Monday, August 12, 2019

musa awang: Pindaan enakmen selaras peruntukan Perlembagaan

musa awang: Pindaan enakmen selaras peruntukan Perlembagaan: Perbincangan, penelitian semula perlu dilaksana elak isu terus berpanjangan Berita Harian  12 Aug 2019 Oleh Mohd Nasaruddin Parzi...

Pindaan enakmen selaras peruntukan Perlembagaan


Perbincangan, penelitian semula perlu dilaksana elak isu terus berpanjangan

Berita Harian 
12 Aug 2019
Oleh Mohd Nasaruddin Parzi
bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Cadangan pindaan enakmen berkaitan penukaran agama anak di bawah umur bukan isu peluk Islam sebelah pihak, sebaliknya bagi menyelaras Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata pindaan dicadang itu untuk diselaras dengan peruntukan Perkara 12(3) dan 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, kekhuatiran dan perbezaan pendapat yang timbul ketika ini mungkin kerana mereka mahu mengekalkan apa yang sedia ada dalam enakmen pentadbiran yang menggunakan perkataan ‘dan’.

“Walaupun dengan mengekalkan itu, ia sebenarnya bertentangan dengan peruntukan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada BH.

Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan menyebut tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri.

Sementara Perkara 12(4) menjelaskan, bagi maksud fasal (3), agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaga.

Perbezaan pendapat berkenaan isu pindaan enakmen ini wujud susulan pendirian DAP Selangor menyatakan pihaknya tidak akan menyokong mana-mana Rang Undang-undang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang bercadang membenarkan penukaran agama kanak-kanak bawah umur secara sepihak oleh seorang daripada ibu bapa mereka.

Beliau berkata, peruntukan itu berbeza dengan Seksyen 117 (Keupayaan untuk memeluk 
agama Islam) di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003.

“Bagi maksud bahagian ini (Seksyen 117), seseorang yang tidak beragama Islam boleh memeluk agama Islam jika dia sempurna akal dan ;- (a) sudah mencapai umur 18 tahun; atau (b) jika dia belum mencapai umur 18 tahun, ibu dan bapa atau penjaganya mengizinkan pemelukan agama Islam olehnya,” katanya.

Musa berkata, cadangan pindaan enakmen itu juga tidak menyentuh mengenai kekeluargaan Islam secara keseluruhan, sebaliknya hanya berkait dengan pihak yang asalnya beragama bukan Islam, kemudian salah seorangnya memeluk Islam dan ingin membawa anaknya ke dalam Islam.

Katanya, cadangan pindaan itu tidak memberi kelebihan kepada pasangan beragama Islam saja kerana sudah pun ada keputusan di Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Ghandi dan bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah, tahun lalu.

“Mahkamah Persekutuan membuat keputusan Perlembagaan tidak boleh ditafsir secara harfiah dan persetujuan kedua-dua ibu bapa diperlukan sebelum individu bawah umur menukar agama,” katanya.

Beliau berkata, apabila timbul isu dan bantahan pihak tertentu berkenaan cadangan pindaan ini, maka jalan terbaik adalah menerusi perbincangan dan penelitian semula.
“Bantahan timbul mungkin disebabkan tidak jelas atau tidak faham,” katanya.

Cadangan pindaan itu tidak memberi kelebihan kepada pasangan beragama Islam saja kerana sudah pun ada keputusan di Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Ghandi dan bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah, tahun lalu.



Musa Awang, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...