Friday, March 26, 2010

Kahwin tak ikut undang-undang boleh dihukum

Peguam Syarie Menulis: Kahwin tak ikut undang-undang boleh dihukum
Oleh Tuan Musa Awang

BERKAHWIN tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan Islam boleh menjejaskan institusi kekeluargaan Islam. - Gambar hiasan
Maklumat perundangan kekeluargaan Islam perlu disebar elak masyarakat berdepan masalah

KEUTUHAN sesebuah institusi perkahwinan bertitik- tolak daripada punca dan unsur perkahwinan itu sendiri. Jika baik caranya, Insya-Allah akan baiklah juga kesudahannya. Islam sebagai suatu cara hidup komprehensif merangkumi semua urusan kehidupan manusia termasuklah perkahwinan dan perceraian menitikberatkan soal asas dalam membina sesebuah institusi rumah tangga.

Oleh sebab itu, undang-undang dikanunkan bagi mana-mana perbuatan orang Islam di Malaysia yang berkahwin tanpa mematuhi prosedur undang-undang adalah suatu kesalahan jenayah Syariah.
Di negara kita, bidang kuasa Mahkamah Syariah sama ada membabitkan urusan kekeluargaan atau jenayah Syariah tertentu berdasarkan peruntukan di dalam Jadual Kesembilan Senarai Dua Perlembagaan Persekutuan.

Dengan adanya peruntukan itu, badan perundangan negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang yang mengawal kehidupan tertentu orang Islam seperti urusan kekeluargaan, beberapa jenayah yang berkaitan dengan akhlak dan moral orang Islam dan beberapa perkara lain.

Bagaimanapun, ruang lingkup bidang kuasa Mahkamah Syariah ke atas kesalahan jenayah Syariah secara khusus sangat sempit dan kuasa menghukumnya sangat rendah, berdasarkan peruntukan di dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) (Pindaan) 1984
Akta ini memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan sebatan sehingga enam sebatan.

Sebelum ini perbincangan diadakan untuk memberi kuasa lebih besar, namun perbincangan itu kelihatan sepi kembali, dengan tidak menampakkan potensi untuk merealisasikannya.

Berkahwin atau terbabit dalam upacara perkahwinan tanpa mematuhi prosedur undang-undang adalah kesalahan menurut undang-undang Syariah dan boleh dikenakan penalti, sama ada penalti berbentuk jenayah syariah atau penalti yang membawa kepada tindakan mal dan penalti tidak boleh daftar perkahwinan berkenaan.

Seksyen 36 dibaca bersama Seksyen 28 dan Seksyen 32 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan bahawa seseorang yang tidak dilantik oleh Sultan tidak boleh menyimpan daftar atau rekod sesuatu perkahwinan atau mengeluarkan sebarang dokumen perakuan perkahwinan (Surat Nikah).
Jika dia berbuat demikian, dia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500, penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali pertama. Bagi kesalahan berikut boleh didenda tidak melebihi RM1,000, penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Seseorang yang melakukan apa-apa kekerasan atau ugutan untuk memaksa seseorang berkahwin yang bertentangan dengan kemahuan orang itu atau jika bertindak menghalang seseorang lelaki berumur 18 tahun atau seseorang perempuan berumur 16 tahun daripada berkahwin adalah melakukan kesalahan yang hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000, penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya (Seksyen 37).

Seseorang yang membuat pernyataan palsu untuk berkahwin boleh didenda tidak melebihi RM2,000, penjara maksimum setahun atau kedua-duanya (Seksyen 38).

Seseorang yang menjalankan akad nikah sedangkan dia tidak diberi kuasa menjalankannya juga adalah suatu kesalahan hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000, penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya (Seksyen 39 dan 40).

Seksyen 124 enakmen yang sama memperuntukkan hukuman kepada seseorang suami yang berpoligami tanpa kebenaran mahkamah iaitu denda tidak melebihi RM1,000, penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Dalam kes Muhamad Mat Diah melawan Pendakwa Syarie Kelantan di mana perayu disabitkan dan dihukum di atas empat pertuduhan di bawah seksyen 99 dan 100(1)(a) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan kerana mengakadnikahkan pasangan yang berkahwin tanpa diberi kuasa untuk berbuat demikian dan perkahwinan itu tidak mendapat kebenaran terlebih dulu.

Perayu mengemukakan pembelaan alibi antara lainnya dengan menunjukkan pasportnya bahawa beliau pergi ke Thailand sehari sebelum kejadian dan kembali sehari selepas kejadian. Mahkamah memutuskan bahawa mahkamah boleh menerima pasport sebagai dokumen kerajaan.

Bagaimanapun, orang yang bertanggungjawab mengecop tarikh masuk dan keluar seperti yang tertera di dalam pasport harus dipanggil sebagai saksi bagi menentukan kesahihan tarikh keluar masuk tertuduh ke Thailand.

Sungguhpun wujud peruntukan undang-undang yang mengenakan penalti terhadap pesalah yang melakukan kesalahan berhubung pra perkahwinan, namun masih banyak kesalahan ini dilakukan dengan sewenang-wenangnya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Malah masih terdapat banyak sindiket pernikahan sebegini di luar sana yang menjalankan aktiviti ini tanpa mengira tempat dan masa.

Persoalan juga timbul adakah pelaku kesalahan ini tidak dibawa ke muka pengadilan, walhal ada peruntukan undang-undang yang membolehkan tindakan diambil ke atas mereka.

Adakah disebabkan kadar penalti yang dikenakan amat rendah jika dibandingkan dengan kesalahan yang dilakukan, menyebabkan segelintir pihak berani untuk terus melakukannya memandangkan kebanyakan mereka yang melakukan kesalahan itu mampu untuk membayar penalti yang dikenakan terhadap mereka?

Melihat kepada era moden kini, penulis berpendapat pentingnya maklumat perundangan kekeluargaan didedah dan disebarkan kepada masyarakat.

Ini bagi membolehkan masyarakat lebih peka terhadap implikasi yang wujud terhadap sesuatu perkahwinan yang melanggar peruntukan undang-undang.

Secara tidak langsung perlanggaran ini akan menjejaskan institusi kekeluargaan Islam kerana perkahwinan tanpa mengikut prosedur tidak boleh didaftarkan, lebih malang lagi jika suami bersikap sambil lewa dan apa yang merisaukan sekiranya anak yang lahir nanti tidak diketahui statusnya.

Adalah wajar juga dilakukan penilaian semula terhadap bentuk penalti dan hukuman yang diperuntukan kepada Mahkamah Syariah supaya suatu hukuman dan penalti yang bakal dikenakan dapat memberi kesan mendalam kepada pesalah, seterusnya mencegah mereka mengulangi kesalahan yang sama.
- Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Wednesday, March 10, 2010

Kuasa Sultan hanya kurangkan hukuman

Mufti bertindak sebagai penasihat sebelum hukum syariah dilaksana

Oleh Tuan Musa Awang

Isu Kartika Sari belum lagi reda, walaupun sudah menampakkan titik noktahnya. Penulis menerima soalan dari masyarakat setiap kali isu ini timbul, adakah Kartika akan ampunkan oleh Baginda Sultan Pahang, ataupun hukuman sebat akan tetap dilaksanakan? Jawapan Penulis kepada mereka, tunggu dan lihat. Walau apapun keputusannya, ia adalah suatu yang positif terhadap perkembangan undang-undang Jenayah Islam di Pahang khususnya dan di Malaysia amnya.

Mahkamah Syariah memang sering dijadikan sasaran oleh pihak yang tidak senang dengan kewujudannya, baik oleh bukan Islam malah oleh orang Islam sendiri, tanpa justifikasi dan alasan yang kukuh. Walhal Mahkamah Syariah dan undang-undang yang terpakai di Mahkamah Syariah adalah berpaksikan kepada hak yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.
Malah ada juga pihak bukan beragama Islam yang berani mencadangkan supaya hukuman sebat Syariah dihapuskan. Cadangan ini adalah suatu yang melampau batas dan perlu dihentikan segera. Kenapa pula mereka mencampuri urusan umat Islam, sedangkan umat Islam tidak pernah mencampuri urusan agama mereka? Kerana umat Islam berpegang kepada firman Allah dalam Surah al-Kaafirun ayat 6 yang bermaksud : “Kamu dengan agama kamu dan kami dengan agama kami.”

Bukan Islam juga tidak perlu khuatir kerana undang-undang jenayah Islam dan hukuman sebat hanya dikenakan kepada orang yang beragama Islam sahaja. Kesalahan meminum minuman yang memabukkan di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Enakmen No. 8 Tahun 1982) jelas menyebutkan perkataan orang Islam, iaitu - “Sesiapa jua orang Islam dalam mana-mana kedai atau tempat awam, menjual, membeli atau meminum arak adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila sabit bolehlah dihukum denda tidak lebih daripada lima ribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya dan sebat tidak lebih daripada enam kali sebatan.”

Di setiap negeri, Sultan adalah sebagai Ketua Agama dan mempunyai bidang kuasa perkara-perkara berkaitan dengan hal-hal agama Islam serta pentadbiran agama Islam. Bagi negeri yang tidak mempunyai institusi beraja seperti Melaka, Pulau Pinang, Sarawak, Wilayah dan Sabah, Ketua Agama yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran agama Islam ialah Yang Di Pertuan Agung.

Sebagai Ketua Agama Negeri, Baginda Sultan mempunyai kuasa ekslusif untuk mengurangkan atau meringankan, menambah atau mengubah apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah. Kuasa ekslusif ini terbahagi kepada 2 keadaan berikut iaitu pertama apabila pesalah itu membuat permohonan rayuan kepada Baginda Sultan dan kedua apabila Baginda Sultan sendiri berkenan memberi pengampunan walaupun tidak dirayu atau dipohon oleh pesalah.

Dalam keadaan pertama, Seksyen 209 Enakmen 8 Tahun 1982 memperuntukkan bahawa Baginda Sultan mempunyai kuasa untuk mengurangkan, menambah atau mengubah apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan dengan syarat rayuan telah dibuat oleh pesalah terlebih dahulu di Mahkamah Ulangbicara (rayuan) dan notis rayuannya hendaklah diserahkan dalam tempoh 10 hari dari tarikh tamatnya ulangbicara kes itu. Dalam isu Kartika, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang menjatuhkan hukuman denda dan sebatan terhadap Kartika adalah bersifat muktamad kerana Kartika tidak merayu dan tempoh rayuan juga sudah tamat.

Namun dalam keadaan yang kedua, Baginda Sultan juga mempunyai kuasa untuk meringankan mana-mana hukuman dengan menggantikan hukuman yang berat kepada hukuman yang lebih ringan, walaupun tidak dirayu atau atau dimohon oleh pesalah atau tanpa persetujuan pesalah. Seksyen 133 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Pahang 2004 (Enakmen No. 9 Tahun 2004) memperuntukkan bahawa :- “Yang di-Pertua Negeri atas nasihat Mufti boleh, tanpa persetujuan orang yang telah dihukum, meringankan mana-mana satu daripada hukuman yang berikut dengan menggantikannya dengan mana-mana hukuman yang disebut selepasnya, iaitu- (a) sebat; (b) pemenjaraan; atau (c) denda.”
Penulis memperbetulkan pemahaman sesetengah pihak, kuasa Baginda Sultan yang diberikan oleh undang-undang adalah untuk meringankan hukuman yang telah dijatuhkan, daripada hukuman yang lebih berat (seperti sebatan) kepada hukuman yang lebih ringan (seperti penjara atau denda). Bukanlah bermaksud bahawa Baginda Sultan mempunyai kuasa untuk mengampunkan terus kesalahan yang telah disabitkan oleh Mahkamah Syariah tersebut.

Dalam menjalankan kuasa menurut kehendak peruntukan Seksyen 133 tersebut, Mufti Negeri dikehendaki memberi nasihat kepada Baginda Sultan sebelum kuasa meringankan hukuman itu dilaksanakan. Mufti akan memberi nasihat kepada Baginda Sultan berdasarkan hukum Syarak, samada hukuman 6 sebatan atas kesalahan meminum arak selari dengan Hukum Syarak atau tidak. Apatah lagi dalam situasi di mana Kartika Sari sendiri reda atas hukuman itu dan tidak berhasrat merayu, dan juga perlu mengambilikira bahawa pada Februari lalu 3 orang wanita telah dilaksanakan hukuman sebatan Syariah di Penjara Kajang, dan mereka mengakui mereka tidak merasai sebarang kesakitan atau kezaliman akibat sebatan itu, malah merasa insaf dan bertaubat. Kuasa Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama dan tonggak agama perlu dijalankan dengan sebaik-baiknya, kerana ia adalah benteng terakhir yang diharapkan oleh rakyat bagi mempertahankan Islam sejajar dengan sumpah baginda mempertahankan Islam pada setiap masa semasa menduduki takhta baginda. Kuasa yang bakal dilaksanakan oleh Baginda ini juga akan menjadi panduan dan ikutan kepada kes-kes berikutnya pada masa-masa akan datang.

Apa pun keputusan yang akan dibuat, masyarakat Islam keseluruhan sedang menunggu sesuatu yang terbaik untuk umat Islam dan perkembangan undang-undang Syariah di Malaysia. Hukuman tetap perlu dilaksanakan, walaupun mungkin akan diringankan. Undang-undang yang berkuat kuasa perlu ditegakkan, supaya undang-undang Syariah dan pihak-pihak yang menegakkan dan mempertahankan undang-undang berkenaan tidak menjadi bahan ejekan dan diperlekehkan. Mahkamah Syariah tidak wajar disalahkan apabila membuat keputusan berdasarkan undang-undang sedia ada, kerana Mahkamah Syariah hanya sebagai badan pelaksana kepada undang-undang yang digubal secara sah.

- Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Boleh dihubungi di Sekretariat 03-2274 1499 atau e-mail sekretariatpgsm@yahoo.com

Raja - Pemegang Amanah Kedaulatan Watan

Harian Metro 15 March 2017 Oleh Musa Awang Sistem pemerintahan beraja atau ‘monarki’ merupakan sistem pemerintahan yang tertua di du...