Tuesday, July 5, 2011

Selaraskan kawal selia peguam syarie



Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my

30 Jun 2011

WALAUPUN usia penubuhannya baru menjangkau 10 tahun namun Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kini dalam usaha menambah baik mutu kebajikan dan memperjuangkan nasib serta kepentingan 400 orang ahlinya.

Demi mencapai sasaran itu, PGSM yang ditubuhkan pada 2001 akan membincangkan pelbagai isu berbangkit pada Jumaat ini dalam Konvensyen Peguam Syarie Kali Ke-2 yang akan berlangsung di Grand Ballroom, Hotel Grand Seasons di Kuala Lumpur.

Konvensyen anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dan PGSM itu akan dirasmikan buat julung kalinya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam konvensyen tersebut antara topik yang akan dibincangkan adalah isu penerimaan masuk peguam, kelayakan dan tata terbit serta prosedur ketat kerana ia merumitkan tugas para peguam.

Pemangku Presiden PGSM, Musa Awang berkata, antara persoalan yang masih belum ada jawapannya adalah berkenaan isu penyatuan kaedah penerimaan masuk, kelayakan, tatatertib dan yuran peguam syarie.

''Satu Malaysia, sepatutnya hanya ada satu undang-undang yang mengawal selia peguam syarie. Tetapi apa yang berlaku pada masa kini, terdapat 12 undang-undang atau peraturan yang terpakai bagi mengawal selia hal ehwal peguam syarie dari aspek kemasukan, kelayakan dan hal tatatertib adalah ditentukan oleh kaedah-kaedah negeri yang diwujudkan berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri atau Enakmen Mahkamah Syariah negeri-negeri.

''Adalah lebih kemas sekiranya penerimaan masuk peguam syarie dapat diselaraskan di seluruh Malaysia, keputusan dibuat di satu "centre", supaya tidak tidak timbul kekeliruan, memudahkan peguam syarie untuk beramal di setiap negeri tanpa melalui proses temu duga di banyak tempat,'' jelas Musa.

Selain itu, isu kelayakan penerimaan masuk yang berbeza antara negeri menyebabkan tahap profesional sesetengah peguam syarie dipersoalkan kerana ada negeri mempunyai syarat kelayakan yang longgar sementara di negeri lain pula mempunyai syarat yang ketat.

Musa berkata, pihaknya akan menyentuh juga etika peguam syarie yang tiada peruntukan khusus mengenai tatatertib serta kod etika seragam kerana yang ada cuma bersifat pentadbiran semata-mata tanpa kuat kuasa undang-undang.

Sudah lama kata Musa, peguam syarie mengidamkan Akta Peguam Syarie peringkat nasional, supaya boleh diadakan suatu Majlis Peguam Syarie yang mempunyai peranan atau fungsi sama atau hampir sama seperti Majlis Peguam Malaysia yang ditubuhkan di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976.

Kini sudah tiba masanya kedudukan dan martabat peguam syarie sebagai pihak yang membantu melicinkan perjalanan proses keadilan di mahkamah syariah dipertingkatkan setanding kedudukan peguam cara dan peguam bela di Mahkamah Sivil, kata Musa dengan penuh harapan.

Beliau menambah, akta khusus ini juga diharapkan, dapat memudahkan urusan mengawal peguam syarie yang terbabit salah laku seperti menipu anak guam, membawa pembuktian palsu, mengenakan caj tidak munasabah dan sebagainya.

Konvensyen yang bertemakan ''Guaman Syarie: Prospek Pengukuhan Institusi Kehakiman Syariah Di Malaysia Menjelang 2020'' itu juga menurut Musa mempunyai objektif, antaranya untuk memperkasakan keupayaan kredibiliti institusi perundangan, kehakiman dan kepeguaman syarie serta mekanisme yang berkaitan dengan syariat Islam.
Selain itu, ia juga merupakan usaha pengukuhan menjaga kedaulatan agama Islam serta memelihara kebajikan umat Islam di negara ini.

Monday, June 27, 2011

SERUAN KEPADA SEMUA PEGUAM SYARIE

Konvensyen Peguam Syarie Malaysia Kali Ke-2 –

Pada Jumaat, 1 Julai, 2011 jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang bertempat di GrandBall Room, Hotel Grand Season,Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Konvensyen ini adalah anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Tema Konvensyen - “Guaman Syarie : Prospek Pengukuhan Institusi Kehakiman Syariah Di Malaysia Menjelang 2020”.

Objektif-objektif Konvensyen seperti berikut :-

• Memantapkan peranan sistem kepeguaman dan perundangan Islam agar mampu menjadi penyelesai kepada permasalahan umat Islam selaras dengan tuntutan Islam

• Memperkasakan keupayaan kredibiliti institusi perundangan, kehakiman dan kepeguaman syarie serta mekanisma yang berkaitan dengan syariat Islam.

• Pengukuhan usaha menjaga kedaulatan agama Islam serta memelihara kemaslahatan dan kebajikan umat Islam di Negara ini.

• Pembugaran inisiatif yang menjadi teras kesinambungan usaha memartabatkan kepeguaman, kehakiman, perundangan dan pentadbiran Islam.

YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak akan merasmikan Konvensyen ini, pada petang tarikh tersebut.

Melibatkan penyertaan seramai lebih 1300 hingga 1500 orang Peguam Syarie, Pegawai Syariah, pegawai jabatan agama Islam, pelajar IPT dan lain-lain yang datang dari seluruh Negara. Penyertaan juga terbuka kepada orang awam dan sesiapa sahaja yang berminat. Yuran penyertaan RM90.00 seorang.

Juga akan menyaksikan wakil peguam syarie dari Malaysia, negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura akan membentangkan kertas kerja tentang aspek kepeguaman Syarie di negara masing-masing.

Manakala di sebelah petangnya pula akan diadakan Majlis Forum dengan tajuk “Peguam Syarie : Isu, Cabaran dan Kemana?” dengan barisan panel dari kalangan peguam syarie berpengalaman luas dan berkaliber.

Di penghujung Konvensyen ini juga, satu resolusi konvensyen akan dibuat dan disampaikan kepada Perdana Menteri.

Maka, PGSM dengan ini MENYERU kepada semua Peguam Syarie seluruh Negara agar tidak melepaskan peluang yang jarang-jarang sekali muncul ini, dengan hadir beramai-ramai di perhimpunan terbesar Peguam Syarie pada 1 Julai ini.

Pendaftaran boleh dibuat secara online di laman

- http://bit.ly/lvvu54
- http://peguamsyariemalaysia.blogspot.com.
atau datang terus mendaftar pada pagi 1 Julai 2011 di tempat berkenaan.

Sebarang maklumat lanjut boleh hubungi Sekretariat Konvensyen, di talian : 03-88864800 - 4627/4614/4725.

Sekian untuk siaran.

Terima kasih.

“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak”

Wednesday, June 22, 2011

Seksyen 127 benar hakim periksa semula keterangan

Peguam Syarie Menulis: Seksyen 127 benar hakim periksa semula keterangan
Oleh Musa Awang

2011/06/22

TATACARA perbicaraan di Mahkamah Syariah dipandu oleh Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah setiap negeri. Walaupun ada seksyen dan peruntukan yang berbeza, secara umumnya maksud yang ingin dinyatakan dalam undang-undang itu adalah sama.

Seksyen 127 Enakmen Tatacara Mal memperuntukkan: Demi kepentingan keadilan, mahkamah boleh, pada mana-mana peringkat prosiding, memanggil mana-mana pihak untuk mengemukakan keterangan dan boleh memeriksa mana-mana tempat atau barang.

Maksudnya, mahkamah boleh pada bila-bila masa memerintahkan mana-mana pihak sama ada plaintif, defendan atau saksi hadir semula ke mahkamah untuk memberi keterangan, walaupun peringkat keterangan pihak itu sudah berlalu. Hakim bicara juga boleh pergi ke mana-mana premis atau tempat untuk memastikan segala dakwaan dikemukakan itu benar, jika hakim berpendapat perlu untuk berbuat demikian. Kaedah memanggil semula pihak ini boleh dibuat demi kepentingan keadilan.

Sub-seksyen 92 (4) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah menjelaskan perkara ini dengan memperuntukkan, mahkamah boleh dalam segala hal membenarkan seseorang saksi dipanggil semula sama ada untuk pemeriksaan utama selanjutnya atau pemeriksaan balas selanjutnya dan jika mahkamah membenarkan sedemikian, maka pihak mempunyai hak muntuk membuat pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula selanjutnya.

Memanggil semula untuk memberi keterangan bagi memastikan tidak ada yang disembunyikan kerana perbuatan itu dilarang keras.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang menyembunyikan sebahagian keterangan dan petunjuk yang telah Kami turunkan dan Kami terangkan kepada manusia dalam kitab, mereka itu akan dilaknat Allah dan orang yang melaknat. Kecuali mereka yang telah bertaubat dan berbuat baik serta mahu menjelaskannya, maka akan Aku terima taubatnya dan Aku adalah Maha Menerima Taubat dan Belas Kasihan.” (Surah al-Baqarah, ayat 159-160)

Keterangan penting di Mahkamah Syariah kerana keadilan adalah sesuatu yang diperintahkan oleh Allah dalam semua aspek dan keadaan.
Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan ini) supaya kamu mengambil peringatan.” (Surah an-Nahl, ayat 90)

Dalam satu riwayat, Saidina Ali telah diutus untuk menjadi kadi di Yaman: “Rasulullah telah mengutuskan aku ke Yaman sebagai kadi. Aku berkata kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah, tuan mengutuskan saya (menjadi kadi) sedangkan saya masih muda dan tidak mengetahui mengenai kehakiman? Rasulullah berkata: Sesungguhnya Allah memberikan hidayat-Nya di hatimu dan menetapkan lidahmu, jika engkau duduk menghakimkan antara dua orang yang bertikai janganlah engkau membuat keputusan sehingga kau telah mendengar (hujah) yang satu lagi seperti kau telah mendengar yang pertama, dengan demikian hukuman akan jelas. Saidina Ali berkata: Sejak itu aku terus menjadi kadi dan aku tidak pernah ragu-ragu dalam membuat keputusan selepas itu.”

Penulis ialah Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia PGSM dan boleh dihubungi di alamat sekretariatpgsm@yahoo.com

Saturday, June 18, 2011

KONVENSYEN PEGUAM SYARIE KALI KE 2

KONVENSYEN PEGUAM SYARIE KALI KE 2

PERASMIAN OLEH : YAB PERDANA MENTERI DATO’ SRI MOHD NAJIB TUN RAZAK

PADA : JUMAAT, 1 JULAI 2011 MASIHI (29 REJAB 1432 HIJRAH)

TEMPAT: GRAND BALLROOM, HOTEL GRAND SEASONS, JALAN PAHANG, KUALA LUMPUR. (http://www.grandseasonshotel.com)

TEMA: “GUAMAN SYARIE : PROSPEK PENGUKUHAN INSTITUSI KEHAKIMAN SYARIAH DI MALAYSIA MENJELANG 2020”

PENDAHULUAN

Peguam Syarie adalah individu yang bertanggungjawab membantu Mahkamah Syariah dalam pengendalian dan perbicaraan kes syariah sama ada melibatkan kes mal atau jenayah. Peguam Syarie juga bertanggungjawab kepada anak guam yang memerlukan perwakilan agar kes mereka dapat segera diselesaikan terutama melibatkan kes perceraian, penjagaan anak dan tuntutan harta sepencarian. Meskipun begitu, ramai yang masih tidak menyedari kepentingan peguam syarie sebagai ejen penting dalam pencarian keadilan di Mahkamah Syariah dan juga penghubung antara pihak-pihak dengan institusi perundangan dan kehakiman. Tidak kurang juga ada yang melihat profesyen ini berkisar dengan dollar and cent berbanding khidmat yang ditawarkan. Sehubungan itu, kepeguaman syarie hendaklah difahami dengan lebih meluas oleh masyarakat agar persepsi yang tidak tepat dapat diperbetulkan. Dalam pada itu, kepeguaman syarie juga hendaklah seiring dengan pacuan transformasi perundangan dan kehakiman supaya prospek pembangunan sumber dan kerjaya serta cabaran Peguam Syarie menepati aspirasi rakyat dan negara serta rantau ASEAN.


OBJEKTIF

1. Pemantapan peranan system kepeguaman dan perundangan Islam agar mampu menjadi penyelesai kepada permasalahan umat Islam selaras dengan tuntutan Islam

2. Memperkasakan keupayaan kredibiliti institusi perundangan, kehakiman dan kepeguaman syarie serta mekanisma yang berkaitan dengan syariat Islam.

3. Pengukuhan usaha agar kedaulatan agama Islam sentiasa terpelihara dan kemaslahatan serta kebajikan ummah terjamin.

4. Pembugaran inisiatif yang menjadi teras kesinambungan usaha memartabatkan kepeguaman, kehakiman, perundangan dan pentadbiran Islam.

SASARAN PESERTA

1500 orang peserta dibuka dari kalangan Hakim-Hakim Syarie, Peguam Syarie, Peguam Sivil, Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk di Jabatan Agama Islam negeri-negeri, Pegawai Kaunselor, Ahli-Ahli Akademik, agensi kerajaan yang berkaitan seperti JAKIM, JBG, Jabatan Peguam Negara dan SENADA, badan bukan kerajaan serta pelajar di Institut Pengajian Tinggi Awam atau Swasta dan orang perseorangan.

PENYERTAAN PESERTA

Sila isi borang online di http://bit.ly/lvvu54

Untuk penyertaan seminar, bayaran yang dikenakan adalah RM 90.00 seorang. Pembayaran boleh dibuat menerusi Pesanan Tempatan (LO) atau bank-in kepada Persatuan Pegawai Syariah Malaysia no. akaun Bank Islam Malaysia Berhad 16018010004088

ANDA JUGA BOLEH MENDAFTAR MELALUI PGSM DI SEKRETARIAT PGSM.
Tel : 03-22741499

TARIKH TUTUP PENYERTAAN

Sebelum atau pada 28 JUN 2011

KETERANGAN LANJUT

sila hubungi :

Sekretariat Konvensyen, Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM), d/a Jabatan Kehakiman SYariah Malaysia (JKSM), Aras 4, Blok D7, ParcelD, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 60657 Putrajaya
Tel : 03-88864800 - 4627 / 4614 / 4725
Faks : 03-88907770
Emel : mohd_yusof@esyariah.gov.my (016-657 3255)
zuhdee@esyariah.gov.my (019-9595002)
muhdjimmy@esyariah.gov.my (019-6768640)

ANDA JUGA BOLEH MENDAFTAR MELALUI PGSM DI SEKRETARIAT PGSM. Tel : 03-22741499

TENTATIF PROGRAM
KONVENSYEN PEGUAM SYARIE KALI KE 2

7.30 pagi: Pendaftaran peserta konvensyen

9.00 pagi: Ketibaan YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM Ketibaan YAA
Ketua Hakim Negara
: Bacaan doa
: Ucapan Aluan YAA Tan Sri Ibrahim Lembut,
Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM
Tajuk:Prospek Dan Cabaran Kearah Memperkasakan Transformasi Hakim Syarie
Dan Peguam Syarie Di Institusi Kehakiman Syariah Di Malaysia Masa Kini
Pengerusi : YA Dato’ Haji Hussin bin Harun, Hakim Rayuan Syarie JKSM

9.30 pagi: Ucaptama YAA Ketua Hakim Negara
Tajuk : Prospek Kepeguaman Islam dalam Sistem Perundangan dan Kehakiman
Sivil di Malaysia.
Oleh : YAA Tun Zaki bin Tun Azmi, Ketua Hakim Negara.
Pengerusi : YA Dato’ Haji Md. Yusop bin Che Teh, Hakim Rayuan
Syarie, JKSM

10.00 pagi. : Kertas Kerja 1.
Tajuk : Kepeguaman Syarie di Malaysia
Oleh : Y.Bhg. Tuan Mohamad Isa bin Abd Ralip, Presiden, Persatuan
Peguam Syarie Malaysia

Kertas Kerja 2
Tajuk : Kepeguaman Syarie di Negara Brunei Darussalam
Oleh : Y.Bhg Tuan Mohd Yusof bin Halim, Peguam Kanan, Tetuan
Sankaran Halim

Kertas Kerja 3
Tajuk : Kepeguaman Syarie di Republik Singapura
Oleh : YA Puan Faridah Eryani binti Pairin, Ahli Lembaga Rayuan,
Mahkamah Rayuan Syariah Republik Singapura

Pengerusi : Y.Bhg Prof. Madya Datin Dr. Siti Zalikhah Md. Nor,
Pensyarah, Jabatan Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia

12.00 tgh : Makan tengahari/Solat Jumaat

3.00 Petang: Majlis Perasmian Oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul
Razak, Perdana Menteri Malaysia

4.00 petang : Majlis Forum
Tajuk: Peguam Syarie: Isu, Cabaran dan Ke mana?
Ahli Panel:
1.Y.Bhg Prof. Adjung Haji Salleh bin Buang, Profesor Tamu,
Universiti Teknologi Malaysia
2.Y.Bhg. Prof. Adjung Tuan Haji Sulaiman bin Abdullah, Profesor Tamu,
Universiti Teknologi Malaysia
3.Y.Bhg. Dato’ Hj. Zainul Rijal bin Abu Bakar,Presiden, Persatuan
Peguam Muslim Malaysia
Pengerusi : Y.Bhg. Tuan Musa bin Awang, Timbalan Presiden,
Persatuan Peguam Syarie Malaysia

5.30 petang : Pembentangan Resolusi Konvensyen
Oleh: Tuan Mohamad Isa bin Abd Ralip, Presiden, Persatuan Peguam
Syarie Malaysia

Penyerahan Resolusi Konvensyen

6.00 petang : Minum petang /Bersurai

Tuesday, June 7, 2011

Qazaf, bila diperlukan?


Utusan Malaysia
Khamis, 08 Jun 2011.

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my

DALAM keghairahan segelintir pihak menuntut supaya pertuduhan qazaf dikenakan terhadap trio Datuk 'T' selepas membuat pendedahan rakaman aksi seks yang menjurus kepada perbuatan zina, kita mungkin terlupa bahawa ia bukannya suatu perkara yang mudah untuk dilakukan.

Sebagai serangan balas, ada pihak yang memfailkan pertuduhan qazaf terhadap bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim yang didakwa telah mendedahkan rakaman aksi seks itu kerana ia mengandungi unsur tuduhan zina terhadap pemimpin pembangkang tersebut.

Jika dilihat daripada pengertian bahasa, qazaf adalah melontar sesuatu sama ada batu atau seumpamanya tetapi dalam istilah syarak, qazaf bermakna menuduh orang yang baik, berzina atau pun menafikan nasab keturunannya seperti menuduhnya sebagai anak luar nikah dan sebagainya.

Dalil utama Islam mengharamkan perbuatan qazaf adalah berdasarkan firman Allah dalam surah An-Nur ayat 4 yang bermaksud: ''Mereka yang menuduh wanita- wanita yang baik melakukan zina kemudiannya tidak dapat mengemukakan empat orang saksi yang adil maka pukullah mereka itu dengan sebatan 80 kali dan janganlah terima kesaksian mereka sama sekali kerana mereka itulah orang-orang yang fasik (pendusta).''

Keperluan membawa empat orang saksi ini semata-mata untuk menegah daripada membuat tuduhan melulu yang berlandaskan niat jahat kerana orang yang menuduh perlu menyediakan bukti lengkap yang mampu menyokong pertuduhannya.

Kewajipan berbuat demikian diperjelaskan oleh peguam syarie berpengalaman lebih 13 tahun, Musa Awang (gambar) dengan memetik sebuah hadis riwayat Ahmad, Muslim dan an-Nasa'i, sabda Rasullullah SAW kepada Hilal bin Umayyah yang telah menuduh isterinya berzina dengan Syarik bin Syahma.

Menurut Musa, Baginda menyuruh Hilal supaya membawakan empat orang saksi sebagai bukti kebenaran tuduhan tersebut, jika tidak, Hilal akan dikenakan hukuman had (qazaf).

Dalam kes ini, sekiranya si penuduh dapat mengemukakan empat orang saksi tersebut, maka si penuduh tidak boleh dikenakan qazaf.

Musa berkata, keperluan betapa pentingnya empat orang saksi dalam mensabitkan kesalahan zina kerana ia suatu perkara yang keji dan amat dihina oleh Islam serta hukumannya dalam Islam, boleh membawa kepada kehilangan nyawa orang yang dituduh, iaitu direjam sehingga mati atau disebat 100 kali.

Sehinggakan, katanya, dalam satu hadis sahih Muslim daripada Abu Hurairah diriwayatkan bahawa Saad bin Ubadah bertanya kepada Rasulullah SAW jika dia (Saad) terserempak dengan isterinya sedang berzina dengan seorang lelaki, adakah dia masih perlu menunggu sehingga terdapat empat orang saksi? Rasulullah SAW menjawab ''Ya''.

Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) itu bagaimanapun membangkitkan persoalan, bilakah masanya tuduhan qazaf hendak dilakukan.
Adakah sebaik sahaja si pengadu membuat tuduhan, dia terus boleh dikenakan dakwaan qazaf? Atau apabila si pengadu membuat tuduhan dan kemudian dikehendaki mengemukakan empat orang saksi, tetapi dia gagal mengemukakannya, kemudian barulah dia dikenakan dakwaan qazaf?

Bagi mengupas persoalan tersebut, peguam itu lebih selesa membawakan satu senario yang dihadapi oleh Saidina Umar al- Khattab dalam kes Al-Mughirah Ibnu Shu'bah. Suatu tuduhan telah dibuat terhadap Al-Mughirah bahawa beliau didakwa telah berzina dengan Ummu Jamil.

Musa berkata, tiga orang saksi - Abu Bakrah ibn Masruh, Shabl bin Mu'abbad dan Nafi' ibn Harith telah membuat kesaksian di hadapan Umar bahawa Al-Mughirah telah berzina dengan Ummu Jamil, tetapi saksi keempat, Ziyad ibn Ubaid tidak membuat kesaksian. Dalam keadaan begitu, Umar telah mengenakan hukuman qazaf atas mereka bertiga.
Kisah tersebut, menurut Musa, menerangkan bahawa apabila suatu tuduhan zina dibuat, maka hakim dalam suatu majlis kehakiman, perlu memanggil semua saksi yang berkenaan untuk memberikan keterangan sama ada secara serentak ataupun secara berasingan.
Dalam kisah tersebut, Saidina Umar telah bertindak sebagai hakim, dan orang yang dituduh (Al-Mughirah) hadir sekali dalam majlis tersebut.

Peguam itu berkata, Mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali menyatakan bahawa dalam kes tuduhan zina, kehadiran semua saksi perlu dilakukan serentak dalam suatu tempat, sebagai syarat untuk mengesahkan kesaksian mereka.

Ini bermakna, sekiranya mereka hadir secara berasingan, maka kesaksian mereka tidak boleh diterima bahkan jika sebahagiannya tiba setelah hakim beredar maka kesaksian mereka juga perlu ditolak dan si pengadu, boleh dikenakan hukuman qazaf.
''Jadi berdasarkan riwayat ini, saya berpendapat bahawa pertuduhan zina ke atas tertuduh dan saksi-saksi perlu dikemukakan terlebih dahulu dalam suatu majlis kehakiman. Sekiranya ia gagal dibuktikan, maka pengadu boleh dikenakan hukuman qazaf. Dengan kata lain, qazaf tidak wajar dibuat terlebih dahulu, sehingga terbukti bahawa tuduhan zina itu adalah palsu,'' ujar beliau.

Musa menambah, mengenakan qazaf serta-merta apabila seseorang membuat aduan tentang perlakuan zina adalah suatu yang silap.

''Kalau begitu sampai bila-bila kita tidak akan dapat mencegah kesalahan zina daripada berlaku dalam masyarakat. Sesiapa yang mengadu tentang zina terus hendak dikenakan qazaf. Mungkin tuduhan itu palsu, dan mungkin juga benar,'' katanya.
Oleh sebab itu, setelah aduan dibuat, disiasat dan mempunyai cukup bukti, maka dakwaan di mahkamah perlu dibuat ke atas orang yang dituduh.

Jika si pengadu tidak dapat membawakan empat orang saksi sebagaimana dikehendaki syarak, maka dia selepas itu boleh didakwa atas kesalahan qazaf. Pertuduhan zina dan pertuduhan qazaf dibuat secara berasingan kerana melibatkan tertuduh yang berbeza.
Qazaf bukanlah suatu teknik untuk melepaskan diri tetapi ia termasuk dalam kategori kesalahan hudud seperti juga kesalahan zina. Si pesalah qazaf boleh dikenakan hukuman sebatan sebanyak 80 kali.

''Cuma undang-undang syariah yang ada di negara kita hari ini sahaja yang memperuntukkan hukuman takzir bagi kesalahan qazaf.

''Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, menyebutkan mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan, mengikut hukum syarak, empat orang saksi lelaki atau ikrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

''Bagaimanapun hasil pemerhatian dan maklumat yang saya peroleh daripada pihak pendakwaan syariah, setakat ini belum pernah ada kesalahan qazaf didakwa di Mahkamah Syariah,'' kata Musa.

Sunday, May 8, 2011

Ulama, akademik kata Anwar tak perlu sumpah


Malaysiakini.com
Mei 7, 2011. 8:30am

Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa agar tidak melayan tuntutan sumpah balas berhubung isu video seks yang dikaitkan dengan dirinya.

'Hukum Qazaf dan Sumpah Menurut Syari'ah, ABIM seminarMenurut ahli akademik Prof Dr Ashraf Md Hashim (tengah) gesaannya itu bertujuan mendidik masyarakat khususnya umat Islam berhubung isu bersumpah laknat yang berulang-kali berlaku di kalangan masyarakat

"(Pertama) kalau ikut syara' tidak perlu (bersumpah) dan ia tidak dituntut oleh syara' kerana dalam (jenayah) hudud, tidak ada sumpah.

"Tapi kalau nak sumpah juga, itu bukan syariat yang tuntut. Bagi saya, masyarakat kena didik juga, kalau bersumpah jugak nanti lepas ini orang macam tu (bersumpah) jugak.

"Sumpah, sumpah tak habis-habis. Masyarakat perlu dididik apa sebenarnya yang dituntut oleh syariat. Tapi kalau tidak dituntut oleh syariat, tak payah," katanya.

'Hukum Qazaf dan Sumpah Menurut Syari'ah, ABIM seminarTegas Dr Ashraf lagi gesaan itu juga ditujukan kepada parti politik tertentu supaya "keadaan yang memalukan" itu tidak mengaibkan masyarakat Islam.

"Kalau nak main politik, main cara lain lah. Kalau ini hal politik (terutama kepada) kedua-dua pihak," katanya yang juga mantan exco Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Pada 29 April lalu, Datuk Shazryl Eskay Abdullah - seorang anggota trio Datuk T - muncul di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul bagi melakukan sumpah laknat.

Dengan memegang senaskhah Al-Quran beliau melafazkan kata-kata berikut:

A'uzubillahi minal syaitanirrajim. Bismillah irahman irrahim. (Mengucap 3 kali). Pada hari ini, 29 April 2011, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, saya Shazryl Eskay Abdullah berikrar dan bersumpah seperti berikut: A'uzubillahi minal syaitanirrajim, wallahi, wabillahi, watallahi, aku bersumpah bahawa aku dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam paparan video yang dirakamkan pada 21 Februari 2011. Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video tersebut. Sekiranya aku melakukan fitnah, maka Allah akan melaknat akanku."

Memulihkan moral

Beliau bersama bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Shuib Lazim bertanggungjawab menayangkan video seks kepada sekumpulan wartawan sebelum ini.

Pita video itu memapar seorang lelaki yang didakwa mirip ketua pembangkang yang juga ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas ada cadangan supaya Anwar yang juga ketua pembangkang bersumpah mubahalah bagi "menjernihkan suasana" Ashraf berkata:

"Wallahua'lam. Mungkin jernihkan suasana sekali itu, lepas itu, si A (bersumpah), kemudian si B pulak"... tak habis-habis kita (bersumpah)".

Dr Ashraf yang juga penyelidik kanan di sebuah akademi kewangan mengulas pandangan seorang hadirin dalam diskusi 'Hukum Qazaf dan Sumpah Menurut Syari'ah' di Dewan Pembangunan Belia Islam Taman Cemerlang Gombak, petang semalam.

'Hukum Qazaf dan Sumpah Menurut Syari'ah, ABIM seminarDiskusi tersebut dianjurkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan dihadiri kira-kira 70 orang.

Turut dijemput sebagai panel diskusi itu adalah tiga tokoh agama termasuk pengamal undang-undang iaitu Naib Presiden Wadah Pencerdasan Ummah (WADAH) Dr Abdul Halim El-Muhammady, wakil Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Dr Mohd Fauzi Zakaria dan Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syar'ie Malaysia (PPSM) Musa Awang.

Mengulas perkara yang sama, Musa (bersongkok) juga turut bersependapat dengan Ashraf bahawa Anwar yang juga ketua pembangkang tidak perlu bersumpah laknat seperti mana yang dituntut oleh pelbagai pihak.

"Kadang-kadang saya berfikir Datuk Seri Anwar perlu bersumpah untuk memulihkan moral, sebab moralnya sudah tercalar, orang sudah tuduh dia (berzina).

"Tetapi melihat dari segi konsep bersumpah, ia tidak perlu dilayan. Sumpah tidak perlu dibuat.

"Ini kerana, sumpah pada asalnya sudah tidak betul. Kenapa perlu menjawab sumpah yang tidak betul. (Dengan) cara dan tempat (bersumpah) tidak betul," katanya.

'Sumpah mubahalah bukan bagi kes jenayah syariah'

Malaysiakini.com
Mei 7, 2011, 8:52am

Timbalan Presiden Persatuan Syarie Malaysia (PPSM) Musa Awang berkata sumpah mubahalah hanya membabitkan isu yang berkaitan dengan akidah.

Tegasnya, sumpah tersebut tidak terdapat dalam kes dalam jenayah syariah yang antaranya berkaitan dengan kes liwat atau zina.

"Tidak ada sumpah dalam kes jenayah syariah kecuali sumpah 'qasamah' dalam jenayah membunuh.

"Maksudnya, dalam satu kes pembunuhan, tidak ada orang yang melihat (insiden itu) sedangkan keluarga yang dibunuh berkata si 'A' yang membunuh.

"Maka keluarga ini boleh sumpah 'qasamah' kata si A ini yang bunuh. Itu sahaja (sumpah) yang saya jumpa dalam kitab-kitab dan buku-buku... sumpah lain tak ada. Sumpah mubahalah lagi lah tak ada," katanya.



Menurutnya, sumpah mubahalah yang dimaksudkan itu berlaku ketika Nabi Muhammad SAW yang berdialog dengan orang Yahudi dan Nasrani mengenai keesaan Allah SWT.

Katanya, kedua-dua kumpulan itu tidak mempercayainya maka Nabi Muhammad mencabar mereka untuk bersumpah laknat (mubahalah) walaupun akhirnya mereka tidak menyahut cabaran baginda.

Musa berkata demikian pada diskusi 'Hukum Qazaf dan Sumpah Menurut Syari'ah' di Dewan Pembangunan Belia Islam Taman Cemerlang Gombak.

Diskusi tersebut dianjurkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan dihadiri kira-kira 70 orang.

Turut dijemput sebagai panel diskusi itu tiga tokoh agama dan ahli akademik iaitu Naib Presiden Wadah Pencerdasan Ummah (WADAH) Dr Abdul Halim El-Muhammady, pensyarah Prof Dr Ashraf Md Hashim dan wakil Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Dr Mohd Fauzi Zakaria.

Siapa beri idea?

Mengulas lanjut, Musa yang juga seorang pengamal undang-undang berkata beliau mempersoalkan pihak yang bertanggungjawab "memberi idea" untuk melakukan sumpah mubahalah dalam beberapa peristiwa sebelum ini.

"Siapa yang beri idea buat (sumpah mubahalah) ini... Saya tengok (ia bermula) dalam kes (Mohd) Saiful (Bukhari Azlan) dahulu.

"(Dalam) kes liwat atau zina, tidak ada sumpah (mubahalah). (Sumpah) yang lain adalah (yang) berkaitan dengan kes mal (harta).

"Ada banyak jenis sumpah, tetapi semuanya dalam kes mal (harta), (tetapi) bukan kes jenayah (syariah)," katanya sambil membaca jenis-jenis sumpah yang disyariatkan dalam Islam.

Mengulas mengenai isu qazaf (melempar tuduhan zina), Musa berkata orang yang dituduh berzina mestilah seorang muhsan iaitu orang yang baik dan bukannya seorang pelacur.

Kata lagi, pihak yang membuat tuduhan itu terhadap seseorang dikatakan mempunyai niat jahat sekiranya penuduh itu tidak mengemukakan empat orang saksi.

"Maka kita boleh kata dia membuat tuduhan dengan niat jahat," katanya.

Menurutnya lagi, mengikut seksyen 41 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan memperuntukkan orang menuduh seseorang yang melakukan zina perlu membawa membawa empat orang saksi.

Pada 29 April lalu, Datuk Shazryl Eskay Abdullah - seorang anggota trio Datuk T - melakukan sumpah laknat di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul berhubung isu video seks yang dikaitkan dengan seorang tokoh pemimpin pembangkang.

Dua lagi anggota iaitu bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Shuib Lazim turut hadir dalam majlis tersebut.

Trio itu bertanggungjawab menayangkan video seks tersebut kepada sekumpulan wartawan sebelum ini, yang memapar seorang lelaki yang didakwa mirip ketua pembangkang yang juga ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM

 Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM MUSA AWANG Oleh AIMAN ALI 19 Jun 2025, 4:58 pm PETALING JAYA: Persatuan Peguam S...