Tuesday, June 7, 2011

Qazaf, bila diperlukan?


Utusan Malaysia
Khamis, 08 Jun 2011.

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my

DALAM keghairahan segelintir pihak menuntut supaya pertuduhan qazaf dikenakan terhadap trio Datuk 'T' selepas membuat pendedahan rakaman aksi seks yang menjurus kepada perbuatan zina, kita mungkin terlupa bahawa ia bukannya suatu perkara yang mudah untuk dilakukan.

Sebagai serangan balas, ada pihak yang memfailkan pertuduhan qazaf terhadap bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim yang didakwa telah mendedahkan rakaman aksi seks itu kerana ia mengandungi unsur tuduhan zina terhadap pemimpin pembangkang tersebut.

Jika dilihat daripada pengertian bahasa, qazaf adalah melontar sesuatu sama ada batu atau seumpamanya tetapi dalam istilah syarak, qazaf bermakna menuduh orang yang baik, berzina atau pun menafikan nasab keturunannya seperti menuduhnya sebagai anak luar nikah dan sebagainya.

Dalil utama Islam mengharamkan perbuatan qazaf adalah berdasarkan firman Allah dalam surah An-Nur ayat 4 yang bermaksud: ''Mereka yang menuduh wanita- wanita yang baik melakukan zina kemudiannya tidak dapat mengemukakan empat orang saksi yang adil maka pukullah mereka itu dengan sebatan 80 kali dan janganlah terima kesaksian mereka sama sekali kerana mereka itulah orang-orang yang fasik (pendusta).''

Keperluan membawa empat orang saksi ini semata-mata untuk menegah daripada membuat tuduhan melulu yang berlandaskan niat jahat kerana orang yang menuduh perlu menyediakan bukti lengkap yang mampu menyokong pertuduhannya.

Kewajipan berbuat demikian diperjelaskan oleh peguam syarie berpengalaman lebih 13 tahun, Musa Awang (gambar) dengan memetik sebuah hadis riwayat Ahmad, Muslim dan an-Nasa'i, sabda Rasullullah SAW kepada Hilal bin Umayyah yang telah menuduh isterinya berzina dengan Syarik bin Syahma.

Menurut Musa, Baginda menyuruh Hilal supaya membawakan empat orang saksi sebagai bukti kebenaran tuduhan tersebut, jika tidak, Hilal akan dikenakan hukuman had (qazaf).

Dalam kes ini, sekiranya si penuduh dapat mengemukakan empat orang saksi tersebut, maka si penuduh tidak boleh dikenakan qazaf.

Musa berkata, keperluan betapa pentingnya empat orang saksi dalam mensabitkan kesalahan zina kerana ia suatu perkara yang keji dan amat dihina oleh Islam serta hukumannya dalam Islam, boleh membawa kepada kehilangan nyawa orang yang dituduh, iaitu direjam sehingga mati atau disebat 100 kali.

Sehinggakan, katanya, dalam satu hadis sahih Muslim daripada Abu Hurairah diriwayatkan bahawa Saad bin Ubadah bertanya kepada Rasulullah SAW jika dia (Saad) terserempak dengan isterinya sedang berzina dengan seorang lelaki, adakah dia masih perlu menunggu sehingga terdapat empat orang saksi? Rasulullah SAW menjawab ''Ya''.

Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) itu bagaimanapun membangkitkan persoalan, bilakah masanya tuduhan qazaf hendak dilakukan.
Adakah sebaik sahaja si pengadu membuat tuduhan, dia terus boleh dikenakan dakwaan qazaf? Atau apabila si pengadu membuat tuduhan dan kemudian dikehendaki mengemukakan empat orang saksi, tetapi dia gagal mengemukakannya, kemudian barulah dia dikenakan dakwaan qazaf?

Bagi mengupas persoalan tersebut, peguam itu lebih selesa membawakan satu senario yang dihadapi oleh Saidina Umar al- Khattab dalam kes Al-Mughirah Ibnu Shu'bah. Suatu tuduhan telah dibuat terhadap Al-Mughirah bahawa beliau didakwa telah berzina dengan Ummu Jamil.

Musa berkata, tiga orang saksi - Abu Bakrah ibn Masruh, Shabl bin Mu'abbad dan Nafi' ibn Harith telah membuat kesaksian di hadapan Umar bahawa Al-Mughirah telah berzina dengan Ummu Jamil, tetapi saksi keempat, Ziyad ibn Ubaid tidak membuat kesaksian. Dalam keadaan begitu, Umar telah mengenakan hukuman qazaf atas mereka bertiga.
Kisah tersebut, menurut Musa, menerangkan bahawa apabila suatu tuduhan zina dibuat, maka hakim dalam suatu majlis kehakiman, perlu memanggil semua saksi yang berkenaan untuk memberikan keterangan sama ada secara serentak ataupun secara berasingan.
Dalam kisah tersebut, Saidina Umar telah bertindak sebagai hakim, dan orang yang dituduh (Al-Mughirah) hadir sekali dalam majlis tersebut.

Peguam itu berkata, Mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali menyatakan bahawa dalam kes tuduhan zina, kehadiran semua saksi perlu dilakukan serentak dalam suatu tempat, sebagai syarat untuk mengesahkan kesaksian mereka.

Ini bermakna, sekiranya mereka hadir secara berasingan, maka kesaksian mereka tidak boleh diterima bahkan jika sebahagiannya tiba setelah hakim beredar maka kesaksian mereka juga perlu ditolak dan si pengadu, boleh dikenakan hukuman qazaf.
''Jadi berdasarkan riwayat ini, saya berpendapat bahawa pertuduhan zina ke atas tertuduh dan saksi-saksi perlu dikemukakan terlebih dahulu dalam suatu majlis kehakiman. Sekiranya ia gagal dibuktikan, maka pengadu boleh dikenakan hukuman qazaf. Dengan kata lain, qazaf tidak wajar dibuat terlebih dahulu, sehingga terbukti bahawa tuduhan zina itu adalah palsu,'' ujar beliau.

Musa menambah, mengenakan qazaf serta-merta apabila seseorang membuat aduan tentang perlakuan zina adalah suatu yang silap.

''Kalau begitu sampai bila-bila kita tidak akan dapat mencegah kesalahan zina daripada berlaku dalam masyarakat. Sesiapa yang mengadu tentang zina terus hendak dikenakan qazaf. Mungkin tuduhan itu palsu, dan mungkin juga benar,'' katanya.
Oleh sebab itu, setelah aduan dibuat, disiasat dan mempunyai cukup bukti, maka dakwaan di mahkamah perlu dibuat ke atas orang yang dituduh.

Jika si pengadu tidak dapat membawakan empat orang saksi sebagaimana dikehendaki syarak, maka dia selepas itu boleh didakwa atas kesalahan qazaf. Pertuduhan zina dan pertuduhan qazaf dibuat secara berasingan kerana melibatkan tertuduh yang berbeza.
Qazaf bukanlah suatu teknik untuk melepaskan diri tetapi ia termasuk dalam kategori kesalahan hudud seperti juga kesalahan zina. Si pesalah qazaf boleh dikenakan hukuman sebatan sebanyak 80 kali.

''Cuma undang-undang syariah yang ada di negara kita hari ini sahaja yang memperuntukkan hukuman takzir bagi kesalahan qazaf.

''Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, menyebutkan mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan, mengikut hukum syarak, empat orang saksi lelaki atau ikrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

''Bagaimanapun hasil pemerhatian dan maklumat yang saya peroleh daripada pihak pendakwaan syariah, setakat ini belum pernah ada kesalahan qazaf didakwa di Mahkamah Syariah,'' kata Musa.

Sunday, May 8, 2011

Ulama, akademik kata Anwar tak perlu sumpah


Malaysiakini.com
Mei 7, 2011. 8:30am

Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa agar tidak melayan tuntutan sumpah balas berhubung isu video seks yang dikaitkan dengan dirinya.

'Hukum Qazaf dan Sumpah Menurut Syari'ah, ABIM seminarMenurut ahli akademik Prof Dr Ashraf Md Hashim (tengah) gesaannya itu bertujuan mendidik masyarakat khususnya umat Islam berhubung isu bersumpah laknat yang berulang-kali berlaku di kalangan masyarakat

"(Pertama) kalau ikut syara' tidak perlu (bersumpah) dan ia tidak dituntut oleh syara' kerana dalam (jenayah) hudud, tidak ada sumpah.

"Tapi kalau nak sumpah juga, itu bukan syariat yang tuntut. Bagi saya, masyarakat kena didik juga, kalau bersumpah jugak nanti lepas ini orang macam tu (bersumpah) jugak.

"Sumpah, sumpah tak habis-habis. Masyarakat perlu dididik apa sebenarnya yang dituntut oleh syariat. Tapi kalau tidak dituntut oleh syariat, tak payah," katanya.

'Hukum Qazaf dan Sumpah Menurut Syari'ah, ABIM seminarTegas Dr Ashraf lagi gesaan itu juga ditujukan kepada parti politik tertentu supaya "keadaan yang memalukan" itu tidak mengaibkan masyarakat Islam.

"Kalau nak main politik, main cara lain lah. Kalau ini hal politik (terutama kepada) kedua-dua pihak," katanya yang juga mantan exco Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Pada 29 April lalu, Datuk Shazryl Eskay Abdullah - seorang anggota trio Datuk T - muncul di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul bagi melakukan sumpah laknat.

Dengan memegang senaskhah Al-Quran beliau melafazkan kata-kata berikut:

A'uzubillahi minal syaitanirrajim. Bismillah irahman irrahim. (Mengucap 3 kali). Pada hari ini, 29 April 2011, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, saya Shazryl Eskay Abdullah berikrar dan bersumpah seperti berikut: A'uzubillahi minal syaitanirrajim, wallahi, wabillahi, watallahi, aku bersumpah bahawa aku dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam paparan video yang dirakamkan pada 21 Februari 2011. Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video tersebut. Sekiranya aku melakukan fitnah, maka Allah akan melaknat akanku."

Memulihkan moral

Beliau bersama bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Shuib Lazim bertanggungjawab menayangkan video seks kepada sekumpulan wartawan sebelum ini.

Pita video itu memapar seorang lelaki yang didakwa mirip ketua pembangkang yang juga ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas ada cadangan supaya Anwar yang juga ketua pembangkang bersumpah mubahalah bagi "menjernihkan suasana" Ashraf berkata:

"Wallahua'lam. Mungkin jernihkan suasana sekali itu, lepas itu, si A (bersumpah), kemudian si B pulak"... tak habis-habis kita (bersumpah)".

Dr Ashraf yang juga penyelidik kanan di sebuah akademi kewangan mengulas pandangan seorang hadirin dalam diskusi 'Hukum Qazaf dan Sumpah Menurut Syari'ah' di Dewan Pembangunan Belia Islam Taman Cemerlang Gombak, petang semalam.

'Hukum Qazaf dan Sumpah Menurut Syari'ah, ABIM seminarDiskusi tersebut dianjurkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan dihadiri kira-kira 70 orang.

Turut dijemput sebagai panel diskusi itu adalah tiga tokoh agama termasuk pengamal undang-undang iaitu Naib Presiden Wadah Pencerdasan Ummah (WADAH) Dr Abdul Halim El-Muhammady, wakil Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Dr Mohd Fauzi Zakaria dan Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syar'ie Malaysia (PPSM) Musa Awang.

Mengulas perkara yang sama, Musa (bersongkok) juga turut bersependapat dengan Ashraf bahawa Anwar yang juga ketua pembangkang tidak perlu bersumpah laknat seperti mana yang dituntut oleh pelbagai pihak.

"Kadang-kadang saya berfikir Datuk Seri Anwar perlu bersumpah untuk memulihkan moral, sebab moralnya sudah tercalar, orang sudah tuduh dia (berzina).

"Tetapi melihat dari segi konsep bersumpah, ia tidak perlu dilayan. Sumpah tidak perlu dibuat.

"Ini kerana, sumpah pada asalnya sudah tidak betul. Kenapa perlu menjawab sumpah yang tidak betul. (Dengan) cara dan tempat (bersumpah) tidak betul," katanya.

'Sumpah mubahalah bukan bagi kes jenayah syariah'

Malaysiakini.com
Mei 7, 2011, 8:52am

Timbalan Presiden Persatuan Syarie Malaysia (PPSM) Musa Awang berkata sumpah mubahalah hanya membabitkan isu yang berkaitan dengan akidah.

Tegasnya, sumpah tersebut tidak terdapat dalam kes dalam jenayah syariah yang antaranya berkaitan dengan kes liwat atau zina.

"Tidak ada sumpah dalam kes jenayah syariah kecuali sumpah 'qasamah' dalam jenayah membunuh.

"Maksudnya, dalam satu kes pembunuhan, tidak ada orang yang melihat (insiden itu) sedangkan keluarga yang dibunuh berkata si 'A' yang membunuh.

"Maka keluarga ini boleh sumpah 'qasamah' kata si A ini yang bunuh. Itu sahaja (sumpah) yang saya jumpa dalam kitab-kitab dan buku-buku... sumpah lain tak ada. Sumpah mubahalah lagi lah tak ada," katanya.



Menurutnya, sumpah mubahalah yang dimaksudkan itu berlaku ketika Nabi Muhammad SAW yang berdialog dengan orang Yahudi dan Nasrani mengenai keesaan Allah SWT.

Katanya, kedua-dua kumpulan itu tidak mempercayainya maka Nabi Muhammad mencabar mereka untuk bersumpah laknat (mubahalah) walaupun akhirnya mereka tidak menyahut cabaran baginda.

Musa berkata demikian pada diskusi 'Hukum Qazaf dan Sumpah Menurut Syari'ah' di Dewan Pembangunan Belia Islam Taman Cemerlang Gombak.

Diskusi tersebut dianjurkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan dihadiri kira-kira 70 orang.

Turut dijemput sebagai panel diskusi itu tiga tokoh agama dan ahli akademik iaitu Naib Presiden Wadah Pencerdasan Ummah (WADAH) Dr Abdul Halim El-Muhammady, pensyarah Prof Dr Ashraf Md Hashim dan wakil Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Dr Mohd Fauzi Zakaria.

Siapa beri idea?

Mengulas lanjut, Musa yang juga seorang pengamal undang-undang berkata beliau mempersoalkan pihak yang bertanggungjawab "memberi idea" untuk melakukan sumpah mubahalah dalam beberapa peristiwa sebelum ini.

"Siapa yang beri idea buat (sumpah mubahalah) ini... Saya tengok (ia bermula) dalam kes (Mohd) Saiful (Bukhari Azlan) dahulu.

"(Dalam) kes liwat atau zina, tidak ada sumpah (mubahalah). (Sumpah) yang lain adalah (yang) berkaitan dengan kes mal (harta).

"Ada banyak jenis sumpah, tetapi semuanya dalam kes mal (harta), (tetapi) bukan kes jenayah (syariah)," katanya sambil membaca jenis-jenis sumpah yang disyariatkan dalam Islam.

Mengulas mengenai isu qazaf (melempar tuduhan zina), Musa berkata orang yang dituduh berzina mestilah seorang muhsan iaitu orang yang baik dan bukannya seorang pelacur.

Kata lagi, pihak yang membuat tuduhan itu terhadap seseorang dikatakan mempunyai niat jahat sekiranya penuduh itu tidak mengemukakan empat orang saksi.

"Maka kita boleh kata dia membuat tuduhan dengan niat jahat," katanya.

Menurutnya lagi, mengikut seksyen 41 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan memperuntukkan orang menuduh seseorang yang melakukan zina perlu membawa membawa empat orang saksi.

Pada 29 April lalu, Datuk Shazryl Eskay Abdullah - seorang anggota trio Datuk T - melakukan sumpah laknat di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul berhubung isu video seks yang dikaitkan dengan seorang tokoh pemimpin pembangkang.

Dua lagi anggota iaitu bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Shuib Lazim turut hadir dalam majlis tersebut.

Trio itu bertanggungjawab menayangkan video seks tersebut kepada sekumpulan wartawan sebelum ini, yang memapar seorang lelaki yang didakwa mirip ketua pembangkang yang juga ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Wednesday, May 4, 2011

Penyebaran isu secara terbuka beri kesan buruk kepada Islam, negara



Oleh Musa Awang

Berita Harian
04/05/2011

Prosedur syariah perlu dilakukan dalam mahkamah selepas diperintah hakim

SAYA menerima e-mel dari seorang ibu yang mempunyai sepasang anak lelaki dan perempuan berumur 13 dan 12 tahun, yang meluahkan rasa malu serta kecewa apabila mutakhir ini terpaksa menerangkan kepada anaknya istilah ‘liwat’ dan ‘zina.’

Terutama sekali selepas isu video seks seorang yang dikatakan mirip ketua pembangkang menjadi sebaran eksklusif di saluran televisyen dan internet. Si ibu dan suami selalu menonton berita bersama anak kerana itulah masa mereka bersama selepas sibuk seharian dengan tugasan masing-masing.

Katanya, semasa isu liwat hebah dulu, beliau dan suami terpaksa menerangkan secara jujur dan ikhlas kepada anak mereka yang begitu cerdik menyoal secara terperinci dan bersikap ingin tahu.

Bayangkan apabila si anak lelaki bertanya bagaimana organ lelaki pelaku boleh masuk ke lubang dubur pengadu memandangkan lubang dubur itu amat ketat. Jadi, ibu terpaksa menjawab mungkin yang kena tuduh terpaksa gunakan pelincir seperti Johnson Cream. Lalu si anak bertanya pula apa itu pelincir Johnson Cream?

Kini, apabila heboh diperkatakan mengenai video klip itu, kedua-dua anaknya ingin tahu pula apa itu zina. Ibu terpaksa menerangkan maksud istilah itu. Pertanyaan lanjut anak ialah: “Oh! Dulu masuk lubang belakang, sekarang masuk lubang depan.”

Malah, anak turut bertanya apakah televisyen akan menyiarkan gambar organ yang kena tuduh itu memasuki lubang belakang dan lubang depan.

Betapa sukarnya ibu atau bapa yang terpaksa berdepan soalan anak berkaitan apa yang sampai ke telinga mereka daripada perbuatan sesetengah pihak yang ghairah menyajikan cerita sensasi untuk tujuan kemenangan sementara politik. Lebih malu, yang menuduh dan pelaku adalah orang Islam.

Tidak habis isu liwat, zina, video seks, terkini isu sumpah laknat (mubahalah) pula. Walhal dalam Islam sendiri, sumpah laknat hanya dibenarkan dalam kes li’an antara suami isteri.

Sumpah laknat selain antara suami isteri tidak diperuntukkan dalam kes jenayah menurut hukum syarak kerana kes jenayah perlu melalui prosedur jenayah. Mubahalah biasanya berlaku dalam kes akidah seperti cabaran mubahalah Rasulullah SAW terhadap Kristian dan Yahudi.

Sumpah adalah sebahagian prosedur perundangan syariah dan perlu dilakukan dalam Mahkamah Syariah selepas diperintahkan oleh hakim, bukan bersumpah di masjid atau di tempat lain. Mahkamah Syariah perlu dihormati oleh semua pihak.

Amat malang apabila orang Islam dan orang masjid sendiri tidak menghormati Mahkamah Syariah dan menyedihkan lagi, akibat tindakan itu berlaku perbalahan sesama Islam, dalam rumah Allah yang suci.

Jadi, tamatkanlah segera isu video seks kerana tingkah laku kita menggambarkan seolah-olah kita tinggal di dunia yang tidak bertamadun dan tiada undang-undang.

Tindakan menyebarkan video seks kepada khalayak ramai, kemudian menjadi perbincangan umum, bersumpah laknat dan meminta masyarakat menghukum adalah tidak bermoral, rosak akhlak dan masyarakat.

Negara ini ada undang-undang, malah ada dua sistem mahkamah di negara ini, Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Sebagai rakyat yang mendidik akhlak baik kepada anak, pasti kita mahu melihat pelaku dan pihak mengedarkan video itu dihukum menurut undang-undang negara ini.

Dalam Islam, aduan terhadap sesuatu kesalahan orang Islam lain digalakkan dibuat secara tertutup menurut saluran ditetapkan supaya dapat dibicarakan di mahkamah dengan mengemukakan bukti dan saksi yang boleh membantu dakwaan.
Dengan cara itu, keadilan dapat ditegakkan melalui saluran perundangan, bukan membiarkan masyarakat membuat penghakiman.

Mari kita renung hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan timbul di akhir zaman orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan jahat). Allah berfirman kepada mereka: Apakah kamu tertipu dengan kelembutan-Ku? Ataukah kamu terlampau berani berbohong kepada-Ku? Demi kebesaran-Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendikiawan) pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu).” (Hadis riwayat Termizi)

Tuesday, April 19, 2011

Wasiat tak sah jika bertentangan syarak



Oleh Musa Awang
sekretariatpgsm@yahoo.com

Berita Harian 2011/04/20

Dokumen perlu disimpan pewasiat, peguam syarie bagi elak pemalsuan

WASIAT adalah satu dokumen yang mempunyai kuat kuasa undang-undang membolehkan seseorang menentukan cara bagaimana harta bendanya dibahagi setelah berlaku kematian. Islam mensyaratkan wasiat tidak boleh kepada waris yang berhak menerima pusaka, tidak boleh melebihi satu pertiga daripada harta peninggalan si mati dan tidak boleh dibuat bagi tujuan yang dilarang oleh syarak. Waris akan mendapat dua pertiga daripada pusaka secara faraid untuk dibahagikan sesama mereka. Oleh itu, wasiat kepada waris yang berhak menerima pusaka dikhuatiri mengganggu imbangan bahagian yang ditetapkan syarak.

Wasiat kepada ahli waris sama ada lebih satu pertiga atau tidak, adalah diharuskan dan menjadi sah menurut hukum syarak jika semua ahli waris yang berhak menerima pusaka bersetuju dengan wasiat berkenaan.

Persetujuan waris diambil kira ialah selepas kematian orang yang membuat wasiat, bukan sebelumnya. Jika salah seorang mempertikaikan atau tidak bersetuju, maka wasiat itu perlu disahkan di Mahkamah Syariah.

Mahkamah akan kembali kepada kaedah asal wasiat dalam Islam, iaitu tidak boleh kepada ahli waris dan tidak melebihi satu pertiga daripada keseluruhan harta peninggalan si mati.

Seseorang pembuat wasiat boleh menarik balik wasiatnya dengan melakukan sesuatu perbuatan (secara nyata) atau keadaan menunjukkan niatnya (tersirat), dengan menjalankan urus niaga berkaitan harta diwasiatkan atau melupuskan hartanya sehingga habis sama sekali.

Mutakhir ini, banyak syarikat menawarkan produk membuat wasiat kepada orang Islam. Sebelum menandatangani apa-apa dokumen wasiat, dapatkan nasihat peguam syarie atau mereka yang pakar mengenainya.

Dikhuatiri dokumen wasiat yang disediakan tidak memenuhi atau berlawanan dengan kehendak hukum syarak. Banyak kes berlaku, dokumen wasiat di bawa ke Mahkamah Syariah untuk disahkan, didapati tidak sah dan berlawanan hukum syarak.

Dokumen wasiat itu menjadi sia-sia sedangkan perbelanjaan besar dikeluarkan untuk penyediaan dokumen wasiat. Sebaiknya terus merujuk kepada peguam syarie yang arif untuk membuat surat wasiat menurut kehendak undang-undang dan hukum syarak.

Wasiat menjadi tidak sah jika pelaksanaannya tidak betul, bertentangan hukum syarak, pewasiat tidak sihat akal dan tidak berkemampuan memahami apa dibuat semasa wasiat dilaksanakan, wasiat dibuat secara paksa atau di bawah pengaruh orang lain.

Wasiat yang dibuat perlu disimpan oleh pewasiat atau peguam syarie bagi menjamin tahap kerahsiaan dan mengelakkan daripada berlaku pemalsuan atau pindaan tanpa izin pembuat wasiat.

Wasiat sebaiknya disemak setiap enam bulan bagi membolehkan perubahan dibuat oleh pewasiat. Wasiat baru boleh dibuat bagi menggantikan atau membatalkan wasiat terdahulu.

Bagi memastikan wasiat mempunyai kuat kuasa undang-undang, maka ia hendaklah dibuat secara bertulis oleh pewasiat berumur 18 tahun ke atas, bukan benefisiari, suami atau isteri kepada benefisiari yang dinamakan dalam wasiat, ditandatangani dua saksi dan bertarikh.

Seruan membuat wasiat seperti mana firman Allah yang bermaksud: “Diwajibkan atas kamu, apabila seseorang antara kamu kedatangan tanda-tanda maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabatnya secara makruf, ini adalah kewajipan atas orang yang bertaqwa. Maka barang siapa yang mengubah wasiat itu setelah ia mendengarnya, sesungguhnya dosanya adalah bagi orang yang mengubahnya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Akan tetapi barang siapa khuatir terhadap orang yang berwasiat itu berlaku berat sebelah atau berbuat dosa, lalu ia mendamaikan antara mereka, maka tiadalah dosa baginya, Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Baqarah, ayat 180-182)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Secerdik-cerdik manusia ialah yang paling banyak ingatannya kepada kematian serta yang paling banyak persiapannya untuk menghadapi kematian itu. Mereka itulah orang yang benar-benar cerdik dan mereka pergi ke alam baqa’ dengan membawa kemuliaan dunia serta kemuliaan akhirat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Abiddunya)

Wasiat dalam Islam berperanan mempercepatkan pentadbiran pusaka selepas si mati meninggal dunia, mengurangkan pertikaian antara waris, memastikan pembahagian harta si mati terpelihara menurut syarak dan untuk memelihara hak waris.

Wasiat juga membolehkan wasi ditentukan sendiri untuk melaksanakan hasrat orang yang membuat wasiat, menentukan harta pewasiat diberikan kepada orang ditentukan sehingga masa ditetapkan menurut wasiat.

Pembahagian harta melalui wasiat juga mampu menyelamatkan ahli keluarga daripada duka dan mengalami kesusahan kerana masa depan mereka dijamin melalui warisan yang ditinggalkan serta memastikan anak ditinggalkan kepada penjaga yang dipercayai.

Penulis ialah Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan boleh dihubungi di alamat emel seksretariatpgsm@yahoo.com

Friday, April 15, 2011

Bukti forensik diterima

ARKIB : 12/04/2011

Utusan Malaysia

Bukti forensik diterima

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 11 April – Bahan bukti melalui keterangan forensik sama ada ujian asid deoksiribonukleik (DNA), ketulenan video atau gambar dan cap jari masih boleh diterima pakai sebagai bukti sampingan bagi sesuatu kes di mahkamah syariah termasuk yang melibatkan kes zina.

Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, pembuktian melalui cara tersebut dikenali sebagai al-Qarinah yang bermaksud tanda dan ia merupakan sebahagian daripada konsep al-Bayyinah iaitu apa sahaja yang boleh menjelaskan dan menunjukkan kebenaran.

“Seksyen 3, Akta Keterangan Mahkamah Syariah mendefinisikan al-Bayyinah sebagai keterangan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan dan termasuklah qarinah.
“Dari sudut pembuktian melalui konsep al-Bayyinah, al-Iqrar (pengakuan) merupakan bukti yang paling tinggi nilainya diikuti oleh al-Shahadah (kesaksian), al-Yamin (sumpah) dan al-Qarinah (tanda),” katanya di dalam blog http://musaawang.blogspot.com.

Namun, kata Musa, kedudukan pembuktian melalui al-Qarinah tidak sama nilainya seperti al-Iqrar, al-Syahadah dan al-Yamin.

“Ia boleh berfungsi untuk membantu pihak pendakwaan atau pembelaan sekurang-kurangnya di peringkat ghalabah al-zan atau melampaui alasan munasabah dalam kes takzir (tidak sampai ke tahap berzina),” katanya.

Beliau berkata, Akta Keterangan Mahkamah Syariah mendefinisikan al-Qarinah sebagai keterangan keadaan (circumstantial evidence) dan fakta yang relevan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan yang termasuk dokumen-dokumen, fakta berkaitan satu sama lain, kenyataan pakar, alat audio dan visual, bukti forensik, kaedah saintifik seperti DNA dan cap jari.

Katanya, pembuktian melalui al-Qarinah memerlukan bukti sampingan dan bukti lain untuk menyokong atau mensabitkannya.

Mengulas mengenai isu sama ada boleh atau tidak seseorang disabitkan dengan kesalahan zina apabila pendakwa tidak dapat mengemukakan empat orang saksi seperti yang ditetapkan hukum syarak, Musa berkata:

“Pada pandangan saya, beban pembuktian untuk mensabitkan kesalahan zina masih memerlukan beban bukti sama ada al-Iqrar atau as-Shahadah dengan empat orang saksi, meskipun hukumannya berupa hukuman takzir.

“Perbuatan masih tetap zina, cuma hukuman sahaja bukan hukuman hudud sebagaimana ditetapkan Islam. Jika pendakwa tidak boleh membuktikan dengan cara al-iqrar atau as-Shahadah, maka si pelaku tidak boleh disabitkan dengan kesalahan zina,” katanya.
Bagaimanapun, si pelaku katanya, mungkin boleh disabitkan dengan kesalahan mukadimah zina atau persediaan melakukan zina ataupun khalwat yang mana hukumannya adalah takzir.

Monday, April 11, 2011

SURAT PEMBACA BLOG

Subject: PER: ISU SABITAN ZINA: MEMAHAMI PERUNTUKAN PERUNDANGAN ISLAM

Yang Mulia
Tuan Musa Awang
Timbalan Presiden
Persatuan Peguam Syarie Malaysia

Tuan Musa Awang,

Nama saya Lim Siew Wah (Puan) dari Kuala Lumpur. Saya seorang wanita Cina berumur 45 tahun, mempunyai dua orang anak yang amat cerdik dalam pelajaran (lelaki 13 tahun dan perempuan 12 tahun). Kami adalah satu keluarga bahagia bersama suami tersayang saya. Agama saya ialah Taoism.

Beberapa hari lalu saya ada terbaca kenyataan Tuan mengenai perkara diatas yang menjurus kepada isu video tape lucah yang mengaitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini merupakan satu isu hangat yang begitu banyak telah diperdebatkan. Walaupun saya tidak arif dengan istilah-istilah Syarie dan hukum hakam agama Islam seperti yang difirmankan Allah dalam Al-Quran, namum saya amat memahami pernyataan Tuan dalam artikel tersebut. Secara ringkas, membawa maksud bahawa orang Islam tidak boleh menuduh atau mensabitkan zina terhadap seseorang Islam yang lain tanpa syarat-syarat yang ditetapkan dalam ajaran Islam berpandukan Al-Quran dan Sunnah.

Saya tidak mempunyai minat dalam hal-hal politik dan bukan merupakan penyokong mana-mana parti atau ahli politik kerana saya seorang wanita yang sebok dan tidak mahu mengambil bahagian dalam acara politik dinegara ini yang kadang-kadang amat kotor dan mengaibkkan Paling banyak saya hanya menjalankan kewajipan saya sebagai rakyat negara ini dihari mengundi sahaja.

Ingin saya meluahkan rasa kecewa dan malu saya kepada Tuan sejak kebelakangan ini terutama sekali apabila pehak Datuk T menayangkan video seks tersebut untuk tuntuan (eksklusif?) ahli-ahli media dan kini disebarkan keratan video tersebut melalui internet pula oleh sesuatu pehak. Disaluran TV pula, TV3 terutamanya begitu hangat menunjukkan klip video tersebut melalui siaran beritanya yang saya kira antara motifnya ia lah politik selain dari menarik rating penonton.

Saya setuju apabila Tuan menyatakan bunyinya begitu gah selepas istilah "LIWAT" kini timbul pula istilah "ZINA" yang menuntut kita orang dewasa menerangkan kepada anak-anak kita Kedua-dua anak saya pula selalu menonton berita ditelevisyen bersama saya dan suami kerana itulah satu-satunya masa kami bermesra duduk depan TV mendapat informasi berita dan mendapatkan hiburan selepas sebok satu hari suntuk.

Semasa isu liwat keudara saya dan suami terpaksa menerangkan secara jujur dan ikhlas kepada kedua-dua anak saya yang begitu cerdik dan pandai secara terperinci apa itu liwat kerana mereka begitu 'inquisitive' dan menanya soalan-soalan berkaitan isu tersebut secara terperinci juga. Bayangkan anak lelaki saya bertanya macam mana organ lelaki yang dituduh itu boleh masuk kelubang dubur sipengadu memandangkan lubang dubur itu amat ketat kerana anak lelaki saya berkata dia selalu sembelit dan untuk mengeluarkan tahinya dia rasa ketat dan sakit! Jadi saya terpaksa jawab mungkin yang kena tuduh itu terpaksan guna pelincir seperti Johnson Cream!

Dan akhir-akhir ini apabila TV3 melalui slot Buletin Utama asyik menyiarkan klip video tersebut kedua-dua anak saya pula ingin tahun apa itu zina. Sebagai tutor Bahasa Malaysia mereka, saya terpaksa pula menerangkan maksud istilah tersebut. Maka bertanyalah kedua-dua anak saya: "Oh! Dulu masuk lubang belakang; sekarang masuk lubang depan!".

Dan sekarang kedua-dua anak saya bertanya samada TV3 akan menyiarkan gambar organ yang kena tuduh itu memasukki lubang belakang dan lubang depan!

Niat saya menceritakan semua ini kepada Tuan adalah semata-mata untuk memberitahu Tuan betapa seksanya saya sebagai seorang ibu yang terpaksa berdepan dengan anak-anak oleh kerana perbuatan segelintir masyarakat kita yang begitu ghairah menyajikan cerita sensasi untuk memorak perandakan pehak lain. Nampak sangat dek kerana politik dan kemaruk kuasa manusia jadi lebih teruk dari binatang. Untuk masyarakat Islam, saya yang dikategorikan sebagai kafir mula bertanya dan menjawab sendiri bahawa walaupun saya kategori kafir namun saya tidak seteruk mana dalam hidup saya yang saya tumpukan setiap hari dengan kerja-kerja mencari rezeki yang halal, membimbing dua anak agar mejadi insan yang berjaya, beribadah (dengan cara yang dituntut agama saya) dan sebulan sekali saya kerumah anak-anak yatim menyumbang terhadap kebajikan mereka.

Harap Tuan dapat membalas e-mail saya ini untuk menenagkan sedikit perasaan saya yang kini begitu tersinggung (disturbed) dan takut TV3 akan menyiarkan pula acara 'masuk lubang' itu.

Terima kasih.

Yang benar

(Lim Siew Wah)

________________________________________


Terima kasih puan Lim kerana mengikuti tulisan sy dan memahami apa yg saya cuba sampaikan. Sy jg sprti puan tdk menyokong mana2 parti politik baik kerajaan @ pembangkang. Sbg NGO sy perlu berada ditgh2 yg baik sy sokong yg tak baik sy tegur. Sy cuma melihat dr perspektif perundangan, agama islam itu sndiri (yg menuduh n yg dituduh kedua-duanya Islam, malu saya) dan dr aspek keibubapaan krn sy jg mmpunyai anak kecil n remaja yg baru hndk mengenal dunia. Sy mohon izin utk paparkn respon puan ini dlm blog sy spy menjadi tatapan n panduan umum. Sy tdk akan disclose nama n identiti sbnr puan lim. Jika diizinkan. Moral msyarakat ng ini semakin hancur sebahagiannya disbbkn org2 politik yg mahukan kmngn politik. Terima kasih skali lg

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

________________________________________

Tuan Musa Awang

Terima kasih Tuan kerana membalas e-mail saya. Saya memberi Tuan izin sepenuhnya untuk menyiarkan respon saya dalam blog Tuan. Sila letak nama penuh saya sebab saya tiada apa-apa untuk dirahsiakan. Keseluruhan nukilan saya itu adalah ikhlas dan jujur dari saya.

Saya yakin agama Islam itu suci, murni dan indah. Saya sedih apabila orang Islam sendiri memberi gambaran buruk tentang agama Islam sendiri. Janganlah orang Islam salahkan yang bukan Islam mempunyai persepsi yang tidak begitu baik tentang Islam dan kadang-kadang pula yang bukan Islam takut dengan ajaran Islam (Islamophobia) kerana yang bukan Islam hanya duduk tepi gelanggang dan menonton dari tepi sahaja. Pentas dan pelakonnya adalah orang Islam sendiri.

Bila membaca tulisan Tuan tempoh hari saya rasa amat hormat dengan Tuan kerana Tuan begitu berpegang teguh dengan Islam tak kira siapa yang dibicarakan kerana sebagai umat Islam Tuan seharusnya yakin dan berpandukan Al-Quran dan Sunnah.

Silalah hubungi saya sekiranya saya dapat membantu Tuan dengan niat untuk memperelokkan yang buruk dan membawa sedikit keinsafan dan kesedaran sesama kita.

Terima kasih.

Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM

 Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM MUSA AWANG Oleh AIMAN ALI 19 Jun 2025, 4:58 pm PETALING JAYA: Persatuan Peguam S...