Tuesday, June 7, 2011

Qazaf, bila diperlukan?


Utusan Malaysia
Khamis, 08 Jun 2011.

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my

DALAM keghairahan segelintir pihak menuntut supaya pertuduhan qazaf dikenakan terhadap trio Datuk 'T' selepas membuat pendedahan rakaman aksi seks yang menjurus kepada perbuatan zina, kita mungkin terlupa bahawa ia bukannya suatu perkara yang mudah untuk dilakukan.

Sebagai serangan balas, ada pihak yang memfailkan pertuduhan qazaf terhadap bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim yang didakwa telah mendedahkan rakaman aksi seks itu kerana ia mengandungi unsur tuduhan zina terhadap pemimpin pembangkang tersebut.

Jika dilihat daripada pengertian bahasa, qazaf adalah melontar sesuatu sama ada batu atau seumpamanya tetapi dalam istilah syarak, qazaf bermakna menuduh orang yang baik, berzina atau pun menafikan nasab keturunannya seperti menuduhnya sebagai anak luar nikah dan sebagainya.

Dalil utama Islam mengharamkan perbuatan qazaf adalah berdasarkan firman Allah dalam surah An-Nur ayat 4 yang bermaksud: ''Mereka yang menuduh wanita- wanita yang baik melakukan zina kemudiannya tidak dapat mengemukakan empat orang saksi yang adil maka pukullah mereka itu dengan sebatan 80 kali dan janganlah terima kesaksian mereka sama sekali kerana mereka itulah orang-orang yang fasik (pendusta).''

Keperluan membawa empat orang saksi ini semata-mata untuk menegah daripada membuat tuduhan melulu yang berlandaskan niat jahat kerana orang yang menuduh perlu menyediakan bukti lengkap yang mampu menyokong pertuduhannya.

Kewajipan berbuat demikian diperjelaskan oleh peguam syarie berpengalaman lebih 13 tahun, Musa Awang (gambar) dengan memetik sebuah hadis riwayat Ahmad, Muslim dan an-Nasa'i, sabda Rasullullah SAW kepada Hilal bin Umayyah yang telah menuduh isterinya berzina dengan Syarik bin Syahma.

Menurut Musa, Baginda menyuruh Hilal supaya membawakan empat orang saksi sebagai bukti kebenaran tuduhan tersebut, jika tidak, Hilal akan dikenakan hukuman had (qazaf).

Dalam kes ini, sekiranya si penuduh dapat mengemukakan empat orang saksi tersebut, maka si penuduh tidak boleh dikenakan qazaf.

Musa berkata, keperluan betapa pentingnya empat orang saksi dalam mensabitkan kesalahan zina kerana ia suatu perkara yang keji dan amat dihina oleh Islam serta hukumannya dalam Islam, boleh membawa kepada kehilangan nyawa orang yang dituduh, iaitu direjam sehingga mati atau disebat 100 kali.

Sehinggakan, katanya, dalam satu hadis sahih Muslim daripada Abu Hurairah diriwayatkan bahawa Saad bin Ubadah bertanya kepada Rasulullah SAW jika dia (Saad) terserempak dengan isterinya sedang berzina dengan seorang lelaki, adakah dia masih perlu menunggu sehingga terdapat empat orang saksi? Rasulullah SAW menjawab ''Ya''.

Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) itu bagaimanapun membangkitkan persoalan, bilakah masanya tuduhan qazaf hendak dilakukan.
Adakah sebaik sahaja si pengadu membuat tuduhan, dia terus boleh dikenakan dakwaan qazaf? Atau apabila si pengadu membuat tuduhan dan kemudian dikehendaki mengemukakan empat orang saksi, tetapi dia gagal mengemukakannya, kemudian barulah dia dikenakan dakwaan qazaf?

Bagi mengupas persoalan tersebut, peguam itu lebih selesa membawakan satu senario yang dihadapi oleh Saidina Umar al- Khattab dalam kes Al-Mughirah Ibnu Shu'bah. Suatu tuduhan telah dibuat terhadap Al-Mughirah bahawa beliau didakwa telah berzina dengan Ummu Jamil.

Musa berkata, tiga orang saksi - Abu Bakrah ibn Masruh, Shabl bin Mu'abbad dan Nafi' ibn Harith telah membuat kesaksian di hadapan Umar bahawa Al-Mughirah telah berzina dengan Ummu Jamil, tetapi saksi keempat, Ziyad ibn Ubaid tidak membuat kesaksian. Dalam keadaan begitu, Umar telah mengenakan hukuman qazaf atas mereka bertiga.
Kisah tersebut, menurut Musa, menerangkan bahawa apabila suatu tuduhan zina dibuat, maka hakim dalam suatu majlis kehakiman, perlu memanggil semua saksi yang berkenaan untuk memberikan keterangan sama ada secara serentak ataupun secara berasingan.
Dalam kisah tersebut, Saidina Umar telah bertindak sebagai hakim, dan orang yang dituduh (Al-Mughirah) hadir sekali dalam majlis tersebut.

Peguam itu berkata, Mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali menyatakan bahawa dalam kes tuduhan zina, kehadiran semua saksi perlu dilakukan serentak dalam suatu tempat, sebagai syarat untuk mengesahkan kesaksian mereka.

Ini bermakna, sekiranya mereka hadir secara berasingan, maka kesaksian mereka tidak boleh diterima bahkan jika sebahagiannya tiba setelah hakim beredar maka kesaksian mereka juga perlu ditolak dan si pengadu, boleh dikenakan hukuman qazaf.
''Jadi berdasarkan riwayat ini, saya berpendapat bahawa pertuduhan zina ke atas tertuduh dan saksi-saksi perlu dikemukakan terlebih dahulu dalam suatu majlis kehakiman. Sekiranya ia gagal dibuktikan, maka pengadu boleh dikenakan hukuman qazaf. Dengan kata lain, qazaf tidak wajar dibuat terlebih dahulu, sehingga terbukti bahawa tuduhan zina itu adalah palsu,'' ujar beliau.

Musa menambah, mengenakan qazaf serta-merta apabila seseorang membuat aduan tentang perlakuan zina adalah suatu yang silap.

''Kalau begitu sampai bila-bila kita tidak akan dapat mencegah kesalahan zina daripada berlaku dalam masyarakat. Sesiapa yang mengadu tentang zina terus hendak dikenakan qazaf. Mungkin tuduhan itu palsu, dan mungkin juga benar,'' katanya.
Oleh sebab itu, setelah aduan dibuat, disiasat dan mempunyai cukup bukti, maka dakwaan di mahkamah perlu dibuat ke atas orang yang dituduh.

Jika si pengadu tidak dapat membawakan empat orang saksi sebagaimana dikehendaki syarak, maka dia selepas itu boleh didakwa atas kesalahan qazaf. Pertuduhan zina dan pertuduhan qazaf dibuat secara berasingan kerana melibatkan tertuduh yang berbeza.
Qazaf bukanlah suatu teknik untuk melepaskan diri tetapi ia termasuk dalam kategori kesalahan hudud seperti juga kesalahan zina. Si pesalah qazaf boleh dikenakan hukuman sebatan sebanyak 80 kali.

''Cuma undang-undang syariah yang ada di negara kita hari ini sahaja yang memperuntukkan hukuman takzir bagi kesalahan qazaf.

''Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, menyebutkan mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan, mengikut hukum syarak, empat orang saksi lelaki atau ikrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

''Bagaimanapun hasil pemerhatian dan maklumat yang saya peroleh daripada pihak pendakwaan syariah, setakat ini belum pernah ada kesalahan qazaf didakwa di Mahkamah Syariah,'' kata Musa.

Kelantan Lulus Hukum Sebat Khalayak Ramai, PINDAAN TAK BERCANGGAH PERLEMBAGAAN

Berita Harian Jumaat, 14 Julai 2017 KELANTAN LULUS HUKUM SEBAT KHALAYAK RAMAI Pindaan tak bercanggah Perlembagaan Pindaan ...