Showing posts with label MINDA Harian Metro. Show all posts
Showing posts with label MINDA Harian Metro. Show all posts

Tuesday, December 18, 2018

KEDAULATAN ISLAM TERJAMIN


Harian Metro

8 Dec 2018

Musa Awang

Tamadun dan perundangan Islam di Tanah Melayu, khususnya di Negeri Terengganu bukan baharu wujud. Sejarah membuktikan sehingga 1511M, seluruh kawasan Semenanjung Tanah Melayu termasuk Patani, Kelantan, Kedah dan Terengganu menjadi taklukan Kesultanan Melayu Melaka.

Sehingga saat Sultan Zainal Abidin Shah ditabalkan sebagai Sultan Terengganu pada 1708, sistem politik awal kerajaan Sultan Zainal Abidin Shah telah dipengaruhi Kesultanan Melayu Melaka dengan meneruskan pelaksanaan undang-undang Islam dan menerima Hukum Kanun Melaka dalam pemerintahan baginda.

Penemuan Batu Bersurat bertarikh 4 Rejab 702H (bersamaan 22 Februari 1303M) di tebing Sungai Tersat, Kuala Berang, Terengganu pada 1887M menandakan Islam sudah bertapak di Terengganu sekurang-kurangnya 50 tahun sebelum tarikh batu bersurat itu ditulis.

Selain itu, Sultan Zainal Abidin memberikan kedudukan penting kepada ulama dalam pemerintahan baginda. Antaranya seperti Tok Ku Pulau Manis Sheik Abdul Malik bin Syed Abdullah, Che Buang dan Qadi Wan Imam Mahmud membuktikan ajaran Islam menjadi pegangan hidup dan dasar politik sejak awal penubuhan Kerajaan Melayu Terengganu.

Kapten Guillance Labe yang berada di Terengganu pada 1769M semasa pemerintahan Sultan Mansor 1 (1733M-1794M) mencatatkan bahawa seorang anak muda Melayu dihukum mati atas kesalahan merompak dan membunuh. Hukuman ke atas penjenayah itu dihebahkan sebagai pengajaran kepada rakyat dan hukuman seumpama itu dilaksanakan tanpa mengira bangsa orang itu Melayu atau Eropah.

Clifford semasa berada di Terengganu pada 1895M mencatatkan bahawa Sultan Zainal Abidin II mengharamkan berjudi, berlaga ayam dan semua permainan yang dianggap berdosa oleh ajaran Islam. Malah baginda sendiri menunjukkan contoh teladan baik kepada rakyat seperti diamalkan oleh sultan terdahulu. Clifford juga menjelaskan, Kerajaan Melayu Terengganu mengamalkan prinsip raja berperlembagaan iaitu dengan merujuk al-Quran, al-Hadis, qiyas dan ijma ulama sebagai asas pelaksanaan undang-undang. Selain itu, Sultan Zainal Abidin III sendiri seorang raja alim dalam ilmu agama dan berguru dengan Haji Wan Muhammad bin Haji Wan Abdullah dan Tok Ku Paloh.

Satu bukti nyata Kerajaan Melayu Terengganu sebuah pemerintahan beraja berperlembagaan bertunjangkan prinsip syariah ialah penggubalan ‘Itqanul Muluk Bi Ta’adi al-Suluk’ (Kesungguhan Raja Menyempurnakan Perjalanan Pemerintahan Yang Adil) atau dikenali juga Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu. Itqanul Muluk dimasyhurkan pada 11 Zulkaedah 1329H (bersamaan 2 November 1911M) sebagai sebuah perlembagaan Kerajaan Melayu Terengganu.

Kewujudan perlembagaan bertulis dalam bentuk moden seperti Itqanul Muluk itu mengukuhkan posisi Islam sebagai undang-undang watan bagi Kerajaan Melayu Terengganu.

Fasal 51 Itqanul Muluk menegaskan seperti berikut: “Sesungguhnya telah disifatkan dan disebutkan dan ditetapkan selama-lamanya Kerajaan Terengganu ini kerajaan Islamiyyah Malayuwiyyah ialah dikatakan ugama negeri dan kerajaan maka tiadalah boleh sekali-kali sebarang ugama lain dijadi atau disebut ugama negeri sekalipun banyak segala bangsa dan ugama diamankan dan dibenarkan masuk diam di dalam negeri dan jajahan Terengganu.”

Fasal 2 Itqanul Muluk menyatakan: “Maka hendaklah raja yang memerintah kerajaan Terengganu selama-lamanya adalah dia beragama Islam dan daripada bangsa Melayu dan darah daging keturunan sultan-sultan yang memerintah kerajaan Terengganu dan laki-laki sebagaimana tertib dan syarat-syarat yang tersebut…”

Perjanjian yang dibuat British dengan Kerajaan Melayu Terengganu seawal 1902, melalui draf perjanjian 1902 yang disediakan oleh Lord Lansdowne bersama Pesuruhjaya Khas Siam di England bernama Phya Sri Sahadeb sehingga ia ditandatangani oleh Sultan Zainal Abidin III pada 22 April 1910 (Perjanjian Terengganu 1910) adalah suatu pengiktirafan sebuah kuasa besar dunia pada masa itu terhadap Kerajaan Melayu Terengganu. Ia juga suatu pengiktirafan ke atas Sultan Zainal Abidin III sebagai pemilik dan pentadbir Kerajaan Melayu Terengganu serta segala jajahan takluknya sebagai sebuah Kerajaan Melayu Islam yang bebas merdeka.

Secara tersiratnya, Perjanjian Terengganu 1910 sebenarnya menunjukkan kebijaksanaan Sultan Zainal Abidin III dan pembesar baginda dalam mengekploitasi ancaman Siam dan British untuk mempertahankan kedaulatan Terengganu. Kerajaan Melayu Terengganu bukan sahaja diiktiraf antarabangsa sebagai kerajaan merdeka dan berdaulat tetapi berjaya dilindungi daripada ancaman kerajaan Siam sejak sekian lama.

Dengan termeterainya Perjanjian 1910, akhirnya Itqanul Muluk dimasyhurkan pada 2 November 1911. Pada 24 Mei 1919, perjanjian kedua antara Kerajaan Melayu Terengganu dengan kerajaan British dimeterai (Perjanjian Terengganu 1919) di Singapura ditandatangani Sultan Muhammad II Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III (1918–1920).

Fasal 2 Perjanjian Terengganu 1919 menyatakan: “Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu akan menerima seorang pegawai British yang dinamakan penasihat British yang akan mendiami dalam Negeri Terengganu dan menyediakan sebuah rumah yang munasabah bagi kediamannya dan segala nasihatnya mestilah diminta dan dituruti di dalam serba perkara dan masalah yang mengenai pemerintahan negeri dengan tidak menyentuh perkara agama Islam.

Walaupun Terengganu menerima seorang penasihat British, hakikatnya doktrin nasihat itu masih tertakluk kepada Perjanjian Terengganu 1919 dan Itqanul Muluk yang menjunjung dan menjamin kedaulatan Sultan Terengganu.

Perjanjian Terengganu 1919 adalah pindaan ke atas Perjanjian Terengganu 1910 yang berkisar atas subjek yang sama iaitu doktrin nasihat. Perjanjian Terengganu 1919 langsung tidak mengubah peruntukan Itqanul Muluk. Ketinggian Itqanul Muluk mengatasi Perjanjian Terengganu 1919. Sultan Terengganu tidak mesti tertakluk kepada nasihat British sekiranya sesuatu perkara itu menyentuh agama Islam. Perjanjian itu hanya menyentuh pengurusan pentadbiran kerajaan dan tidak menyentuk kedaulatan raja dan Kerajaan Melayu Terengganu. Pada masa sama, sekiranya kerajaan British gagal melindungi Kerajaan Melayu Terengganu daripada serangan kuasa asing, kerajaan British boleh dikatakan mungkir perjanjian berkenaan.

Tiada mana-mana peruntukan dalam Perjanjian Terengganu 1919 membenarkan penasihat British mengambil alih kedudukan Sultan Terengganu dalam struktur politik. Penasihat British tidak diberikan kuasa mengabsahkan kelulusan ordinan atau enakmen negeri, malah penguatkuasaan kuasa eksekutif masih dibuat atas nama Sultan Terengganu. Di samping nasihat British, pemerintahan Sultan Terengganu masih dibantu Jemaah Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan.

Persepsi dan momokan kedatangan British ke Tanah Melayu menghapuskan kedaulatan Islam dan ketuanan Kerajaan Melayu Islam seharusnya diperbetulkan. Kedaulatan Islam dan Raja-Raja Melayu masih berdiri utuh dan tegak dalam melaksanakan undang-undang syariah di negara ini.

- Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)




Tuesday, August 7, 2018

Aturan hukum berbentuk rahmat

Harian Metro
7 Ogos 2018
Musa Awang

Masyarakat negara ini kian berdepan dengan perbahasan mengenai gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT). Masyarakat juga sering dipaparkan dengan gaya hidup mereka yang boleh ditonton di media sosial, bukan saja oleh orang dewasa, malah remaja dan kanak-kanak.

Pelik, apabila posting mereka di media sosial mendapat banyak ‘like’, walaupun pada masa sama masyarakat tidak bersetuju dengan penampilan mereka. Adakah kita sudah ke arah normalisasi atau menjadikan LGBT sesuatu yang normal di negara ini?

Berdasarkan undang-undang negara, LGBT ialah satu kesalahan. Seksyen 377A, 377B dan 377C Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa perlakuan amalan seks luar tabii, sama ada secara sukarela atau paksa ialah satu kesalahan jenayah dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan.

Undang-undang Jenayah Syariah negeri dan Wilayah Persekutuan juga memperuntukkan hukuman bagi perbuatan liwat, musahaqah (lesbian), orang lelaki berlagak seperti perempuan dan perbuatan tidak sopan di tempat awam, seperti Seksyen 25, 26, 28 dan 29, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Di peringkat antarabangsa, sejak 2013, melalui Coalition of Malaysian NGOs in the UPR Process (COMANGO) melalui landasan Semakan Berkala Sejagat (UPR) yang disediakan Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mereka melontarkan beberapa tuntutan bagi pihak komuniti LGBT, termasuk memansuhkan Seksyen 377A Kanun Keseksaan (Akta 574) yang sekarang ini menjadikan perbuatan seks luar tabii sebagai suatu jenayah.

Mereka juga mendesak agar isu orientasi seksual dan identiti jantina (SOGI) diberikan perhatian termasuk dengan memberikan kebebasan ekspresi kepada semua mengikut pilihan masing-masing.

Dengan bahasa mudah, mereka mahu perkataan ‘gender’ diberi takrifan yang lebih luas iaitu bukan saja lelaki atau perempuan, tetapi termasuk jantina yang boleh ditakrifkan mengikut social construct atau acuan sosial. Mendesak mereka diberikan lebih hak, memansuhkan undang-undang yang mengharamkan perlakuan mereka, pada masa sama giat mempromosikan gaya hidup, adalah antara agenda strategik mereka untuk memastikan gejala LGBT terus berleluasa tanpa kekangan.

Hujah terbaru, golongan LGBT melakukan solat, berpuasa, mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan umrah sama seperti orang Islam yang lain, tetapi mereka cuma songsang daripada orientasi seksual mereka saja.

Islam sebagai agama Rahmatan Lil Alamin sudah pasti memberikan panduan dalam menyantuni golongan ini. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kami tidak mengutus engkau, Wahai Muhammad, melainkan sebagai rahmat bagi seluruh manusia.” (Al Anbiya: 107)

Nabi Muhammad SAW diutus dengan membawa ajaran Islam sebagai rahmat bagi seluruh manusia iaitu dalam bentuk kasih sayang Allah kepada seluruh manusia. Maka, hukum syariat dan aturan dalam Islam juga adalah bentuk rahmat dan kasih sayang Allah Ta’ala kepada makhluk-Nya.

Bentuk rahmat bagi orang yang beriman kepada ajaran yang dibawa Nabi Muhammad SAW, adalah rahmat yang sempurna dalam bentuk kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Adakah golongan LGBT ini bahagia dengan dunia melawan arus dan kejadian tabii mereka? Adakah mereka bahagia apabila penampilan mereka menyakiti dan menyinggung perasaan masyarakat yang lain?

Dijelaskan oleh Muhammad bin Jarir Ath Thabari dalam tafsirnya, ‘rahmat bagi orang beriman, iaitu Allah memberinya petunjuk dengan sebab diutusnya Rasulullah SAW. Baginda SAW memasukkan orang beriman ke dalam syurga dengan iman dan amal mereka terhadap ajaran Allah.’

Keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya adalah dengan menolak dan membenci segala penentangan terhadap ajaran Rasulullah SAW serta membenci orang yang melakukannya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Akan tetapi, Allah telah membuat cinta kepada kalian iman dan menghiasinya di kalbu kalian dan membuat hati kalian benci terhadap kekufuran, kefasikan, dan maksiat.” (Al-Hujurat, ayat 7)

Islam akan menjadi rahmat kepada sekalian alam sekiranya manusia yang percaya kepada ajaran Nabi SAW melaksanakan apa yang disuruh dan menolak atau membenci segala apa yang dilarang. Perbuatan LGBT adalah sesuatu yang dilarang oleh ajaran Islam. Larangan tersebut juga dikanunkan dan dijadikan undang-undang dalam negara ini.

Ironinya, apabila telah diwujudkan undang-undang tetapi tidak dikuatkuasakan atau apabila masyarakat merasa seronok dan menekan ‘like’ apabila melihat gelagat mereka, menunjukkan seolah-olah kita menunjukkan merasa belas kasihan terhadap golongan ini.
Sedangkan berdasarkan tafsir surat Al Anbiya ayat 107 itu, Islam sebagai rahmat Allah bukan bermakna berbelas kasihan kepada pelaku kemungkaran dan membiarkan mereka berterusan dalam kemungkarannya.

Orang yang merasa cinta dan sayang kepada orang yang melakukan maksiat, sepatutnya menasihati dan mengingkari maksiat yang dilakukannya serta mengarahkanya untuk melakukan amal kebaikan.

Mengambil tindakan menurut undang-undang bukan bermaksud menyantuni mereka secara kasar atau bertujuan menghukum semata-mata. Ia adalah sebahagian daripada penonjolan kasih sayang agama dan nasihat terhadap golongan ini. Dalam Islam, wajib menasihati bila ada saudaranya terjerumus dalam kesalahan. Bukankah orang beriman itu saling menasihati dalam kebaikan? Bahkan menasihati orang yang menyimpang daripada ajaran agama adalah bentuk kasih sayang kepada orang tersebut. Sedangkan orang yang mengetahui saudaranya terjerumus dalam maksiat tetapi mendiamkan diri, baginya suatu dosa.

Rahmatan lil alamin tidak bererti bebas tanpa batas atau tolerasi tanpa aturan atau berhujah tanpa dalil. Rahmatan lil alamin yang sebenarnya, mengandung dua aspek yang berkait antara satu sama lain, iaitu kelembutan dan ketegasan.

Isu LGBT bukan hanya terhad kepada kehidupan atau peribadi seseorang individu atau pengamal LGBT. Ia akan menimbulkan konflik baru daripada sudut kesihatan, isu jantina, menambahkan kecelaruan nilai dan pegangan, menimbulkan pertembungan hak dan kebebasan, malah boleh menjurus ke arah keruntuhan institusi keluarga. Anak-anak akan menjadi mangsa ideologi yang diselindungi dengan kebebasan dan hak peribadi. Wallahu’alam.

•        Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Wednesday, May 23, 2018

Pertimbangan berhati-hati lantik PM


Harian Metro
24 May 2018
Musa Awang
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)




Selepas PRU14, setelah Pakatan Harapan menangi majoriti mudah (simple majority) untuk membentuk kerajaan, timbul polemik berhubung isu pelantikan Perdana Menteri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Antara pembohongan yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ialah tuanku sengaja melengah-lengahkan pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad, sehingga jam 9.30 malam barulah secara rasminya Tun Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh.

Kuasa melantik PM

Walaupun kuasa memilih wakil rakyat ke Dewan Rakyat adalah kuasa rakyat, namun kuasa melantik ketua bagi wakil rakyat yang dipilih tersebut adalah kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa – “(2) Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu : (a) melantik seorang Perdana Menteri.”

Perkataan ‘menurut budi bicaranya’ di sini bermaksud kuasa yang dilaksanakan oleh
Yang di-Pertuan Agong tanpa nasihat daripada mana-mana pihak.

Bagaimanapun, Perkara 43(2)(a) Perlembagaan memfokuskan skop budi bicara itu dengan peruntukan yang berbunyi – “43 (2) Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu: (a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu.”

Yang di-Pertuan Agong tidak boleh bertindak melantik sesiapa saja yang disukainya sebagai Perdana Menteri. Sebaliknya, Perdana Menteri yang hendak dilantik mestilah seorang ahli Dewan Rakyat (bukannya Senator di Dewan Negara) dan harus dapat menguasai keyakinan majoriti, iaitu sekurang-kurangnya 112 orang daripada sejumlah 222 orang ahli Dewan Rakyat.

Dapat kepercayaan majoriti

Kepercayaan majoriti diperlukan bagi pelantikan seorang Perdana Menteri adalah berasaskan kepada keupayaan seorang Perdana Menteri untuk mengawal majoriti Dewan Rakyat supaya dia mempunyai sebuah kerajaan yang stabil.

Perlembagaan tidak memperincikan bagaimana seseorang Perdana Menteri mencapai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. Kepercayaan majoriti itu hendaklah datang daripada ahli Dewan Rakyat, yang dipilih semasa pilihan raya dan bukan daripada mana-mana pihak di luar dewan.

Hakikatnya, politik di negara ini adalah berdasarkan penguasaan parti dalam sistem demokrasi moden. Ini bermakna, parti atau melalui pakatan parti akan meletakkan calon mereka untuk bertanding dalam pilihan raya. Manakala pengundi akan mengundi mengikut lambang parti yang digunakan dalam kertas undi. Walau pun terdapat calon Bebas yang tidak menyertai mana-mana parti politik bertanding, mereka juga menggunakan lambang tertentu dalam kertas undi. Bukan menggunakan rupa atau wajah mereka.

Oleh itu, mana-mana parti politik yang memenangi pilihan raya dengan majoriti mudah boleh membentuk kerajaan, manakala pemimpin utama parti politik tersebut biasanya akan dilantik sebagai Perdana Menteri.

Pembentukan kerajaan

Selepas pilihan raya umum, ketua parti yang berjaya membentuk kerajaan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Sekiranya tidak ada suatu parti yang menang majoriti, tetapi terdapat gabungan politik yang berjaya membentuk kerajaan, Yang di-Pertuan Agong akan melantik nama yang diketengahkan sebagai Perdana Menteri oleh gabungan politik tersebut.

Pada Pilihan Raya Umum 9 Mei 2018, parti yang menang dalam PRU14 adalah terdiri daripada parti dalam Pakatan Harapan, iaitu PKR, DAP, PPBM, PAN serta Warisan. Pakatan Harapan memenangi 113 daripada 222 kerusi Parlimen, dengan pecahan PKR (104), DAP (9). Manakala Parti Warisan Sabah (8), Barisan Nasional (BN) memperoleh 79 kerusi, PAS (18), Parti Solidariti Tanah Airku (1) dan Bebas (3).

Memandangkan tiada suatu parti yang memperolehi 112 kerusi untuk membentuk majoriti mudah, maka pada petang 10 Mei 2018, semua ketua atau wakil parti gabungan Pakatan Harapan menghadap sembah ke bawah duli Tuanku untuk memaklumkan sokongan terhadap Tun Dr Mahathir Moahamad dilantik sebagai Perdana Menteri.

Ia proses untuk Baginda benar-benar mengenalpasti dan meyakini bahawa Tun Dr Mahathir adalah individu yang paling banyak mendapat sokongan ahli dewan rakyat untuk mengetuai kerajaan.

Selepas Baginda meyakini Tun Dr Mahathir mendapat kepercayaan dan sokongan yang cukup untuk mengetuai kerajaan, maka barulah Baginda bertitah untuk majlis mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri diadakan pada jam 9.30 malam, Khamis 10 Mei 2018.

Kelihatan agak lama masa yang diperlukan untuk upacara mengangkat sumpah kerana ia adalah untuk menentukan ketua bagi kerajaan yang baru, bukannya melantik Perdana Menteri bagi kerajaan yang pernah menyandang sebelumnya.
Tiada sebarang tekanan boleh mempengaruhi Yang di-Pertuan Agong dalam bertindak secara berperlembagaan untuk menggunakan pertimbangan Baginda secara senyap, tenang, bebas dan saksama.

Pertimbangan berhati-hati

Sikap dan tindakan berhati-hati Baginda harus dipuji. Sebagai ketua negara Malaysia, Baginda harus membuat pertimbangan dengan penuh cermat dan teliti, bagi mengelakkan berlaku pertikaian di kemudian hari, termasuk risiko dicabar di mahkamah. Kerana jika berlaku, kesannya boleh menggugat kesejahteraan seluruh rakyat di bawah lindungan payung Baginda.

Episod yang pernah berlaku di Sabah pada April 1985 yang menyebabkan perebutan kuasa oleh Tun Mustapha dan Harris Salleh yang akhirnya menjadi subjek litigasi dalam kes Tun Mustapha Harun melawan Tun Mohd. Adnan Robert dan Datuk Joseph Pairin Kitigan [1986] 2 MLJ 420, tidak harus dibiar berulang lagi.

Daulat Tuanku!


Thursday, April 19, 2018

Lemah lembut di mahkamah syariah

Gambar Hiasan

Harian Metro, 
5 Apr 2018
Musa Awang

Pada Rabu lalu, penulis dan beberapa rakan deligasi berkesempatan hadir ke Family Court, Sydney, New South Wales, Australia bagi melihat bagaimana pengendalian kes pertikaian keluarga di negara kanggaru itu.

Sesampai di kaunter hadapan, penulis diberikan penerangan yang jelas dengan penuh senyuman oleh petugas kaunter. Mereka memahami akan tugas yang mereka lakukan, tanpa lokek atau jemu memberikan penjelasan terhadap apa yang ingin diketahui oleh pelanggan, walaupun penulis bukan warga Australia dan berlainan agama.

Penulis juga berpeluang menyaksikan dua prosiding sebutan di mahkamah berkenaan. Satu kes tuntutan ganti rugi perceraian dan satu lagi kes berkenaan tuntutan nafkah anak. Kes ditangguhkan oleh hakim juga dengan bahasa yang lemah lembut dan sopan, untuk memberikan peluang pihak berkaitan melengkap dokumen atau menyelesaikan perbicangan persetujuan bersama, sebelum mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan.
Respect (hormat), itulah perkataan sesuai diberikan kepada hakim bicara yang melayan peguam dan pihak berkaitan tanpa diwakili peguam dengan cara lemah lembut, penuh berhikmah dan bahasa yang bersopan santun.

Kualiti dan budaya seperti ini wajar diterapkan ke mahkamah syariah dan institusi agama lain di negara ini. Ini kerana, kualiti sesebuah institusi itu sering dinilai daripada cara perkhidmatan yang diberikan, bermula di kaunter pertanyaan. Petugas kaunter adalah orang hadapan yang membawa imej institusi secara keseluruhannya. Tanggapan pertama (first impression) pelanggan akan membawa kepada persepsi keseluruhannya terhadap institusi berkenaan.

Justeru, perkara utama yang perlu diterapkan sebagai kelaziman ialah bersikap ramah mesra, berlemah lembut dan sentiasa memberikan senyuman dalam apa juga situasi dan siapa juga kategori pelanggan. Sikap ini akan menimbulkan rasa hormat pelanggan kepada institusi berkenaan, secara automatik tanpa perlu diarah atau diminta.

Sikap berlemah lembut petugas kaunter yang disulami dengan pengetahuan dan kemahiran, bukan saja boleh menjawab pertanyaan oleh pelanggan dan menguruskan keperluan yang dikehendaki, lebih daripada itu mampu memberikan perkhidmatan cemerlang melepasi tahap kepuasan pelanggan.

Budaya mempamerkan senyuman, berlemah lembut dan berbahasa sopan santun seharusnya menjadi satu budaya yang diamalkan semua warga kerja mahkamah syariah, termasuk di dalam dewan perbicaraan.

Bahasa pertuturan yang digunakan juga perlu mengambil kira pihak terbabit. Bahasa orang awam sudah pasti berbeza dengan bahasa peguam syarie. Istilah undang-undang, peruntukan undang-undang, seksyen dan sebagainya mungkin difahami oleh seseorang peguam syarie, tetapi berbeza pemahamannya dalam kalangan orang awam.
Sikap berlemah lembut dalam Islam disebut mudaroh, iaitu sikap berlemah lembut agar membuat orang lain tertarik dan tidak menjauh dari kita.

Bersikap lemah lembut adalah sebahagian daripada perintah Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ali Imran ayat 159 yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu) dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.”

Dalam hadis daripada Aishah RA, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah bersifat lemah lembut dan berlemah lembut dalam semua perkara.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Dalam satu hadis daripada Abu Dzar RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Engkau tersenyum di depan saudaramu itu adalah sedekah.”

Al Hasan Al Bashri mengatakan bahawa berlaku lemah lembut inilah akhlak Nabi Muhammad SAW yang di mana beliau diutus dengan membawa akhlak yang mulia ini.
Dalil di atas menunjukkan perintah agar bersikap lemah lembut dan menyebarkan kedamaian dalam hati orang yang berurusan, bagi mengelakkan pihak berkaitan merasa ketakutan.

Sikap berlemah lembut dan menghormati pihak berkaitan serta peguam syarie yang hadir di hadapan mahkamah tidak sesekali akan menjatuhkan kredibiliti seseorang hakim. Malah ia akan menimbulkan satu rasa hormat oleh pihak yang bertelingkah, serta membantu melicinkan perjalanan kes.

Mahkamah syariah sebagai satu institusi kehakiman perlu dihormati atas dasar kemesraan dan kewibawaan yang ditunjukkan, bukan atas dasar kebimbangan dan ketakutan. Kewibawaan mahkamah syariah dapat dimanifestasikan dalam melaksanakan perintah atau penghakiman yang tegas dan mampan, bukan ketegasan dalam tutur kata dan nada percakapan.

Sikap berlemah lembut dan pertuturan yang sopan akan menjadi suatu amalan yang dapat memasukkan seseorang ke dalam syurga, ditempatkan di dalam kamar yang bahagian luarnya dapat dilihat dari dalam dan bahagian dalamnya dapat dilihat dari luar, digantikan dengan pahala sedekah bagi yang tidak mampu untuk bersedekah, dapat menyelamatkan seseorang dari siksa api neraka.

Tutur kata lemah lembut dan sopan juga dapat menghindarkan permusuhan dan dendam kesumat yang mungkin akan digunakan sebagai senjata oleh pihak tidak berpuas hati untuk menyebarkan tohmah kepada institusi mahkamah Syariah.

Sikap berlemah lembut dan pertuturan yang sopan akan menjadi suatu amalan yang dapat memasukkan seseorang ke dalam syurga, ditempatkan di dalam kamar yang bahagian luarnya dapat dilihat dari dalam dan bahagian dalamnya dapat dilihat dari luar, digantikan dengan pahala sedekah bagi yang tidak mampu untuk bersedekah, dapat menyelamatkan seseorang dari siksa api neraka

Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). 
E-mel : sekretariatpgsm@yahoo.com

Tuesday, April 3, 2018

Tanggungjawab wali ke atas anak perempuan


Harian Metro
28 Jun 2017
Tuan Musa Awang




Ramai yang sedia maklum seseorang wali itu bertanggungjawab kepada anak perempuan atau saudara perempuannya yang belum berkahwin. Wali, salah satu syarat sah nikah bagi sesebuah perkahwinan, sebagaimana yang dijelaskan sebuah hadis yang bermaksud: Daripada Abi Musa RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali.”-(HR al-Khamsah dan An-Nasa’i)

Bagaimana pula dengan tanggungjawab wali terhadap anak perempuannya yang sudah bercerai atau menjadi balu akibat kematian suami? Adakah tanggungjawab terbabit kembali kepada mereka?

Berdasarkan hadis di atas, peranan wali juga sama dan tidak terlepas terhadap anak perempuan mereka yang berstatus janda (ibu tunggal) atau balu. Anak perempuan yang sudah bercerai dengan suami atau kematian suaminya perlu dibela nasib mereka dengan sebaiknya, termasuk dalam memberikan bantuan berupa keperluan harian, makan minum, tempat tinggal yang sewajarnya serta pendidikan anak mereka.

Tanggungjawab memberi nafkah

Tanggungjawab memberikan nafkah dikembalikan kepada wali selepas suami menceraikannya atau meninggal dunia. Puteri kedua Rasulullah SAW bernama Ruqayyah, selepas bercerai dengan suaminya bernama ‘Utbah, maka Baginda SAW yang bertanggungjawab terhadapnya, yang kemudian menikahkan beliau dengan Saidina Uthman bin Affan RA.

Begitu juga dengan puteri ketiga Baginda SAW bernama Ummu Kulthum yang bercerai dengan suaminya bernama ‘Utaibah. Rasulullah SAW mengambil kembali tanggungjawab dan kemudian dinikahkan dengan Saidina Uthman RA selepas kekandanya Ruqayyah meninggal dunia. Saidatina Hafshah RA selepas suaminya syahid di medan perang Uhud, maka dia kembali kepada bapanya Saidina Umar bin Khattab RA.

Jika sekiranya wali seorang yang tidak berkemampuan, maka yang bertanggungjawab terhadap ibu tunggal dan balu adalah pemerintah, sama ada dengan mencarikan suami bagi mereka atau memberikan bantuan Baitulmal.

Ketika Fatimah binti Qais ditalak tiga oleh suaminya, maka Rasulullah SAW memberikan perlindungan dan memberi tempat kepadanya untuk menghabiskan masa iddah di rumah Ibnu Ummi Maktum sehingga beliau bernikah dengan Usamah bin Zaid RA selepas tamat masa iddahnya dengan bekas suami.

Ketika Ummu Aiman diceraikan kerana suami tidak dapat menerima keislamannya, Rasulullah SAW memberikan motivasi kepada sahabat dengan menjanjikan pahala besar bagi mereka yang memberikan perhatian kepada ibu tunggal.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Orang yang membantu janda dan orang miskin adalah seperti orang yang berjihad di jalan Allah atau seperti orang yang selalu mengerjakan puasa di siang hari dan solat di malam hari.” (Hadith Muttafaq ‘Alaih)

Berdasarkan hadis itu, barang siapa yang belum mampu berjihad di jalan Allah atau belum mampu konsisten melaksanakan qiyamullail pada setiap malam dan puasa sunat pada siang hari, salah satu cara untuk mendapatkan pahala sama ialah dengan cara menyantuni ibu tunggal dan orang miskin.

Apatah lagi jika sekiranya membantu wanita yang kematian suami, bersamanya anak yang belum dewasa dan mereka dalam keadaan miskin. Bererti, orang yang membantu akan mendapat pahala yang banyak, yakni pahala membantu wanita yang bersedih selepas ditinggal suami yang selama ini menjadi sandaran hidupnya, pahala menolong orang miskin dan pahala memberi makan anak yatim yang ditinggalkan bapa yang selama ini menafkahi mereka.

Rasulullah SAW pernah bersabda: “Aku dan orang yang menanggung anak-anak yatim berada di syurga seperti begini,” (Baginda memberi isyarat dengan jari telunjuk dan jari tengah dan merenggangkan sedikit antara kedua jari itu)-(HR Bukhari).

Wali perlu membantu anak perempuannya yang bercerai atau kematian suami dalam meneruskan kelangsungan hidup, sebagaimana ketika mereka belum berkahwin dulu. Sehingga mereka berkahwin semula dengan perkahwinan yang baru, maka tanggungjawab itu berpindah kepada suaminya yang baru.

Tanggungjawab terhadap balu

Dalam hal seorang anak perempuan yang kematian suami, tanggungjawab memberi nafkah untuk dirinya kembali menjadi tanggungjawab wali, bukan dengan membiarkan si anak perempuan bertungkus-lumus mencari nafkah hingga terpaksa keluar bekerja ketika dalam tempoh iddah kematian suaminya. Oleh sebab itu, Islam menetapkan dalam kadar pembahagian faraid, bahagian isteri paling sedikit berbanding bahagian yang diterima waris yang lain.

Demikian juga matlamatnya kenapa Islam menetapkan kadar bahagian faraid bagi waris lelaki adalah lebih satu bahagian berbanding kadar bahagian waris perempuan.

Waris lelaki yang menerima pembahagian faraid berkewajipan dalam menjaga dan mengurus harta saudara perempuannya, termasuk menafkahi mereka, bukan mengkhianati dengan merampas harta mereka atau mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai saudara lelaki. Sebagaimana tanggungjawab mereka untuk menjadi wali nikah jika wali mujbir atau wali nikahnya yang lain tidak ada, begitu juga tanggungjawab mereka dalam menyantuni nafkah kepada saudara perempuannya.

Keistimewaan saudara lelaki yang mengurus saudara perempuannya terdapat dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa menanggung nafkah dua atau tiga anak perempuan atau dua atau tiga saudara perempuan sampai mereka meninggal dunia atau dia yang meninggal dunia, maka Aku dan dia seperti ini (mengisyaratkan dua jari telunjuk dan jari tengah)”-(HR Ahmad).

Hukum tidak jalankan tanggungjawab

Waris lelaki yang membiarkan si balu mencari nafkah serta menanggung sendiri keperluan anak yang kematian bapanya suatu tindakan yang zalim kepada si balu dan anak yatim berkenaan.

Jika seorang wali mengabaikan mereka dan tidak menjalankan tugas ini sebaiknya, maka wali itu mengkhianati amanah yang Allah berikan. Lebih-lebih lagi di saat mereka amat memerlukan bantuan dan pertolongan. Bayangkan sekiranya wali tidak menggalas peranan itu, kepada siapakah lagi yang selayaknya untuk mereka bergantung harap?

Gugur tanggungjawab seseorang wali itu hanya jika ibu tunggal berkenaan berkemampuan dari segi kewangan, mempunyai simpanan sendiri atau pun masih menerima nafkah yang secukupnya daripada bekas suami selepas bercerai.

Namun begitu, sebaiknya wali sentiasa memantau dan mengetahui keadaan ibu tunggal itu supaya benar-benar mendapat hak sewajarnya daripada bekas suami, jika bekas suami masih hidup.

Tidak boleh sama sekali untuk bersikap berlepas tangan kerana dikhuatiri perkara yang berlaku kepada mereka sebaliknya, yang akan menyebabkan mereka terjerumus dalam perkara tidak baik seperti mendapatkan sumber nafkah daripada jalan yang dilarang syarak.

Ramai daripada kita yang tidak mengendahkan atau melupakan perkara ini, sedangkan ini amanah Allah SWT. Demikian besarnya tanggungjawab seorang lelaki, bukan hanya kepada anak atau isteri saja tetapi turut kepada orang di bawah pewaliannya.

Penulis Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). E-mel : sekretariatpgsm@ yahoo.com

Selesai pembahagian harta ketika hidup


Harian Metro
12 Jan 2018
Musa Awang

Apabila seseorang Islam meninggal dunia, kebiasaannya harta sepeninggalan si mati akan dibahagikan secara faraid, iaitu apabila pemilik harta tidak membahagikan harta ketika hayatnya. Pembahagian harta boleh juga dilakukan oleh seseorang ketika hidup melalui cara pemberian hibah, pemindahan hak milik atau wasiat.



Hukum faraid tidak akan terpakai jika si mati sebelum kematiannya sudah memindahkan hartanya kepada orang lain. Pembahagian atau pemindahan harta ketika hidup kepada anak atau seseorang yang lain boleh dilakukan dengan beberapa cara berikut :

Hibah - Hibah ialah pemberian hak atau harta secara sukarela tanpa paksaan daripada satu pihak kepada satu pihak lain dengan niat dan tujuan yang baik, tanpa ada sebarang syarat, bayaran, imbalan atau balasan.

Dalam Kitab I’annatul Taalbin, juzuk ketiga, di muka surat 168 mendefinisikan hibah sebagai: “Hibah bererti memberi milik sesuatu barang yang mana mengikut kebiasaannya barang itu sah untuk dijual atau diberi hutang kepada seseorang oleh ahli tabarru’ (orang yang suka membuat kebajikan) dengan tidak ada barang tukaran.”

Pemberian hibah dilakukan ketika seseorang masih hidup dan sihat, pelaksanaannya juga biasa dilakukan ketika pemberi hibah masih hidup. Hibah tidak akan berlaku jika pemberi hibah sekadar berhasrat dan berura-ura saja, tetapi kemudian pemberi hibah meninggal dunia sebelum sempat menyempurnakan pemberiannya.

Dalam keadaan itu, hukum hibah itu mungkin akan berubah menjadi wasiat atau amanah saja.

Seseorang yang ingin melaksanakan pemberian harta secara hibah perlu memenuhi rukun hibah untuk menjadikan akad hibah itu sah, iaitu wujudnya lafaz ijab qabul yang jelas daripada pemberi hibah kepada penerima hibah, perlu ditentukan mana-mana harta yang mahu dihibahkan, harta tersebut dimiliki secara sempurna oleh pemilik, tidak bercagar, digadai atau terikat dengan mana-mana pihak dan dilakukan semasa pemberi hibah masih hidup.

Hibah boleh dilakukan secara bertulis atau secara lisan, malah hibah yang dibuat secara lisan perlu diperkukuhkan dengan bukti bertulis atau dengan mengemukakan saksi.

Pada hari ini, pemberian hibah dilakukan dengan menandatangani suatu dokumen deklarasi hibah yang ditandatangani oleh pemilik harta ketika dia masih hidup. Apabila berlaku kematian, maka penerima hibah akan membuat pengesahan hibah itu di Mahkamah Syariah.

Wasiat - Wasiat adalah suatu peluang kepada umat Islam untuk meluaskan pembahagian harta yang mereka akan tinggalkan kepada orang selain daripada ahli waris atau kepada pihak tertentu yang pada pendapat mereka wajar diberikan sebahagian harta mereka.

Pemberian harta secara wasiat mesti berlandaskan kepada empat rukun wasiat iaitu al musi (orang yang berwasiat), al-muso lahu (orang yang diwasiatkan), al-muso bihi (barang yang diwasiatkan) dan sighah iaitu ijab dan qabul. Harta yang diwasiatkan juga hendaklah harta yang dimiliki secara sempurna, bukan masih bercagar, digadai atau terikat dengan mana-mana pihak.

Di dalam isu pemberian wasiat, ada dua syarat yang perlu dipatuhi iaitu, pertama, harta yang diwasiatkan tidak boleh melebihi 1/3 dari jumlah keseluruhan harta si mati. Ini berdasarkan pendapat ulama Sunni yang mendasarkan kesimpulan mereka daripada hadis riwayat Abu Daud R.A bahawa Rasulullah SAW telah mengehadkan wasiat kepada satu pertiga saja.

Syarat kedua, wasiat harta tidak boleh diberikan kepada waris yang tersenarai sebagai penerima faraid seperti ibu, bapa atau anak. Wasiat hanya boleh diberikan kepada bukan ahli waris. Dalam hadis riwayat Abu Daud R.A, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengurniakan hak kepada setiap yang berhak. Tidak harus wasiat kepada ahli waris.”

Jika seseorang masih ingin mewasiatkan semua harta (melebihi 1/3) atau ingin mewasiatkan harta kepada ahli waris, merujuk kepada nas dan pendapat utama Mazhab Syafie, wasiat berkenaan hukumnya harus, akan tetapi ia tidak boleh dilaksanakan kecuali selepas mendapat persetujuan daripada semua waris lain.

Persetujuan itu perlu dibuat ketika pembuat wasiat hidup dan disahkan semula selepas beliau meninggal dunia. Penerima wasiat atau mana-mana ahli waris boleh membuat pengesahan wasiat itu di mahkamah syariah, sama ada wasiat si mati sah atau tidak. Jika terdapat mana-mana ahli waris yang menolak persetujuan itu, maka hukum asal adalah terpakai, iaitu wasiat kepada ahli waris adalah tidak diharuskan.

Pindah milik - Pembahagian harta berupa tanah atau rumah boleh dilakukan secara pindah milik berdasarkan syarat dan prosedur yang ditetapkan undang-undang iaitu menggunakan Borang 14A, Kanun Tanah Negara, iaitu secara balasan kasih sayang.

Jika pindah milik dilakukan oleh ibu atau bapa kepada anak menggunakan kaedah ini, maka ibu atau bapa itu bukan lagi pemilik berdaftar harta berkenaan.

Ia menjadi hak milik anak. Risikonya berkemungkinan anak akan menghalau ibu bapa daripada menduduki harta itu atau menjual harta berkenaan kerana dihasut pihak ketiga dan sebagainya.

Proses pindah milik dengan cara ini juga hanya boleh dilakukan jika harta itu menjadi milikan sempurna oleh pemilik, bukan masih bercagar, digadai atau terikat dengan mana-mana pihak.

Surat Ikatan Pemegang Amanah (Trust Deed) - Asalnya Trust Deed digunakan untuk ‘memindahkan’ nama daripada ibu bapa kepada anak atau kepada seseorang yang lain, semasa masih hidup.

Katakan seseorang mempunyai tanah satu ekar dan mempunyai dua anak dan dia mahu setiap seorang dapat setengah (1/2) bahagian untuk tanah itu. Maka dalam Trust Deed berkenaan perlu dinamakan dan diletakkan bahagian yang diberikan kepada setiap anak itu, sebelum difailkan ke pejabat tanah.

Nama pemilik asal akan dibatalkan, sebaliknya akan didaftarkan sebagai pemegang amanah kepada anak.

Selepas kematian, anak perlu membuat tuntutan pusaka di Pejabat Pusaka Kecil (jika harta bawah RM2 juta) atau di Mahkamah Tinggi (jika harta lebih RM2 juta), sebagai bukti pemberian bahagian tanah telah dilaksanakan sebelum ini di pejabat tanah secara bertulis melalui Trust Deed.

Selepas perintah atau penghakiman dikeluarkan, maka anak perlu membawa perintah atau penghakiman tersebut ke pejabat tanah untuk mendaftarkan nama mereka di dalam geran sebagai pemilik mengikut bahagian masing-masing.

Proses pendaftaran Trust Deed juga hanya boleh dilakukan jika hartanah itu bebas daripada sebarang halangan (free from all encumbrances), iaitu tidak digadaikan kepada mana-mana bank atau bebas daripada sebarang kaveat oleh mana-mana pihak. Mutakhir ini, ada pihak yang menawarkan khidmat menyediakan dokumen hibah, wasiat dan lain-lain. Perlu dipastikan dokumen yang disediakan itu tidak bertentangan dengan hukum syarak dan undang-undang kerana jika jika berlaku sebaliknya, ia tidak boleh dilaksanakan.

Ini bukan saja merugikan pelbagai pihak, membuang masa, tidak memenuhi hasrat pemilik asal harta, kadang-kadang boleh menimbulkan perbalahan di kalangan ahli keluarga.
Rujuklah peguam syarie bertauliah dalam memastikan anda mendapat nasihat yang betul mengenai pembahagian harta ketika masih hidup.

Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). E-mel: sekretariatpgsm@yahoo.com

Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM

 Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM MUSA AWANG Oleh AIMAN ALI 19 Jun 2025, 4:58 pm PETALING JAYA: Persatuan Peguam S...