Thursday, August 30, 2012

Musafir perlukan ruang solat selesa

Semua R&R, pusat beli belah patut sedia kemudahan surau

MUSA AWANG
Presiden PGSM

Berita Harian, Rabu 29 Ogos 2012.

(artikel asal)

Dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur dari kampung isteri di utara tanahair, saya singgah di hentian Ladang Bikam di Lebuhraya PLUS. Ketika sedang berehat di sebuah wakaf yang disediakan, satu keluarga saudara baru (muallaf) bertanyakan surau untuk solat Zohor. Saya terpaksa memberitahu bahawa surau berdekatan adalah terletak lebih kurang 30km di hadapan, iaitu di hentian Rehat & Rawat (R&R) Ulu Bernam.


Di hentian tersebut terdapat wakaf yang juga disediakan tikar sejadah serta tanda arah kiblat untuk mengerjakan solat, tetapi diletakkan papantanda ‘Tidak Digalakkan Untuk Solat Di Sini”. Saya juga tidak mengesyorkan kepada pasangan muallaf tersebut untuk bersolat di atas wakaf yang disediakan, kerana saya juga mempunyai pendapat yang sama, wakaf tersebut tidak sesuai untuk dijadikan tempat untuk solat. Ia sempit dan terlalu terbuka. Tambahan pula ada ahli kaum wanita dalam keluarga muallaf tersebut.

Bagi kaum lelaki, tidak menjadi masalah kepada mereka untuk solat di atas wakaf tersebut, hatta di tepi jalan atau di bawah pokok sekali pun. Tetapi keadaan ini berbeza bagi kaum wanita. Mereka perlukan tempat terlindung untuk mengambil wudhu, menukar pakaian sembahyang dan bersolat.

Kita boleh mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak konsesi lebuhraya kerana menyediakan surau yang selesa dan bersih untuk kemudahan orang Islam. Namun kemudahan tersebut hanya terdapat di hentian R&R sahaja. Semasa cuti perayaan atau cuti sekolah, akan berlaku kesesakan di R&R yang disediakan, dan sudah pasti ada pengguna Islam yang mencari alternatif untuk berhenti rehat dan solat di hentian-hentian biasa. Saya mencadangkan pihak berkenaan juga menyediakan tempat solat yang sesuai di hentian-hentian biasa dengan mengambilkira sensitiviti dan aurat kaum wanita.

Selaras dengan Perkara 3(1) Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, serta Perkara 3 (2) dan (5) yang meletakkan Raja atau Sultan sebagai ketua agama Islam bagi negeri dan Yang Di Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam bagi Persekutuan, maka usaha memartabatkan tempat-tempat bagi umat Islam menjalankan amalan ibadat juga hendaklah diletakkan pada tempat yang sesuai dan istimewa.


Malaysia menikmati kelebihan untuk menegakkan syiar Islam kerana ia diperuntukkan dengan jelas dalam undang-undang tertinggi Negara. Kerajaan juga mempunyai kuasa dan bajet yang besar serta terdapat banyak institusi agama untuk menjalankan usaha dakwah ini. Adalah sesuatu yang amat dikesali bila ada sebahagian stesen minyak dan pusat membeli belah tidak menyediakan kemudahan surau.

Prasarana yang sesuai untuk umat Islam mengerjakan ibadah solat samada di lebuhraya, pusat membeli belah atau stesen-stesen minyak adalah sebahagian dari usaha dakwah secara tidak langsung kepada bukan Islam. Ia juga mampu mengelakkan persepsi negatif kepada yang baru memeluk Islam seperti keluarga muallaf yang saya ceritakan di atas.

Dakwah dalam konteks yang lebih luas adalah mengajak umat manusia dengan hikmah dan kebijaksanaan untuk mengikuti petunjuk Allah dan Rasul-Nya. Firman Allah SWT bermaksud ; “Serulah (manusia) kepada jalan Rabb-mu dengan Hikmah dan pelajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Rabb-mu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan  Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (An-Nahl, ayat 125)

Di Malaysia, peningkatan saudara baru memeluk Islam menunjukkan peningkatan yang cukup baik, berpandukan statistik semenjak tahun 2000 sehingga 2009 jumlah saudara baru yang memeluk Islam di Malaysia ialah seramai 76,663 orang.

Tanggungjawab dakwah bukan sahaja terletak atas bahu pegawai jabatan agama Islam, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) atau Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sahaja, tetapi ke atas semua penganut agama Islam termasuk pihak yang menguruskan lebuhraya.

Ia berdasarkan kepada firman yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam ayat 124 yang bermaksud  “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), sertakamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.” (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Komitmen dakwah ini boleh dikategorikan sebagai dakwah bilhal iaitu dakwah melalui contoh tauladan yang baik dan ia kadang-kadang lebih berkesan dari dakwah melalui percakapan. Sebahagian besar persepsi negatif terhadap Islam adalah disebabkan umat Islam sendiri tidak menzahirkan Islam pada tingkahlaku mereka, atau mereka menzahirkan sesuatu yang negatif pada amalan-amalan Islam yang baik. Walaupun sembahyang di tepi jalan, di bawah pokok atau di atas wakaf tidak salah dari segi Syarak, tetapi jika kemudahan surau yang baik ada disediakan kenapa masih perlu berbuat demikian? Tidakkah ia akan menimbulkan tanggapan negatif di kalangan bukan Islam yang melihat perbuatan tersebut?

Umat Islam perlu memastikan golongan bukan Islam memandang Islam sebagai agama yang memberi jalan penyelesaian dan bukannya sebuah agamanya yang sulit dan menyusahkan. Sebelum bukan Islam mendekati Islam, mereka terlebih dahulu memerhatikan imej, penampilan dan setiap tindak-tanduk orang Islam. Wallahu’alam.

Saturday, August 25, 2012

Mengemis Cemar Maruah Islam



Perbuatan haram dan berdosa jika disertai tipu helah

Oleh Musa Awang
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Berita Harian
22 Ogos 2012

Senario didatangi pengemis buta semasa sedang menjamu selera di kedai makan mungkin sudah biada dilalui semua orang. Begitu juga pengemis berkaki kudung mengemis di pasar malam, atau menjadikan bayi dan kanak-kanak sebagai umpan. Kanak-kanak juga mengemis di pam minyak atau di kawasan perniagaan. Trend terbaru, pengemis menunggu di simpang lampu isyarat, membawa kitab atau tasbih dan mengemis dari tingkap ke tingkap kereta.

Pertengahan Ramadhan lalu, dua adik beradik warga emas berketurunan Cina bukan Islam yang menyamar sebagai pengemis Muslim dengan memakai jubah dan bertudung labuh, bagi menagih simpati pengunjung bazar Ramadhan ditahan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Mereka dipercayai memperoleh pendapatan sekitar RM300 sehari.

Ada banyak faktor yang mendorong seseorang mengemis. Kefakiran, kemiskinan, mengalami kesulitan untuk menampung keperluan keluarga sehari-hari. Sementara itu, mereka tidak memiliki keterampilan atau kepakaran khusus yang dapat dimanfaatkan untuk menghasilkan wang. Kanak-kanak yatim, orang-orang cacat, janda-janda miskin, orang-orang tua sering kelihatan mengemis kerana keadaan mereka boleh menarik simpati orang ramai untuk memberikan wang.

Ada juga yang menjadi mangsa sindiket, terpaksa mengemis untuk membayar hutang, ajaran sesat, rumah kebajikan yang memeras kanak-kanak di bawah jagaan mereka, dan sebagainya. Ada kelompok pengemis yang benar-benar menderita, perlukan bantuan untuk mencari makan sehari-hari. 

Pengemis Pintar
Manakala sebahagian yang lain adalah kelompok pengemis yang pintar bersandiwara dan tipu muslihat, mengetahui rahsia-rahsia dan teknik-teknik mengemis, serta memiliki pengalaman untuk mengaburi pandangan masyarakat, seperti bagaimana menarik simpati dan belas kasihan orang lain.

Kadang-kadang disebabkan kelompok yang kedua ini, kita menjadi keliru dan teragak-agak untuk memberikan derma atau sedekah, kerana tidak yakin adalah mereka golongan yang betul-betul memerlukan bantuan, atau sekadar berlakun dan meraih keuntungan. 

Hukum mengemis dalam Islam adalah haram, kecuali bagi orang yang ditimpa musibah, orang yang berhutang dan orang yang memang hidupnya melarat. 

Syarat minta bantuan
Dari Qabishah bin Al Mukhariq Al Hilaly, Rasulullah s.a.w bersabda, “Hai Qabishah, meminta-minta tidak dihalalkan kecuali bagi tiga orang : Pertama, seorang yang menanggung hutang yang dilunaskan dalam usaha mendamaikan dua pihak yang bertikai), maka ia boleh meminta bantuan hingga ia dapat menutupi hutangnya kemudian berhenti meminta. Kedua, seorang yang tertimpa musibah sehingga menghabiskan seluruh hartanya, maka ia boleh meminta bantuan hingga ia memperoleh apa yang dapat menjadi sandaran hidupnya. Ketiga, seseorang yang ditimpa kesengsaraan, sehingga tiga orang yang berakal dari kaumnya membuat penyaksian bahawa : “Si Fulan telah ditimpa kesengsaraan”, maka ia boleh meminta bantuan hingga ia memperoleh apa yang dapat memenuhi keperluannya. Meminta-minta selain dari tiga keadaan hai Qabishah, adalah haram, dan barang yang dimakan oleh si peminta-minta adalah barang yang haram.” [HR Muslim]

Meminta-minta dengan berbohong dan menipu adalah nyata haram. Ia bukan sahaja berdosa, perbuatan tersebut juga mencemari perbuatan baik dan merampas hak orang-orang miskin yang memang berhajatkan bantuan. Diriwayatkan dari Sahabat ‘Abdullah bin ‘Umar , ia berkata : Rasulullah bersabda: “Seseorang senantiasa meminta-minta kepada orang lain sehingga ia akan datang pada hari Kiamat dalam keadaan tidak ada sekerat daging pun di wajahnya.”

Mengemis sedangkan mempunyai kemampuan dan kewangan juga adalah di larang oleh Islam. Dari Ibnu Mas’ud, bahawa Rasulullah s.a.w  bermaksud “Barangsiapa meminta-minta kepada manusia sementara ia memiliki kemampuan maka ia datang pada hari kiamat dengan bekas cakaran di wajahnya”. Ada yang bertanya, “Apakah batas kemampuan itu ya Rasulullah?” Baginda bersabda, “50 dirham atau emas yang seharga dengan itu.” [HR Abu Dawud, Tirmidzi,  Nasa', Ibnu Majah, Ahmad & Ad Darimi]

Meminta sumbangan untuk kepentingan kaum muslimin, bukan kepentingan peribadi kelihatan seperti mengemis dan meminta-minta tetapi sebenarnya ia dibolehkan dalam Islam. Pesan Rasulullah s.a.w kepada para pemimpin perang ketika sebelum berangkat ke medan peperangan, “Jika mereka (orang-orang  kafir  yang  diperangi)  tidak  mahu  masuk  Islam  maka mintalah Al-Jizyah dari mereka! Jika mereka memberikannya maka terimalah dan tahanlah dari (memerangi)  mereka! Jika  mereka  tidak  mahu  menyerahkan  Al-Jizyah  maka mintalah pertolongan kepada Allah dan perangilah mereka!” [HR. Muslim, Abu Dawud & Ahmad]

Rasulullah s.a.w juga pernah meminta bantuan seorang tukang kayu untuk membuatkan mimbar untuk masjid. Sahl bin Sa’d As-Sa’idi r.a berkata bahawa “Rasulullah s.a.w pernah mengutus kepada seorang wanita: “Perintahkan anakmu yang tukang kayu itu untuk membuatkan untukku sebuah mimbar sehingga aku bisa duduk di atasnya!” [HR Al-Bukhari, An-Nasa’i & Ahmad]

Jatuh maruah ummah
Seseorang Islam yang mengemis boleh menyebabkan kesucian agama Islam dan institusinya dipandang hina. Mereka boleh boleh didakwa di bawah undang-undang jenayah Syariah. Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 memperuntukkan "Mana-mana orang yang dengan perkataan yang dapat didengar atau dibaca atau dengan lukisan, tanda atau bentuk lain gambaran yang tampak atau yang dapat dilihat atau dengan apa-apa cara lain :- (a) menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina; (b) mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam; atau  (c) mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di Negeri ini yang berhubungan dengan agama Islam, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya."

Sesungguhnya Allah cintakan hamba-Nya yang penat dalam mencari yang halal. Mengemis adalah salah satu cara mencari harta yang tidak terhormat dan menjatuhkan maruah umat Islam. Sebagai muslim jangan sampai meminta-minta atau mengemis agar kita mendapat jaminan surga dari Rasulullah saw sebagaimana sabdanya: “Barangsiapa yang menjamin kepadaku bahawa ia tidak meminta sesuatu kepada orang, aku menjamin untuknya dengan syurga.” (HR Abu Daud & Hakim).

Friday, August 17, 2012

PERUTUSAN AIDILFITRI 1 SYAWAL 1433H


18 OGOS, 2012

PERUTUSAN AIDILFITRI, 1 SYAWAL 1433H

oleh Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
kepada seluruh Peguam Syarie, Pelatih Dalam Kamar dan seluruh masyarakat Islam.

Assalamualaikum w.b.t

Syukur ke hadrat Allah s.w.t, solawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w.

InsyaAllah, kita semua akan menyambut 1 Syawal 1433H. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri khususnya kepada seluruh Peguam Syarie, Pelatih Dalam Kamar, pelajar-pelajar Syariah dan undang-undang di universiti-universiti tempatan dan luar Negara, serta seluruh umat Islam ; Taqabbalullah minna waminka (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).”

Aidilfitri adalah hari kemenangan bagi umat Islam yang bertakwa, setelah sebulan menahan lapar dan dahaga serta berjuang mengawal nafsu sepanjang Ramadhan. Aidilfitri juga adalah hari kesyukuran kerana kita kembali kepada fitrah kejadian manusia yang perlu makan dan minum di siang hari. Setelah melaksanakan ibadat puasa selama sebulan dengan sempurna, kita bukan sahaja mendapat rahmat malah mendapat keampunan daripada Allah dan pembebasan daripada api neraka. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan semata-mata kerana Allah nescaya diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu" [HR Bukhari].

Oleh itu, setelah kita mendapat keampunan Allah s.w.t, maka sudah tentulah kita menjadi seperti kembali kepada fitrah, laksana bayi yang baru dilahirkan. Maka kemenangan dan kesyukuran ini tidak wajar sama sekali diraikan dengan membakar mercun atau bunga api, atau menyambutnya dengan melakukan amalan dan acara-acara yang sama sekali bercanggah Syarak, tetapi sambutan ini perlu diisi dengan pujian terhadap Allah s.w.t, melahirkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t dengan bertakbir dan bertahmid, dan bersifat ihsan kepada insan yang lain sebagai salah satu tanda kesyukuran itu.

Rakan-rakan Peguam Syarie, serta seluruh umat Islam sekalian.
Kita disyariatkan untuk melaungkan takbir bermula dari tenggelamnya matahari akhir Ramadan sehingga sejurus sebelum  solat Aidilfitri didirikan, dengan suara yang nyaring secara beramai-ramai dan dengan penuh  bersemangat. Firman Allah s.w.t : ”… dan juga supaya kamu mencukupkan  bilangan puasa (sebulan Ramadan), serta kamu bertakbir (membesarkan) Allah kerana telah mendapat pertunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur” [al-Baqarah:185].

Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan qiyamullail, maka semangat mengerjakan qiyam Ramadan haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnya sesudah bulan Ramadan. Kita juga disunatkan menunaikan puasa 6 hari pada bulan Syawal.

Disunatkan mandi di pagi hari raya, sebelum solat Aidilfitri, sama ada bagi orang yang akan pergi menunaikan solat maupun tidak. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab : “Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri."

Disunatkan memakai pakaian yang terbaik dan indah yang ada untuk pergi menunaikan solat Aidilfitri serta memakai wangi-wangian. Imam Syafie r.a berkata : Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian. [Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’i]

Disunatkan menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala prasangka atau andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Anas bin Malik r.a berkata: “Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata : Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” [HR al-Bukhari]

Disunatkan juga pergi menuju ke tempat solat Aidilfitri melalui satu jalan dan balik melalui jalan yang lain.

Memohon maaf dan memaafkan kesalahan orang lain adalah amalan amat mulia dan merupakan suatu tradisi yang patut dijadikan amalan. Ia mesti dilakukan dengan ikhlas, di samping membina keazaman untuk tidak mengulangi perbuatan salah yang boleh menyinggung, menghina dan menjadikan orang lain berkecil hati dengan sikap dan perbuatan kita.

Ziarah menziarahi sanak saudara dan sahabat handai, bermaaf-maafan antara satu sama lain bermula dari orang yang paling hampir seperti ibu bapa, suami isteri anak-anak, kaum kerabat dan rakan dan taulan, dan banyakkan bersedekah kepada fakir dan miskin. Ziarah kita dengan anak-anak harus dapat memperkenalkan kepada mereka kaum keluarga lain.

Tazkirah ada di sekeliling kita. Apa sahaja yang mengembalikan ingatan kita kepada keesaan Allah s.w.t dan kekerdilan diri kita di sisi Allah s.w.t adalah suatu tazkirah. Menziarahi pusara sanak saudara yang telah meninggal dunia merupakan suatu tazkirah yang mengingatkan kita bahawa kita juga akan kembali kepada Allah s.w.t seperti mereka.

Menziarahi orang tua yang uzur, menginsafi diri kita bahawa kita juga akan tua. Bayangkan diri kita bakal menjadi seperti orang tua yang kita ziarahi. Ia memberikan kita keinsafan bahawa tidak ada sesuatu yang kekal di alam ini, melainkan Allah s.w.t.

Memberi sedekah kepada orang miskin, fakir dan anak yatim juga adalah satu tazkirah, mengingatkan kita bahawa kita perlu bersyukur dengan rezeki yang Allah s.w.t kurniakan, sentiasa membantu insan yang memerlukan, dan di dalam harta-harta yang kita perolehi sebenarnya ada hak insan yang kurang bernasib baik.

Rakan-rakan Peguam Syarie, serta seluruh umat Islam sekalian.
Janganlah kita rosakkan hari kemenangan selepas bergelut dengan cabaran hawa nafsu dengan menyerahkan diri dirasuk oleh pengaruh iblis dan syaitan semula.

Kebesaran Allah s.w.t yang dilafazkan dalam takbir dan tahmid di Aidilfitri adalah lambang perubahan diri untuk melakukan sebanyak mungkin kebaikan dan menghindarkan kemungkaran walaupun sedikit. Itulah natijah Ramadan yang kita lalui dan maksud Syawal yang bakal dirayakan.

Rakan-rakan Peguam Syarie sekalian.
Insya-Allah pada bulan September ini, PGSM akan mengadakan aktiviti-aktiviti berikut –

• Jumaat 14 September 2012, jam 12.00 tengahari hingga 3.30 petang - Majlis Sambutan Aidilfitri PGSM bertempat di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Jemputlah datang beramai-ramai. (Pengarah - Puan Noorafizah Abdul Aziz)
• Pada hari yang sama, jam 10.30 pagi - Pelancaran Klinik Guaman Syarie Percuma PGSM bertempat di Bilik Tauliah, Tingkat 4 MSWP Kuala Lumpur. (Pengarah - Puan Shanizah Ngatiman)
• Jumaat, 21 September, 2012, jam 9.30 pagi hingga 1.00 tengahari – Muzakarah Arahan Amalan JKSM-PGSM bertempat di Bilik Seminar, Tingkat 4 MSWP Kuala Lumpur. (Pengarah - TH Azmi Tan Sri Rais)
• Jumaat, 21 September, 2012, jam 3.00 petang – Kelas Tafaqquh bertempat di Pusat Gerakan PGSM, Seksyen 23, Shah Alam, Selangor. (Pengarah - Tn Mohd Azlin (Yup)).
• Sabtu, 22 September, 2012 – Program Latihan Peguam Syarie YBGK-PGSM peringkat Negeri Sembilan. (Pengarah - Puan Suziyani Mat Jusoh)
• Jumaat, 28 September, 2012 – Lawatan HELWA ke Baitul Ehsan, Sabak Bernam. (Pengarah - Puan Noorafizah Abd Aziz)

Marilah sama-sama kita menghidupkan program yang dirancang ini. Boleh hubungi Sekretariat PGSM atau Pengarah program berkenaan, untuk maklumat lanjut.

Akhir kata, sekali lagi, saya mewakili semua pimpinan PGSM Sesi 2012-2015 mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri. Kepada yang pulang ke kampong, berhati-hati memandu dan berikan konsentrasi sepenuhnya kepada pemanduan. Semoga selamat tiba ke destinasi. Maafkan jika ada salah silap saya dan semua pimpinan di bawah saya, kemaafan zahir dan batin. Taqabbalullah minna waminka. Wallahu’alam.

“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak.”

MUSA AWANG
Presiden PGSM
Sabtu, 18 Ogos 2012.

Wednesday, August 1, 2012

Elak bicara kes aibkan individu


Peguam Syarie disaran damaikan pihak bertelagah hormati Ramadhan

Oleh Musa Awang
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia


Peguam Syarie Menulis
Berita Harian, Rabu 1 Ogos 2012

Ramadhan merupakan suatu bulan termulia di dalam bulan-bulan Islam, yang amat dinantikan oleh umat Islam yang cintakan Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Penurunan Al-Quran di dalam bulan Ramadhan menjadikan bulan ini sangat istimewa.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud “Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah”. [Al-Baqarah 2:185]

Di dalam bulan Ramadhan juga terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu malam sebagaimana firman-Nya bermaksud “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.” [al-Qadr 97:1-3]

Selain itu, pada bulan ini diampunkan dosa-dosa yang lepas bagi mereka yang berpuasa dengan penuh iman dan azam. Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh Allah mengampun dosa-dosanya yang telah lalu, dan barangsiapa yang bersolat pada malam Lailatul Qadar dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh, Allah mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” [HR al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Nasa’i]

Ramadhan merupakan madrasah kerohanian, kerana di bulan ini seorang Islam bukan sahaja dilatih mengawal diri dari makan dan minum, juga mengawal keinginan nafsu syahwat, menahan diri daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar, dan memperbanyakkan membaca Al-Quran, berzikir kepada Allah, bersedekah, dan melakukan amal ibadat.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud “Bukanlah puasa itu sekadar menahan diri daripada makan dan minum akan tetapi menahan diri daripada perkataan sia-sia dan kotor. [HR al-Hakim dan dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir]

Prosiding kes di Mahkamah Syariah masih diteruskan walaupun pada Ramadhan, bagi mengelakkan berlaku penangguhan atau kelewatan dalam menyelesaikan masalah masyarakat Islam. Namun pihak-pihak atau Peguam Syarie yang menguruskan kes perlu mengelak dari membicarakan aib pihak lawan di bulan yang mulia ini.

Kes seperti pengesahan lafaz cerai, faraid, pembahagian harta sepencarian, permohonan wali Hakim dan seumpamanya mungkin boleh diteruskan kerana tidak ada aib yang perlu didedahkan.

Tetapi perbicaraan bagi kes seperti fasakh, perceraian, hadhanah, nusyuz dan seumpamanya wajar ditangguhkan sehingga tamat bulan Ramadhan, kerana dalam kes ini aib pihak lawan yang tidak sedap didengar perlu didedahkan untuk mendapatkan keadilan.

Rasulullah s.a.w pernah mengingatkan, jika mahu aib kita dilindungi Allah daripada di buka dan di paparkan di padang Mahsyar, maka jangan sekali-kali membuka aib orang semasa di dunia.

Sabda Baginda s.aw yang bermaksud “Barang siapa menutup aib seseorang Islam, maka Allah akan tutupkan aibnya di dunia dan di akhirat. [HR at-Tirmidzi]

Semasa Ramadhan, dugaan semakin kuat. Manusia akan menjadi cepat marah, samada orang yang berurusan di mahkamah, peguam syarie hatta hakim syarie.

Untuk mengekang perasaan marah semasa berselisih atau berbantah, maka Rasulullah s.a.w menyuruh umatnya supaya mengawal lidah dengan cara diam seperti sabda baginda :“Apabila seseorang kamu sedang marah, maka hendaklah dia diam”. [HR Ahmad]

Berbicara dalam kedaan marah akan mudah dikuasai oleh emosi dan nafsu yang membawa kepada penyesalan yang berpanjangan. Menurut syarak, seseorang hakim dilarang dari mendengar sesuatu kes apabila dia berkeadaan tidak tenang, seumpama dia berkeadaan marah, lapar, haus, mengantuk, letih dan tidak sihat.

Maka perbicaraan yang panjang atau yang membuka aib mana-mana pihak atau yang boleh menimbulkan kemarahan di bulan mulia ini sewajarnya dielakkan.

Pada Ramadhan ini, Peguam Syarie disarankan lebih berperanan mendamaikan pihak-pihak yang bersengketa, dengan cara sulh atau persetujuan bersama (consent judgement). Galakan Allah s.w.t untuk mengadakan perdamaian terdapat dalam al-Quran : “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” [al-Hujurat 49 : 10].

Kesempatan Ramadhan seharusnya dimanfaatkan oleh pihak-pihak dengan menundukkan ego masing-masing dan memaafkan satu sama ain. Perselisihan atau perseteruan mungkin timbul lantaran ada pihak yang melakukan perbuatan aniaya dan pihak lain merasa teraniaya.

Jika pihak yang bersalah tidak mahu meminta maaf, dan pihak yang merasa teraniaya juga enggan memaafkannya, maka perselisihan tersebut akan berpanjangan. Tetapi dengan adanya kemaafan dapat menyelesaikan perselisihan dan perseteruan. Firman Allah s.w.t : “Jadilah engkau pema’af dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf, serta berpalinglah dari pada orang-orang yang bodoh.” [al-A’raf : 199]

Kemaafan juga dapat menghilangkan rasa benci, dengki dan dendam, menyambung silaturrahim yang telah putus, memperkukuhkan ukhuwwah Islamiyah, menghilangkan rasa permusuhan, melahirkan sifat tawaddu’, menghilangkan sifat sombong dan angkuh, menjadikan hati tenang dan tenteram, dapat menghapus dosa dan memudahkan jalan ke syurga.

Sabda Rasulullah s.a.w : ”Terbuka pintu syurga pada tiap hari Isnin dan Khamis, maka Allah berkenan pada hari itu untuk mengampunkan setiap orang yang tidak mempersekutukan Allah dgn sesuatu apapun, kecuali kepada orang yang masih bersengketa antaranya dengan saudaranya, maka dikatakan Allah kepada malaikat, Tangguhkan kedua orang itu sehingga mereka berdamai”. (HR at-Tirmidzi)

- E-mel : PGSM boleh dihubungi di sekretariatpgsm@yahoo.com 

Kelantan Lulus Hukum Sebat Khalayak Ramai, PINDAAN TAK BERCANGGAH PERLEMBAGAAN

Berita Harian Jumaat, 14 Julai 2017 KELANTAN LULUS HUKUM SEBAT KHALAYAK RAMAI Pindaan tak bercanggah Perlembagaan Pindaan ...