Tuesday, June 15, 2010

Proses bicara Mahkamah Syariah ibarat merebut Piala Dunia



Oleh Tuan Musa Awang

(Artikel ini disiarkan di Berita Harian pada 16/06/2010)
Pihak buat tuntutan perlu ambil inisiatif, bijak rangka strategi raih keadilan, kejayaan

PUSINGAN akhir Piala Dunia 2010 siri ke-19 bermula 11 Jun lalu dan akan berakhir pada 11 Julai nanti. Sebanyak 32 pasukan bertarung bagi merebut piala terulung dalam sejarah bola sepak dunia. Pelbagai strategi diatur, latihan berterusan dan khidmat jurulatih profesional diambil bertujuan meraih kemenangan berprestij itu.

Setakat ini beberapa pasukan sudah bermain pada peringkat awal. Ada pasukan yang menang, seri dan kalah. Anda tentu sudah dapat menjangka pasukan mana yang akan bertemu pada peringkat suku akhir, separuh akhir dan akhir.

Saya bukan hendak bercerita mengenai bola sepak, tetapi saya cuba mengaitkan realiti bola sepak piala dunia dengan apa yang berlaku di Mahkamah Syariah dewasa ini.

Orang yang datang ke Mahkamah Syariah terdiri pelbagai golongan, daripada orang kampung sehinggalah gololongan cerdik pandai. Terma dan prosedur digunakan di mahkamah adalah terma undang-undang yang asing bagi mereka yang bukan profesional dalam bidang perundangan.

Ada juga yang datang ke Mahkamah Syariah hendak meminta pertolongan, sedangkan umum tahu bahawa mahkamah adalah tempat pengadilan bukan tempat bantuan. Pihak yang memohon kepada mahkamah perlu tahu apa yang ingin dipohon.

Mereka bukan saja sekadar tahu bercakap, malah perlu tahu apa yang dicakapkan. Mereka perlu mengambil inisiatif sendiri untuk berjaya dalam tuntutan mereka.
Sebagai perumpamaan, mengambil semangat kehangatan kejohanan Piala Dunia yang sedang berlangsung, mahkamah boleh diumpamakan seperti sebuah stadium bola dengan hakim sebagai pengadil, dan pihak yang hadir ke mahkamah adalah pasukan yang sedang berlawan untuk meraih kemenangan dan keadilan.

Maka pihak terbabit perlu tahu dan mahir bagaimana menggelecek, membawa bola dan memikirkan sendiri bagaimana menjaringkan gol kemenangan. Hakim hanya bertindak sebagai pengadil yang mengadili perlawanan itu menurut pandangan zahir hakim terbabit, dengan kuasa undang-undang dan peraturan ditetapkan.

Jika pihak yang berlawan itu tidak tahu atau tidak mahir bagaimana untuk menjaringkan gol kemenangan, mereka boleh melantik jurulatih profesional dan mahir untuk melatih mereka dari segi fizikal dan mental. Bekas pemain ternama yang memiliki kepakaran bermain diambil sebagai jurulatih pasukan.

Hanya menyebutkan beberapa nama seperti Diego Maradona (Argentina), Joachim Loew (Jerman), Morten Olsen (Denmark), Marcello Lippi (Itali) adalah antara jurulatih yang gigih merekrut pelatih bagi memastikan anak didik mereka meraih kemenangan dalam kejohanan teragung itu.

Sama juga keadaannya di mahkamah. Mereka yang mahir dan pakar di Mahkamah Syariah adalah peguam Syarie yang sememangnya terbabit secara langsung dalam bidang guaman. Pihak yang mempunyai kes di mahkamah boleh melantik peguam Syarie yang bijaksana bagi membantu mereka menangi sesuatu kes.

Peguam Syarie bukanlah suatu profesion baru. Profesion ini wujud sejak zaman Nabi Yusuf AS dan ia diceritakan di dalam al-Quran.

Allah berfirman bagi menunjukkan cara yang dicadangkan oleh keluarga Zulaikha bagi membuktikan tuduhan Nabi Yusuf cuba memperkosa Zulaikha, bermaksud: “Jika baju khamisnya koyak di depan, maka wanita itu benar, dan Yusuf termasuk orang yang dusta. Dan jika khamisnya koyak di belakang, maka wanita itulah yang dusta, dan Yusuf termasuk di kalangan orang yang benar.” (Surah Yusuf, ayat 27)

Baginda Rasulullah SAW pernah mewakilkan ‘Amru bin Umaiyyah al-Damiri untuk menikahkan Ummu Habibah bin Abu Sufyan. Baginda juga mewakilkan Abu Rafi’i untuk menerima pernikahan Maimunah al-Harith.

Di zaman kebuluran ketika pemerintahan Saidina Umar, seorang wanita berkahwin membuat ikrar melakukan zina, mengandung dan meminta Umar menjalankan hukuman rejam.

Saidina Ali meneliti kes terbabit dan mendapati perempuan itu diperkosa semata-mata untuk menyelamatkan dirinya daripada mati kebuluran. Saidina Ali bertindak se-bagai peguam, dan wanita berkenaan dibebaskan.

Kehadiran peguam Syarie di Mahkamah Syariah adalah berdasarkan prinsip ‘wakalah bi al-khusuma’h, di mana peguam boleh menerima upah kerana Rasulullah SAW pernah melantik wakil Baginda untuk mengutip zakat dengan memberi mereka upah. Pelantikan peguam dengan upah perlu ada akad perjanjian.

Peguam hendaklah melaksanakan tugas yang diwakilkan kepadanya dan tidak boleh meninggalkan tugas berkenaan melainkan ada keuzuran yang diharuskan syarak.
Jika tidak disebutkan banyak mana upahnya, maka ia adalah berdasarkan uruf dan kebiasaannya atau upah yang sebanding dengannya (ajru al-mithhi).

Upah peguam adalah berdasarkan senioriti, kepakaran, jarak perjalanan dan sebagainya. Jadi pihak yang ingin melantik peguam mempunyai pilihan sama ada ingin melantik yang junior dan murah atau yang senior dan tinggi upahnya.

Semua proses di mahkamah tertakluk kepada peraturan dan undang-undangnya.
Hanya kesungguhan dan kemahiran pihak yang terbabit saja menjadi penentu dalam kes mereka. Hakim sebagai orang tengah tidak boleh membantu mana-mana pihak dalam perlawanan itu. Hakim juga hendaklah membuat keputusan dengan bebas dan tidak boleh mengasaskan keputusannya kerana tekanan atau dengan harapan mendapatkan imbuhan daripada mana-mana pihak.

Sikap menyalahkan, melemparkan pelbagai tohmahan dan kritikan yang tidak membina kepada Mahkamah Syariah adalah sama seperti keadaan dalam perlawanan bola sepak, yang ada penonton hadir menyaksikan perlawanan itu.

Bukan semua penonton bola sepak itu pandai bermain. Sesetengahnya kaki bangku tetapi gemar mengkritik dan menyalahkan pemain di dalam padang seolah-olah mereka lebih hebat daripada pemain sebenar.

Ada di kalangan mereka yang melontar mercun, bekas minuman atau memaki hamun pengadil dengan berkata pengadil lembap, tidak pandai main, berat sebelah dan sebagainya. Jika mereka benar-benar hebat bermain, kenapa tidak saja mereka turun padang bermain atau menjadi jurulatih kepada pemain dalam padang itu?

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan boleh dihubungi di talian: 03-2274 1499 (Sekretariat PGSM) atau e-mel : sekretariatpgsm@yahoo.com

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...