Thursday, April 11, 2013

Orang ketiga boleh dihukum dunia dan akhirat


Minda Metro, Harian Metro, Khamis 11 April 2013

Oleh Musa Awang

Isu mengambil tindakan terhadap orang ketiga yang mencari punca berlaku perceraian adalah suatu perkara yang lama, tetapi ditimbulkan semula baru-baru ini. 

Apabila isu ini timbul kembali, saya menerima pelbagai soalan daripada masyarakat. Siapa orang ketiga? Tiada tafsiran khusus tentang siapa orang ketiga. 

Orang ketiga boleh jadi sesiapa sahaja. Boleh jadi orang luar yang kita kenal dan mungkin tidak kenal. Boleh jadi juga ibubapa sendiri, mertua, adik beradik, ipar duai, sepupu sepapat, dan sebagainya. Mungkin juga bekas kekasih suami atau isteri, mungkin juga jiran sebelah rumah.

Akta sudah tersedia

Dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559), di bawah kesalahan pelbagai, terdapat tiga seksyen yang memperuntukkan hukuman terhadap orang ketiga yang memujuk lari perempuan bersuami, menghalang suami isteri hidup bersama dan menghasut suami isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.

Seksyen 36 Akta memperuntukkan – ‘Mana-mana orang yang memujuk lari seorang perempuan bersuami atau membawanya keluar dari atau dengan apa-apa cara mempengaruhinya supaya meninggalkan kediaman suami isteri yang ditentukan oleh suaminya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah boleh memerintahkan perempuan tersebut supaya kembali kepada suaminya.’

Seksyen 37 Akta memperuntukkan – ‘Mana-mana orang yang menghalang sesuatu pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri yang sudah bernikah dengan sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah hendaklah memerintahkan pasangan itu supaya hidup sebagai pasangan suami isteri yang sudah bernikah dengan sah.’

Dan Seksyen 38 Akta sama memperuntukkan – ‘Mana-mana orang yang menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana orang lelaki atau orang perempuan supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan dan tanggungjawabnya sebagai suami atau isteri adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.’

Berdasarkan kepada peruntukan di atas, bukanlah bermaksud seseorang boleh menyaman pihak ketiga yang memujuk lari isteri, menghalang suami isteri hidup bersama dan menghasut suami isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipannya. 

Tiada peruntukan yang membenarkan pihak ketiga di saman bawah tindakan mal (sivil) di Mahkamah Syariah.

Perlu buat aduan

Sebaliknya, apa yang boleh dilakukan, pihak-pihak yang merasa teraniaya disebabkan oleh pihak ketiga ini boleh membuat aduan ke Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam, supaya orang ketiga ini disiasat, dan seterusnya di dakwa oleh Pendakwa Syarie mengikut kesalahan jenayah Syariah.

Kesalahan mengikut Seksyen 36,37 dan 38 di atas adalah tergolong dalam kesalahan boleh tangkap, yakni pada lazimnya Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) boleh menangkap tanpa waran. 

Jika didapati aduan tersebut perlu disiasat, PPA akan menjalankan tindakan lanjut atas aduan atau maklumat yang diterima.

Kesalahan yang dinyatakan di atas, kebanyakannya berlaku secara tidak langsung, dan sukar untuk dibuktikan. Contohnya, apabila keluarga mertua tidak berkenan dengan menantunya, pastinya akan memburuk-burukan pihak menantu atau menimbulkan konflik dalam perkahwinan, sehingga akhirnya berlaku perceraian.

Aduan perlu bukti kukuh

Oleh sebab itu, aduan yang hendak dibuat perlu dikemukakan dengan bukti yang kukuh, bukan setakat cakap, dengar atau kerana dendam kesumat sahaja. Aduan tanpa bukti kukuh akan menyukarkan pihak pendakwaan untuk membawa kes tersebut di mahkamah.

Kadang-kadang, diri sendiri yang gagal menjalankan tanggungjawab, tidak memberi nafkah, tidak sensitif terhadap pasangan, pentingkan diri dan sebagainya, tetapi lebih suka menyalahkan orang lain atas konflik yang berlaku. 

Tanggung dosa besar

Memutuskan silaturrahim antara suami isteri bukan sahaja boleh dihukum di dunia, malah dikira melakukan maksiat besar sehingga mendapat laknat dari Allah SWT, sebagaimana firmanNya dalam Surah Muhammad ayat 22-23 yang bermaksud, “(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan, jika kamu dapat memegang kuasa-kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat?. (Orang-orang yang melakukan perkara-perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya.” (Surah Muhammad: Ayat 22-23)

Rasulullah SAW, juga memberi amaran kepada orang ketiga yang memutuskan silaturrahim sebagaimana dalam sabda Baginda yang bermaksud,  “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan.” (HR Muslim)

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sekretariatpgsm@yahoo.com

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...