(Mengharmonikan
undang-undang orang hilang)
Harian Metro, 4 Februari 2015
Al-mafqud
merujuk
kepada seseorang yang hilang daripada tempat asalnya dalam tempoh yang lama sehingga terputus berita mengenainya dan tidak diketahui sama ada dia masih
hidup ataupun sudah meninggal dunia.
Status al-mafqud
penting untuk masyarakat Islam dan juga bukan Islam kerana proses
pembahagian harta al-mafqud akan tergendala
sekiranya tidak diketahui sama ada al-mafqud
itu masih hidup atau pun sudah mati.
Minggu lalu, Ketua
Pengarah Jabatan Penerbangan Awam telah mengumumkan insiden pesawat malang
MH370 secara rasmi sebagai satu kemalangan di bawah peraturan penerbangan
antarabangsa dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu dianggap
terkorban.
Pengisytiharan tersebut
belum membubarkan status perkahwinan mangsa-mangsa dan sebarang tuntutan ke
atas harta pusaka masih belum boleh dibuat. Untuk menentukan status sesuatu perkahwinan
terbubar, perintah anggapan kematian (presumption of death) atau
perintah pembubaran perkahwinan perlu dikeluarkan oleh mahkamah.
Merujuk kepada Seksyen
18 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) adalah dinyatakan
dengan jelas bahawa setiap kematian di negara hendaklah didaftarkan dengan
syarat mayatnya dijumpai. Dalam kes mayat tidak dijumpai atau individu yang
diklasifikasikan sebagai telah dianggap mati, maka perintah anggapan kematian perlu
diperoleh dari mahkamah.
Di Malaysia,
terdapat dua undang-undang berasingan yang menyentuh soal anggapan kematian bagi
al-mafqud iaitu di mahkamah sivil dan juga di mahkamah syariah. Perbezaan
ketara antara kedua-dua undang-undang tersebut ialah berkenaan tempoh masa yang
diperlukan bagi membentuk anggapan bahawa al-mafqud itu telah pun
meninggal dunia. Undang-undang sivil mensyaratkan tempoh tujuh tahun manakala
undang-undang syariah menetapkan tempoh empat tahun sebagai tempoh yang perlu
untuk membentuk anggapan kematian al-mafqud.
Seksyen 108 Akta
Keterangan 1950 (Akta 56) berbunyi “Apabila soalnya ialah sama ada seseorang
itu masih hidup atau telah mati, dan dibuktikan bahawa tiada apa-apa
khabar telah didengar mengenainya selama tujuh tahun oleh orang yang sepatutnya
mendengar khabar mengenainya jika dia masih hidup, beban membuktikan yang dia
masih hidup beralih kepada orang yang menegaskannya.”
Dalam kes Tay
Soon Pang ([2009] 9 CLJ 778), Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zawawi
Salleh menegaskan, berdasarkan Seksyen 108 Akta 56 berkenaan, dua syarat
penting untuk membentuk anggapan kematian ialah pertama ; tiada apa-apa khabar
yang telah didengar mengenai al-mafqud selama tujuh tahun dan kedua ;
ketiadaan khabar itu mestilah dialami oleh orang yang sepatutnya mendengar
khabar mengenainya jika dia masih hidup. Sekiranya tempoh tujuh tahun sudah
berlalu, mahkamah boleh memutuskan al-mafqud dianggap sebagai sebagai
telah mati.
Peruntukan hampir
sama terdapat dalam enakmen atau akta syariah negeri-negeri. Contoh, Seksyen 80
Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 561)
mempunyai peruntukan hampir sama, cuma tempoh tiada apa-apa khabar berita didengar
mengenainya adalah selama empat tahun, bukan tujuh tahun.
Pada masa sama,
terdapat peruntukan khusus dalam undang-undang syariah bagi maksud membolehkan seorang
isteri kepada al-mafqud untuk berkahwin
semula. Seksyen 53(1), Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah
Persekutuan) 1984 (Akta 303) menyebut bahawa : “Jika suami mana-mana perempuan
telah mati, atau dipercayai telah mati, atau telah tidak didengar perkhabaran
mengenainya bagi suatu tempoh empat tahun atau lebih, dan hal keadaan adalah
sebegitu hingga dia patut, bagi maksud membolehkan perempuan itu berkahwin
semula, dianggap mengikut Hukum Syara' sebagai telah mati, maka Mahkamah boleh,
di atas permohonan perempuan itu dan selepas apa-apa siasatan yang wajar,
mengeluarkan dalam bentuk yang ditetapkan suatu perakuan menganggap kematian
suami itu dan Mahkamah boleh di atas permohonan perempuan itu membuat perintah
bagi pembubaran perkahwinan atau fasakh sebagaimana diperuntukkan di bawah
seksyen 52 .”
Perakuan yang
dikeluarkan oleh mahkamah sivil tidak terpakai untuk tujuan membolehkan isteri al-mafqud
berkahwin semula. Hanya mahkamah syariah sahaja yang berkuasa memberi
perakuan anggapan kematian untuk tujuan itu.
Tidak pasti
mengapa undang-undang sivil menetapkan tempoh tujuh tahun untuk menerima anggapan
kematian al-mafqud. Tetapi bagi undang-undang syariah, tempoh empat
tahun diambil berdasarkan pandangan fuqaha. Misalnya, Imam Malik dan Imam Ahmad
menetapkan seseorang hakim boleh memisahkan seorang isteri daripada suaminya yang
hilang tanpa khabar berita setelah empat tahun, berdasarkan keputusan yang
pernah dibuat oleh Khalifah Umar al-Khattab r.a dalam kes suami hilang di zaman
pemerintahannya. Manakala mazhab Hanafi menetapkan jangka hidup manusia selama
90 tahun dan anggapan kematian seseorang al-mafqud
adalah apabila telah berlalu 90 tahun sejak kelahirannya.
Mazhab Syafii
menetapkan tempoh tujuh tahun, tetapi konsep anggapan kematian yang diterima
pakai oleh Mazhab Syafi‘i adalah berdasarkan kaedah istishab, iaitu mengekalkan
suatu hukum berasaskan hukum sedia ada selagi tidak ada dalil yang mengubahnya.
Maksudnya, seseorang yang hilang dianggap masih hidup sehingga ada bukti yang
menunjukkan sebaliknya. Oleh sebab itu harta al-mafqud tidak boleh dibahagikan secara pusaka sehingga suatu
tempoh masa tertentu dan hanya mahkamah yang boleh memutuskan tentang status
sebenar bahawa al-mafqud itu telah
meninggal dunia.
Dalam kes anggapan
kematian Talib Saari ([2010] 1 CLJ (Sya) 493), Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi
Syariah Negeri Terengganu telah memutuskan bahawa al-mafqud yang hilang sejak tahun 1972 sebagai telah meninggal
dunia, berdasarkan “telah berlalunya
suatu tempoh yang lama ke atas al-mafqud dari tarikh ianya dilahirkan, yang mana
tempoh itu adalah memungkin orang sebayanya telah meninggal dunia”.
Mahkamah membuat kesimpulan jika al-mafqud itu masih lagi hidup di tahun
2004, beliau sudah pun berumur 73 atau 74 tahun dan lazimnya pada waktu umur
sebegitu, seseorang telah meninggal dunia.
Bagi seorang
Islam, pengisytiharan kematian al-mafqud
boleh dipohon samada di mahkamah sivil atau di mahkamah syariah. Dalam kes
Ridzwan Ibrahim ([2002] 4 CLJ 502), Yang Arif Hakim Heliliah Mohd Yusof
berpendapat sedemikian kerana tempoh tujuh tahun yang dikehendaki oleh mahkamah
sivil adalah lebih lama daripada empat tahun yang dikehendaki oleh mahkamah
syariah. Sekiranya waris enggan menunggu selama tujuh tahun untuk memohon
pengisytiharan mahkamah sivil, mereka boleh memohon pengisytiharan di mahkamah
syariah setelah menunggu untuk tempoh yang lebih singkat, iaitu empat tahun.
Adalah wajar
undang-undang sivil dan syariah diharmonikan dengan menyelaraskan tempoh masa
yang diperlukan oleh mahkamah bagi membentuk anggapan kematian al-mafqud.
Tempoh masa yang ditetapkan ini merupakan satu ijtihad ulama’ atau budi bicara
penggubal undang-undang, dan ia boleh disesuaikan dengan keadaan dan
perkembangan semasa, agar dapat mengelakkan berlakunya komplikasi yang berat
dari segi konflik undang-undang.
- - Penulis ialah Presiden, Persatuan Peguam
Syarie Malaysia (PGSM).