Oleh Musa Awang
Ketua negara
bagi Malaysia ialah Yang di-Pertuan Agong. Yang di-Pertuan Agong ialah jawatan
eksekutif yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Berdasarkan
Perkara 38 Perlembagaan, jawatan ini digilirkan setiap lima tahun sekali,
antara sembilan pemerintah negeri Melayu. Apabila seseorang pemerintah negeri
menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong, seorang kerabat diraja akan dilantik
sebagai pemangku dalam negeri berkenaan.
Sistem
penggiliran Raja-Raja Melayu dari negeri yang dulunya dikenali Negeri-Negeri
Melayu Bersekutu (Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang) dan Negeri
Melayu Tidak Bersekutu (Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor).
Sistem
penggiliran jawatan Yang di-Pertuan Agong ini unik, kerana Malaysia negara
tunggal di dunia yang mengamalkan sistem penggiliran ketua negara seperti ini.
Sistem ini
juga gabungan antara tradisi feudal berasaskan keturunan darah dengan konsep
moden berasaskan Perlembagaan.
Sistem
pemerintahan Raja berperlembagaan negara ini menjadi lambang negara berdaulat,
bebas dan merdeka serta lambang perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama.
Perkara 39 Perlembagaan
memperuntukkan kuasa eksekutif Persekutuan adalah hak Yang di-Pertuan Agong.
Walaupun ada beberapa pengecualian dalam Perlembagaan mengenai kuasa dan
kedudukan Yang di-Pertuan Agong, secara lazim, baginda menerima nasihat
daripada Jemaah Menteri dalam menjalankan kuasa eksekutif baginda.
Tiga fungsi
dalam Perlembagaan
Seri Paduka
mempunyai kuasa bertindak mengikut budi bicara baginda dalam tiga fungsi
Perlembagaan iaitu melantik seorang Perdana Menteri, bersetuju atau tidak
mempersetujui permintaan membubarkan Parlimen dan meminta mesyuarat Majlis
Raja-Raja diadakan mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran
raja dan mengambil tindakan dalam mesyuarat itu.
Dalam kuasa
perundangan, Yang di-Pertuan Agong adalah sebahagian daripada komponen
Parlimen, iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Baginda mempunyai kuasa
memanggil Parlimen bermesyuarat dari semasa ke semasa, memberhentikan dan
membubarkan Parlimen, memberi ucapan dalam mana-mana majlis Parlimen dan
memperkenankan Rang Undang-Undang.
Yang
di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa melantik dua senator untuk Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur dan seorang untuk tiap-tiap Wilayah Persekutuan Labuan
dan Putrajaya, serta berkuasa melantik 40 orang senator lain.
Dalam kuasa
kehakiman, Yang di-Pertuan Agong berfungsi melantik Ketua Hakim Negara Mahkamah
Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi di
Malaya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Hakim Mahkamah Agung,
Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi, atas nasihat Perdana Menteri
selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Yang
di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa melantik Hakim Mahkamah Rayuan Syariah,
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah bagi Pulau Pinang,
Melaka dan Wilayah Persekutuan.
Peristiharan
darurat
Berdasarkan
Perkara 150 Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan
perisytiharan darurat apabila berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang
berlaku seperti keselamatan, kehidupan, ekonomi atau ketenteraan awam dalam
Persekutuan atau negeri dalam keadaan terancam.
Yang
di-Pertuan Agong juga pemerintah tertinggi angkatan bersenjata, mempunyai kuasa
mengurniakan pengampunan dan menangguhkan hukuman bagi kesalahan yang
dibicarakan Mahkamah Tentera dan semua
kesalahan dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, menjaga hak
istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak, sebagai sumber
penghormatan dan kebesaran, fungsi diplomatik dengan melantik diplomat Malaysia
di luar negara dan menerima mengadap diplomat asing serta menghadiri majlis.
Selanjutnya,
Perkara 3 (3) dan (5) Perlembagaan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong
adalah Ketua agama Islam bagi negeri yang tiada raja seperti Pulau Pinang,
Sarawak, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan. Di negeri lain, ketua agama
Islam ialah Sultan atau Raja di negeri berkenaan.
Sebagai
Ketua agama Islam, Yang di-Pertuan Agong pelindung kepada kesucian agama Islam
di negara ini.
Ketua umat
Islam, ketua eksekutif seluruh rakyat
Justeru,
Seri Paduka bukan saja ketua kepada umat Islam, tetapi juga ketua eksekutif
bagi seluruh rakyat termasuk bukan Islam dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.
Dalam sebuah
negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum dan agama, dalam situasi
masing-masing berusaha memperjuangkan hak asasi, budaya, adat resam dan agama
mereka, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja tetap menjadi penyelamat
ketegangan politik dan perkauman serta menjadi simbol perpaduan rakyat.
Kita, selaku
rakyat yang berpayung di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong seharusnya
sentiasa memberikan taat setia tidak berbelah bahagi kepada pemerintah
tertinggi negara ini dan mengelak diri daripada terbabit dengan sebarang
tindakan mempertikai perkara yang termaktub dalam Perlembagaan, termasuk
mempertikai kesucian agama Islam sebagai agama persekutuan.
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie
Malaysia
Go to Link - http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SeriPadukalambangpenyatuanbangsa/Article
Go to Link - http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SeriPadukalambangpenyatuanbangsa/Article