Tuesday, October 21, 2014

Antara ihsan dan membelai anjing

Minda Harian Metro
21/10/2014



Oleh Musa Awang

Benar, anjing juga makhluk ciptaan Allah SWT. Anjing bukanlah haiwan yang harus dicaci, dihina, dibelasah, dipukul, diseksa atau dibunuh. Anjing juga harus diberi makan dan minum jika ia kelaparan dan meminta ihsan kita sebagai manusia yang berakal.

Bagaimanapun, ia bukanlah bermaksud orang Islam boleh sewenang-wenangnya memegang atau memelihara anjing tanpa sebab-sebab yang diharuskan.

Sesetengah pihak cuba mengelirukan minda masyarakat dengan memetik riwayat yang mengisahkan seorang pelacur Yahudi Bani Israel memberi minum seekor anjing yang hampir mati kehausan, dimasukkan ke syurga kerana pahalanya memberi minum kepada anjing itu. 

Wanita berkenaan dimasukkan ke syurga bukan sebab memegang anjing atau memelihara anjing tetapi kerana sifat ihsan dan belas kasihannya dan amalan baiknya yang menyelamatkan seekor anjing yang hampir mati.

Menukilkan hadis secara salah adalah satu daripada jenayah ilmu yang termasuk dalam kategori tahrif atau mengubah makna sebenar nas syarak. Inilah yang sedang dihadapi oleh umat Islam pada masa kini.

Pada masa sama, ada pihak yang cuba menyamaratakan semua ajaran agama, tanpa menjaga sensitiviti umat Islam dan tanpa melihat kepada pegangan ‘uruf masyarakat Islam Malaysia yang umumnya berpegang kepada pendapat mazhab Shafie.

Orang awam Islam yang kurang ilmu fiqh boleh menjadi keliru, dengan sengaja memegang anjing dan seronok bergambar bersama anjing yang dipegang. Kebanyakan foto yang di'viral'kan adalah foto Muslim yang berhijab. Apakah petanda kepada semua ini?

Jika tidak dibanteras dan diberi penjelasan sewajarnya, ia akan menjadi fitnah yang besar kepada generasi muda atau generasi Y. Tidak mustahil suatu hari mereka sesuka hati menyentuh dan membelai anjing tanpa sebab, memasang niat atau secara sembunyi membela anjing sebagai haiwan kesayangan dalam rumah untuk bermanja, menggunakan alasan atau hujah boleh pegang anjing selepas itu boleh disamak. Apa susah? Islam itu kan mudah? Pandangan fuqaha mengenai agama dipermain-mainkan.

Menyentuh anjing

Menurut pendapat ulama’ mazhab Syafie, seluruh tubuh anjing adalah najis mughallazah. Manakala mazhab Hanbali, Maliki, Hanafi berpendapat hanya air liurnya sahaja najis. Anjing dikategorikan sebagai mugallazah (najis berat) kerana cara penyuciannya yang memerlukan proses samak atau sertu.

Ketetapan ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW bersabda yang bermaksud - “Sucinya bejana (bekas) salah seorang daripada kamu yang dijilati anjing adalah dengan dibasuh bejana itu tujuh kali dengan air dan pada basuhan pertama dicampur dengan tanah.” [HR Muslim, Abu Daud dan Ahmad]

Walaupun nas hadis itu menyebut tentang cara penyucian bekas jilatan anjing sahaja, namun sebahagian fuqaha mengqiyaskan untuk menyamakan hukum dan cara basuhan terbabit bagi seluruh tubuh anjing.

Seluruh tubuh anjing, termasuk bulunya dianggap najis berat menurut mazhab Syafie kerana sifat atau tabiat anjing membersihkan diri dengan menjilat seluruh tubuhnya. Berkemungkinan besar air liurnya akan berada di seluruh tubuhnya. Sengaja menyentuh tubuh anjing akan menyebabkan perpindahan najis ke tubuh kita. 

Jadi, menyentuh anjing dalam keadaan anjing itu atau tubuh kita basah, lembap atau berair, maka hukumnya haram menurut mazhab Syafie kerana najis boleh berpindah.

Apabila tersentuh bulu anjing yang basah, anggota yang tersentuh perlu disamak kerana najis ‘mengalir’ jika ia basah. Bagaimanapun, jika bulu anjing itu kering, tidak perlu seseorang itu menyamak tangannya apabila tersentuh, memadai dengan membasuh bahagian tersebut dengan air mutlak.

Persoalannya, adakah seseorang yang menyentuh anjing secara sengaja itu yakin sepenuh hati bahawa anjing tersebut tidak menjilat tubuh sebelum mereka menyentuhnya? Adakah mereka yakin benar anjing atau tangan mereka juga dalam keadaan kering?

Orang Islam yang bersih dan patuh kepada ajaran agama sepatutnya mengelakkan diri daripada menyentuh najis mughallazah (najis berat) dengan sengaja. Imam Muhammad Al-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj menyatakan bahawa “meletakkan (atau menyentuh) najis pada anggota badan adalah haram.” Perbuatan ini dinamakan sebagai ‘Al-Tadhammukh Bi Al-Najasah’, iaitu menyentuh najis tanpa sebarang sebab yang mendesak (seperti menyelamatkan anjing) dan ia adalah sesuatu yang dilarang atau haram.

Membela nasib anjing dengan tidak mencaci, menghina, membelasah, memukul, menyeksa atau membunuh, memberi makan dan memberi minum berbeza dengan menyentuh, memelihara dan menjaga kebersihan diri dari najis mughallazah. Usah dikelirukan dengan propaganda yang cuba menggambarkan bahawa jika orang Islam sayang kepada anjing mereka perlu menyentuh atau memelihara anjing.

Memelihara anjing

Dalam bab memelihara anjing, semua ulama muktabar sepakat bahawa seorang Islam tidak dibenarkan membela anjing sebagai haiwan peliharaan, kecuali atas sebab-sebab yang dibenarkan, iaitu untuk tujuan menjaga harta, menjaga tanaman, menjaga ternakan, untuk memburu dan menjaga keselamatan keluarga.

Terdapat banyak hadis Nabi SAW berhubung dengan larangan ini. Dalam satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abdullah bin Umar r.a berkata: "Aku mendengar Nabi SAW bersabda : Sesiapa memelihara anjing selain anjing penjaga ternakan atau anjing perburuan, maka berkuranglah (pahala) amalannya setiap hari sebesar qirath (ukuran yang amat besar)."

Pengecualian ini bukanlah bermaksud anjing itu boleh disimpan dalam rumah, kerana dalam satu hadis riwayat Muslim, daripada Aisyah r.a bahawa malaikat tidak akan memasuki rumah yang terdapat di dalamnya anjing dan gambar.

Memelihara anjing sebagai haiwan peliharaan akan menakutkan jiran yang lalu lalang atau datang berkunjung, mengganggu jiran, berkurang pahala setiap hari, malaikat enggan memasuki rumah dan tabiat anjing yang suka menjilat boleh menyebarkan najis di sekeliling rumah. Wallahu’alam.


-       Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). E-mel : sekretariatpgsm@yahoo.com

Wednesday, October 15, 2014

Tujuan tersirat promosi arak

Harian Metro
15/10/2014



Musa Awang

Mungkin ramai yang masih tertanya-tanya apa itu Octoberfest? Oktoberfest adalah festival musim gugur tahunan yang berlangsung di Munich, Jerman. Festival ini dipenuhi dengan sajian bir dalam jumlah besar beserta berbagai makanan tradisional Jerman, serta diselangi dengan banyak acara-acara lain. Jerman telah merayakan Oktoberfest setiap tahun sejak tahun 1810.

Octoberfest pertama sebenarnya merupakan acara lumba kuda yang diselenggarakan untuk merayakan pernikahan Putra Mahkota Ludwig I dan isterinya Therese Saxe-Hildburghausen. Perlumbaan itu berjaya sehingga mereka memutuskan untuk mengadakan acara tersebut sebagai acara tahunan.

Di Indonesia, festival seperti ini sudah menjadi tradisi tahunan bagi Hotel Aryaduta Jakarta, sejak 1988. Pengunjung bukan hanya warganegara Jerman sahaja malah warga Indonesia.

Octoberfest yang bermula sejak 24 September telah dianjurkan di beberapa lokasi antaranya di Saujana Hotel Subang dan Berjaya Times Square Hotel dan di  tempat letak kereta pusat membeli belah, One Utama, Petaling Jaya, Selangor.

Kenapa pula festival yang berasal dari Jerman itu boleh dibawa ke negara ini? Sebelum ini di Selangor, kini pula di Melaka. Dan kenapa pula ia dipromosikan dan disensasikan? Pasti ada tujuan yang tersirat.

Benar tiada undang-undang yang menghalang atau mengenakan tindakan ke atas seorang bukan Islam yang minum arak. Ia akan menjadi kesalahan jika seorang bukan Islam memandu kenderaan semasa berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau memandu dengan kepekatan alcohol melebihi had yang ditetapkan, menurut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dari sudut undang-undang, tidak salah bagi bukan Islam untuk minum arak samada secara tertutup atau tersembunyi. Tetapi jika acara minum arak dibuat sebagai suatu pesta, walaupun dibuat di lokasi tertutup, dipertontonkan kepada umum melalui gambar-gambar yang diambil dan dipos ke laman sosial, ia sebenarnya suatu tindakan mempromosikan arak secara fizikal. Pada masa sama, ia juga mempromosikan kerendahan moral serta akhlak.

Meskipun undang-undang membenarkan bukan Islam mengambil minuman memabukkan, membeli dan menjualnya tanpa diambil tindakan oleh pihak berkuasa, namun ia tidak boleh menjadi syiar yang dipromosi secara terbuka menerusi iklan dan pesta besar-besaran. Lebih menyedihkan apabila ada pemimpin politik seolah-olah merestui gejala tidak sihat ini. Sepatutnya mereka berkempen untuk menyeru masyarakat agar menjauhi arak, bukan turut bersama-sama mempromosikannya.

Minum arak bukan sahaja haram dalam Islam tetapi juga dilarang dalam agama-agama lain. Dalam Bible dinyatakan bahawa : “Janganlah kamu menjadi mabuk dengan wain, kerana hal itu akan merosakkan hidup kamu.”(Ephesians, 5:8) Begitu juga dalam Imamat bab 10 : 9, Bilangan bab 6 : 3, Ulangan bab 29 : 6, Hakim-Hakim bab 13 : 4, Efesus bab 5 : 18, Samuel bab 1 : 15, Yesaya bab 5: 11, Mikha bab 2 : 11, dan Lukas bab 1: 15 jelas pengharaman arak di dalam Bible.

Di dalam Pancasila (lima sila) ajaran Buddha, sila terakhir menyatakan bahawa penganut Buddha perlu menghindari atau menahan diri dari bahan yang memabukkan. Secara umumnya, arak juga tidak dibenarkan dalam agama Hindu.

Di dalam catatan Guru Gobind Singh (guru ke 10) di dalam Dasam Granth buku terakhir di dalam kitab Guru Granth Sahib menyenaraikan 5 larangan asas di dalam agama Sikh antaranya, tidak boleh potong rambut, tidak boleh berkelakuan buruk, tidak boleh merokok, tidak boleh makan daging yang disembelih dan tidak boleh minum minumaman beralkohol.

Orang Islam yang patuh kepada agama tidak akan minum arak. Orang bukan Islam juga tidak akan minum arak jika patuh kepada ajaran agama masing-masing.

Pada April 2014, semasa polemik tentang isu penjualan arak dalam penerbangan, ramai tokoh-tokoh dari kalangan bukan Islam menyatakan persetujuan agar penjualan arak di dalam penerbangan dihentikan. Presiden Persatuan Hindu Sangam Malaysia, Datuk RS Mohan Shan berkata arak dilarang kepada penganut Hindu kerana ianya boleh membawa mudarat kepada peminumnya. “Arak boleh membawa kepada satu tahap di mana peminumnya boleh hilang kesedaran diri. Seterusnya individu tersebut mungkin akan melakukan sesuatu di luar kawalan. Oleh itu Hindu melarang minum arak kerana mendatangkan banyak keburukan daripada kebaikan," katanya seperti dilapor oleh sebuah akhbar harian.

Sementara itu, Setiausaha Eksekutif National Evengelical Christian Fellowship (NECF) Afred Tais berkata, ajaran Kristian juga tidak menggalakkan penganutnya mengambil minuman keras. "Tindakan tidak rasional ketika mereka mabuk ini yang menyebabkan ajaran Kristian menghalang mereka daripada mengambil minuman keras," katanya.

Bukan Islam mempunyai hak kebebasan untuk makan dan minum makanan yang halal bagi mereka, walaupun haram bagi orang Islam, dengan syarat tidak menyentuh atau mencabar sentimen umat Islam atau membawa kepada fitnah dan kerosakan masyarakat keseluruhan. Jika ianya berlaku, kerajaan wajib campur tangan dan bertindak bagi menghalang tersebar dan berleluasanya lubang-lubang kerosakan yang boleh menjerumuskan masyarakat ke dalamnya.

-       Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Email : sekretariatpgsm@yahoo.com

Wednesday, October 8, 2014

Risiko nikah sindiket

Harian Metro
09.10.2014

Oleh Musa Awang

Tinjauan mendapati rata-ratanya ejen nikah sindiket menggunakan pelbagai jenis ‘tagline’ promosi seperti ‘cepat dan murah’ yang sedikit sebanyak berjaya menarik orang ramai, terutama bermasalah untuk berkahwin menurut undang-undang, seperti lelaki ingin berkahwin lagi dan pasangan tidak boleh berkahwin disebabkan tentangan keluarga.

Daripada perspektif undang-undang, tiada istilah ‘nikah sindiket’ atau ‘kahwin sindiket’. Ia diberi oleh masyarakat. Nikah sindiket ialah nikah yang tidak mengikut peraturan, yakni seseorang berkahwin di daerah atau di negeri lain tanpa terlebih dulu memohon kebenaran untuk berkahwin di luar daerah. Ada juga pernikahan sindiket dijalankan di dalam negara. Cara mudah untuk membezakan antara nikah sindiket dengan nikah yang mengikut peraturan ialah kebenaran sudah diperoleh daripada jabatan agama Islam atau Mahkamah Syariah.

Perlu dapat kebenaran
Secara prinsipnya, sesuatu perkahwinan seseorang lelaki atau perempuan perlu mendapat kebenaran sama ada daripada pendaftar atau dalam kes tertentu, kebenaran daripada Mahkamah Syariah.

Seksyen 19, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan melainkan suatu kebenaran berkahwin sudah diberi: (a) oleh Pendaftar di bawah seksyen 17 atau oleh Hakim Syarie di bawah seksyen 18, jika perkahwinan itu membabitkan seorang perempuan yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan; atau (b) oleh pihak berkuasa yang hak bagi sesuatu negeri, jika perkahwinan itu membabitkan seorang perempuan yang bermastautin di negeri itu.

Pendaftar yang dimaksudkan ialah Pendaftar Kanan Perkahwinan, Perceraian, dan Rujuk Orang Islam, termasuk Pendaftar dan Penolong Pendaftar di Jabatan Agama Islam.

Kebenaran daripada hakim syarie pula diperlukan dalam kes perkahwinan di bawah umur, perkahwinan yang membabitkan seorang janda berhias (bercerai sebelum disetubuhi suami), seorang perempuan yang tidak mempunyai wali nasab dan seorang lelaki yang berhasrat untuk berpoligami. Undang-undang juga mensyaratkan kehadiran atau persetujuan wali ketika pernikahan, dan wali hakim atau wali raja bagi perempuan yang tidak mempunyai wali.

Kebanyakan pasangan yang bermasalah untuk berkahwin menurut undang-undang lebih suka memilih selatan Thailand kerana tidak perlu membawa wali, surat kebenaran berkahwin daripada jabatan agama Islam, perintah Mahkamah Syariah bagi yang ingin berpoligami, sijil kursus kahwin, sijil mengenai status kesihatan sama ada bebas HIV atau AIDS dan wang hantaran.

Sesetengah pasangan yang lari bernikah di luar negara meletakkan kesalahan kepada peraturan atau prosedur dikatakan menjadi punca mereka memilih bernikah secara sindiket. Terlalu mudah memberi alasan. Cuba fikir, bagaimanakah hendak menempuh gelombang kehidupan berumahtangga yang penuh pancaroba jika ujian mudah menurut peraturan dan prosedur pun tidak sanggup untuk dihadapi?

Perkahwinan suatu perkara suci, maka ia perlu dilakukan mengikut undang-undang. Peraturan yang diadakan bukan bertujuan menyusahkan tetapi untuk menjaga masyarakat, mengawal kerukunan keluarga dan memelihara nasab yang bakal dilahirkan. Peraturan menetapkan agar wali dijemput untuk menikahkan pasangan bertujuan menghindar daripada fitnah dan dosa terhadap kedua-dua ibu bapa kerana membelakangkan mereka.

Pernikahan sindiket juga berisiko menghadapi masalah perkahwinan dan berkemungkinan tidak dapat didaftarkan disebabkan rukun nikah tidak sempurna atau surat nikah yang dikeluarkan adalah palsu. Ada kes perkahwinan dijalankan di sempadan Kedah atau Kelantan tetapi sijil nikah yang dikeluarkan ialah sijil nikah Thailand. Hal ini akan menyebabkan sijil nikah yang dikeluarkan tidak diiktiraf oleh undang-undang keluarga Islam, permohonan untuk mendaftarkan nikah ditolak, dan kesannya, urusan pendaftaran anak tergendala. Jika berlaku perceraian atau kematian, ia akan menimbulkan masalah kepada waris, sehingga urusan pembahagian harta juga terbantut.

Jenayah syariah
Tindakan pasangan yang bernikah secara sindiket juga akan mendedahkan diri mereka dengan tindakan jenayah syariah. Di Wilayah Persekutuan, kesalahan bagi seorang perempuan atau lelaki bernikah tanpa kebenaran atau seorang lelaki berpoligami tanpa kebenaran ialah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 dan penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali (denda dan juga penjara).

Tindakan ejen yang mengaut keuntungan dengan menangguk di air keruh juga boleh dikenakan tindakan undang-undang. Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali kepada seseorang yang mengakadnikah atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai mengakadnikahkan atau menjalankan upacara sesuatu perkahwinan atau bersubahat dengan perkara berkenaan.

Perkahwinan penyatuan dua jiwa insan dan dua keluarga, yang diikat dengan syarat yang ditentukan oleh syarak. Oleh yang demikian fenomena nikah sindiket sudah tentulah bertentangan dengan falsafah kekeluargaan. Ia juga bertentangan dengan budaya masyarakat Melayu yang mementingkan nilai murni dalam institusi kekeluargaan. Dalam sesetengah keadaan, ia menggugat keharmonian, meragut kebahagiaan dan meruntuhkan institusi keluarga yang sedia ada.


Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (sekretariatpgsm@yahoo.com)

Rahsia, hikmah sebalik angka 7

Harian Metro 10.09.2014

Oleh Musa Awang

Dalam Islam, terdapat rahsia dan makna yang besar di sebalik angka tujuh. Allah SWT menciptakan tujuh lapis langit yang kukuh, kemudian dihiasi langit itu dengan tujuh gugusan bintang, tujuh lapisan bumi, yang dihiasi dengan tujuh lautan. Allah juga menjadikan tujuh hari dalam seminggu.

Allah juga menjadikan tujuh tingkatan neraka. Kemudian Allah menjadikan tiap-tiap lapisan neraka dengan tujuh pintu. Allah juga menciptakan tujuh lapisan syurga dan tujuh pintu syurga.

Allah menjadikan tujuh ayat dalam surah Al-Fatihah, tujuh surah yang panjang di dalam al-Quran iaitu surah al-Baqarah, al-Imran, al-Maaidah, An-Nissa’, al ‘Araaf, al An’aam dan al-Anfaal atau at-Taubah, tujuh anggota sujud di dalam solat iaitu dua hujung jari kaki, dua lutut, dua tapak tangan dan satu dahi, tujuh kali putaran tawaf mengelilingi kaabah, tujuh kali sa’i antara Bukit Safa dan Marwah, melontar ketiga-tiga jamrah iaitu Jamrah Al-Ula, Jamrah Al-Wusta dan Jamrah Al-Aqabah, masing-masing dengan tujuh biji batu.

Angka tujuh bagai sinonim dengan tahun 2014. Pelbagai peristiwa duka mengisi tahun ini, seolah-olah ia tahun duka negara.

Pada awal Sabtu, 8 Mac 2014, negara dikejutkan dengan kehilangan pesawat Boeing 777-200 milik Penerbangan Malaysia MH370 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang kira-kira pukul 2.40 pagi. Pesawat yang membawa 239 penumpang, termasuk 2 bayi dan 12 anak kapal itu masih belum ditemui sehingga sekarang.

Pesawat berkenaan berengin PW4077, RR 877, GE90-77B, dan dikatakan model ini tidak pernah terbabit dalam sebarang kemalangan udara, kecuali penerbangan Asiana mendarat cemas di Lapangan Terbang San Francisco mengorbankan tiga remaja perempuan China pada Julai 2013.

Belum pun kehilangan dapat dirungkaikan, negara dikejutkan lagi pada Khamis 17 Julai 2014, dengan berita penerbangan pesawat Boeing 777 iaitu MH17 yang berlepas dari Amsterdam, Belanda menuju ke Kuala Lumpur dilaporkan terhempas di Ukraine (sempadan Rusia) dan didakwa ditembak jatuh oleh sistem peluru berpandu yang mampu mencapai ketinggian 72,000 kaki.

Tragedi pesawat yang dikatakan berada pada kedudukan ketinggian 33,000 kaki itu mengorbankan 280 penumpang dan 15 anak kapal.

Kedua-dua peristiwa tragis terbabit tidak mematahkan semangat kita untuk menyambut ulang tahun sambutan kemerdekaan negara ke-57.

Mengimbau sejarah, Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan sebagai merdeka secara rasmi pada 31 Ogos 1957. Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dibacakan oleh Tunku Abdul Rahman Putra di Stadium Merdeka dengan disaksikan lebih 20,000 orang, termasuk Raja-Raja Melayu, tetamu khas dari luar negara, anggota kabinet Kerajaan Persekutuan dan rakyat jelata.

Selesai pengisytiharan dibaca, Tunku Abdul Rahman melaungkan ‘MERDEKA’ sebanyak tujuh kali dan disambut oleh ribuan rakyat yang membanjiri Stadium Merdeka.

Upacara ini kemudian disusuli dengan seruan azan yang melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara yang baru merdeka, diikuti dengan acara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu sambil diiringi dengan lagu kebangsaan ‘Negaraku’.

Hanya Allah yang mengetahui rahsia angka tujuh dan kaitannya dengan pelbagai peristiwa dan tragedi besar yang menyayat hati sepanjang tahun ini, sehingga negara terpaksa diisytiharkan berkabung.

Yang pastinya, sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu perkara itu dengan sia-sia atau secara kebetulan melainkan di sebaliknya mengandungi suatu hikmah besar lagi tersembunyi di dalam pengetahuan dan rahsia Allah.

Firman Allah dalam surah al-Imran ayat 191 bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan ketika mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan mengenai kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”

Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) E-mel: sekretariatpgsm@yahoo.com


Kelantan Lulus Hukum Sebat Khalayak Ramai, PINDAAN TAK BERCANGGAH PERLEMBAGAAN

Berita Harian Jumaat, 14 Julai 2017 KELANTAN LULUS HUKUM SEBAT KHALAYAK RAMAI Pindaan tak bercanggah Perlembagaan Pindaan ...