mempelai diikat melalui simpulan perkahwinan yang sah.

Lazimnya, apabila seseorang sudah bertunang bermakna dia sudah mengikat suatu perjanjian yang dikenali sebagai perjanjian pertunangan dan mengharapkan suatu masa nanti bakal disatukan.

Ada kalanya, perjanjian pertunangan ini tidak ditunaikan sama ada dengan sengaja atau melalui paksaan bahkan, ada yang berakhir dengan kejadian putus tunang.
Ekoran itu, pihak yang mengalami kejadian putus tunang itu akan menanggung malu, terkilan, fitnah dan pelbagai perasaan sehingga ada yang melakukan saman di mahkamah daripada jumlah ribuan mencecah kepada jutaan ringgit.

“Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam memberi hak kepada seseorang itu menuntut kerugian yang dialami membabitkan persediaan untuk perkahwinan atau apa-apa perbelanjaan.

“Mereka boleh memfailkan tuntutan itu di mahkamah syariah bagi mendapatkan semula pemberian yang diberikan atau segala perbelanjaan yang ditanggung bagi menyediakan segala keperluan untuk perkahwinan.

“Ertinya, barangan yang sudah dibeli misalnya barangan hantaran dipulangkan dan ia sama nilai seperti tempahan kad jemputan, pelamin, khemah dan sebagainya,” katanya.
Mengulas kejadian yang berlaku seperti saman malu atau tuntutan sehingga mencecah jutaan ringgit oleh mangsa putus tunang itu, Musa mengatakan ada segelintir pihak melakukan saman itu atas dasar balas dendam atau maruah yang sudah tercalar.

Katanya, istilah saman malu mungkin tiada dalam bidang kuasa mahkamah syariah tetapi ia lebih membabitkan ganti rugi am kepada yang menjadi mangsa putus tunang itu.
Namun mereka yang merasakan dirinya dimalukan atau maruah tercalar ekoran kejadian itu, boleh membawa perkara berkenaan ke tengah agar mendapat pembelaan sewajarnya.

Beliau turut melahirkan rasa bimbang jika saman malu dengan jumlah mencecah ribuan atau jutaan ringgit menjadi ‘trend’ masyarakat hari ini sedangkan hukum syarak membenarkannya dengan mengambil kira nilai harga barangan di samping tuntutan yang munasabah saja, bukan kerana perkara lain.

Namun, katanya, kajian lebih terperinci perlu dilakukan untuk menebus malu pihak yang sudah diputus tunang terutama pada saat-saat akhir menjelang majlis perkahwinan.
Beliau juga tidak menafikan ada kalangan mereka sudah melakukan persiapan bagi mengadakan majlis perkahwinan dengan melakukan ubah suai rumah, menempah pelamin dan barangan hantaran, namun tidak terjadi perkahwinan sebagaimana dimeterai kedua-dua pihak sebaliknya berakhir dengan perpisahan.

“Pada pandangan saya, jika diteliti balik tuntutan dan ia wajar serta munasabah kerana membabitkan syariat, ia dibenarkan oleh hukum syarak dan perkara itu tiada masalah untuk ‘dikanunkan’.

“Selain itu, satu kajian khusus harus dilakukan pihak berwajib supaya mangsa dapat menuntut segala ganti rugi am. Contohnya, apabila tetamu sudah datang menghadiri majlis perkahwinan tiba-tiba dibatalkan sudah tentu keluarga pengantin menanggung malu.

“Apabila tindakan saman dilakukan, ia bertujuan memberi teladan kepada masyarakat agar tidak mengulangi perkara yang dianggap boleh mengaibkan orang lain,” katanya.
Mengenai segelintir pihak mengheret si pelaku ke mahkamah sivil, beliau berkata, kemungkinan kes itu akan dirujuk semula kepada mahkamah syariah kerana bidang kuasa sedemikian hanya diberi kepada mahkamah syariah.

Apa yang berlaku ada hikmah

DIDORONG kekecewaan yang amat sangat, rasa tertipu berikutan tidak dapat meneruskan perkahwinan selepas melakukan pelbagai persiapan ke arah mendirikan mahligai bahagia menyebabkan seseorang itu berasa marah dan tertekan apabila putus tunang.
Terlerainya ikatan suci itu ibarat kemarau bertahun terhapus dek hujan sehari dan begitu dirasakan oleh mereka yang pernah menjadi `mangsa’ putus tunang itu.

Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Osman Che Bakar berkata, reda adalah jalan terbaik kerana ia berlaku sebelum terjadinya sebuah perkahwinan.

Menurutnya, jika pertunangan diteruskan dan disusuli perkahwinan selepas itu kemungkinan berlaku peristiwa yang lebih mengharukan misalnya perpisahan, curang dan pelbagai lagi, kesannya mungkin lebih buruk.

“Ada kalanya kita kena didik diri dan mengatakan semua itu ada hikmah tersendiri.Tuhan seolah-olah memberi petunjuk lebih awal bahawa dia bukan jodoh terbaik dan mungkin akan dianugerahkan dengan bakal suami atau isteri atau jodoh yang lebih baik lagi,” katanya.

Apa yang penting, katanya, kehidupan perlu diteruskan kerana masih ada ruang untuk bergembira bersama mereka yang memahami diri anda.

“Jangan disebabkan putus tunang atau tidak jadi berkahwin membuatkan anda merasakan hidup ini sudah tidak bermakna lagi. Sedangkan anda sebenarnya sedang `diuji’ dan jangan merasakan ia sebagai suatu tekanan dalam hidup sehinggakan mengetepikan orang sekeliling.

“Bersikap dewasalah atau lebih positif dan jangan terasa dimalukan. Kadangkala sifat orang yang menyaman bekas tunang itu bukan sekadar ingin melampiaskan rasa malu semata-mata sebaliknya lebih kepada dendam atau rasa tertipu oleh pihak yang satu lagi,” katanya.

Perkara yang perlu diambil kira:

* Bertunang berupa kontrak awal kepada perkahwinan. Pihak yang berjanji kena patuhi kecuali ada kemungkinan besar membawa kepada kemudaratan jika diteruskan juga lalu pertunangan boleh diputuskan.

* Misalnya, jika lelaki seorang penagih tegar, Islam membenarkan pertunangan dibatalkan dengan syarat pihak yang memutuskan harus membayar balik segala ganti rugi mengikut nilai yang sudah ditentukan.

* Pastikan segala resit pembelian barangan atau urusan bayaran disimpan sebagai bukti penting di mahkamah.

* Jika lelaki yang memutuskan pertunangan, wanita boleh melakukan tuntutan di mahkamah syariah. Pada masa sama, lelaki juga boleh menuntut balik saman berdasarkan perkara yang logik atau berasas.

* Wajar atau tidak pertunangan diputuskan berdasarkan sesuatu, jika sebabnya kuat ia harus dilakukan.

* Bawa saksi atau bukti untuk menyokong bukti anda.

* Cari peguam syarie bertauliah dan dapatkan nasihat yang betul demi mengelakkan tertipu dengan tuntutan tidak sepatutnya.

Kes putus tunang:

* Kes 1: (Akhir 2004)
JOHOR BAHRU: Kes putus tunang jururawat, Norlida Abdul Rahman dan penyerang bola sepak Kedah, Hasmawi menggemparkan negara akhir 2004 lalu, selepas pemain itu membatalkan perkahwinan mereka dengan hanya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS), 19 jam sebelum majlis pernikahan di Felda Ulu Dengar, Kahang, Kluang, dekat sini, kira-kira jam 2 pagi.

Melalui SMS itu, Hasmawi menulis “Pa minta maaf, harap Ma faham. Mungkin ditakdirkan kita tak ada jodoh. Minta maaf kat abah dan mak, bukan niat Pa untuk malukan depa,” sebelum penyerang Kedah itu menghilangkan diri.

Keadaan itu bukan saja memalukan keluarga wanita kerana ketiadaan pengantin lelaki, malah majlis kenduri terpaksa diteruskan di rumah mereka di Felda Ulu Dengar, Kahang Timur, berikutan kad jemputan sudah diedar kepada kira-kira 1,000 tetamu.

* Kes 2: (7 Januari 2009)
SHAH ALAM: Seorang lelaki semalam menuntut ganti rugi RM70,000 daripada bekas tunangnya kerana tidak berpuas hati dengan tindakan wanita berkenaan memutuskan pertunangan mereka, Disember lalu, kira-kira sebulan sebelum perkahwinan dilangsungkan.

Pereka grafik, Muhamad Salleh Muhamad Yusof, 47, membuat tuntutan itu terhadap Nur Diana Ahmad Zubir, 29, di Mahkamah Rendah Syariah di sini.
Muhamad Salleh memfailkan tuntutan itu melalui Tetuan Ahmad Nazib & Associates pada 18 Disember lalu selepas dua minggu pertunangan mereka diputuskan.

* Kes 3: (1 Februari 2010)
SHAH ALAM: Kes tuntutan ganti rugi hampir RM1 juta yang difailkan seorang pengarah syarikat terhadap bekas tunangnya, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam selesai selepas kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes itu secara baik berdasarkan terma yang dipersetujui.

Peguam, Azmi Mohd Rais yang mewakili plaintif, Mohamad Fahizul Khairi, 54, memberitahu mahkamah terma yang dipersetujui anak guamnya dan defendan, Nor Daliya Mohd Daud, 35, termasuklah, anak guamnya bersetuju menerima RM600,000 sebagai penyelesaian keseluruhan terhadap tuntutan itu.

* Kes 4: (13 Januari 2011)
KOTA BHARU Seorang penjawat awam memfailkan saman sebanyak RM1.1 juta ke atas bekas tunangnya di Mahkamah Tinggi di sini semalam kerana membatalkan perkahwinan kira-kira enam jam sebelum mereka sepatutnya diijabkabulkan pada 3 Jun lalu.
Plaintif, Mohd Masran Ab Rahman, 32, dari Kampung Banggol Kemunting, Tanah Merah memfailkan writ saman itu menerusi dua peguam, Latifah Ariffin dan Mohd Murtadza Mohd Mokhtar, di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Plaintif tidak hadir di mahkamah kerana bekerja di Kuala Lumpur.
Selain bekas tunangnya, Norzulyana Mat Hasan @ Mat Hussin, 28, yang dinamakan sebagai defendan pertama, Mohd Masran turut menamakan bapa wanita itu, Mat Hasan @ Mat Hussin Ibrahim, 60, dari Taman Maka, Tanah Merah di sini sebagai defendan kedua.
Lelaki itu menuntut daripada defendan-defendan ganti rugi am sebanyak RM100,000, ganti rugi teruk sebanyak RM500,000, ganti rugi malu sebanyak RM500,000 dan ganti rugi khas yang akan ditentukan kemudian.

Wednesday, November 16, 2011

Hak asasi tak boleh melangkaui agama



Oleh Musa Awang
bhnews@bharian.com.my

Peguam Syarie Menulis, Berita Harian 16/11/2011

Tiada anutan benarkan seks bebas

SEKSUALITI Merdeka adalah acara tahunan mengenai hak seksualiti yang pernah diadakan di Kuala Lumpur, dengan kerjasama gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta beberapa individu. Antara acara diadakan ialah bengkel, perbincangan, tayangan filem dan penulisan surat.

Penganjur program ini percaya golongan gay, lesbian, biseksual dan transgender berhak bebas daripada diskriminasi serta keganasan, berhak menyayangi dan disayangi dengan mengutarakan prinsip terkandung dalam Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditandatangani Malaysia.

Walaupun fasal Perlembagaan Persekutuan menjamin kesamarataan untuk semua warga Malaysia dari segi undang-undang dan perlindungan dari diskriminasi atas dasar gender, kebebasan bersuara dan berpersatuan, namun dalam konteks perlembagaan, Islam sebagai agama Persekutuan perlu diambil kira.

Tidak seperti negara lain, Perlembagaan Negara berpaksikan kepada agama (Perkara 3 (1)).

Kebanyakan agama di dunia melarang aktiviti seks bebas dan seks sesama jantina. Hak asasi tidak boleh melangkaui kehendak agama, kerana agama yang membezakan manusia dengan binatang.

Hak asasi yang ditaja Barat bersandarkan ideologi humanisme atau individualisme, hak asasi menurut Islam bersandarkan kepada wahyu Allah SWT.

Apa yang logik pada akal fikiran tidak semestinya sesuai dan dibenarkan agama. Mungkin pada akal mereka logik bagi seseorang mempunyai naluri menyukai sesama jantina, namun naluri itu perlu dibatasi dan diimbangi oleh agama.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Untuk setiap umat di antara kamu, Kami berikan peraturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumbalah membuat kebajikan. Hanya kepada Allah kamu akan kembali semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu.” (Surah Al-Ma’idah, ayat 48)

Sebagai seorang Islam, kita haruslah berpegang teguh dengan lima Rukun Islam dan enam Rukun Iman. Jika percaya kepada Allah, rasul, malaikat, hari kiamat dan qada qadar Allah, maka kita hendaklah mengerjakan segala suruhan serta menjauhi segala larangan.

Jika Allah SWT melarang sesuatu perbuatan, maka ia haram, tidak kira apa naluri kita mahu dan apa kehendak akal fikiran. Amat malang jika orang Islam terbabit dalam program Seksualiti Merdeka.

Lebih malang apabila golongan beragama Islam menggunakan forum dan perantara bukan Islam untuk memperjuangkan apa yang dikatakan ‘hak’ bagi mereka.

Program ini pernah diadakan dan mempunyai pengikut kalangan orang Islam. Buktinya, ada orang Islam yang menyokong penganjuran program berkenaan seperti tersiar di laman web. Persoalannya, di mana kita semasa program ini dianjurkan dulu?

Sudah tiba masanya pihak berkuasa Islam negara memikirkan jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini daripada berterusan. Jabatan Agama Islam perlu ditubuhkan satu unit atau bahagian khusus bertugas memantau dan membendung masalah gay, lesbian, biseksual dan transgender.

Usaha mendekati golongan ini perlu dilakukan dengan memberi khidmat nasihat, bimbingan serta mengajak mereka kembali ke jalan kebenaran. Bagi yang berdegil, usaha penguatkuasaan undang-undang mengikut undang-undang jenayah syariah hendaklah dilakukan.

Menghukum mungkin tidak boleh memulihkan golongan maka hukuman alternatif boleh diguna pakai seperti ditahan di rumah pemulihan akhlak untuk tempoh tertentu tidak melebihi enam bulan atau mengikat bon untuk berkelakuan baik selama tempoh tidak melebihi tiga tahun.

Wednesday, October 12, 2011

Modul kursus perkahwinan perlu transformasi


Oleh Musa Awang

Berita Harian, 12/10/2011

Tempoh sah sijil mesti ditetapkan maksimum satu tahun supaya ilmu dimanfaatkan

PENGUMUMAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan membuat penambahbaikan kursus perkahwinan dari semasa ke semasa dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri, satu perkembangan positif.

Kursus perkahwinan adalah persediaan awal kepada pasangan yang hendak mendirikan rumah tangga bertujuan memberi kefahaman tambahan mengenai perkahwinan mengikut syarak dan bagaimana menguruskan kehidupan rumah tangga selepas berkahwin.

Ia juga mendedahkan pasangan cara melaporkan kepada pihak yang sepatutnya, apabila berlaku pergaduhan atau konflik dalam rumah tangga.

Pengendalian kursus perkahwinan pada masa kini lebih berorientasikan perniagaan di mana pengendalian kursus perkahwinan dibuat syarikat swasta. Sudah pasti matlamat utama syarikat ini adalah untuk meraih keuntungan.

Ada yang membenarkan peserta baru tamat persekolahan menghadiri kursus tetapi hanya berkahwin beberapa tahun selepas itu. Adalah wajar kursus ini dihadkan kepada peserta yang memang hendak berkahwin untuk tempoh terdekat saja, bagi memastikan ilmu dapat dimanfaatkan.

Tempoh sah laku sijil kursus perlu dihadkan maksimum setahun saja. Jika tidak berkahwin selepas setahun, peserta perlu mengikuti kursus sekali lagi.
Sesetengah penganjur mengambil jalan mudah dengan menjemput penceramah kurang mahir dan tiada pengalaman, sedangkan tanggungjawab penceramah kursus perkahwinan adalah berat dalam memberi kesedaran kepada peserta yang bakal menempuh alam perkahwinan.

Peguam Syarie yang terbabit dalam kes perceraian sepatutnya diberi keutamaan sebagai penceramah, supaya pengalaman mengendalikan masalah perceraian boleh dikongsi dengan peserta.

Justeru, tindakan merombak modul kursus lebih relevan dan dapat memberikan kesan perlu disegerakan.



Selain itu, bagi mengurangkan kadar perceraian dalam kalangan pasangan Islam termasuk yang baru berkahwin, institusi kaunseling di Jabatan Agama Islam juga perlukan transformasi. Kaunseling adalah satu proses menolong, bukan aktiviti memberi nasihat.

Fungsi kaunselor ialah sebagai pemandu atau penunjuk kepada pasangan bermasalah untuk mencari jalan membuat pilihan berlandaskan al-Quran, al-Hadis dan sunnah nabi.

Menurut Imam al-Ghazali, antara matlamat kaunseling untuk memperkembangkan personaliti positif individu bagi menyelesaikan kerumitan dengan cara berkesan, membantu menyesuaikan dirinya dengan masyarakat, membekalkan pengalaman baru, membantu pasangan memahami diri dan menyesuaikan dengan persekitaran, untuk berjaya menjadi khalifah Allah SWT serta beribadah kepada-Nya.

Kelayakan pegawai kaunseling di Jabatan Agama Islam negeri perlu diteliti semula kerana kebanyakan kaunselor tidak ada kelayakan sepatutnya. Menurut Akta Kaunselor 1998 (Akta 580), kaunselor perlu mempunyai kelayakan akademik dan berdaftar di bawah akta itu.

Seksyen 22 (1) Akta 580 memperuntukkan, tiada seorang pun boleh mengamalkan, menjalankan, mengendalikan atau mengemukakan dirinya sebagai kaunselor, menggunakan gelaran ‘kaunselor berdaftar’ atau mempamerkan tanda menunjukkan dia seorang kaunselor berdaftar, melainkan jika dia didaftarkan di bawah akta ini.

Sesiapa yang melanggar subseksyen (1) adalah melakukan kesalahan dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Sebagai pemandu, kaunselor kekeluargaan Islam perlu mempunyai ilmu dan kefahaman mengenai hukum syarak, al-Quran dan hadis. Begitu juga kemahiran untuk membuat pasangan sedar, jelas dan faham akan situasi sebenar.

Kaunselor yang baik dapat membantu pasangan bermasalah menyedari kelemahan diri, memperbaiki kelemahan dengan menggunakan potensi diri serta tahu amanah dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT.

Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (PK MAINS) antara institusi kaunseling kekeluargaan yang boleh dijadikan model pengurusan kaunseling terbaik. PK MAINS ditubuhkan dan beroperasi pada 1998 bertujuan memberi khidmat kaunseling profesional secara percuma kepada orang ramai bagi membantu masyarakat menangani pelbagai masalah.

Antara aktiviti dijalankan ialah kaunseling individu, kelompok, perkahwinan, kerjaya dan lain-lain. Semua kaunselor bertaraf profesional selaras Akta 580 dengan kelayakan akademik minimum peringkat sarjana muda dalam bidang kaunseling.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi di alamat e-mel maa46050@yahoo.com

Tuesday, October 11, 2011

Wacana Abim tegaskan Hudud sesuai dilaksanakan

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 3 Okt: Wacana Isu Semasa Hudud: Sesuaikah Dilaksanakan di Malaysia anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) semalam merumuskan bahawa undang-undang jenayah syariah tersebut sesuai dan wajar dilaksanakan di Malaysia.

Setiausaha Agung Abim, Mohamad Raimi Ab Rahim (gambar) menekankan usaha ke arah merealisasikan undang-undang hudud boleh dilaksanakan melalui kehendak politik yang kuat dengan mengambil kita penafsiran dan pindaan semula terhadap sistem perundangan yang sedia ada sebelum ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan sejurus wacana tersebut yang membariskan tiga ahli panel terkemuka iaitu Prof Dr Aziz Bari (pakar perlembagaan), Dr. Abdul Halim El-Muhamadiy (Naib Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia), serta Musa Awang (Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia).

Ketua Biro Syariah dan Kewangan Islam Abim, Dr Zulkifli Hassan pula bertindak sebagai moderator.

Wacana ini diadakan sebagai respon terhadap polemik pelaksanaan hukuman Hudud yang diketengahkan di media-media arus perdana.
Sepanjang tempoh semenjak polemik ini tercetus minggu lalu, beberapa pihak telah mengkritik cadangan perlaksanaan undang-undang Hudud yang diketengahkan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan guru Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat.

Selain bertentangan dengan perlembagaan Malaysia yang dikatakan bersifat sekular, Hudud juga di dakwa akan mengakibatkan diskriminasi


Perspektif syariah dan sejarah

Dr Abd Halim El-Muhammady menjelaskan secara umumnya, perlaksanaan hudud merupakan satu tuntutan syariat dan aqidah bagi umat Islam. “Perintah perlaksanaan hudud adalah bersifat qati’e atau mutlak iaitu kewajipan yang mesti dilaksanakan.

"Oleh itu proses dan usaha ke arah melaksanakan undang-undang hudud perlu diberikan perhatian serius,” jelas beliau sambil menambah walaupun tidak disepakati secara ijma’, perlaksanaan syariah Islam merupakan salah satu komponen atau ciri sebuah negara Islam.

Dari segi perspektif sejarah pula menurut Dr Ab Halim lagi, undang-undang hudud sebenarnya telah dilaksanakan sejak zaman Melaka.

Beliau merujuk kepada manuskrip undang-undang Pahang yang juga digunapakai di Perak dan Johor di sekitar abad ke-17 yang kini disimpan di London, ia telah membuktikan bahawa undang-undang hudud merupakan undang-undang yang telah dikuatkuasakan ratusan tahun dahulu.

Hudud dalam konteks perlembagaan

Prof Dr Abd Aziz Bari (gambar) mengatakan perlembagaan meletakkan Islam di tempat yang istimewa.

“Perlembagaan Malaysia tidak bersifat sekular. Perkara 3 yang menyatakan Islam adalah agama persekutuan perlu juga dibaca dengan Perkara 11, 12 dan beberapa peruntukan yang lain jelas menunjukkan kedudukan istimewa Islam di dalam perlembagaan. Pandangan mengatakan perlembagaan Malaysia adalah sekular adalah tersasar dari pentafsiran sebenar perlembagaan,” jelas pakar perlembagaan di Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Abd Aziz menegaskan bahawa perlaksanaan hudud juga perlu melihat dari aspek kehendak masyarakat atau rakyat.

Dalam kes di Kelantan beliau berpandangan, sekiranya rakyat negeri tersebut telah bersedia dan bersetuju untuk perlaksanaan hudud, hasrat ini perlu disambut dan ditunaikan.

“Dalam soal perlembagaan, kita harus menyedari bahawa ia bukan sesuatu yang mutlak dan tidak boleh diubah. Ia boleh dipinda serta dimansuhkan. Namun begitu dalam masa yang sama, pindaan serta pemansuhan (perlembagaan) ini juga tidak perlu dilakukan kerana perlembagaan itu sendiri tertakluk kepada pelbagai tafsiran yang boleh menghasilkan perspektif-perspektif yang berbeza,” menurut beliau yang merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau juga mencadangkan agar satu referendum atau pungutan suara dilakukan untuk meninjau hasrat dan kehendak rakyat mengenai perlaksanaan hudud.

Sekiranya referendum itu positif, kerajaan Pusat seharusnya membantu kerajaan negeri ke arah perlaksanaannya dengan bersungguh-sungguh, tegas beliau lagi.

"Undang-undang jenayah Islam boleh dilaksanakan di dalam kerangka perlembagaan dan lunas perundangan yang ada sekarang. Persoalannya ialah mahu atau tidak? ” jelas Prof Dr Aziz Bari yang juga merupakan penulis Islam Dalam Perlembagaan Malaysia.

Aplikasi undang-undang

Pengamal undang-undang syariah, Musa Awang undang-undang tidak seharusnya dijadikan halangan dalam merealisasikan hukuman Hudud.

“Walaupun diakui terdapat beberapa halangan dari sudut undang-undang umpamanya Akta Bidangkuasa Mahkamah Syariah 1965 (Pindaan 1988) yang menghadkan bidang kuasa mahkamah syariah kepada hanya boleh mengenakan hukuman sebanyak 3 tahun penjara, RM5000 denda dan 6 kali sebatan, halangan seumpaman ini sebenarnya tidak boleh dijadikan alasan yang tidak membolehkan ianya dipinda atau dimansuhkan.

"Bahkan, pindaan undang-undang tersebut boleh dilaksanakan oleh eksekutif tanpa perlu melalui proses mendapatkan mandat 2/3 majoriti yang diperlukan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan,” jelas Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Beliau menambah, "Hatta perlembagaan pun pernah dipinda, undang-undang seumpama ini boleh sahaja dipinda atau dimansuhkan dengan adanya Political Will.”

Oleh itu menurut Musa Awang lagi, “Persediaan dari sudut yang lain, umpamanya kesediaan badan kehakiman, pengamal undang-undang, infrastruktur, badan penguatkuasa, badan pendakwa dan lain-lain juga perlu diambil perhatian sewajarnya dalam melaksanakan hukum hudud."

Dalam pada itu, Mohamad Raimi mengumumkan beberapa rumusan awal yang dicapai hasil daripada wacana ini yang meliputi:

1) Cadangan enubuhan Jawatankuasa Teknikal Mengkaji Perlaksanaan Hudud secara serius di Malaysia

(2) Menggerakkan 'Road Show’ atau Program Penerangan Undang-undang Hudud yang Berterusan.

(3) Mencadangkan satu referendum atau pungutan suara diadakan untuk memahami persepsi dan kehendak rakyat terhadap perlaksanaan hudud.

“Wacana hudud yang dianjurkan kali ini merupakan salah satu dari usaha Abim ke arah mendidik masyarakat untuk membincangkan sebarang isu yang timbul secara ilmiah berdasarkan hujah.

"Isu hudud yang dibicarakan dari sudut perspektif yang perbagai sama ada perlembagaan, amalan undang-undang, sejarah, syariah dan demokrasi. Wacana kali ini juga telah mengetengahkan beberapa isu yang sangat signifikan untuk diambil perhatian oleh semua pihak.

"Pihak Abim akan memperhalusi cadangan dan saranan yang dirumuskan dalam wacana hari ini dalam masa terdekat dan mengenmukakannya kepada pihak berwajib.

"Justeru, adalah menjadi harapan kami agar segala cadangan dan saranan yang disyorkan dalam wacana ini disahut oleh pihak yang berwajib dan setiap usaha ke arah perlaksanaan hudud ini perlu dilaksanakan secara berhemah.

"Yang penting, langkah ke arahnya harus bermula, dan ia harus bermula sekarang,” tegas Mohamad Raimi lagi.

'Hudud provisions have been enforced'

2011/10/02

KAJANG: Hudud has been so sensationalised and politicised that it has become difficult to hold a critical discourse on the subject, Syariah Lawyers Association of Malaysia (PGSM) deputy president Musa Awang said yesterday.
He said the enforcement of hudud provisions was not something new, as it had been incorporated into the Laws of Malacca before the British occupation.

"This has been mentioned in several research works on hudud and in forums by Datuk Ismail Kamus," he said during a discussion on hudud organised by Angkatan Belia Islam Malaysia (Muslim Youth Movement of Malaysia) (Abim).

He said the mere mention of hudud should not provoke fear in the people. Those who are well versed in hudud should explain the intricacies of the law to the people.
From a legal viewpoint, Musa said it was possible to implement hudud in the country. He proposed a referendum be held among the Muslim community to gauge the percentage of Muslims who agree and do not agree with the implementation.

"If the people of Kelantan are agreeable then it should not be a problem."

Datuk Dr Abdul Aziz Bari, an expert on constitutional law, said it was up to a state government if it wanted to implement the Islamic law.

"The Federal Constitution has outlined the jurisdictions under the federal and state governments.

"The claim that a state cannot implement hudud is arguable."

On whether a dual system consisting of Islamic and civil laws would cause confusion, Aziz drew parallels to the crimes under the Penal Code with those under the Islamic criminal law Jenayah Syariah.

"This is not a problem. Malaysia is not the only Islamic country where this duality exists."

Abim secretary-general Mohamad Raimi Rahim said political parties should not harp on hudud for political mileage as this would create a negative image on the Islamic law.

"The key here is understanding. A discourse on the subject with reference to the current legal system would be beneficial."

Raimi added that according to joint research by Merdeka Center, Goethe Institute and the Friedrich Naumann foundation -- "Values, Dreams, Ideals of Muslim Youth In Southeast Asia: Surveys in Indonesia and Malaysia" -- a majority of youth agreed to the implementation of certain provisions of Islamic law.

Hukuman mahkamah syariah tak takutkan pesalah



Oleh Musa Awang

Berita Harian 28/09/2011

HUKUMAN paling tinggi boleh dikenakan terhadap pesalah khalwat, berzina atau bersekedudukan menurut Enakmen Jenayah Syariah negeri adalah denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau sebatan tidak lebih enam kali atau kombinasi mana-mana hukuman itu.

Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) (Akta 355) mengehadkan kuasa kerajaan negeri untuk meluluskan undang-undang berkaitan jenayah syariah dan mahkamah syariah hanya dibenarkan menghukum dengan hukuman disebutkan.
Akta 355 adalah undang-undang yang diluluskan Parlimen dan berkuatkuasa di seluruh negara. Apa-apa pindaan Akta 355 perlu mendapat persetujuan majoriti Ahli Parlimen.
Jika ada Dewan Undangan Negeri meluluskan undang-undang berlawanan akta itu, maka undang-undang itu akan menjadi ultra-vires (melampaui) dan terbatal setakat mana yang berlawanan. Ini termaktub dalam Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, selagi Akta 355 tidak dipinda, apa-apa percakapan mengenai hendak melaksanakan hukum hudud di negara ini adalah omong kosong dan retorik politik saja.

Walaupun ada pemimpin berpendapat belum sampai masanya hukuman hudud dilaksanakan di negara ini, tetapi berdasarkan masalah gejala sosial semakin meruncing mutakhir ini, perlu diadakan undang-undang lebih tegas, tinggi kadar hukumannya dan mampu mencegah umat Islam terjerumus ke lembah maksiat yang boleh merosakkan keturunan umat Islam ini.

Melihat statistik pendaftaran kelahiran anak luar nikah dan kes pembuangan bayi yang meningkat dari tahun ke tahun, menjadi suatu keperluan mendesak supaya diwujudkan undang-undang yang benar-benar mampan.
Dari 1999 hingga 2003, daripada 70,430 kes, sebanyak 30,978 pendaftaran anak luar nikah membabitkan anak orang Islam. Selangor mencatatkan jumlah tertinggi (12,836), diikuti Perak (9,788), Kuala Lumpur (9,439) dan Johor (8,920).

Statistik Jabatan Pendaftaran Negara tahun 2007 mencatatkan sebanyak 16,100 pendaftaran anak luar nikah berbangsa Melayu, meningkat sebanyak 16, 541 tahun 2008 dan 17,303 pada 2009.

Manakala statistik kes pembuangan bayi yang dilaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 396 kes dicatatkan dari 2005 hingga 2010. Ia menunjukkan aliran peningkatan walaupun ada penurunan pada 2007.

Sebanyak 67 kes dilaporkan pada 2005, 83 kes (2006) yang menurun kepada 65 kes pada 2007, 102 kes (2008), 79 kes (2009) dan 91 kes (2010). Bagi 2011, dalam bulan Januari saja sebanyak 34 kes buang bayi dilaporkan di akhbar utama Malaysia.

Tidak dinafikan, kes kelahiran anak luar nikah dan pembuangan bayi berpunca daripada perbuatan seawal berkhalwat, kemudian menjurus kepada mukadimah zina, berzina dan bersekedudukan.

Sebagai kerajaan yang prihatin dengan masalah rakyat dan umat Islam, kepimpinan Perdana Menteri perlu segera mengadakan transformasi undang-undang jenayah syariah di negara ini, dengan meminda Akta 355 bagi memberi lebih kuasa kepada mahkamah syariah menjatuhkan hukuman lebih berat terhadap penjenayah syariah.

Jika hukuman bagi kesalahan mendera binatang di bawah Akta Binatang 1953 (semakan 2006) ada ura-ura hendak dinaikkan kadar denda RM200 kepada RM50,000, mengapa tidak jumlah hukuman kesalahan penjenayah syariah ditingkatkan, sekurang-kurangnya dengan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau 20 sebatan.

Dengan hukuman lebih tinggi, dapat menggerunkan masyarakat daripada melakukan perbuatan yang akhirnya menjerumuskan diri mereka kepada perbuatan zina, kelahiran anak luar nikah dan pembuangan bayi.

Pada masa ini, denda serendah RM5,000 tidak mampu membangkitkan rasa gerun kepada pesalah. Ia juga menggambarkan seolah-olah kesalahan jenayah syariah adalah kesalahan kecil, boleh diulang semula kerana hukumannya lebih ringan berbanding kesalahan mendera binatang.

Padahal, kesalahan dalam Enakmen Jenayah Syariah adalah kesalahan membabitkan perlanggaran terhadap hukum syarak.

Tidak dinafikan mahkamah syariah sudah mengalami banyak perubahan dari segi pentadbiran, prasarana, kakitangan sokongan serta mendapat pengiktirafan.

Persoalannya, bagaimanakah mahkamah syariah boleh turut membantu menyelesaikan masalah umat Islam jika hukuman yang diperuntukkan terlalu ringan dan boleh diperlekehkan?

Maka, selaras perkembangan zaman dan situasi masyarakat Islam, sudah tiba masanya transformasi perundangan syariah dilakukan dengan mengkaji semula dan mempertingkatkan kadar hukuman bagi pesalah syariah di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM

 Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM MUSA AWANG Oleh AIMAN ALI 19 Jun 2025, 4:58 pm PETALING JAYA: Persatuan Peguam S...