Sunday, January 22, 2012

Isteri boleh tuntut nafkah, tidak perlu bercerai jika suami abai nafkah

Peguam Syarie Menulis, Berita Harian

Oleh Tuan Musa Awang
sekretariatpgsm@yahoo.com

Tanggungjawab suami menanggung nafkah isteri adalah disabitkan melalui nas al-Quran dan al-Sunnah. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud : “Dan ke atas bapa yang isteri melahirkan anak baginya hendaklah memberikan nafkah makan minum dan pakaian isterinya itu.”

Dalam suatu hadith diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Antara dosa-dosa, ada yang tidak akan diampunkan melainkan dengan bekerja dalam mencari rezeki.” (Diriwayatkan oleh Tabrani, Abu Nuáim dan Al-Khatib). Dalam hadith lain, diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a, sabda Rasulullah s.a.w maksudnya: “Sesiapa yang berpetang-petangan dalam keadaan letih disebabkan oleh kerja yang dilakukan oleh kedua tangannya, maka dia berpetang-petangan dalam keadaan diampunkan dosanya.” (Diriwayatkan oleh Tabrani)

Seksyen 59 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan kuasa Mahkamah memerintah nafkah bagi isteri, yang berbunyi “Tertakluk kepada Hukum Syarak, Mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.”

Sekiranya seorang suami cuai memberikan nafkah isteri, tidak semestinya isteri memohon cerai. Isteri boleh memfailkan tuntutan nafkah isteri di Mahkamah Rendah Syariah tempat di mana beliau tinggal. Suami akan dipanggil untuk hadir ke mahkamah menyatakan pendiriannya berhubung tuntutan tersebut. Jika suami tidak bersetuju, maka mahkamah akan membicarakan tuntutan tersebut, dan memutuskan kadar nafkah isteri yang sewajarnya berdasarkan kepada keperluan isteri, berbanding dengan pendapatan si suami (Seksyen 61).

Mahkamah juga boleh memerintahkan si suami itu supaya memberi jaminan untuk membayar nafkah isteri itu dengan meletak hak apa-apa harta milik si suami kepada seorang pemegang amanah, dengan jaminan supaya nafkah isteri itu dibayar daripada pendapatan harta itu (Seksyen 62).

Dalam tempoh tuntutan nafkah isteri dibicarakan, isteri juga boleh memohon nafkah sementara isteri dari pihak suami. Seksyen 70 (1) Akta yang sama memperuntukkan bahawa “Jika Mahkamah berpuas hati bahawa terdapat alasan untuk membayar nafkah, Mahkamah boleh membuat suatu perintah terhadap suami bagi membayar nafkah sementara yang akan berkuat kuasa dengan serta-merta dan terus berkuat kuasa sehingga perintah Mahkamah dibuat atas permohonan untuk nafkah.”

Seksyen 197 dan Seksyen 202 (1) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1998 memberikan kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah untuk memberikan perintah interim nafkah isteri. Perintah sementara yang dikeluarkan tersebut hendaklah berkuat kuasa serta-merta dan terus berkuat kuasa sehingga Mahkamah membuat keputusan nafkah kekal isteri tersebut.

Kewajipan seorang suami menanggung nafkah isteri adalah kewajipan yang mengandungi nilai dan roh agama. Menunaikannya akan diberikan ganjaran pahala dan syurga, manakala mengabaikannya akan menerima balasan dosa dan neraka. Kegagalan menunaikan nafkah isteri akan memberi impak sosial yang negatif dalam masyarakat.

Suami akan dipandang hina oleh masyarakat kerana tidak bertanggungjawab. Isteri terpaksa meminta-minta, turun naik mahkamah menuntut haknya, masuk surat khabar dan televisyen dan sebagainya, yang akan mencalar maruah manusia dan keluarga. Anak-anak akan merasa rendah dan hina diri, benci kepada bapa mereka, yang juga boleh memberi kesan buruk terhadap pelajaran dan perkembangan hidup anak-anak. Lebih teruk, ada anak yang terpaksa berhenti sekolah untuk bekerja mencari rezeki bagi membantu ibunya.

Isteri terpaksa berhempas pulas mencari rezeki sepanjang hari tanpa mengira siang atau malam menyebabkan perhatian dan bimbingan terhadap anak-anak terganggu. Lebih malang, isteri atau anak anak akan terlibat dengan kegiatan jenayah seperti menjual dadah dan melacur atau berkerja sebagai GRO untuk mencari sumber pendapatan demi untuk menyara diri sendiri.

Suami sebagai ketua keluarga perlu diperingatkan sepanjang masa tentang tanggungjawab nafkah ini. Walaupun mungkin mereka berjaya mengelakkan diri atau menangguhkan tempoh memberi nafkah isteri dengan menyalahgunakan proses mahkamah, tetapi mereka tidak dapat mengelakkan diri atau menangguhkan hukuman di mahkamah Allah s.w.t di akhirat kelak.

Medium yang paling sesuai untuk mengingatkan para suami adalah semasa khutbah jumaat kerana yang hadir bersembahyang jumaat adalah suami-suami atau lelaki yang bakal menjadi suami. Wallahu’alam.

- Penulis ialah Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...