Kuat
kuasa enakmen dalam Perlembagaan elak keharmonian Negara tergugat
Musa Awang
Peguam Syarie Menulis,
Berita Harian 6 Februari 2013
Akhir-akhir
ini banyak provokasi terhadap Islam dilakukan oleh pemimpin dan orang terkenal
dalam masyarakat. Walau apa pun tujuan terselindung, perlakuan tersebut bukan
sahaja menimbulkan resah dalam kalangan orang Islam, juga akan menghakis
kedaulatan Islam sebagai agama Negara.
Sikap
menghina agama Islam turut menjalar dalam masyarakat hingga menyebabkan ada
orang bukan Islam secara terang-terangan berani mempersendakan peraturan agama
Islam, mencemuh amalan dan mengeluarkan kata-kata tidak sepatutnya terhadap
agama Islam serta penganutnya.
Lebih
malang, ada pihak yang merestui dan bersekongkol dengan usaha itu. Dari
perspektif integrasi kaum dan agama, sikap begini kurang ajar dan tidak
menghormati perasaan khususnya orang Islam dan orang Melayu.
Memperkecil Islam sebagai
agama Persekutuan
Dari
sudut perundangan, ia dilihat cuba memperlekeh dan memperkecilkan Islam sebagai
agama bagi persekutuan, serta menggugat keistimewaan yang diberikan oleh Perlembagaan
kepada orang Islam.
Golongan
yang mempersendakan Islam sebenarnya telah lama wujud sejak zaman Rasulullah SAW
dan diteruskan golongan modenis zaman sekarang atas nama demokrasi, kebebasan
bersuara, hak asasi dan kebebasan beragama.
Golongan
ini telah banyak kali cuba memperlekeh dan menghina Rasulullah SAW, cuba
menjatuhkan martabat Baginda, menghina Islam, sekaligus cuba menjauhkan manusia
dari ajaran Islam yang dibawanya.
Allah
SWT telah mengingatkan Rasulullah SAW dan umat Islam dalam firman-Nya yang
bermaksud : Mereka bersumpah dengan nama
Allah, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang buruk terhadapmu), padahal
sesungguhnya mereka telah mengatakan perkataan kufur, dan mereka pula menjadi
kafir sesudah melahirkan Islam, serta mereka berazam untuk melakukan apa yang
mereka tidak akan dapat mencapainya (iaitu membunuhmu). Dan tidaklah mereka
mencaci dan mencela (Islam) melainkan setelah Allah dan RasulNya memberi
kesenangan kepada mereka dari limpah kurniaNya. Oleh itu, jika mereka
bertaubat, mereka akan beroleh kebaikan; dan jika mereka berpaling (ingkar),
Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di
dunia dan di akhirat; dan mereka tidak akan mendapat sesiapa pun di bumi ini,
yang akan menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong. [Surah
at-Taubah ayat 74].
Walaupun
hati umat Islam telah terguris dengan perlakuan itu, mereka nampaknya tidak
cepat melatah, membalas cemuhan dan provokasi dengan memperkecil atau
mempersendakan amalan agama lain.
Mereka
masih bersikap menghormati agama lain dan tidak mahu menyinggung keharmonian
antara kaum. Tidak kurang juga yang masih berpeluk tubuh dan bersikap endah
tidak endah. Bagaimanapun, tindakan perlu
diambil supaya mereka tidak mengulangi perbuatan berkenaan.
Rasulullah
SAW pernah menempelak golongan ini dengan ayat al-Quran yang bermaksud : Dan jika engkau bertanya kepada mereka
(tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya
kami hanyalah berbual dan bermain-main". Katakanlah: "Patutkah nama
Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan
mengejeknya?" Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta),
kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami
maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa
puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.
[Surah at-Taubah ayat 65-66]
Tindakan tegas
Golongan
yang mempersenda Islam pada zaman Rasulullah SAW hanya menampilkan diri mereka dan
melakukannya secara terang-terangan selepas kewafatan Baginda. Semasa hayat
Baginda, mereka melakukannya secara sembunyi kerana takutkan tindakan yang
mungkin diambil oleh Rasulullah SAW.
Khalifah
ar-Rasyidun tetap mendakwa mereka dan menjatuhkan hukuman ke atas golongan yang
mempersenda agama seperti yang dikenakan kepada Musailamah al-Kazzab yang
mengaku nabi selepas kewafatan Baginda SAW.
Penulis
bersetuju dengan pandangan sesetengah pihak yang mendesak tindakan tegas
diambil terhadap golongan ini. Selagi tidak ada tindakan berkesan kerajaan
terhadap pihak yang jelas tidak mahu menghormati Perlembagaan, selagi itulah
mereka akan terus melakukan kegiatan yang boleh menjejas keharmonian beragama
dalam negara ini.
Sampai
bila pihak berkuasa mahu menutup mata tanpa mahu bertindak tegas terhadap
mereka yang berterusan menggugat keharmonian kaum, selain mempersendakan
Perlembagaan. Undang-undang bukan sahaja perlu dihormati dan dipatuhi, malah
juga perlu dikuatkuasakan.
Orang
Islam yang melakukan perbuatan menghina, atau menyebabkan dipandang hina agama
Islam boleh didakwa atas kesalahan Seksyen 7, Akta Kesalahan Jenayah Syariah
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, yang jika disabitkan boleh didenda tidak
melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua
tahun atau kedua-duanya.
Sekat agih bible
Orang
bukan Islam yang menyebarkan agama mereka kepada orang Islam termasuk perbuatan
mengagihkan Bible dalam kalangan pelajar Islam boleh dikenakan dakwaan di bawah
Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) dah telah pun
wujud di Terengganu, Kelantan, Kedah, Melaka, Perak, Selangor, Pahang, Negeri
Sembilan, dan Johor.
Hanya
Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Perlis yang belum
menggubal undang-undang sedemikian, walaupun kuasa telah diberikan oleh
Perlembagaan Persekutuan.
Jika
sabit kesalahan di bawah Enakmen tersebut, pesalah boleh dikenakan denda maksimum
sebanyak RM10,000 atau penjara selama tempoh satu tahun atau kedua-duanya. Undang-undang
kawalan dan sekatan pengembangan agama tersebut bukan Islam tersebut bukan
sahaja boleh dikenakan terhadap bukan Islam, tetapi juga boleh dikenakan ke
atas orang Islam yang bersekongkol.
- Penulis
ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi
melalui emel : sekretariatpgsm@yahoo.com.