Tuesday, August 9, 2011

Perbaiki cara dakwah elak umat dipedaya


Peguam Syarie Menulis Berita Harian, 10/08/2011

Oleh Musa Awang

JKM, Baitulmal perlu ubah kaedah agih dana pastikan tiada tercicir

INSIDEN pemeriksaan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan polis terhadap sebuah gereja di Petaling Jaya mendedahkan sekali pengakuan orang Islam yang dipujuk secara berterusan untuk mendekati gereja walaupun selepas membuat keputusan untuk tidak lagi menerima bantuan kewangan dihulurkan.

Menurut pengadu, gereja itu akan menelefon dua hingga tiga kali sebulan untuk bertanyakan khabar dan masalah. Mereka turut menawarkan individu berkenaan dan anak tinggal di asrama yang disediakan di pusat ibadah itu dan sanggup menanggung segala keperluan termasuk persekolahan anak.

Individu terbabit pada mulanya sanggup menerima bantuan yang dihulurkan gereja bagi memastikan anak mereka meneruskan kehidupan, selepas gagal mendapat bantuan Baitulmal.

Minggu lepas, seorang rakan penulis bertemu satu keluarga malang yang bergelut dalam kepayahan hidup. Nasib malang keluarga ini dihidu dan dibantu persatuan Buddha sebanyak RM300 sebulan. Nasib baik iman dan pegangan agama keluarga ini utuh dan tidak mudah terpengaruh.

Jika terbukti benar dakwaan itu, ia adalah dakyah terancam yang perlu ditangani segera dengan menguatkuasakan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam yang sedia ada di kebanyakan negeri, sejak tahun 1988.

Kesalahan yang termaktub dalam enakmen itu ialah:

• Seseorang yang menyuruh, menyebabkan, memujuk, mempengaruhi, menghasut, menggalakkan atau membiarkan seseorang beragama Islam di bawah umur 18 tahun supaya menerima ajaran agama bukan Islam, atau supaya dia menyertai apa-apa istiadat, perbuatan menyembah, atau aktiviti keagamaan agama bukan Islam atau aktiviti yang dianjurkan untuk faedah suatu agama bukan Islam, maka ia adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM10,000 atau penjara selama tempoh satu tahun atau kedua-duanya (Seksyen 5).

• Seseorang yang mendekati orang Islam bertujuan mendedahkannya kepada apa-apa ucapan, pertunjukan, mengunjungi, mengatur, berusaha mengadakan suatu perjumpaan dengannya, atau menghubungi dengan telefon, bagi maksud mendedahkan orang itu kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan mengenai agama bukan Islam, juga adalah kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 atau penjara selama tempoh enam bulan atau kedua-duanya (Seksyen 6).
• Seseorang yang menghantar, menyerahkan, menyebabkan dihantar, diserahkan kepada seorang lain yang beragama Islam di dalam atau di luar negeri, atau dari luar negeri, menghantar atau menyerahkan kepada seorang yang beragama Islam di dalam negeri, apa-apa terbitan mengenai agama bukan Islam, atau bahan iklan bagi terbitan itu, yang mana tidak diminta oleh orang itu, juga adalah melakukan kesalahan yang boleh dikenakan denda RM3,000 atau penjara selama tempoh tiga bulan atau kedua-duanya (Seksyen 7).

• Seseorang yang membahagi-bahagikan di suatu tempat awam, apa-apa terbitan mengenai agama bukan Islam, menyerahkan salinan terbitan itu kepada seorang Islam, juga adalah melakukan kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 (Seksyen 8).

• Seseorang yang membuat apa-apa tulisan yang diterbitkan dalam apa-apa ucapan atau pernyataan terbuka, atau dalam suatu perhimpunan yang dirancang, atau dalam pernyataan yang diterbit atau disiarkan, menggunakan mana-mana perkataan yang khusus untuk umat Islam sebagaimana disenaraikan dalam Bahagian I Enakmen itu, atau terbitan atau virasinya, menyatakan atau memperihalkan sesuatu fakta, kepercayaan, idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara, atau hal mengenai atau berkaitan dengan sesuatu agama bukan Islam adalah suatu kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 (Seksyen 9).

Sesiapa yang disyaki melakukan kesalahan ini boleh ditangkap tanpa waran. Sebagai umat Islam, kita melenting kalau ada ancaman dakwah daripada agama lain. Tetapi kita perlu sedar bahawa itu adalah strategi proaktif mereka.

Kita perlu menilai adakah strategi dakwah kita dapat menyaingi mereka atau kita hanya berpeluk tubuh dan mengharapkan hidayah Allah? Adakah kita hendak menyalahkan pihak gereja yang me ngambil inisiatif membantu mereka dalam kesusahan tanpa perlu melalui proses tapisan ketat?

Kebenaran dakwaan ada masyarakat susah menerima sumbangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Baitulmal perlu dilihat dari aspek positif bahawa masih ada kelemahan sistem yang diguna pakai sekarang.

JKM dan Baitulmal perlu mengkaji kaedah mengumpul data dan maklumat masyarakat fakir miskin serta menambah baik kaedah pengagihan dana kebajikan kepada masyarakat layak menerimanya, supaya tidak ada lagi masyarakat Islam tercicir, yang akhirnya dipujuk pihak tertentu untuk menerima bantuan dari gereja.

Baitulmal perlu lebih agresif mencari punca dan masalah kenapa ada pihak yang susah mendapatkan bantuan kerana dana yang dipegang badan itu adalah amanah seluruh umat Islam yang mengeluarkan zakat.

Pengajaran boleh diambil dari sejarah Islam, diriwayatkan bahawa pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab, beliau sanggup memikul gandum untuk diagihkan kepada orang miskin kerana mengambil berat tanggungjawabnya menjaga kebajikan umat Islam.

Pada zaman Khalifah Umar Abd Aziz pula, wang zakat tidak dapat diagihkan kepada umat Islam kerana kemiskinan sifar, yakni tiada orang memerlukan wang zakat lalu ia digunakan untuk memerdekakan hamba abdi di Eropah.

Pihak yang diamanahkan menjaga kebajikan umat Islam di negara ini perlu membuat transformasi cara kerja secepat mungkin bersesuaian kehendak semasa, mengurangkan birokrasi dan lebih praktikal. Sebagai pembayar zakat, sudah pasti kita mahukan perubahan ini berlaku segera.

Wednesday, July 27, 2011

Tukar Jantina Perlu Fikirkan Dari Semua Aspek


Peguam Syarie Menulis : Tukar Jantina Perlu Fikirkan Dari Semua Aspek

Oleh Tuan Musa Awang
Berita Harian 27/7/2011

KISAH Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 25, yang memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk menukar nama dalam MyKad dan Sijil Kelahiran kepada nama wanita Aleesha Abdul Aziz, selepas menjalani pembedahan menukar jantina dua tahun lalu menghiasi dada akhbar minggu lalu.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menolak permohonan itu selepas mengambil kira tiga faktor iaitu kromosom, kewujudan alat kelamin ketika pemohon dilahirkan dan kewujudan organ dalaman.
Mohd Ashraf Hafiz dilaporkan telah membuat pembedahan menukar jantina di Hatyai, Thailand pada 2009 selepas disahkan layak dari segi psikologi oleh Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur.
Permohonan itu dibuat bagi memudahkannya diterima masuk ke universiti tempatan bagi menyambung pelajaran dan kesukarannya menjalani kehidupan sebagai wanita dengan status lelakinya.

Kisah itu menimbulkan kemarahan masyarakat tidak kurang juga ada yang bersimpati. Persoalannya adakah simpati mampu mengubah hukum Allah?

Ulama sepakat perbuatan menyerupai wanita melalui cara berpakaian, gaya dan tingkah laku berdosa besar apatah lagi mengubah anggota menjadi anggota wanita.

Perbuatan menukar jantina sama ada lelaki kepada perempuan atau sebaliknya adalah dilaknat, haram, berdosa besar dan fasik sehinggalah seseorang itu bertaubat nasuha. Allah mencipta manusia sebaik-baik kejadian berbanding makhluk lain.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami ciptakan manusia dengan sebaik-baik bentuk.” (Surah at-Tiin, ayat 4)

Allah juga memberi peringatan mengenai tipu daya dan hasutan syaitan untuk mengubahsuai ciptaan Allah seperti mana firman-Nya bermaksud: “Dan demi sesungguhnya aku akan sesatkan mereka dan Kuperdayakan mereka dengan angan-angannya serta Kusuruh mereka memotong telinga ternak (untuk berhala) dan kusuruh mereka supaya mengubah makhluk Allah. Dan barang siapa mengambil syaitan menjadi wali (panduan), selain Allah sesungguhnya dia rugi dengan kerugian nyata.” (Surah An-Nisa’, ayat 119)

Ibnu Abbas meriwayatkan, “Rasulullah melaknat lelaki menyerupai atau berlagak seperti wanita dan wanita menyerupai atau berlagak seperti lelaki.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak memberikan fatwa penukaran jantina lelaki kepada perempuan melalui pembedahan bertentangan dengan Islam kerana Allah melarang mengubah kejadian-Nya.

Syarak hanya memberi pengecualian kepada golongan khunsa musykil untuk menentukan jantina melalui pembedahan, dengan syarat disokong keterangan pakar dalam bidang itu. Khunsa musykil mempunyai dua alat kelamin dan air kencing keluar serentak dari kedua-dua alat itu.

Jantina sukar dibezakan atau hanya dapat dibezakan selepas baligh. Jantina mereka dapat ditentukan dari mana tempat mula keluar air kencing atau kuantiti paling banyak atau paling akhir berhenti.

Ia juga boleh ditentukan selepas baligh dengan tanda dikenal pasti sama ada memiliki ciri kewanitaan (datang haid) atau kelelakian (tumbuh janggut dan misai).

Kelonggaran diberikan ini adalah ‘maslahah’ atau demi kebaikan bagi membolehkan individu itu menjalani kehidupan dengan baik dan melaksanakan tanggungjawab sebagai Muslim secara sempurna.

Jika penukaran jantina dibenarkan, pelbagai masalah akan timbul serta merosakkan ibadat bukan saja kepada diri sendiri malah orang lain. Status pernikahan individu asalnya lelaki dengan lelaki lain pasti menimbulkan implikasi besar.

Bagi yang tidak berkahwin, dosa kian bertambah apabila mereka menjadikan pasangan lelaki sebagai teman sosial atau merelakan hubungan seks songsang berlaku.

Dalam ibadat, akibat penukaran jantina, bagaimana mereka hendak melakukan sembahyang mengikut cara wanita sedangkan mereka adalah lelaki. Begitu juga jika mereka ingin sembahyang berjemaah, di manakah saf sepatutnya, bersama jemaah lelaki atau wanita?

Bagaimana pula jika mereka berada dalam jemaah wanita dan berlaku sentuhan dengan wanita lain, sedangkan jemaah tidak mengetahui dia sebenarnya lelaki? Tambah buruk lagi apabila wanita lain mendedahkan aurat kerana menyangka mereka wanita, walhal auratnya masih dalam hukum asal aurat wanita terhadap lelaki. Begitu juga masalah mengerjakan haji atau umrah.

Apabila meninggal dunia, jenazah mereka masih perlu disemadikan sebagai lelaki. Tambah menyeksakan, jenazah terpaksa dibedah semula bagi membuang alat kelamin wanita. Ditambah pula pelbagai penyakit timbul selepas melakukan pembedahan menukar jantina.

Alasan naluri mahu jadi perempuan tidak boleh diterima bagi mengharuskan perbuatan yang dilaknat itu. Kehidupan yang aman dan bahagia boleh dicapai dengan menerima qada dan qadar Allah dengan hati tenang.

Tujuan kita hidup adalah untuk mengambil hikmah dari setiap kejadian. Menyesali rupa bentuk atau keadaan tubuh badan sedia ada adalah perkara yang boleh meruntuhkan keimanan terhadap Allah, dan ia adalah tipu daya syaitan.

Tuesday, July 12, 2011

Hibah bantu ekonomi, semai kasih sayang


Peguam Syarie Menulis: Hibah bantu ekonomi, semai kasih sayang

Oleh Tuan Musa Awang

Berita Harian 2011/07/13

Pemilik boleh beri harta secara sukarela ketika hidup tanpa harapkan balasan

HIBAH mungkin suatu yang asing dan jarang di dengar masyarakat Islam di negara ini berbanding zakat, sedekah, hadiah, wakaf atau wasiat. Namun, hibah bukanlah instrumen kewangan yang baru kerana sudah wujud sejak awal Islam lagi.

Hibah ialah suatu akad mengandungi pemberian milik seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan (iwad). Hibah diberi atas dasar kasih sayang sesama manusia.

Hibah dibolehkan sama ada kepada ahli keluarga (waris) atau bukan ahli keluarga, hatta kepada bukan Islam. Islam juga tidak menetapkan kadar atau had tertentu bagi harta yang hendak dihibahkan kerana harta yang hendak dihibahkan daripada milik pemberi hibah.

Terpulanglah kepada pemberi hibah membuat pertimbangan terhadap kadar harta yang ingin dihibahkan. Walaupun begitu, jika harta hendak dihibahkan kepada anak-anak, Islam menggalakkan ia dibuat secara adil.

Jumhur ulama Hanafi, Maliki dan Syafie berpendapat, sunat menyamakan pemberian antara anak. Melebihkan pemberian kepada seorang daripada mereka adalah makruh hukumnya, walaupun pemberian itu sah. Menurut mazhab Hanbali, keadilan dalam pemberian hibah kepada anak adalah perkara yang wajib.

Sesuatu akad hibah tidak akan terbentuk melainkan selepas memenuhi empat rukun hibah iaitu pemberi hibah (al-Wahib); penerima hibah (al-Mawhub lahu); barang atau harta yang dihibahkan (al-Mawhub) dan sighah iaitu ijab dan kabul. Setiap rukun itu pula mempunyai syarat tertentu.

Disyaratkan pemberi hibah hendaklah seorang yang berkeahlian, sempurna akal, baligh, mestilah tuan punya barang yang dihibahkan dan mempunyai kuasa penuh ke atas hartanya. Penerima hibah pula boleh terdiri daripada sesiapa saja asalkan dia mempunyai keupayaan memiliki harta.

Penerima hibah yang belum akil baligh, kanak-kanak atau kurang upaya, hibah boleh dibuat melalui walinya atau pemegang amanah bagi pihaknya. Penerima hibah juga disyaratkan boleh memegang, menguasai atau mengawal harta dihibahkan.

Barang atau harta yang hendak dihibah hendaklah barang atau harta yang halal, mempunyai nilai di sisi syarak, milik pemberi hibah, boleh diserah milik dan benar-benar wujud semasa dihibahkan.

Barang atau harta yang masih bercagar (seperti rumah) boleh dihibahkan jika mendapat keizinan daripada penggadai atau peminjam. Manakala, sighah hibah disyaratkan ada persamaan antara ijab dan qabul serta tidak bersyarat.

Menurut mazhab Syafie dan Abu Hanifah, penerimaan barang (al-qabd) adalah syarat sah hibah. Al-qabd bermaksud mendapat sesuatu, menguasainya dan boleh melakukan tasarruf terhadap barang atau harta itu.

Ertinya, akad hibah tidak sempurna dan tidak berkuat kuasa jika sekadar ada ijab dan kabul semata-mata, melainkan selepas berlaku penerimaan barang oleh penerima hibah. Oleh itu, pemberi hibah berhak menarik balik hibah selama mana harta berkenaan berada dalam pemilikannya.

Jika berlaku kematian antara salah satu pihak sebelum penerimaan barang, maka hibah terbatal.

Bagi harta tak alih seperti rumah dan tanah, al-qabd boleh berlaku dengan cara mengosongkan harta itu, menguasainya dan melakukan tasarruf terhadap harta seperti menyerah kunci dan seumpamanya. Bagi harta alih pula, al-qabd boleh berlaku dengan cara mengambil harta itu, memindah atau mengasingkan harta dengan harta lain.

Satu kelebihan hibah berbanding wasiat, seorang boleh menghibahkan hartanya kepada waris atau seseorang lain semasa dia masih hidup dan jumlahnya tidak terhad. Berbanding wasiat, kadar yang boleh diwasiatkan terhad satu pertiga daripada keseluruhan harta dan tidak boleh mewasiatkan harta kepada waris yang berhak menerima pusaka kecuali dengan persetujuan waris lain.

Deklarasi hibah perlu dibuat secara bertulis, dengan khidmat peguam syarie bertauliah, supaya dokumen itu tidak berlawanan dengan hukum syarak dan undang-undang. Hibah secara bertulis atau sempat dilaksanakan semasa pemberi hibah masih hidup mungkin tidak mendatangkan masalah.

Jika isu mengenai hibah timbul selepas pemberi hibah mati dan hibah tidak dibuat secara bertulis, pengesahan status hibah perlu di buat di Mahkamah Syariah. Masalah mungkin timbul ialah saksi tidak cukup, saksi sudah meninggal dunia atau kesaksian yang tidak konsisten.

Hibah dapat membantu ekonomi umat Islam, merapatkan ikatan persaudaraan dan pertalian kasih sayang sesama insan. Konsep hibah wajar disuburkan kembali dalam kehidupan masyarakat masa kini.

Kata orang, harta tidak boleh dibawa mati. Namun, disebabkan harta yang tidak diurus dengan baik berdasarkan peraturan dan hukum Allah semasa hidup, maka roh si mati tidak aman di alam kubur, lantaran waris yang masih hidup berebut sesama sendiri.

INFO

HIBAH
•Hibah dibolehkan sama ada kepada ahli keluarga (waris) atau bukan ahli keluarga, hatta kepada bukan Islam.
•Jika harta hendak dihibahkan kepada anak, Islam menggalakkan ia dibuat secara adil.
•Empat rukun hibah iaitu pemberi hibah (al-Wahib); penerima hibah (al-Mawhub lahu); barang atau harta yang dihibahkan (al-Mawhub) dan sighah iaitu ijab dan kabul. Setiap rukun itu pula mempunyai syarat tertentu.
•Penerima hibah yang belum akil baligh, kanak-kanak atau kurang upaya, hibah boleh dibuat melalui walinya atau pemegang amanah bagi pihaknya.
•Barang atau harta yang hendak dihibah hendaklah barang atau harta yang halal.


Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi melalui e-mel maa46050@yahoo.com

Friday, July 8, 2011

Insentif poligami: Hanya layan suami daftar di Mahkamah Syariah

Insentif poligami: Hanya layan suami daftar di Mahkamah Syariah

Oleh Latifah Kasmuri
Malaysia Insider

Jun 24, 2011 KUALA LUMPUR, 24 Jun — Persatuan Peguam Syarie Malaysia menggesa insentif kepada pengamal poligami dikhususkan kepada suami-suami yang memohon atau berdaftar menerusi Mahkamah Syariah sahaja.

Timbalan presidennya Musa Awang berkata, permohonan poligami di mahkamah dapat mengurangkan kes suami yang bernikah lain di negara luar semata-mata kerana mahu mengelak diketahui isteri masing-masing.

“Hanya yang berdaftar di mahkamah sahaja boleh diberikan insentif, itu pun setelah memenuhi syarat yang ditetapkan.

“Jangan sesekali memberi insentif tersebut kepada mereka yang bernikah lebih dari satu di selatan Thailand atau Indonesia,” kata Musa kepada The Malaysian Insider.

Baru-baru ini, kerajaan PAS Kelantan menimbang cadangan untuk memberi insentif kepada pengamal poligami yang mampu menguruskan isteri dan keluarga dengan baik mengikut Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri Wan Ubadaidah Omar berkata, insentif perlu diberi mengikut syarat yang ditetapkan.

“Ketua keluarga perlu mengisytiharkan isteri masing-masing dan membawa mereka ke dalam masyarakat,” katanya.

Mengulas lanjut Musa berkata, insentif semikian dapat memberi jaminan dan hak-hak yang dapat dituntut wanita sebagai isteri yang berkongsi suami.

“Permohonan poligami melalui mahkamah, isteri pertama atau yang sedia ada akan dimaklumkan hasrat suami dan isteri boleh menuntut hak sebagai isteri pertama.

“Hak mereka termasuklah nafkah isteri yang tetap, giliran bermalam, tempat tinggal, nafkah anak dan nafkah sepencarian,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, Musa menyokong pendapat idea pemberian insentif ini merupakan satu cadangan yang baik.

Jelasnya, ini akan menggalakkan suami mengisytiharkan perkahwinan dengan isteri pertama, kedua, ketiga atau keempat kepada orang ramai.

“Bukan sekadar mengisytiharkan tetapi juga mengelakkan timbul salah faham,” ujar Musa.

Ketua Muslimat PAS pusat, Siti Zailah Mohd Yusuf berkata, insentif seumpama itu perlu diberi kepada mereka yang mengamalkan poligami secara sihat.

Jelasnya, poligami secara sihat adalah selaras dengan kehendak Islam dan suami yang berpoligami perlu bersifat amanah, bertanggungjawab dan paling penting memiliki keadilan.

“Buat apa diberi insentif jika suami tidak dapat berlaku adil? Ini akan memburukkan lagi keadaan memandangkan institusi kekeluargaan sudah cukup teruk. Setiap 15 minit ada pasangan bercerai,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, insentif ini secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah ibu tunggal.

“Apabila insentif diberi kepada suami khusus kepada suami yang berpoligami dengan ibu tunggal, ia dapat membela nasib mereka dan anak-anak,” ulasnya lanjut.

Wednesday, July 6, 2011

Memantap peranan sistem guaman, perundangan Islam


Peguam Syarie Menulis: Memantap peranan sistem guaman, perundangan Islam
Oleh Tuan Musa Awang

2011/06/29
Pelbagai isu dibincang pada konvensyen peguam syarie

MUTAKHIR ini peranan peguam syarie dalam masyarakat semakin bertambah penting. Peguam syarie adalah individu yang bertanggungjawab membantu Mahkamah Syariah dalam pengendalian dan perbicaraan kes syariah sama ada kes mal atau jenayah.

Peguam syarie juga bertanggungjawab kepada anak guam yang memerlukan perwakilan supaya kes mereka dapat segera diselesaikan terutama kes perceraian, penjagaan anak dan tuntutan harta sepencarian.

Meskipun begitu, masih ramai yang tidak menyedari kepentingan peguam syarie sebagai ejen penting dalam mencari keadilan di Mahkamah Syariah serta sebagai penghubung antara pihak-pihak dengan institusi perundangan dan kehakiman.

Tidak kurang juga ada yang melihat profesion ini berkisar kepada keuntungan wang ringgit semata-mata, berbanding khidmat ditawarkan. Sehubungan itu, kepeguaman syarie hendaklah difahami dengan lebih meluas oleh masyarakat supaya persepsi tidak tepat dapat diperbetulkan.

Dalam pada itu, kepeguaman syarie juga hendaklah seiring dengan pacuan transformasi perundangan dan kehakiman supaya prospek pembangunan sumber, kerjaya, cabaran peguam syarie menepati aspirasi rakyat, negara serta rantau ASEAN.

Mutakhir ini juga, pelbagai isu baru timbul dalam perundangan syariah di negara ini antaranya isu sebatan syariah terhadap wanita, Hakim Syarie wanita, isu penerimaan bukti material seperti video seks dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dalam sabitan jenayah syariah.
Isu sumpah laknat, qazaf juga menjadi polemik dalam masyarakat yang memerlukan pencarian kaedah penyelesaian menepati kehendak syarak dan realiti perundangan semasa.

Dalam kalangan peguam syarie sendiri, isu penyeragaman kaedah penerimaan masuk, kelayakan, tatatertib dan yuran peguam syarie masih menjadi dilema dan persoalan yang belum ada jawapannya.

Memahami keperluan untuk mencari kata putus serta pemahaman yang jelas, satu konvensyen mengumpulkan semua peguam syarie akan diadakan pada 1 Julai 2011, bertempat di Grand Ballroom, Hotel Grand Seasons, Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Perhimpunan kali ini lebih bermakna apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan merasmikan Konvensyen Peguam Syarie Kali Ke-2 dan bertemu kira-kira 1,300 peguam syarie, pegawai syariah, pegawai jabatan agama Islam dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari seluruh negara.

Konvensyen ini anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dengan tema ‘Guaman Syarie: Prospek Pengukuhan Institusi Kehakiman Syariah di Malaysia Menjelang 2020’.

Program ini bertujuan memantapkan peranan sistem kepeguaman dan perundangan Islam supaya mampu menjadi penyelesai kepada permasalahan umat Islam selaras tuntutan Islam, di samping memperkasa keupayaan kredibiliti institusi perundangan, kehakiman dan kepeguaman syarie.

Konvensyen ini akan menjadi bukti kesungguhan kerajaan menjaga kedaulatan agama Islam serta memelihara kemaslahatan dan kebajikan umat Islam di negara ini. Program sehari ini juga usaha memartabatkan kepeguaman, kehakiman, perundangan dan pentadbiran Islam.

Wakil peguam syarie dari Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura akan membentangkan kertas kerja mengenai aspek kepeguaman syarie di negara masing-masing selain forum bertajuk ‘Peguam Syarie: Isu, Cabaran dan Kemana?’ oleh panel berpengalaman luas dan berkaliber.

Konvensyen ini dilihat bakal menjadi forum sesuai untuk semua peguam syarie seluruh negara berbahas dan berbincang bagi tujuan mentransformasikan profesion guaman syarie dan meninjau prospek pengukuhan institusi kehakiman syariah di Malaysia menjelang 2020.

Kali pertama semua peguam syarie seluruh negara dikumpulkan dalam satu konvensyen adalah pada 14 Jun 2008, bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya, (PICC) yang dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Konvensyen itu berjaya mengumpulkan 700 peserta terdiri daripada peguam syarie, pelajar IPT, pegawai syariah seluruh Malaysia dan wakil dari Brunei Darussalam.

Diharap semua peguam syarie seluruh negara tidak melepaskan peluang untuk hadir pada perhimpunan terbesar peguam syarie ini. Pendaftaran boleh dibuat secara online di laman http://bit.ly/lvvu54 atau di laman http://peguamsyariemalaysia.blogspot.com atau menghubungi Sekretariat Konvensyen di talian 03-88864800 (4627/4614/4725).

Penulis ialah Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi melalui e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com

Tuesday, July 5, 2011

Selaraskan kawal selia peguam syarie



Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my

30 Jun 2011

WALAUPUN usia penubuhannya baru menjangkau 10 tahun namun Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kini dalam usaha menambah baik mutu kebajikan dan memperjuangkan nasib serta kepentingan 400 orang ahlinya.

Demi mencapai sasaran itu, PGSM yang ditubuhkan pada 2001 akan membincangkan pelbagai isu berbangkit pada Jumaat ini dalam Konvensyen Peguam Syarie Kali Ke-2 yang akan berlangsung di Grand Ballroom, Hotel Grand Seasons di Kuala Lumpur.

Konvensyen anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dan PGSM itu akan dirasmikan buat julung kalinya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam konvensyen tersebut antara topik yang akan dibincangkan adalah isu penerimaan masuk peguam, kelayakan dan tata terbit serta prosedur ketat kerana ia merumitkan tugas para peguam.

Pemangku Presiden PGSM, Musa Awang berkata, antara persoalan yang masih belum ada jawapannya adalah berkenaan isu penyatuan kaedah penerimaan masuk, kelayakan, tatatertib dan yuran peguam syarie.

''Satu Malaysia, sepatutnya hanya ada satu undang-undang yang mengawal selia peguam syarie. Tetapi apa yang berlaku pada masa kini, terdapat 12 undang-undang atau peraturan yang terpakai bagi mengawal selia hal ehwal peguam syarie dari aspek kemasukan, kelayakan dan hal tatatertib adalah ditentukan oleh kaedah-kaedah negeri yang diwujudkan berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri atau Enakmen Mahkamah Syariah negeri-negeri.

''Adalah lebih kemas sekiranya penerimaan masuk peguam syarie dapat diselaraskan di seluruh Malaysia, keputusan dibuat di satu "centre", supaya tidak tidak timbul kekeliruan, memudahkan peguam syarie untuk beramal di setiap negeri tanpa melalui proses temu duga di banyak tempat,'' jelas Musa.

Selain itu, isu kelayakan penerimaan masuk yang berbeza antara negeri menyebabkan tahap profesional sesetengah peguam syarie dipersoalkan kerana ada negeri mempunyai syarat kelayakan yang longgar sementara di negeri lain pula mempunyai syarat yang ketat.

Musa berkata, pihaknya akan menyentuh juga etika peguam syarie yang tiada peruntukan khusus mengenai tatatertib serta kod etika seragam kerana yang ada cuma bersifat pentadbiran semata-mata tanpa kuat kuasa undang-undang.

Sudah lama kata Musa, peguam syarie mengidamkan Akta Peguam Syarie peringkat nasional, supaya boleh diadakan suatu Majlis Peguam Syarie yang mempunyai peranan atau fungsi sama atau hampir sama seperti Majlis Peguam Malaysia yang ditubuhkan di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976.

Kini sudah tiba masanya kedudukan dan martabat peguam syarie sebagai pihak yang membantu melicinkan perjalanan proses keadilan di mahkamah syariah dipertingkatkan setanding kedudukan peguam cara dan peguam bela di Mahkamah Sivil, kata Musa dengan penuh harapan.

Beliau menambah, akta khusus ini juga diharapkan, dapat memudahkan urusan mengawal peguam syarie yang terbabit salah laku seperti menipu anak guam, membawa pembuktian palsu, mengenakan caj tidak munasabah dan sebagainya.

Konvensyen yang bertemakan ''Guaman Syarie: Prospek Pengukuhan Institusi Kehakiman Syariah Di Malaysia Menjelang 2020'' itu juga menurut Musa mempunyai objektif, antaranya untuk memperkasakan keupayaan kredibiliti institusi perundangan, kehakiman dan kepeguaman syarie serta mekanisme yang berkaitan dengan syariat Islam.
Selain itu, ia juga merupakan usaha pengukuhan menjaga kedaulatan agama Islam serta memelihara kebajikan umat Islam di negara ini.

Monday, June 27, 2011

SERUAN KEPADA SEMUA PEGUAM SYARIE

Konvensyen Peguam Syarie Malaysia Kali Ke-2 –

Pada Jumaat, 1 Julai, 2011 jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang bertempat di GrandBall Room, Hotel Grand Season,Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Konvensyen ini adalah anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Tema Konvensyen - “Guaman Syarie : Prospek Pengukuhan Institusi Kehakiman Syariah Di Malaysia Menjelang 2020”.

Objektif-objektif Konvensyen seperti berikut :-

• Memantapkan peranan sistem kepeguaman dan perundangan Islam agar mampu menjadi penyelesai kepada permasalahan umat Islam selaras dengan tuntutan Islam

• Memperkasakan keupayaan kredibiliti institusi perundangan, kehakiman dan kepeguaman syarie serta mekanisma yang berkaitan dengan syariat Islam.

• Pengukuhan usaha menjaga kedaulatan agama Islam serta memelihara kemaslahatan dan kebajikan umat Islam di Negara ini.

• Pembugaran inisiatif yang menjadi teras kesinambungan usaha memartabatkan kepeguaman, kehakiman, perundangan dan pentadbiran Islam.

YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak akan merasmikan Konvensyen ini, pada petang tarikh tersebut.

Melibatkan penyertaan seramai lebih 1300 hingga 1500 orang Peguam Syarie, Pegawai Syariah, pegawai jabatan agama Islam, pelajar IPT dan lain-lain yang datang dari seluruh Negara. Penyertaan juga terbuka kepada orang awam dan sesiapa sahaja yang berminat. Yuran penyertaan RM90.00 seorang.

Juga akan menyaksikan wakil peguam syarie dari Malaysia, negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura akan membentangkan kertas kerja tentang aspek kepeguaman Syarie di negara masing-masing.

Manakala di sebelah petangnya pula akan diadakan Majlis Forum dengan tajuk “Peguam Syarie : Isu, Cabaran dan Kemana?” dengan barisan panel dari kalangan peguam syarie berpengalaman luas dan berkaliber.

Di penghujung Konvensyen ini juga, satu resolusi konvensyen akan dibuat dan disampaikan kepada Perdana Menteri.

Maka, PGSM dengan ini MENYERU kepada semua Peguam Syarie seluruh Negara agar tidak melepaskan peluang yang jarang-jarang sekali muncul ini, dengan hadir beramai-ramai di perhimpunan terbesar Peguam Syarie pada 1 Julai ini.

Pendaftaran boleh dibuat secara online di laman

- http://bit.ly/lvvu54
- http://peguamsyariemalaysia.blogspot.com.
atau datang terus mendaftar pada pagi 1 Julai 2011 di tempat berkenaan.

Sebarang maklumat lanjut boleh hubungi Sekretariat Konvensyen, di talian : 03-88864800 - 4627/4614/4725.

Sekian untuk siaran.

Terima kasih.

“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak”

Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM

 Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM MUSA AWANG Oleh AIMAN ALI 19 Jun 2025, 4:58 pm PETALING JAYA: Persatuan Peguam S...