Sunday, June 21, 2009

Henti polemik benarkan Chin Peng pulang ke Malaysia

Oleh Musa Awang

Rakyat masih tak dapat lupa kekejaman PKM dalam memperjuangkan ideologi komunis

PERSATUAN Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyokong penuh pendirian kerajaan tidak membenarkan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng kembali ke Malaysia.

Sokongan ini adalah berdasarkan kepada alasan berikut:

Masyarakat Malaysia hari ini perlu melihat sejarah hidup Chin Peng sejak kecil, yang berminat sekali membaca bahan media cetak dan menyoroti perkembangan di negara China ketika itu.

Pada 1940, dia diterima untuk menyertai PKM iaitu satu cabang Parti Komunis China di seberang laut ketika umurnya baru saja 18 tahun. Bayangkan beliau mendalami fahaman komunis sejak kecil dan mustahil untuknya melupakan fahaman itu walaupun usianya sekarang sudah lewat 80-an.

Kesan jangka panjang yang ditinggalkan oleh Chin Peng dan pengikutnya ke atas masyarakat Malaya, China dan India pada waktu itu, bermaharajalela membunuh pemimpin tempatan, penghulu, imam kampung, penduduk, menyerang ladang, gudang getah, rumah asap dan rumah pengurus milik orang British, sehingga menimbulkan kemarahan orang Melayu yang bangkit untuk menentang komunis.
Falsafah komunis yang mengamalkan ateisme, prinsip utama komunisme yang ditulis oleh Karl Marx tidak mempercayai tuhan dan menyatakan bahawa agama itu adalah candu manusia.

Walaupun dikhabarkan ada pemimpin Melayu PKM mengamalkan prinsip keagamaan seperti Ra-shid Maidin, Abdullah CD dan Suraini Abdullah tetapi tindakan kejam dan ganas mereka bercanggah dengan ajaran Islam.

Orang Melayu Islam secara keseluruhannya menolak cara ganas dan tidak berperikemanusiaan komunis. Perjuangan komunis tidak boleh dianggap sebagai perjuangan untuk kemerdekaan kerana mereka hanya berjuang untuk kepentingan PKM dan kepentingan peribadi, bukan untuk kemerdekaan Malaya.

Ini terbukti apabila mereka tetap meneruskan taktik ganas ala gerila walaupun selepas Malaysia mencapai kemerdekaan. Mereka juga masih berada dalam hutan tebal negara sehingga diasak keluar ke sempadan Thailand oleh pasukan keselamatan negara, walaupun ketika itu negara sudah merdeka.
Stigma terpahat dalam minda rakyat Malaysia bahawa PKM dan tangan Chin Peng itu diselaputi darah dan dendam yang menebal di kalangan anggota pasukan keselamatan dan orang awam yang menjadi mangsa kepada kekejaman perjuangan yang dipimpinnya.

Isu kepulangan Chin Peng ke tanah air walaupun pada mulanya dibangkitkan oleh seorang pemimpin Parti Gerakan (satu komponen dalam Barisan Nasional) tetapi kemudian disokong oleh parti pembangkang kerana dilihat boleh memberikan keuntungan politik kepada mereka.

Parti ini bercakap soal kepulangan Chin Peng sedangkan ada banyak lagi isu lain yang perlu diperjuangkan. Saranan ini juga sama sekali tidak mengambil kira sensitiviti mangsa yang menjadi korban atau kesengsaraan yang dilakukan oleh Chin Peng dan konconya.

Dengan keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan Chin Peng pulang maka semua pihak terutama dalam parti kerajaan harus patuh kepada pendirian itu. Mereka tidak perlu membangkitkan lagi isu sensitif seumpama ini hanya semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan sesebuah parti.

Pada 30 April lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rendah yang meminta Chin Peng menunjukkan dokumen pengenalan sebelum dibenarkan memasuki negara ini.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk S Augustine Paul yang bersidang bersama Hakim Datuk Hashim Yusof dan Datuk Wira Ghazali Mohd Yusof membuat keputusan itu selepas menolak usul Chin Peng memohon kebenaran untuk rayuan.

Keputusan Mahkamah Persekutuan ini adalah penghakiman tertinggi yang seharusnya dihormati oleh setiap warga negara ini. Jadi isu ini tidak lagi harus ditimbulkan dan menjadi polemik yang belum nampak tanda kesudahannya.

Penulis ialah Timbalan Presiden PGSM

Bimbang pelajar abai subjek Agama

Baru-baru ini isu Kementerian Pendidikan nak hadkan 10 matapelajaran sahaja kepada pelajar SPM. Dari satu segi nampak bagus, tapi bila difikir balik, ada keburukannya. Saya ada juga buat kenyataan media, tetapi hanya akhbar Kosmo sahaja yang siarkan. Apa pun keputusan terbaru kabinet masih hadkan 10 subjek, cuma pelajaran aliran sains agama dibenarkan hingga 11 subjek. Moga2 apa pun yang dilakukan tidak memberi kesan negatif kepada anak2 kita...

Kosmo 4 Jun 2009
Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my
KUALA LUMPUR - Persatuan Peguam Syarie Malaysia bimbang keputusan Kementerian Pelajaran mengurangkan subjek teras daripada enam kepada empat dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan membuatkan pelajar Islam tidak memilih subjek Agama dalam SPM.

Timbalan Presidennya, Musa Awang berkata, jika itu berlaku, beliau bimbang ia akan menghasilkan satu generasi yang tidak mengenali atau keliru dengan agamanya.
Menurut beliau, pengurangan subjek teras itu adalah ekoran keputusan Kementerian Pelajaran yang mengehadkan pengambilan subjek dalam peperiksaan SPM kepada 10 bermula tahun depan.

"Perubahan drastik ini amat mengejutkan lebih-lebih lagi ketika konsep peperiksaan terbuka sebelum ini baru sahaja diperkenalkan.

"Jika dikatakan masalah ini timbul kerana bebanan akademik terhadap pelajar, kami berpendapat masalah ini tidak timbul kerana mereka berkeupayaan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Dilema 'orang ketiga'

Oleh SOFIATUL SHIMA WAN CHIK dan
SITI NOR AFZAN KASIMAN
ahad@kosmo.com.my
________________________________________
31 Mei 2009

KEHADIRAN orang ketiga sering dikaitkan sebagai punca keruntuhan rumah tangga selebriti. Kemunculan pelakon Memey Suhaiza menyebabkan Norman Hakim dan Abby Abadi bercerai.

Pelakon Fasha Sandha pula dicop pengacau rumah tangga Nora Danish dan Rizal hingga akhirnya mereka bercerai. Terbaru, penyanyi Waheeda pula dilibatkan dalam pergolakan rumah tangga Akhil Hayy dan Maizawati Zainal.
Bagaimanapun, menuding jari kepada seseorang memanglah mudah, namun menjadi orang yang dituduh menyebabkan rumah tangga orang lain runtuh adalah satu pengalaman yang menyakitkan.

“Sewaktu saya mengalami keadaan ini, macam-macam perasaan yang saya rasa.
“Orang luar pula sibuk memberi pandangan malah tohmahan. Saya pernah berada dalam keadaan itu dan saya faham perasaan mereka yang digelar orang ketiga,” luah Memey kepada Jurnal.

Menurut Memey, apa yang beliau lakukan ketika itu ialah berdiam diri kerana terlalu banyak memberi kenyataan akhbar akan merumitkan lagi keadaan.
“Masalah timbul apabila kita tidak berhadapan dengan pihak yang berkenaan tetapi hanya mendapat tahu melalui media.
“Orang ramai pula membuat pelbagai spekulasi dan mereka hanya nampak salah orang ketiga,” katanya yang mengaku sudah puas menangis akibat tekanan perasaan. Pada masa itu, kata Memey, beliau sekadar mendekatkan diri dengan keluarga sebab mereka yang paling penting dalam hidupnya.

Bagi Waheeda, beliau tetap menganggap dirinya bukan penyebab kekecohan rumah tangga Akhil dan Maizawati.

“Terpulang orang hendak kata apa pada saya. Saya tak kisah jika dikatakan perampas atau menjadi punca perceraian mereka. Lagipun saya sudah lali dengan tohmahan orang,” komen pelantun lagu Wassini ini.

Beliau menambah: “Biarlah saya terus bersabar selagi saya mampu. Apa saja tohmahan orang, saya reda.”
Walaupun tidak menuduh Waheeda, Maizawati mengakui kehadiran pihak ketiga menjadi salah satu faktor kepada keruntuhan sesebuah rumah tangga.
“Ya, sedikit sebanyak faktor orang ketiga menyebabkan keruntuhan rumah tangga seseorang.

“Saya tidak berani untuk memberi pandangan lanjut, tetapi saya percaya bahawa dia (orang ketiga) memainkan peranan dalam kemusnahan rumah tangga,” katanya.


________________________________________

Teman sosial
Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman mengakui kehadiran orang ketiga seringkali dikaitkan sebagai punca hubungan suami isteri bergoncang.

“Namun orang ketiga bukan punca utama perceraian. Mengikut Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keempat yang dijalankan LPPKN pada tahun 2004, cuma 12 peratus perceraian berpunca daripada kehadiran orang ketiga. Ia merujuk kepada pasangan curang dan isteri enggan dimadukan.
“Sebaliknya, tiada persefahaman antara pasangan, iaitu sebanyak 42 peratus, merupakan punca utama perceraian,” jelas Aminah.


FASHA SANDHA paling hangat dikaitkan sebagai punca pergolakan rumah tangga orang lain.
________________________________________

Tambah beliau, isu main kayu tiga atau curang semakin mudah berlaku apabila pasangan mengambil kesempatan atas kemudahan teknologi telekomunikasi seperti sistem pesanan ringkas (SMS), mesej bergambar (MMS) dan laman jaringan sosial seperti Facebook, Myspace dan Friendster untuk menambah kenalan.

“Mereka mungkin teman profesional yang akhirnya menjadi teman sosial, rakan sekerja atau orang yang baru dikenali tetapi mempunyai keserasian semasa bersama.
“Apabila wujud keadaan seseorang tertarik atau ditarik seseorang, konflik mula timbul di antara pasangan suami isteri walaupun berpunca daripada perkara remeh.
“Pada tahap ini, suami atau isteri mula mencipta alasan untuk mereka mencari pasangan hidup yang lebih sempurna,” kata Aminah.

Penceramah agama yang juga bekas peguam, Abdul Hakim Othman berpendapat majoriti perceraian berlaku disebabkan oleh pihak suami atau isteri tidak memahami pasangan masing-masing.

“Kadang-kadang wanita memohon cerai disebabkan emosi dan tidak sanggup berkongsi kasih dengan madu. Namun pada pihak suami mungkin ada kaedah lain seperti berpoligami.
“Poligami sering dipandang negatif kerana pelakunya yang tidak bertanggungjawab, bukan disebabkan konsep poligami itu sendiri,” ujarnya yang menafikan pernah menjadi peguam kepada penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza seperti yang dilaporkan akhbar sebelum ini.

Dalang boleh dipenjara 6 bulan

TIMBALAN Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang mendedahkan terdapat peruntukan dalam undang-undang syariah bahawa dalang yang menyebabkan perceraian boleh disabit kesalahan di Mahkamah Syariah.

“Enakmen jenayah ini termaktub di setiap negeri. Malah keluarga sendiri mahupun mertua juga boleh didakwa kalau ada cukup bukti.

“Jika disabitkan kesalahan individu berkenaan boleh didenda RM3,000 atau penjara selama setahun ataupun kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Bagaimanapun, Musa memberitahu, enakmen jenayah itu hanya boleh diguna pakai selepas berlaku perceraian.
“Mungkin sebab itulah ramai yang tidak ambil kisah kerana perceraian telah pun berlaku. Jadi apa lagi nak dikecohkan.
“Bahkan saya yakin sepanjang enakmen ini dikuatkuasakan, belum ada kes seperti itu dibicarakan,” katanya yang mendedahkan 60 peratus kes perceraian dan permohonan cerai yang diterima beliau disebabkan penglibatan pihak ketiga.
“Namun harus diingat pihak ketiga ini bukan sahaja individu lain seperti kekasih suami mahupun isteri tetapi juga keluarga mertua sendiri.
“Ini berdasarkan pengalaman saya mengendalikan kes-kes melibatkan permohonan cerai dan perceraian pasangan beragama Islam,” katanya yang berpengalaman selama lebih 10 mengendalikan kes-kes Mahkamah Syariah. – MEGAT LUTFI MEGAT RAMLI

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...