Harian Metro
15/10/2014
Musa Awang
Mungkin ramai yang masih tertanya-tanya apa itu
Octoberfest? Oktoberfest adalah festival musim gugur tahunan yang berlangsung
di Munich, Jerman. Festival ini dipenuhi dengan sajian bir dalam jumlah besar
beserta berbagai makanan tradisional Jerman, serta diselangi dengan banyak acara-acara
lain. Jerman telah merayakan Oktoberfest setiap tahun sejak tahun 1810.
Octoberfest pertama sebenarnya merupakan acara lumba kuda
yang diselenggarakan untuk merayakan pernikahan Putra Mahkota Ludwig I dan
isterinya Therese Saxe-Hildburghausen. Perlumbaan itu berjaya sehingga mereka
memutuskan untuk mengadakan acara tersebut sebagai acara tahunan.
Di Indonesia, festival seperti ini sudah menjadi tradisi
tahunan bagi Hotel Aryaduta Jakarta, sejak 1988. Pengunjung bukan hanya
warganegara Jerman sahaja malah warga Indonesia.
Octoberfest yang bermula sejak 24 September telah
dianjurkan di beberapa lokasi antaranya di Saujana Hotel Subang dan Berjaya
Times Square Hotel dan di tempat letak
kereta pusat membeli belah, One Utama, Petaling Jaya, Selangor.
Kenapa pula festival yang berasal dari Jerman itu boleh
dibawa ke negara ini? Sebelum ini di Selangor, kini pula di Melaka. Dan kenapa
pula ia dipromosikan dan disensasikan? Pasti ada tujuan yang tersirat.
Benar tiada undang-undang yang menghalang atau mengenakan
tindakan ke atas seorang bukan Islam yang minum arak. Ia akan menjadi kesalahan
jika seorang bukan Islam memandu kenderaan semasa berada di bawah pengaruh
minuman yang memabukkan atau memandu dengan kepekatan alcohol melebihi had yang
ditetapkan, menurut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dari sudut undang-undang, tidak salah bagi bukan Islam untuk
minum arak samada secara tertutup atau tersembunyi. Tetapi jika acara minum
arak dibuat sebagai suatu pesta, walaupun dibuat di lokasi tertutup, dipertontonkan
kepada umum melalui gambar-gambar yang diambil dan dipos ke laman sosial, ia sebenarnya
suatu tindakan mempromosikan arak secara fizikal. Pada masa sama, ia juga
mempromosikan kerendahan moral serta akhlak.
Meskipun undang-undang membenarkan bukan Islam mengambil
minuman memabukkan, membeli dan menjualnya tanpa diambil tindakan oleh pihak
berkuasa, namun ia tidak boleh menjadi syiar yang dipromosi secara terbuka
menerusi iklan dan pesta besar-besaran. Lebih menyedihkan apabila ada pemimpin
politik seolah-olah merestui gejala tidak sihat ini. Sepatutnya mereka
berkempen untuk menyeru masyarakat agar menjauhi arak, bukan turut bersama-sama
mempromosikannya.
Minum arak bukan sahaja haram dalam Islam tetapi juga
dilarang dalam agama-agama lain. Dalam Bible dinyatakan bahawa : “Janganlah
kamu menjadi mabuk dengan wain, kerana hal itu akan merosakkan hidup
kamu.”(Ephesians, 5:8) Begitu juga dalam Imamat bab 10 : 9, Bilangan bab 6 : 3,
Ulangan bab 29 : 6, Hakim-Hakim bab 13 : 4, Efesus bab 5 : 18, Samuel bab 1 :
15, Yesaya bab 5: 11, Mikha bab 2 : 11, dan Lukas bab 1: 15 jelas pengharaman
arak di dalam Bible.
Di dalam Pancasila (lima sila) ajaran Buddha, sila
terakhir menyatakan bahawa penganut Buddha perlu menghindari atau menahan diri
dari bahan yang memabukkan. Secara umumnya, arak juga tidak dibenarkan dalam
agama Hindu.
Di dalam catatan Guru Gobind Singh (guru ke 10) di dalam
Dasam Granth buku terakhir di dalam kitab Guru Granth Sahib menyenaraikan 5
larangan asas di dalam agama Sikh antaranya, tidak boleh potong rambut, tidak
boleh berkelakuan buruk, tidak boleh merokok, tidak boleh makan daging yang
disembelih dan tidak boleh minum minumaman beralkohol.
Orang Islam yang patuh kepada agama tidak akan minum
arak. Orang bukan Islam juga tidak akan minum arak jika patuh kepada ajaran
agama masing-masing.
Pada April 2014, semasa polemik tentang isu penjualan
arak dalam penerbangan, ramai tokoh-tokoh dari kalangan bukan Islam menyatakan
persetujuan agar penjualan arak di dalam penerbangan dihentikan. Presiden Persatuan
Hindu Sangam Malaysia, Datuk RS Mohan Shan berkata arak dilarang kepada
penganut Hindu kerana ianya boleh membawa mudarat kepada peminumnya. “Arak
boleh membawa kepada satu tahap di mana peminumnya boleh hilang kesedaran diri.
Seterusnya individu tersebut mungkin akan melakukan sesuatu di luar kawalan. Oleh
itu Hindu melarang minum arak kerana mendatangkan banyak keburukan daripada
kebaikan," katanya seperti dilapor oleh sebuah akhbar harian.
Sementara itu, Setiausaha Eksekutif National Evengelical
Christian Fellowship (NECF) Afred Tais berkata, ajaran Kristian juga tidak menggalakkan
penganutnya mengambil minuman keras. "Tindakan tidak rasional ketika
mereka mabuk ini yang menyebabkan ajaran Kristian menghalang mereka daripada
mengambil minuman keras," katanya.
Bukan Islam mempunyai hak kebebasan untuk makan dan minum
makanan yang halal bagi mereka, walaupun haram bagi orang Islam, dengan syarat
tidak menyentuh atau mencabar sentimen umat Islam atau membawa kepada fitnah
dan kerosakan masyarakat keseluruhan. Jika ianya berlaku, kerajaan wajib campur
tangan dan bertindak bagi menghalang tersebar dan berleluasanya lubang-lubang kerosakan
yang boleh menjerumuskan masyarakat ke dalamnya.
- Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia
(PGSM). Email : sekretariatpgsm@yahoo.com