Showing posts with label Nafkah. Show all posts
Showing posts with label Nafkah. Show all posts

Sunday, June 24, 2012

Nafkah anak selepas 18 tahun masih tanggungjawab bapa



Jika anak masih belajar atau kurang upaya

Oleh Musa Awang



Mungkin ramai yang tahu bahawa nafkah seorang anak perlu ditanggung oleh bapanya sehingga umur 18 tahun atau sehingga anak tersebut berkahwin atau mampu menanggung nafkah dirinya. Namun hakikatnya pada masa kini, kebanyakan anak-anak yang berumur 18 tahun dan ke atas masih dibangku sekolah atau di pusat pengajian tinggi, yang masih memerlukan biaya bagi menampung yuran pengajian dan sara hidup mereka. Adakah bapa masih wajib menanggungnya? Di samping itu terdapat juga anak-anak kurang upaya dari segi fizikal dan mental, yang tidak mampu bergerak aktif seperti manusia normal yang lain, sampai bilakah mereka perlu ditanggung oleh bapa?

Nafkah menurut Syarak ialah mengeluarkan belanja kepada mereka yang wajib atas seseorang itu mengeluarkan untuk anak-anaknya, termasuklah semua hajat dan keperluan seharian seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal, ubat-ubatan dan sebagainya.

Kewajipan bapa mengeluarkan belanja nafkah kepada anak adalah berdasarkan firman Allah s.w.t dalam Surah al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud : ”Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun genap, iaitu bagi yang hendak menyem[purnakan penyusuan itu, dan kewajiban bapa ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara sepatutnya.  Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah seorang ibu itu menderita kerana anaknya dan (jangan juga menjadikan) seorang bapa menderita kerana anaknya ; dan waris juga menanggung kewajipan tersebut (jika bapa tiada). Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, atas mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu serahkan (upah) yang kamu berikan itu dengan cara yang patut.”

Seksyen 73 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor memperuntukkan kewajiban seorang bapa menanggung nafkah anak. Seksyen 73 (1) berbunyi – “Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya. “

Kadar nafkah yang diwajibkan hendaklah sekadar menurut keperluan dan hajat, menurut keadaan dan kemampuan orang yang berkewajipan itu. Firman Allah s.w.t dalam surah at-Talak ayat 7 bermaksud : “Hendaklah orang yang berkemampuan memberi nafkah menurut kemampuanya. Dan orang yang telah ditetapkan ke atas reskeinya, maka hendaklah ia mengeluarkan belanja (nafkah) berdasarkan apa yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t. Tidak dibebankan oleh Allah seseorang itu melainkan setakat apa yang diberikan oleh Allah kepadanya. Nescaya Allah akan menjadikan sesudah kesempitan itu kelapangan.”

Seseorang bapa bertanggungjawab menanggung belanja nafkah anak-anaknya sehingga anak lelaki mencapai umur baligh dan anak perempuan sehingga berumahtangga. Kewajipan ini adalah tidak bersyarat dan mutlak, tidak kiralah samada anak-anak itu berada dalam jagaannya atau tidak. Sesetengah pihak cuba menafikan hak anak-anak mendapat nafkah atas alasan bahawa dia tidak dapat berjumpa anak atau dihalang dari berjumpa anak oleh bekas suami atau bekas isteri. Kewajipan membayar nafkah dan hak lawatan anak adalah dua perkara yang berbeza dan tidak boleh dijadikan syarat atau alasan untuk menafikan dan menidakkan  hak anak bagi mendapat pembiayaan nafkah.

Sekiranya anak-anak belum boleh berdikari, anak itu miskin dan tidak mempunyai harta sendiri dan pada masa yang sama bapa itu mampu memberi nafkah, maka bapa tersebut masih bertanggungan untuk memberikan nafkah, walaupun anak bukan di bawah jagaannya.
Jika anak itu seorang perempuan, menurut mazhab Syafie dan Maliki, wajib nafkahnya ke atas bapa sehingga anak itu bersuami. Manakala menurut mazhab Hanafi dan Hanbali, tidak wajib ke atas bapa memberikan nafkah kepada anak perempuan yang sudah besar dan boleh berusaha sendiri. Pandangan mazhab Hanafi dan Hanbali ini lebih sesuai dengan keadaan kini, di mana kebanyakan anak perempuan pada masa kini walaupun sudah bersuami telah berkerja dan berpendapatan untuk menampung diri sendiri. Jadi sekiranya anak perempuan telah berkerja dan boleh menanggung nafkah diri sendiri, walaupun belum berkahwin, maka kewajipan bapa untuk membayar nafkah kepadanya akan tamat.

Seorang anak lelaki yang belum berkahwin, sihat dan berupaya menyara diri sendiri, bukanlah menjadi tanggungan ke atas si bapa. Namun mahkamah Syariah boleh atas permohonan anak tersebut atau mana-mana orang lain untuk melanjutkan perintah nafkah kepada suatu tempoh akan datang sebagaimana yang difikirkan munasabah, termasuklah bagi membolehkan anak itu melanjutkan pelajaran atau latihannya. Pada masa kini, kebanyakan anak-anak yang berumur 18 tahun dan ke atas masih di bangku sekolah atau di pusat pengajian tinggi, yang masih memerlukan biaya bagi menampung yuran pengajian dan sara hidup mereka.

Begitu juga jika anak itu cacat atau kurang upaya (OKU) disebabkan hilang upaya dari segi akal atau jasmani, yang tidak mampu bergerak aktif seperti manusia normal yang lain, serta tidak mampu untuk hidup berdikari, maka bapa masih bertanggungan mengeluarkan belanja untuk nafkah anak tersebut, walaupun umur mereka telah melebihi 18 tahun.

Seksyen 80 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan - Kecuali-(a) jika sesuatu perintah mengenai nafkah seseorang anak dinyata sebagai selama tempoh yang lebih singkat; (b) jika sesuatu perintah itu telah dibatalkan; atau (c) jika sesuatu perintah itu dibuat untuk-(i) seseorang anak perempuan yang belum berkahwin atau yang, oleh sebab sesuatu hilangupaya dari segi otak atau jasmani, tidak berkebolehan menanggung nafkah dirinya; atau (ii) seorang anak lelaki yang, oleh sebab sesuatu hilangupaya dari segi otak atau jasmani, tidak berkebolehan menanggung nafkah dirinya, perintah nafkah hendaklah tamat apabila anak itu mencapai umur lapan belas tahun, tetapi Mahkamah boleh atas permohonan oleh anak itu atau oleh seseorang lain, melanjutkan perintah nafkah itu supaya meliputi apa-apa tempoh tambahan yang difikirkannya munasabah, bagi membolehkan anak itu mengikuti pelajaran atau latihan lanjut atau lebih tinggi.”

Wednesday, February 22, 2012

Heret bekas suami ke mahkamah tuntut nafkah anak

Peguam Syarie Menulis Berita Harian

Oleh Tuan Musa Awang

22/02/2012

Penyitaan, penjualan harta boleh diambil supaya si penghutang menjelaskan hutang

SEPANJANG 2000 hingga 2009, sebanyak 206,113 kes perceraian difailkan di Mahkamah Syariah seluruh negara. Sebanyak 80 peratus atau 12,300 kes bekas suami gagal mematuhi perintah melunaskan nafkah yang menyebabkan hak isteri dan anak-anak terabai.

Malangnya, daripada jumlah itu, hanya 15,380 kes atau 7.5 peratus saja kes nafkah yang difailkan ke mahkamah.

Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan kebanyakan bekas isteri atau ibu kepada anak-anak tidak faham hak mereka menurut undang-undang, atau mereka tidak mahu turun naik mahkamah menuntut penguatkuasaan nafkah anak-anak.

Cerita negatif mengenai proses perbicaraan di mahkamah syariah yang memakan masa lama, lebih memburukkan keadaan. Akhirnya, si ibu lebih rela menanggung sendiri nafkah anak-anak dan membiarkan bekas suami lepas tangan terhadap nafkah anak-anak, walaupun dalam sesetengah kes, perintah nafkah anak sudah dikeluarkan oleh mahkamah.

Kewajipan mematuhi perintah dikeluarkan Mahkamah Syariah diperuntukkan dengan jelas dalam Seksyen 147, Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998, berbunyi : “(1) Tiap-tiap orang yang diarahkan oleh mana-mana penghakiman supaya melakukan apa-apa perbuatan hendaklah mematuhinya tanpa desakan, dan tidaklah perlu disampaikan kepadanya penghakiman itu atau apa-apa notis penghakiman itu kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam subseksyen 135 (3).

(2) Seseorang penghutang penghakiman hendaklah dari semasa ke semasa memberitahu mahkamah alamat tempat tinggalnya yang terakhir dan kegagalan mematuhi kehendak subseksyen ini hendaklah disifatkan sebagai penghinaan mahkamah.”
Apabila suatu perintah pembayaran nafkah anak dikeluarkan, tetapi bekas suami gagal melaksanakan apa yang diperintahkan, maka wanita atau bekas isteri perlulah tampil ke hadapan dengan memfailkan kes penguatkuasaan perintah nafkah anak di Mahkamah Syariah.

Proses penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah ini bukanlah lambat dan tidaklah menyebelahi pihak bekas suami sebagaimana dakwaan sesetengah pihak. Apabila perintah dikeluarkan, maka jumlah yang tidak dibayar bekas suami akan menjadi tunggakan hutang yang wajib dibayar.

Tujuan anda ke mahkamah adalah untuk menuntut balik hutang nafkah itu dan menguatkuasakan perintah nafkah anak, yang sebelum itu gagal dilaksanakan bekas suami.

Yang penting, anda perlu faham prosedur dan caranya, ia akan menjadi mudah dan cepat. Lantiklah Peguam Syarie untuk bertindak bagi pihak anda.

Bagi wanita yang tidak mampu melantik Peguam Syarie, anda boleh merujuk kepada Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang menyediakan perkhidmatan membantu bekas isteri membuat permohonan penguatkuasaan nafkah di Mahkamah Syariah, dengan syarat-syarat tertentu.

Penguatkuasaan perintah adalah proses mahkamah apabila berlaku kegagalan atau keengganan mematuhi perintah mahkamah, dengan menggunakan satu atau lebih daripada cara pelaksanaan yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Pelbagai jenis pelaksanaan perintah boleh diambil apabila menghadapi situasi kegagalan bekas suami membayar nafkah seperti Penyitaan dan Penjualan, prosiding Hiwalah, Saman Penghutang Penghakiman, sehinggalah tindakan Pengkomitan atau pemenjaraan. Prosiding ini di bawah tindakan mal di Mahkamah Syariah.

Penyitaan dan penjualan ialah dengan menyita harta alih atau harta tak alih kepunyaan si penghutang, kemudian dilelong dan dijual harta itu untuk menjelaskan jumlah yang terhutang. Mengikut hukum syarak, seseorang yang berhutang wajib membayar hutangnya jika ia berupaya membayarnya pada masa yang ditetapkan.

Jika dia melambat-lambatkan atau enggan membayarnya, maka si pemiutang boleh memohon supaya harta si penghutang itu dijual dan hasil jualannya dibayar kepada si pemiutang. Imam Taqiyuddin Abu Bakar bin Muhammad dalam Kitab Kifayatul al-Akhyar memetik perintah Sayidina Umar r.a yang berkata: “Barang siapa punya pemiutang hendaklah datang kepada kami esok sebab kami akan menjual hartanya dan membahagikan kepada orang yang memberi hutang kepadanya.”

Prosiding hiwalah ialah dengan menahan harta yang kena dibayar oleh pihak yang berhutang kepada si penghutang (garnishee atau muhal ‘alaih) dan mahkamah boleh memerintahkan supaya garnishee membayar terus kepada si pemiutang, jumlah yang perlu dibayar.

Sebagai contoh si A berhutang nafkah anak dengan si B. Pada masa yang sama, si C ada berhutang kepada si A. Maka si B boleh memohon supaya hutang itu langsung dibayar oleh si C kepadanya. Cara kedua ialah dengan menahan harta alih si penghutang yang berada dalam milikan atau kawalan pihak ketiga. Mahkamah boleh memerintahkan supaya muhal’alaih menyerahkan harta dalam milikan atau kawalannya kepada bailif mahkamah.

Manakala prosiding Saman Penghutang Penghakiman adalah suatu prosiding ‘post-trial’ untuk memeriksa kemampuan si penghutang untuk membayar, sama ada dia boleh bayar secara sekali gus atau secara beransur-ansur. Walaupun secara beransur-ansur, hutang nafkah anak tetap perlu dibayar sehingga selesai.

Jika bekas suami masih lagi gagal membuat bayaran seperti diperintahkan, maka dia boleh diberikan notis tunjuk sebab mengapa dia tidak patut ditahan ke penjara kerana keingkaran membayar nafkah anak.

Dipenjarakan tidak bermakna hutang tunggakan nafkah anak akan luput atau terhapus. Hutang tetap hutang. Hukuman penjara adalah sebagai pengajaran kepada bekas suami supaya tidak bersikap sambil lewa berhubung soal nafkah.

Selain tindakan mal, tindakan jenayah boleh juga dilakukan dengan membuat aduan kepada penguatkuasa agama di Jabatan Agama Islam kerana bekas suami menghina Mahkamah.

Seksyen 10, Akta Kesalahan Jenayah Syariah Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan bahawa jika seseorang itu sabit kesalahan, maka mereka boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Walaupun tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap bekas suami yang ingkar membayar nafkah anak, tetapi kesedaran kaum lelaki yang menjalankan tanggungjawab dengan ikhlas adalah lebih utama dari penguatkuasaan undang-undang.

Penulis ialah Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Boleh dihubungi melalui e-mel: sekretariatpgsm@yahoo.com.

Wednesday, February 8, 2012

Perintah nafkah iddah, cerai wajar dikeluarkan serentak



Bekas isteri teraniaya jika tuntutan dibuat berasingan

Peguam Syarie Menulis, Berita Harian 08/02/2012

Oleh Tuan Musa Awang
bhagama@bharian.com.my

IDDAH ialah tempoh menunggu yang wajib bagi isteri selepas diceraikan atau kematian suami. Dalam tempoh iddah, bekas isteri diharamkan berkahwin dengan orang lain. Tujuan iddah ialah bagi memastikan rahim wanita berkenaan suci daripada sebarang janin bagi mengelakkan ketidakpastian nasab sebenar anak, jika selepas bercerai, bekas isteri berkahwin dengan lelaki lain.

Bagi perceraian talak satu dan talak dua, tujuan iddah juga adalah bagi memberi peluang kepada pasangan untuk memikirkan semula sama ada berpeluang untuk rujuk kembali dalam tempoh iddah raj’ie, atau muktamad dengan perceraian.

Sama ada perceraian berlaku dengan cerai raj’i (talak satu atau dua), atau cerai bain (talak tiga, lian, fasakh, tebus talak, atau Ila’), isteri tetap mempunyai tempoh menunggu atau iddah. Di sini harus difahami isteri yang tidak disetubuhi dalam tempoh perkahwinan saja yang tidak mempunyai tempoh iddah.

Perempuan yang masih ada haid, iddahnya tiga kali suci daripada haid. Firman Allah SWT, “Wanita yang ditalak hendaklah menahan diri (menunggu) tiga kali suci” (Surah Al-Baqarah, ayat 228).

Perempuan yang belum datang haid atau belum cukup umur atau perempuan yang putus haid, iddahnya tiga bulan, manakala bagi perempuan mengandung, iddahnya sehingga melahirkan anak.

Firman Allah SWT, “Dan perempuan yang hamil, waktu iddah mereka itu ialah sampai mereka melahirkan kandungan.” (Surah At-Talaq ayat empat).

Bagi persetubuhan syubhah (tersilap menyangka isterinya, tetapi orang lain) atau dalam kes pernikahan yang difaraqkan, iddahnya adalah sama seperti perempuan yang diceraikan.

Walaupun berlaku perceraian, suami masih berkewajiban membayar nafkah isteri sehingga tamat tempoh iddah. Nafkah adalah semua keperluan menurut keadaan dan tempat, seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya.

Kadar nafkah yang wajib adalah sekadar mencukupi keperluan isteri, dengan melihat keadaan dan kemampuan suami, menurut kebiasaan, tempat dan keadaan mereka.

Hal ini ditegaskan Allah SWT dalam firman-Nya, “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya.” (Surah at-Talaq, ayat 65).

Isteri yang berada dalam iddah raj’i berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal selama tempoh iddah. Isteri yang berada dalam iddah bain sekiranya isteri tidak hamil hanya berhak mendapat tempat tinggal saja. Isteri yang hamil berhak mendapat tempat tinggal dan nafkah.

Seksyen 59, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan (1) ‘mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.’

Seksyen 47(16) dan (17) Akta sama (pindaan A902) memperuntukkan ‘(16) sesuatu talaq raj'i yang dilafazkan oleh suami melainkan dibatalkan terlebih dulu, sama ada secara nyata atau tafsiran, atau dengan perintah daripada mahkamah, tidak boleh berkuat kuasa untuk membubarkan perkahwinan itu sehingga habis tempoh 'iddah.’

Seksyen (17) Akta sama pula memperuntukkan ‘jika isteri hamil pada masa talaq itu dilafazkan atau pada masa perintah itu dibuat, talaq atau perintah itu tidak boleh berkuat kuasa untuk membubarkan perkahwinan itu sehingga berakhir kehamilan itu.’

Syarat membolehkan isteri memperoleh nafkah iddah ialah ikatan perkahwinan yang dibina itu sah menurut syarak, isteri taat dan patuh pada suaminya serta tidak pernah disabitkan oleh mahkamah sebagai isteri nusyuz.

Realiti pada hari ini, ketika tuntutan perceraian atau pengesahan lafaz perceraian di mahkamah, mahkamah hanya akan memerintahkan nafkah iddah sekiranya ada persetujuan antara bekas suami dan isteri. Jika tiada sepakat, maka pihak isteri dinasihatkan untuk membuat tuntutan berasingan.

Apabila tuntutan berasingan nafkah iddah difailkan, kadang-kadang persetujuan bekas suami berkenaan nafkah iddah masih belum diperoleh, menyebabkan kes terpaksa dibicarakan, yang memakan masa sehingga bertahun-tahun, sedangkan jumlah yang dituntut bekas isteri adalah untuk nafkah selama tempoh iddah saja.

Saya melihat ini penganiayaan kepada pihak bekas isteri yang terpaksa turun naik mahkamah untuk mendapatkan bayaran nafkah iddah yang jumlahnya tidak sebanyak mana.

Satu mekanisme atau cara terbaik perlu dicari untuk menyelesaikan perkara ini. Sebagai contoh, berdasarkan Seksyen 47(1) (f) Akta di atas, apabila seseorang suami atau isteri hendak bercerai, mereka perlu menyerahkan borang yang mengandungi akuan berkenaan dengan nafkah dan tempat kediaman bagi isteri, sama ada sesuatu persetujuan tercapai atau cadangan pemohon mengenai hal itu.

Maka akuan itu boleh dijadikan sebagai panduan kepada mahkamah untuk terus memerintahkan nafkah dalam tempoh iddah isteri, dalam jumlah yang munasabah.

Begitu juga dalam kes pengesahan lafaz perceraian, mahkamah boleh terus memerintahkan berkenaan dengan nafkah isteri dalam tempoh iddah, sebaik saja mengesahkan lafaz perceraian berkenaan.
Persetujuan atau cadangan dan kemampuan suami boleh diteliti ketika membuat perintah itu.

Ketika mensabitkan tuntutan perceraian taklik, fasakh atau tebus talak, sekiranya mahkamah mendapati tidak terdapat bukti isteri seorang yang nusyuz, tidak salah dari segi undang-undang atau hukum syarak sekiranya mahkamah terus memerintahkan nafkah iddah isteri, berdasarkan kepada bukti zahir yang ada di hadapan mahkamah.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) sekretariatpgsm@yahoo.com.

Sunday, January 22, 2012

Isteri boleh tuntut nafkah, tidak perlu bercerai jika suami abai nafkah

Peguam Syarie Menulis, Berita Harian

Oleh Tuan Musa Awang
sekretariatpgsm@yahoo.com

Tanggungjawab suami menanggung nafkah isteri adalah disabitkan melalui nas al-Quran dan al-Sunnah. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud : “Dan ke atas bapa yang isteri melahirkan anak baginya hendaklah memberikan nafkah makan minum dan pakaian isterinya itu.”

Dalam suatu hadith diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Antara dosa-dosa, ada yang tidak akan diampunkan melainkan dengan bekerja dalam mencari rezeki.” (Diriwayatkan oleh Tabrani, Abu Nuáim dan Al-Khatib). Dalam hadith lain, diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a, sabda Rasulullah s.a.w maksudnya: “Sesiapa yang berpetang-petangan dalam keadaan letih disebabkan oleh kerja yang dilakukan oleh kedua tangannya, maka dia berpetang-petangan dalam keadaan diampunkan dosanya.” (Diriwayatkan oleh Tabrani)

Seksyen 59 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan kuasa Mahkamah memerintah nafkah bagi isteri, yang berbunyi “Tertakluk kepada Hukum Syarak, Mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.”

Sekiranya seorang suami cuai memberikan nafkah isteri, tidak semestinya isteri memohon cerai. Isteri boleh memfailkan tuntutan nafkah isteri di Mahkamah Rendah Syariah tempat di mana beliau tinggal. Suami akan dipanggil untuk hadir ke mahkamah menyatakan pendiriannya berhubung tuntutan tersebut. Jika suami tidak bersetuju, maka mahkamah akan membicarakan tuntutan tersebut, dan memutuskan kadar nafkah isteri yang sewajarnya berdasarkan kepada keperluan isteri, berbanding dengan pendapatan si suami (Seksyen 61).

Mahkamah juga boleh memerintahkan si suami itu supaya memberi jaminan untuk membayar nafkah isteri itu dengan meletak hak apa-apa harta milik si suami kepada seorang pemegang amanah, dengan jaminan supaya nafkah isteri itu dibayar daripada pendapatan harta itu (Seksyen 62).

Dalam tempoh tuntutan nafkah isteri dibicarakan, isteri juga boleh memohon nafkah sementara isteri dari pihak suami. Seksyen 70 (1) Akta yang sama memperuntukkan bahawa “Jika Mahkamah berpuas hati bahawa terdapat alasan untuk membayar nafkah, Mahkamah boleh membuat suatu perintah terhadap suami bagi membayar nafkah sementara yang akan berkuat kuasa dengan serta-merta dan terus berkuat kuasa sehingga perintah Mahkamah dibuat atas permohonan untuk nafkah.”

Seksyen 197 dan Seksyen 202 (1) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1998 memberikan kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah untuk memberikan perintah interim nafkah isteri. Perintah sementara yang dikeluarkan tersebut hendaklah berkuat kuasa serta-merta dan terus berkuat kuasa sehingga Mahkamah membuat keputusan nafkah kekal isteri tersebut.

Kewajipan seorang suami menanggung nafkah isteri adalah kewajipan yang mengandungi nilai dan roh agama. Menunaikannya akan diberikan ganjaran pahala dan syurga, manakala mengabaikannya akan menerima balasan dosa dan neraka. Kegagalan menunaikan nafkah isteri akan memberi impak sosial yang negatif dalam masyarakat.

Suami akan dipandang hina oleh masyarakat kerana tidak bertanggungjawab. Isteri terpaksa meminta-minta, turun naik mahkamah menuntut haknya, masuk surat khabar dan televisyen dan sebagainya, yang akan mencalar maruah manusia dan keluarga. Anak-anak akan merasa rendah dan hina diri, benci kepada bapa mereka, yang juga boleh memberi kesan buruk terhadap pelajaran dan perkembangan hidup anak-anak. Lebih teruk, ada anak yang terpaksa berhenti sekolah untuk bekerja mencari rezeki bagi membantu ibunya.

Isteri terpaksa berhempas pulas mencari rezeki sepanjang hari tanpa mengira siang atau malam menyebabkan perhatian dan bimbingan terhadap anak-anak terganggu. Lebih malang, isteri atau anak anak akan terlibat dengan kegiatan jenayah seperti menjual dadah dan melacur atau berkerja sebagai GRO untuk mencari sumber pendapatan demi untuk menyara diri sendiri.

Suami sebagai ketua keluarga perlu diperingatkan sepanjang masa tentang tanggungjawab nafkah ini. Walaupun mungkin mereka berjaya mengelakkan diri atau menangguhkan tempoh memberi nafkah isteri dengan menyalahgunakan proses mahkamah, tetapi mereka tidak dapat mengelakkan diri atau menangguhkan hukuman di mahkamah Allah s.w.t di akhirat kelak.

Medium yang paling sesuai untuk mengingatkan para suami adalah semasa khutbah jumaat kerana yang hadir bersembahyang jumaat adalah suami-suami atau lelaki yang bakal menjadi suami. Wallahu’alam.

- Penulis ialah Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Thursday, October 14, 2010

Berbakti kepada ibu bapa ibarat jihad



Oleh Tuan Musa Awang

Berita Harian 2010/10/13

Empat mazhab sepakat, anak wajib menyara kedua-dua orang tua

KADANG-KADANG berasa sedih dan terkilan kerana tidak mempunyai banyak masa untuk berbakti dan membalas budi kedua-dua ibu bapa yang sudah kembali ke rahmatullah beberapa tahun lalu. Allah SWT lebih menyayangi mereka, walaupun saya sentiasa berdoa mereka panjang umur, agar saya mempunyai masa membalas budi mereka.

Hairan, bagaimanakah anak yang masih mempunyai ibu bapa sanggup mengabaikan mereka. Mutakhir ini kita disajikan dengan pelbagai berita mengenai sikap buruk anak terhadap ibu bapa. Seorang anak yang berjawatan besar dilaporkan tidak pernah menjenguk ibu dan bapanya, malah langsung tidak mempedulikan mereka selama lebih tujuh tahun. Ada juga anak yang menjadikan ibu bapa sebagai hamba dengan meminta mereka menjaga anak-anak secara percuma. Lebih serius, ada ibu bapa yang menjadi mangsa sepak terajang anak, dan dibunuh oleh insan yang mereka sendiri lahirkan.
Click Here

Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan peningkatan bilangan warga emas yang menghuni pusat kebajikan masyarakat dan apa yang lebih menyedihkan ialah lebih 30 peratus daripada mereka dihantar oleh anak kandung mereka sendiri. Seramai 1,714 warga tua mendiami sembilan buah Rumah Seri Kenangan kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat di seluruh negara pada 2001 dan jumlah ini bertambah kepada 1,829 pada 2003 dan 1,827 pada 2005. Untuk 2005, daripada jumlah 1,827 warga tua yang dihantar ke pusat jagaan orang tua, 751 orang terdiri daripada kaum Melayu, 558 orang adalah kaum Cina, 507 adalah India dan selebihnya seramai 11 orang adalah daripada kaum lain.

Berbuat baik kepada ibu bapa adalah perintah Allah SWT seperti dalam firmannya yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapa mu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, seperti mereka berdua mendidik aku sewaktu kecil”. – (Surah Al-Israa: 23-24)

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menceraikan susu dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Akulah kembalinya kamu.”– (Surah Luqman: 14).

Berbuat baik dan bersyukur kepada ibu bapa bermakna membalas segala jasa yang dilakukan kedua-duanya terhadap anak dengan memberikan pertolongan serta memberi nafkah kepada mereka berdua setelah mereka tua dan uzur serta tidak lagi mempunyai sumber pendapatan.

Keutamaan berbakti kepada kedua-dua ibu bapa adalah melebihi berjihad di jalan Allah seperti sabda Rasulullah SAW: “Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas’ud beliau berkata: Aku bertanya kepada Nabi SAW amalan manakah paling disukai Allah SWT? Baginda menjawab, solat pada waktunya. Saya bertanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab, kemudian berbakti kepada kedua-dua orang tua. Saya bertanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab, jihad pada jalan Allah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jumhur ulama mazhab empat bersepakat bahawa nafkah ibu dan bapa adalah wajib ke atas anak-anak sama ada anak lelaki atau anak perempuan. Ulama sepakat bahawa ibu dan bapa yang berhak kepada nafkah ialah ibu bapa yang tidak berkemampuan, tidak mempunyai harta atau tidak mempunyai pekerjaan dan tidak mampu membiayai diri mereka sendiri. Pada pandangan Mazhab Hanafi dan Shafie, tidak bekerja bermaksud juga tidak berupaya untuk berkerja disebabkan oleh penyakit kronik, buta, tidak siuman dan cacat anggota badan dan anak yang wajib memberi nafkah kepada ibu bapa adalah anak yang berkelapangan sama ada mempunyai harta ataupun pekerjaan.

Ibu bapa tidak pernah mengharapkan wang ringgit anak, cuma pada usia senja mereka mengharapkan secebis perhatian daripada anak untuk menumpang kasih, sebelum dipanggil Allah SWT.

Mahkamah Syariah boleh memerintahkan seorang anak membayar nafkah ibu bapa atau keluarga yang lain, seperti dalam peruntukan Seksyen 60 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984 yang berbunyi: ‘Mahkamah boleh memerintahkan mana-mana orang yang bertanggungan mengenai hal itu mengikut hukum syarak supaya membayar nafkah kepada seorang yang lain jika dia tidak upaya, sepenuhnya ataupun sebahagiannya, dari mencari kehidupan oleh sebab kerosakan otak atau jasmani atau tidak sihat dan Mahkamah berpuashati bahawa memandang kepada orang yang pertama tersebut itu adalah munasabah memerintahkan sedemikian.’

Peruntukan ini tidak begitu jelas dan tidak khusus kepada nafkah ibu bapa saja. Sudah sampai masanya satu peruntukan khusus berkaitan nafkah ibu bapa dimasukkan dalam undang-undang keluarga Islam negeri. Undang-Undang Keluarga Islam Kuwait 1984 boleh dijadikan panduan, ataupun Akta Penanggungan Ibu Bapa (APIB) 1995 di Singapura, atau Akta Pembiayaan Ibu Bapa 1998 di Filipina, selagi mana ia tidak bertentangan dengan hukum Syarak.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Saturday, August 14, 2010

Soaljawab Hak Muslim - Tidak tahan terpaksa bayar nafkah berterusan

Gaji dipotong RM800 sebulan walaupun bekas isteri sudah berkahwin lain

Soalan:
SAYA bercerai dengan isteri pada Mac lalu dan mempunyai seorang anak berumur tiga tahun. Sehingga hari ini gaji saya masih dipotong sebanyak RM800 atas perintah Mahkamah Syariah walaupun tanpa persetujuan dan kerelaan saya. Disebabkan potongan yang begitu tinggi menyulitkan hidup saya, kerana saya juga perlu membiayai nafkah anak bersama isteri pertama, tiga menuntut di institut pengajian tinggi dan dua di sekolah menengah. Apakah prosedur sebenar potongan gaji dan adakah masih perlu saya memberi nafkah kepada bekas isteri selepas idah walaupun khabarnya beliau sudah berkahwin lagi? Bagaimanakah penyelesaian boleh dilakukan memandangkan saya tidak begitu yakin dengan hakim yang mengendalikan kes ini daripada peringkat awal lagi. Nampaknya banyak berat sebelah kerana hakim tidak mahu mendengar hujah daripada saya.
Duda keliru,
Kuala Lumpur.

Jawapan:
Menurut undang-undang, perintah potongan gaji adalah sebahagian daripada perintah penguatkuasaan, iaitu selepas suatu perintah dikeluarkan mengenai bayaran wang sebelum itu gagal dilaksanakan orang yang dikenakan perintah.
Sebagai perintah penguatkuasaan, mahkamah boleh memerintahkan bayaran itu dibuat dengan cara potongan gaji kerana kegagalan mematuhi perintah mahkamah sebelum itu.
Potongan gaji boleh diperintahkan jika ketika perbicaraan saudara bersetuju dengan kaedah atau cara bayaran itu. Jika saudara tidak bersetuju dan mengemukakan alasan munasabah kenapa cara potongan gaji tidak wajar dilakukan, kebiasaannya mahkamah akan mempertimbangkan cara lain.

Saya tidak pasti sama ada saudara ada menyatakan bantahan terhadap cara potongan gaji itu ketika kes dibicarakan sebelum ini. Walau bagaimanapun, jika bantahan sudah dibangkitkan dan mahkamah masih memerintahkan gaji dipotong, saudara boleh memfailkan rayuan di mahkamah lebih tinggi kerana tidak berpuas hati dengan keputusan hakim.

Rayuan mestilah difailkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan tertakluk kepada prosedur dan tatacara rayuan. Akan tetapi, jika tempoh rayuan sudah tamat, saudara boleh kembali ke mahkamah sama dan memfailkan permohonan untuk mengubah dan menyemak semula kadar nafkah yang diperintahkan sama ada berpatutan atau tinggi untuk seorang anak.

Saudara juga boleh mengemukakan alasan kenapa jumlah RM800 itu tinggi dengan mengemukakan butiran tanggungan dan komitmen lain, termasuk terhadap anak dengan isteri sebelum itu.

Mahkamah akan memanggil semula bekas isteri dan mendengar keterangan serta hujah kedua belah pihak sebelum membuat sebarang keputusan mengubah kadar nafkah anak atau mengekalkannya.

Untuk makluman saudara, nafkah isteri hanya wajib disediakan suami sehingga tamat tempoh edah. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan hak suami untuk memberi nafkah kepada isteri dalam edah terhenti apabila tempoh edah tamat ataupun apabila isteri hidup dalam perzinaan.

Seksyen 65 (2) memperuntukkan: “Hak bagi seseorang isteri yang sudah bercerai untuk menerima nafkah daripada suaminya yang dulu di bawah sesuatu perintah mahkamah hendaklah terhenti apabila tamat edah atau apabila isteri itu hidup dalam perzinaan dengan seseorang yang lain.”
Saya menasihatkan saudara spaya mendapatkan nasihat daripada Peguam Syarie bertauliah di tempat saudara jika saudara masih tidak jelas dengan penerangan ini.

Jawapan disediakan Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang. Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo-.com. Sila layari http://peguam-syarie.blogspot.com

Monday, August 17, 2009

Tiada Had Tuntutan

Tiada had tuntutan
Metro Ahad, 16 Ogos 2009

KUALA LUMPUR: Walaupun belum mencapai ‘tahap Hollywood’ yang ada kalanya membabitkan angka tidak masuk akal, tuntutan perceraian di negara ini jelas menunjukkan peningkatan berdasarkan ‘dengan siapa aku berkahwin’.

Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata tuntutan nafkah mencecah jutaan ringgit oleh bekas isteri bukan perkara luar biasa.

“Ini kerana, selain hak membuat tuntutan, tidak wujud had atau garis panduan berkaitan berapa jumlah yang boleh dituntut oleh seorang wanita daripada bekas suami.

“Contoh paling mudah ialah nafkah semasa. Bagi individu biasa, mereka menuntut RM10 sehari untuk makanan, tetapi bagi golongan berada ia boleh mencecah RM300,” katanya.

Berkaitan ketidak seragaman itu, Musa memaklumkan, tuntutan nafkah tidak tetap kerana ia bergantung kepada pendapatan bulanan bekas suami.
Biasanya, mahkamah syariah hanya membenarkan tuntutan nafkah semasa berjumlah satu pertiga daripada jumlah keseluruhan pendapatan bulanan orang yang dituntut.

“Asas nafkah semasa ada tiga, iaitu keperluan tempat tinggal, makanan serta pakaian. Oleh itu, biasanya nafkah semasa jumlahnya kecil kerana ia diberi dalam bentuk bulanan, tetapi berlainan dengan nafkah tertunggak.

“Nafkah tertunggak boleh mencecah ratusan ribu ringgit kerana bekas suami gagal menjelaskan nafkah semasa yang perlu dibayar setiap bulan untuk tempoh lama seperti bertahun-tahun,” katanya.

Musa berkata, jika bekas suami gagal melunaskan nafkah mengikut perjanjian dan ia kali pertama berlaku, mahkamah akan mengarahkan bekas suami membuat bayaran mengikut kadar atau cara yang diterima kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, jika bekas suami masih ingkar, mahkamah ada kuasa untuk memutuskan cara pembayaran dibuat sama ada bayaran penuh, walaupun ia mencecah puluhan atau ratusan ribu ringgit, atau bayaran bulanan.

“Bayaran bulanan juga boleh dilakukan melalui potongan gaji daripada majikan bekas suami. Ia bergantung kepada kata putus mahkamah.

“Ada juga contoh di mana bekas suami mempunyai rumah sewa dan sewa kediaman berkenaan dimasukkan terus ke akaun anak sebagai bayaran nafkah,” katanya.

Berkaitan penyelesaian mutaah pula, Musa berkata, ia sagu hati perceraian yang wajib dibayar bekas suami kepada bekas isteri yang diceraikan tanpa sebab wajar menurut syarak.

Kerana itu ada di kalangan wanita membuat tuntutan mutaah dalam jumlah besar mencecah jutaan ringgit kerana berasakan hak mereka tidak dibela.

“Bagaimanapun, jumlah jutaan ringgit yang dituntut itu bukan jaminan untuk wanita memperoleh keseluruhannya. Ini kerana ia juga bergantung kepada kemampuan bekas suami,” katanya.

Dalam masa sama Musa mengingatkan, nafkah yang diberi bekas suami setiap bulan tidak boleh digunakan oleh bekas isteri kecuali untuk anak.

Menurut beliau, kerana itu, anak berumur 12 tahun ke atas boleh meminta wang nafkah berkenaan dimasukkan ke dalam akaun masing-masing.

“Jika ibu makan duit anak, ibu terbabit perlu menjawab di akhirat atas perbuatannya yang tidak amanah,” katanya.

Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM

 Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM MUSA AWANG Oleh AIMAN ALI 19 Jun 2025, 4:58 pm PETALING JAYA: Persatuan Peguam S...